Selepas 15 tahun, Ninja Gaiden 2 Black akhirnya kembali dalam versi remaster dengan grafik yang menakjubkan, menghidupkan semula aksi ninja yang menjadikan siri ini legenda.
Pemain sekali lagi bermain sebagai Ryu Hayabusa, seorang ninja hebat yang mewarisi pedang legenda Dragon Sword, dalam misi berbahaya merentasi dunia untuk menentang musuh ganas dan cabaran maut.
Dengan visual yang dipertingkatkan dan pergerakan pertarungan yang lebih lancar, edisi remaster ini berusaha untuk mengekalkan gameplay aksi intensif berasaskan kemahiran yang mendefinisikan versi asal, sambil menawarkan pengalaman yang lebih kemas untuk peminat lama dan pemain baru.
Namun, adakah ia mampu menyaingi kehebatan pendahulunya? Mari kita selami lebih lanjut.
Watak Samping Turut Bersinar
Dalam Ninja Gaiden 2 Black, pemain mengawal Ryu Hayabusa, seorang ninja lagenda dari Dragon Clan. Apabila seorang ahli sihir jahat bernama Elizébet, Queen of the Fiends, mencuri Demon Statue untuk menghidupkan semula raksasa purba yang dikenali sebagai Archfiend, Ryu memulakan misi berbahaya untuk menghentikannya.
Dengan Dragon Sword di tangan dan kemahiran ninja luar biasa, Ryu perlu bertarung dengan pelbagai musuh, daripada ninja hingga makhluk iblis yang mengerikan, di lokasi-lokasi berbahaya di seluruh dunia.

Sepanjang perjalanan, Ryu berdepan bos yang handal dan membongkar rancangan jahat mereka untuk menjerumuskan dunia ke dalam kegelapan. Ini adalah pengembaraan berintensiti tinggi yang memerlukan Ryu menggunakan segala kemahirannya untuk menghalang kemunsahan dunia.
Memandangkan ini adalah versi remaster, tiada perubahan pada jalan ceritanya.

Versi ini juga membolehkan beberapa rakan Ryu dimainkan sebagai watak tambahan. Walaupun ia menambah kekeliruan pada cerita yang sepatutnya “simple”, ia tetap memberikan detik menarik buat watak-watak sampingan untuk bersinar.
Rachel tampil dengan tukul gergasi untuk serangan jarak dekat dan minigun untuk serangan jauh. Dia adalah watak paling perlahan, memerlukan pemain lebih strategik dalam setiap gerakan supaya serangan lebih berkesan.
Ayane pula ialah seorang ninja lincah berambut ungu yang menggunakan pisau kecil dan kunai meletup, bergerak pantas di medan perang dengan kelincahan luar biasa. Sementara itu, Momiji berperanan sebagai watak seimbang—seorang shrine maiden yang bersenjatakan tombak besar, mampu menangani pelbagai situasi dengan baik.
Gameplay Aksi Pantas dan Teknikal
Tarikan utama Ninja Gaiden 2 Black terletak pada pertarungan pantas berasaskan kemahiran—elemen yang menjadikan siri ini begitu mendebarkan. Sebaik sahaja anda mengawal Ryu, anda akan terus dihanyutkan dalam pertarungan tanpa henti, di mana setiap serangan, elakan, dan pertahan mesti dilakukan dengan tepat.
Sekadar menekan butang secara rawak tidak akan membawa anda jauh; game ini memerlukan ketepatan, refleks pantas, dan keupayaan mengawal huru-hara di skrin. Sebagai pemain baru, saya mengalami kesukaran pada awalnya, tetapi apabila mula menguasai sistem pertarungan yang brutal tetapi teknikal ini, ia menjadi pengalaman yang amat memuaskan.

Pertarungan dalam game ini ibarat tarian yang disusun dengan rapi, menggabungkan serangan dan pertahanan untuk memastikan anda sentiasa berada dalam kawalan. Walaupun di peringkat awal, Ryu sudah dilengkapi dengan pelbagai jenis senjata yang membolehkan anda menyesuaikan gaya permainan mengikut keinginan.
Menjelang Chapter 6, saya sudah memiliki lima senjata utama, setiap satu dengan kombinasi serangan dan corak pergerakan tersendiri—dan lebih banyak lagi boleh diperoleh sepanjang permainan.

Salah satu ciri menarik adalah Obliteration Technique, gerakan finisher ganas yang membunuh musuh yang cedera serta-merta. Ia bukan sekadar aksi dramatik, tetapi juga strategi penting untuk mengurangkan jumlah musuh di medan pertempuran.
Sistem “block” juga memainkan peranan utama dalam kelangsungan hidup, membolehkan anda menahan serangan sehingga menemui saat yang tepat untuk membalas. Namun, anda tidak boleh sekadar menekan butang block tanpa henti—jika tidak, anda akan cepat dikepung dan dibunuh.

Terdapat juga abiliti Ninpo—serangan magic khas yang boleh digabungkan dalam kombo anda. Menggunakannya pada waktu yang tepat boleh mengubah pertempuran, sama ada untuk menghapuskan sekumpulan musuh atau menumpaskan bos yang sukar.
Salah satu yang paling berkuasa ialah Art of the Inferno, yang melepaskan letupan api besar dan sangat berguna untuk menghapuskan musuh kecil dengan pantas.

Sistem kemajuan dalam game ini juga agak ringkas. Anda boleh menaik taraf senjata menggunakan mata wang dalam game yang diperoleh dengan mengalahkan musuh. Selain itu, abiliti Ninpo dan had maksimum nyawa juga boleh dipertingkatkan melalui item yang dijumpai dalam peti harta karun.
Itu sahaja—tiada elemen RPG yang kompleks, hanya sistem asas yang mengekalkan fokus kepada aksi tanpa gangguan.
Tahap Kesukaran Masih Mencabar
Team Ninja mendakwa mereka telah mengimbangi semula tahap kesukaran game ini agar lebih sesuai untuk pemain moden, tetapi hakikatnya ia masih kekal mencabar. Mod ‘Acolyte’ (yang boleh dianggap sebagai mod normal) lebih mesra untuk pemain baru seperti saya, menjadikannya lebih mudah berbanding versi terdahulu.
Ia tetap mencabar, tetapi bukanlah pengalaman yang benar-benar menghukum pemain.

Bagi peminat tegar, mod kesukaran lebih tinggi seperti ‘Path of the Warrior’ dan ‘Path of the Master Ninja’ masih mengekalkan cabaran ekstrem yang sinonim dengan siri.
Musuh menjadi lebih pantas, serangan mereka lebih menyakitkan, dan sumber untuk bertahan semakin terhad—menjadikan setiap pertempuran sebagai ujian untuk kemahiran anda.

Bagi saya, salah satu aspek terbaik dalam game ini ialah betapa seronoknya sistem pertempuran. Setiap serangan, elakan, dan pertahanan terasa begitu responsif, dan semakin lama saya bermain, semakin saya merasakan diri sebagai seorang ninja sejati.
Selepas beberapa bab pertama, saya sudah mula menggabungkan kombo dengan kemas dan mengalahkan musuh dengan ketepatan.

Namun, isu terbesar saya ialah kamera yang boleh menjadi masalah besar, terutamanya di kawasan sempit atau ketika bertarung dengan musuh bersaiz besar. Ada beberapa situasi di mana saya kehilangan jejak kerana sudut kamera yang tidak membantu, dan ini sedikit sebanyak merosakkan pengalaman pertarungan yang sepatutnya lancar.
Paling mengecewakan, game ini langsung tidak mempunyai sistem lock-on untuk menyasar musuh, yang membuatkan pertempuran terasa lebih menyusahkan.
Grafik & Prestasi
Ninja Gaiden 2 Black menerima peningkatan visual yang ketara dengan penggunaan Unreal Engine 5, memberikan rupa moden yang segar sambil mengekalkan aksi “intense”.
Game ini tampak hebat di PC dan konsol generasi baharu, dengan tekstur yang tajam, pencahayaan menakjubkan, dan animasi yang sangat lancar, menjadikan pengalaman bertarung lebih asyik. Namun, walaupun telah ditambah baik, masih ada beberapa kelemahan kecil yang mengingatkan kita bahawa ini hanyalah versi remaster.

Bagi saya, perubahan paling ketara dalam aspek visual ialah peningkatan besar pada model watak. Peminat pasti akan berpuas hati melihat pelbagai watak wanita dalam pakaian seksi yang bukan sahaja kelihatan lebih menawan, tetapi juga lebih realistik—sesuatu yang sememangnya menjadi tarikan utama dalam siri Ninja Gaiden.

Dari segi prestasi, saya mencubanya pada spesifikasi mid-to-high menggunakan Ryzen 5 3600 dan Radeon RX 6800. Sepanjang bermain, kadar frame rate berjalan lancar pada 60 FPS.
Namun, ada beberapa kelemahan, seperti apabila fungsi ray tracing diaktifkan, game mula mengalami sedikit stuttering apabila berada di kawasan yang dipenuhi ramai musuh. Walaupun begitu, saya menghargai penambahan teknologi upscaling moden seperti DLSS dan FSR, yang membantu mengekalkan prestasi tanpa mengorbankan kualiti grafik.
Pendapat
Peralihan ke Unreal Engine 5 benar-benar memberi nafas baharu kepada Ninja Gaiden 2 Black. Peningkatan dari segi visual dan prestasi yang lebih tinggi menjadikannya lebih menarik untuk pemain moden, tanpa mengorbankan gaya aksi ganas yang menjadi identiti siri ini.
Namun, beberapa masalah seperti “glitches”, sudut kamera yang menjengkelkan, dan ketiadaan sistem lock-on boleh terasa sedikit menyusahkan, tetapi ia tidak sampai merosakkan keseluruhan pengalaman permainan.

Secara keseluruhan, penambahbaikan dari segi grafik dan prestasi benar-benar membawa Ninja Gaiden 2 Black ke tahap baharu di platform generasi seterusnya.
Walaupun tidak sempurna, visual yang dikemas kini, gameplay yang seronok, dan pertarungan yang penuh aksi menjadikannya pengalaman yang berbaloi untuk dicuba—terutamanya jika anda sukakan cabaran.

Bagi yang berminat, game ini kini tersedia di PlayStation 5, Xbox Series, dan PC melalui Steam dan Microsoft Store. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi.
@gamersantaimy
The Review
Ninja Gaiden 2 Black
Secara keseluruhan, penambahbaikan dari segi grafik dan prestasi benar-benar membawa Ninja Gaiden 2 Black ke tahap baharu di platform generasi seterusnya. Walaupun tidak sempurna, visual yang dikemas kini, gameplay yang seronok, dan pertarungan yang penuh aksi menjadikannya pengalaman yang berbaloi untuk dicuba—terutamanya jika anda sukakan cabaran.
PROS
- Pertarungan pantas dan memuaskan
- Cabaran yang sukar tetapi berbaloi
- Peningkatan visual yang mengagumkan
- Nostalgia dengan sentuhan moden
CONS
- Sukar untuk pemain baru
- Masalah kamera
- Pilihan accessibility agak terhad
Discussion about this post