Dalam genre survival pasca-apokalips yang semakin padat, Survive the Fall hasil ciptaan Angry Bull Studio tampil dengan percubaan untuk menyuntik kelainan melalui gabungan elemen pertempuran taktikal, pembinaan pangkalan, dan dunia yang suram akibat hentaman meteor dahsyat.
Game ini memberi penekanan kepada naratif, pengurusan pasukan secara strategik, serta suasana musim luruh abadi yang memukau dari segi visual. Ia cuba menawarkan nafas baharu dalam genre ini, meskipun masih ada beberapa kelemahan yang wajar diberi perhatian.
Berikut adalah ulasan penuh kami.
Latar Dunia yang Unik dan Suram
Survive the Fall mengambil pendekatan berbeza dengan meletakkan latar ceritanya di dunia pasca-apokalips yang musnah akibat pelanggaran komet, bukannya bencana buatan manusia.
Impak hentaman itu mencipta sebuah kawah besar yang memuntahkan bahan toksik dikenali sebagai “Stasis”, yang memusnahkan sebahagian besar populasi manusia dan merosakkan alam sekitar.
Dunia kini terperangkap dalam musim luruh yang kekal, dengan penyakit misteri yang muncul selepas pelanggaran tersebut—menular secara ganas dan menghancurkan atau membunuh apa sahaja yang disentuhnya—sekali gus menambahkan unsur seakan zombie ke dalam permainan.

Berbeza daripada latar klise seperti runtuhan bandar atau kem pelarian usang, game ini bertempat di kawasan pedalaman Amerika tengah, mencipta suasana yang agak damai semasa fasa tanpa pertempuran.
Anda akan mengawal sekumpulan kecil manusia yang terselamat (survivor) selepas penempatan asal mereka dimusnahkan dalam satu serbuan, memaksa mereka untuk bermula semula dengan sumber yang terhad dan harapan yang tipis.
Jalan cerita berkembang menerusi komunikasi radio dan interaksi di pangkalan utama, dengan kebanyakan perkembangan naratif berlaku dalam komuniti yang dibina.

Walaupun plot utama dan protagonis mungkin terasa klise serta hanya disampaikan melalui imej statik, bukannya babak sinematik penuh, suasana yang dicipta, kewujudan puak-puak yang berbeza, dan keunikan beberapa watak sampingan (NPC) menjadikan pengalaman naratifnya tetap menarik dan berbaloi untuk dihayati.
Campuran Antara Strategi Pengurusan dan Penerokaan Taktikal
Game ini berfungsi melalui dua mod utama yang silih berganti iaitu pengurusan pangkalan dan penerokaan berasaskan skuad. Sepanjang bermain, anda akan bergilir antara membangunkan penempatan dan keluar meneroka bersama sehingga tiga orang survivor untuk menjalankan misi tempur atau pencarian sumber.
Anda bebas menukar kawalan antara watak pada bila-bila masa, dengan sistem kawalan yang membenarkan anda mengawal secara langsung atau memberikan arahan tertentu kepada rakan sepasukan, sama ada untuk mengutip cendawan atau melancarkan serangan.

Setiap ahli pasukan mempunyai kemahiran tersendiri, termasuk mencari makanan, memburu, memasak, pertolongan cemas, pembinaan, dan pembuatan barangan. Walaupun semua watak boleh melakukan pelbagai tugasan, hasil terbaik dicapai apabila anda memanfaatkan kepakaran individu masing-masing.

Bahagian penerokaan pula menampilkan pandangan top-down di mana anda akan merentas tiga jenis biom berbeza dalam dunia terbuka: mencari bekalan, mengumpul mata penyelidikan, dan berdepan dengan pelbagai ancaman seperti penyamun, perompak, serta kumpulan kultus.

Sementara itu, aspek pengurusan pangkalan melibatkan pembinaan lebih 30 jenis struktur, daripada bangunan asas seperti dapur, ladang, pusat perubatan, dan bengkel, sehinggalah ke struktur lebih besar seperti gudang dan dewan makan.
Pembinaan boleh disiapkan dengan pantas apabila ramai penghuni berganding bahu, dan anda juga boleh mempercepatkan masa semasa fasa pembinaan. Sistem ini direka agar mudah diakses, dengan panduan jelas pada setiap langkah bagi membantu anda membina komuniti yang mampan dan berfungsi.

Penempatan anda akan berkembang secara berperingkat apabila anda merekrut lebih ramai mangsa yang terselamat. Sebahagian daripada mereka boleh diserap ke dalam skuad penerokaan untuk menyertai misi di luar.
Dalam masa yang sama, anda juga perlu mengimbangi hubungan dengan puak-puak lain sambil meneroka sistem Tech Tree mendalam, yang membuka akses kepada binaan dan kemudahan lanjutan.

Keseimbangan antara pembangunan pangkalan dan misi skuad mewujudkan aliran gameplay yang semula jadi, dengan fungsi seperti “Pause” dan “Mempercepatkan Masa” membantu anda menguruskan sumber dan tenaga secara lebih efisien.
Pendekatan ini memastikan kitaran gameplay kekal segar dan tidak membosankan, apabila anda sentiasa bergilir antara cabaran membina komuniti dan pertempuran taktikal yang mencabar.
Pertempuran Taktikal Masa Nyata yang Menarik Tapi Kurang Sempurna
Sistem combat dalam Survive the Fall menggabungkan aksi masa nyata dengan elemen taktikal, menjauhkan diri daripada mekanik seperti “chance-to-hit” atau sistem turn-based. Sebaliknya, game ini menekankan kepada reaksi pantas dan perancangan masa sebenar.
Anda boleh memilih untuk bertarung dari jarak dekat mahupun jauh, dengan pelbagai jenis senjata dan upgrade yang boleh dipilih mengikut keutamaan. Mekanik menembak terasa memuaskan, menggunakan klik kanan untuk membidik dan klik kiri untuk melepaskan tembakan.

Game juga menyediakan fungsi Pasue yang membolehkan anda mengatur strategi dan mengeluarkan arahan ketika pertempuran, namun anda juga bebas untuk mengabaikan ciri ini dan terus bermain dalam mod masa nyata.
Elemen stealth memainkan peranan penting di mana watak boleh “crouch” dan bersembunyi dalam rumput tinggi atau di sebalik perlindungan, membolehkan pendekatan senyap. Anda boleh mengarahkan ketiga-tiga ahli skuad bergerak bersama atau memisahkan mereka untuk strategi yang lebih terperinci.

Mekanik stealth disepadukan dengan sistem bunyi yang diadaptasi daripada tajuk survival lain, di mana tindakan seperti mencari atau mengumpul secara tergesa-gesa boleh menarik perhatian musuh.
Pertemuan awal dengan kumpulan kultus membuktikan bahawa game ini tidak memaafkan kesilapan—anda perlu bijak bertindak sama ada memilih untuk menyerang secara langsung atau menewaskan musuh secara senyap.

Namun begitu, sistem combat dan stealth tidak bebas daripada kelemahan. Animasi kadangkala kelihatan kaku, sistem hit detection tidak konsisten, dan aksi tertentu terasa kurang ‘berat’ atau impak.
Walaupun tidaklah mengecewakan sepenuhnya, sistem combat ini terasa seperti potensi yang belum direalisasikan sepenuhnya, dan boleh menjadi tarikan utama permainan jika diberi sedikit lagi sentuhan kemas.
Kelimpahan Loot dan Cabaran Pengurusan Inventori
Game ini dipenuhi dengan pelbagai jenis loot yang berselerak di setiap pelusuk dunia. Anda hampir tidak boleh melangkah dua langkah tanpa menemui sesuatu yang boleh dikutip atau diselongkar. Sistem ini menawarkan segalanya daripada senjata, makanan, bahan hinggalah kepada mata penyelidikan.
Namun, kelimpahan ini turut membawa cabaran besar dari segi pengurusan kerana kapasiti inventori yang sangat terhad, seolah-olah anda cuba memuatkan seluruh dunia ke dalam beg pinggang kecil dan bukannya beg galas sebenar.

Walaupun sistem crafting memastikan kebanyakan barang ada kegunaannya dan tidak dibazirkan, jumlah loot yang terlalu banyak menjadikan skrin anda sesak dengan tooltip yang muncul tanpa henti, seakan diserang oleh maklumat.
Menyusun atau mencari item tertentu dalam inventori menjadi satu tugas yang menyusahkan, lebih-lebih lagi kerana sistem susunan yang ada terlalu asas dan hampir tidak membantu.

Namun di sebalik kekacauan ini, game bijak mencipta keseimbangan antara aktiviti penerokaan dan pengumpulan sumber. Anda sering dipaksa untuk membuat keputusan strategik tentang bagaimana mahu membahagikan masa dan tenaga antara membina penempatan atau mengurus sumber yang dibawa pulang.
Pilihan berterusan antara kecekapan menjelajah dan batasan kapasiti menyuntik elemen taktikal yang bermakna, mewujudkan situasi di mana setiap ekspedisi perlu dirancang dengan teliti mengikut keutamaan dan keperluan semasa.
Persembahan Visual yang Meyakinkan, Namun Lemah dari Segi Audio dan UI
Survive the Fall menampilkan gaya visual yang mantap dan mengingatkan kepada game survival lain yang seangkatan. Persekitarannya dibina dengan perincian yang kemas dan padat, membantu menyampaikan naratif secara visual dengan berkesan dan mencipta suasana dunia yang terasa hidup.
Reka bentuk musuh pula memenuhi standard tipikal genre ini, manakala tetapan grafik yang pelbagai membolehkan pemain melaras prestasi mengikut keperluan sistem masing-masing.
Walaupun game ini bukan yang tercantik—dengan cutscene yang agak kasar—keindahan dan kekayaan butiran alam sekitarnya cukup untuk memberi rasa tenggelam dalam dunia yang dibina, sekaligus menutup kelemahan visual lain.

Namun begitu, dari aspek audio, game ini agak mengecewakan. Runut bunyi yang terhad menjadi terlalu berulang, terutamanya dalam sesi penerokaan yang panjang, hingga muzik latar mula terasa menjengkelkan.
Kesan bunyi dalam pertempuran pula kurang memberi impak, menjadikan aksi tembak-menembak terasa hambar dan kurang intensiti.
Ketiadaan lakonan suara mungkin boleh dimaafkan memandangkan skala projek ini, namun tetap membuatkan penyampaian cerita terasa datar berbanding game lain dalam genre yang sama yang menampilkan pelakon suara penuh.

UI dan reka bentuk pengalaman pengguna pula terasa generik, mengingatkan kepada rekaan game mobile—fungsional, tetapi tiada keunikan atau identiti yang boleh menyemarakkan pengalaman pemain.
Pengurusan penempatan dalam game ini juga gagal membangkitkan perasaan mengurus sebuah komuniti yang benar-benar hidup; ia lebih menyerupai sistem berasaskan menu berbanding simulasi sosial yang bersifat dinamik.
Isu kebolehbacaan turut timbul, terutamanya apabila saiz teks terlalu kecil atau apabila pelbagai butang muncul serentak di skrin, menyukarkan interaksi dan memperlahankan tindak balas pemain.

Walaupun dari segi kestabilan game ini berjalan dengan lancar secara umum, sesekali ia masih dihantui oleh bug dan glitch yang boleh mengganggu kelancaran gameplay: khususnya semasa melakukan aktiviti pembinaan.
Walaupun isu ini tidaklah besar hingga memecahkan game, ia cukup kerap berlaku untuk menimbulkan rasa jengkel dari semasa ke semasa.

Secara keseluruhan, Survive the Fall kelihatan seperti sebuah game yang memerlukan lebih banyak penggilapan terutamanya dari segi prestasi konsisten, pengalaman UI, dan reka bentuk audio yang lebih hidup—untuk benar-benar mencapai potensi penuhnya.
Pendapat
Survive the Fall merupakan satu penyertaan yang meyakinkan dalam genre survival pasca-apokalips, menawarkan kandungan yang melimpah khusus buat pemain yang gemarkan pengalaman membina komuniti dan meneroka dunia yang keras namun penuh potensi.
Ia berjaya menggabungkan pelbagai elemen terbaik daripada game survival berpasukan dan menyatukannya dalam satu pengalaman yang, walaupun belum sempurna, tetap memberikan kesan yang menarik.

Namun begitu, game ini masih memerlukan sentuhan penggilapan yang ketara dalam beberapa aspek penting seperti kestabilan prestasi, kejelasan dan reka bentuk UI, serta sistem audio yang lebih bermutu untuk benar-benar bersaing dengan judul survival yang lebih matang di pasaran.
Walaupun persembahannya kadangkala terasa generik dan ada kelemahan teknikal yang boleh mengganggu, Survive the Fall tetap memiliki cukup kekuatan untuk membuatkan anda ingin melihat sejauh mana ia boleh berkembang.

Bagi peminat game survival taktikal yang mencari pendekatan lebih perlahan, lebih strategik, dan tidak hanya bergantung pada aksi tembak-menembak semata-mata, game ini sememangnya wajar diberi peluang.
Ia bukan sekadar menekankan kelangsungan hidup secara fizikal, tetapi turut mengajak anda berfikir secara taktikal dan moral dalam dunia yang hancur.

Survive the Fall kini tersedia di PC melalui Steam, GOG, dan Epic Games Store. Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman web rasmi.
@gamersantaimy
The Review
Survive the Fall
Survive the Fall ialah entri yang meyakinkan dalam genre survival pasca-apokalipts, menawarkan pengalaman membina komuniti dan meneroka dunia yang keras namun menarik bagi mereka yang gemarkan pendekatan lebih strategik. Ia menggabungkan elemen survival berpasukan dengan baik, walaupun masih memerlukan penggilapan dari segi prestasi, UI, dan audio untuk mencapai potensi penuhnya. Walaupun ada kelemahan teknikal dan persembahan yang agak generik, game ini tetap berbaloi dicuba oleh peminat survival taktikal yang mahukan sesuatu yang lebih perlahan, berfikir, dan bukan sekadar aksi.
PROS
- Penceritaan persekitaran yang mantap, dengan perincian dunia yang padat dan suasana yang benar-benar menghidupkan lokasi serta mendalamkan rasa immersion
- Kitaran yang seimbang antara pengurusan pangkalan dan penerokaan secara berkumpulan mewujudkan aliran gameplay yang menarik dan tidak membebankan
- Sistem pengurusan penempatan pula direka dengan intuitif, memudahkan pemain memahami dan mengurus mekanik kompleks secara berperingkat
- Kawalan yang fleksibel membenarkan pertukaran watak serta pemberian arahan secara langsung kepada ahli kumpulan dengan lancar
- Elemen stealth juga disepadukan dengan baik melalui sistem crouch, perlindungan, dan tindak balas bunyi, menambah variasi taktikal dalam pertempuran
- Tech Tree yang luas serta lebih 30 jenis bangunan memberi ruang kepada pemain untuk membina komuniti yang berfungsi dan tersusun
CONS
- Jalan cerita utama agak klise dengan watak utama yang kurang menonjol
- Sistem pengurusan inventori terasa menyusahkan dengan paparan tooltip yang berserabut, susun atur item yang tidak teratur, serta tiada sistem penyusunan yang berkesan
- Pertempuran juga kurang memuaskan — animasi terasa ringan, pengesanan serangan tidak konsisten, dan keseluruhannya kurang impak
- UI sukar dibaca kerana saiz teks yang kecil dan masalah interaksi apabila terdapat banyak butang arahan pada skrin
- Aktiviti pembinaan kadangkala terganggu oleh glitch yang boleh menimbulkan rasa jengkel semasa sesi bermain
Discussion about this post