Industri gaming kini kehilangan seorang lagi pencipta game hebat yang banyak memberikan inspirasi, Fahmi Hasni. Jika anda ingin tahu, arwah Fahmi merupakan tulang belakang dalam pembangunan game indie, Coffee Talk yang berjaya memenangi beberapa anugerah seperti SEA Game Awards 2021. Malah game itu juga menarik perhatian ramai orang industri dan gamer.
Berita mengenai pemergiannya telah diberikan melalui akaun Twitter arwah oleh kakaknya pada 28 Mac yang lalu, dan juga telah disahkan oleh ibu arwah. Punca kematiannya tidak didedahkan oleh ahli keluarga tetapi kita doakan segala urusan berjalan dengan baik.
Ramai saudara, peminat serta pembangun lain turut memberikan takziah dan berterima kasih kepada arwah Fahmi, kerana dia antara seorang pembangun hebat Indonesia malah di peringkat antarabangsa.
Untuk pengetahuan anda, arwah juga ada membangunkan satu lagi game lain seperti What Comes After. Game itu ingin menyampaikan mesej supaya anda jangan sesekali lupa untuk menyayangi diri sendiri dalam kehidupan ini. Afterlove EP juga sedang dalam pembangunan dan dirancang untuk dilancarkan pada tahun ini. Mungkin ia akan ditangguhkan buat sementara waktu, tetapi harap-harap game itu terus dibangunkan dan menjumpai sinarnya dalam game-game indie lain.

Kalau anda masih belum bermain Coffee Talk atau game lain daripada arwah Fahmi, bolehlah klik pautan di bawah untuk membelinya. Kami gerenti anda akan menyukainya.
- Coffee Talk (Steam)
- What Comes After (Steam)
- After Love EP (Steam) (TBR)
Semoga keluarga arwah bertabah dan sentiasa kuat dalam menghadapi dugaan duka ini. Salam Takziah daripada kami di Gamer Santai.
@gamersantaimy
Discussion about this post