Setiap tahun jenama terkemuka ASUS pasti membawa barisan laptop yang hebat belaka. Kami telah berpeluang untuk mencuba beberapa laptop terbaru yang diumumkan semasa kami melawat ofis ASUS di Menara Keck Seng. Terdapat banyak benda menarik yang kami alami semasa mencuba produk-produk tersedia.
Berikut adalah barisan produk yang tersedia semasa acara ASUS CES 2023 Media Tour:
- ASUS Zenbook 14X OLED (UX6404)
- ASUS Vivobook Pro 16X 3D OLED (K6604)
- ASUS Zenbook Pro 14 OLED (UX6404)
- ROG Strix Scar 18 (G834)
- ROG Zephyrus M16 (GU604)
- ASUS Zenbook Pro 16X OLED (UX7602)
- ProArt Studiobook 16 3D OLED (H7604)
- ASUS ExpertBook B9 OLED

Antara produk yang menarik perhatian kami semasa di acara tersebut ialah ProArt Studio 16 3D OLED. Ia sebuah laptop yang memaparkan ASUS Spatial Vision, di mana pengguna boleh melihat efek 3D tanpa menggunakan peranti luar. Ia juga hadir dengan skrin OLED yang sememangnya membantu mengatasi had pada skrin LCD biasa.

Terdapat beberapa video 3D yang tersedia dalam laptop tersebut untuk ditonton. Sejujurnya, efek 3D yang ditunjukkan dalam ProArt Studio 16 kelihatan lancar dan kami agak selesa menontonnya. Tetapi setiap pengguna mungkin mempunyai pengalaman yang berbeza ketika menggunakan skrin ini. Kami juga merasakan bahawa ProArt Studio sesuai digunakan untuk pengguna yang banyak menghasilkan kerja 3D.

Selain itu, kita ada Zephyrus M16, model terbaru untuk laptop ROG Zephyrus M yang lengkap dengan paparan AniMe Matrix pada penutupnya. Paparan tersebut terdiri daripada beribu-ribu LED mini yang digunakan untuk memaparkan imej, animasi mahupun visualisasi audio.

Semua ini boleh diubah menggunakan aplikasi yang dipanggil ARMOURY CRATE. Melaluinya pengguna boleh mengubah segala tetapan serta mode tersedia seperti animasi, efek tulisan mengikut cita rasa masing-masing. Terdapat juga preset tersedia untuk digunakan kalau anda sukakannya.

Seterusnya kita ada laptop Zenbook Pro 16X OLED yang memaparkan ciri ASUS Supernova SoM (System-on-Module) Design. Kami dapat melihat perbandingan antara kedua-dua model Zenbook Pro 16X OLED, di mana salah satu daripadanya tidak mempunyai reka bentuk SoM.

Kalau anda ingin tahu, SoM design mengurangkan kawasan yang digunakan oleh CPU dan RAM dengan agak ketara, yang akan meningkatkan kecekapan penyejukan keseluruhan. Satu lagi ciri menarik yang hadir pada laptop ini ialah ia boleh menaikkan bahagian belakang keyboard secara automatik setiap kali membuka laptop.

Ciri ini membantu menambah reka bentuk yang lebih ergonomik dengan menjadikan penaipan berasa lebih selesa kerana tangan anda tidak akan berada dalam kedudukan yang janggal, dan juga membantu dengan menambahkan lebih banyak aliran udara. Semasa mencubanya, kami agak selesa apabila menaip dengan keyboard tersebut.

Satu lagi laptop ROG lain yang menarik perhatian ialah ROG Strix SCAR 18. Bila pandang boleh tahan besar juga dengan skrin 18 incinya yang mempunyai aspect ration 16:10. Skrin itu juga mampu menyokong sehingga 240Hz refresh rate untuk menjadikannya lebih lancar untuk game FPS seperti CS:GO. Dengan saiz bezel yang nipis, ia memberikan saiz maksimum mungkin untuk laptop tersebut.

Tetapi kalau besar, sudah tentu beratnya juga bertambah. Jadi kalau anda jenis yang tidak biasa membawa laptop yang berat, mungkin boleh letakkan laptop hebat ini di tempat yang tetap. ROG Strix SCAR 18 juga mempunyai ketahanan yang bagus walaupun diperbuat daripada bahan plastik. Ditambah pula dengan pemprosesan Intel Core i9 dan grafik kad NVIDIA GeForce RTX 4090, ia pilihan yang sesuai untuk bermain game.

Kami juga tidak melepaskan peluang untuk mencuba ExpertBook B9 OLED yang begitu ringan. Diperbuat daripada Magnesium Lithium, memang tidak heran mengapa laptop ini terasa begitu ringan apabila diangkat. Ia jauh lebih ringan jika nak dibandingkan dengan SCAR 18. Ia juga hadir dengan paparan QHD OLED dengan aspect ratio 16:10.

Apabila dibandingkan dengan versi paparan LCD, skrin QHD OLED ini menawarkan warna gred yang lebih profesional. Warnanya terasa lebih terang dan menyerlah di mana ia lebih berguna untuk mereka yang terlibat dengan penghasilan reka bentuk ataupun visual. Jadi dapatlah mereka menentukan warna yang lebih tepat untuk digunakan.

Satu lagi benda yang kami perasan ialah, ExpertBook B9 OLED mempunyai touchpad yang lebih besar serta memudahkan pengguna untuk terus melakukan kerja mereka. Dengan gabungan beratnya yang ringan, ia sememangnya laptop yang ideal untuk pengguna yang selalu bekerja semasa dalam perjalanan.
Senang cerita, kami memang berpuas hati mencuba kesemua produk yang dipersembahkan semasa acara ASUS ini. Kesemua laptop terasa bagus untuk digunakan dan mempunyai ciri-ciri baik untuk semua pengguna. Paparan skrin laptop juga sangat bagus untuk dilihat terutamanya pada visual serta warna yang menyenangkan mata.
Jadi kalau anda mempunyai rancangan untuk mendapatkan laptop baru untuk kerja mahupun gaming, bolehlah tengok produk-produk ASUS ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post