Majoriti orang yang sudah bertahun-tahun bermain game pasti kenal dengan francais Metal Slug yang masih aktif sehingga sekarang walaupun diperkenalkan pada tahun 1996. Terkenal dengan gameplay run-and-gun yang membuatkan siri ini popular, SNK telah mengeluarkan game baharu untuk francais, bertajuk Metal Slug Attack Reloaded.
Di sini, kami berpeluang bermain Metal Slug Attack Reloaded, yang menampilkan gameplay serba baharu – khususnya gabungan strategi real-time dan tower defense. Adakah game ini dapat memuaskan hati peminat sambil membawa masuk peminat baharu? Anda boleh membaca reviu di bawah untuk pandangan kami.
Jalan Cerita Sama Lawak

Metal Slug Attack Reloaded meneruskan tradisi naratif yang bersikap “over/berlebihan”dan lawak, dan kali ini mengikuti protagonis yang nama tidak asing lagi – Marco, Tarma, Eri, dan Fio – ketika mereka bertarung dengan askar-askar General Morden dan antagonis baharu.
Kisah diceritakan melalui dialog, dengan banyak rujukan kepada sejarah lama siri ini. Malangnya, game ini tidak mempunyai lakonan suara.

Bagi saya, kisah Metal Slug Attack Reloaded boleh dianggap sebagai suatu perjalanan nostalgia kepada game-game dahulu kerana jalan cerita baharu meluaskan lagi latar belakang dunia dan watak-wataknya.
Game ini menawarkan premis yang kaya dan menarik untuk aksi sengit, dipenuhi dengan watak yang tidak dapat dilupakan, momen-momen yang mendebarkan, dan campuran jenaka dan drama yang menarik kita untuk bermain dari awal hingga akhir.
Gameplay Umum

Seperti saya kata tadi, Metal Slug Attack Reloaded tidak menawarkan gameplay aksi run-and-gun seperti entri dahulu; sebaliknya menawarkan konsep tower defense dan strategi real-time. Pertempuran sengit akan berlaku setiap masa, dan mengajak pemain untuk berfikir secara taktikal untuk mengalahkan musuh demi musuh, yang jumlahnya tidak terkira.
Di sini, pemain mesti menggunakan pelbagai unit dengan abiliti unik serta mengurus sumber dengan berkesan untuk menewaskan gelombang musuh. Setiap unit mempunyai kekuatan dan kelemahan tertentu, dan lapisan strategi terletak pada memilih gabungan unit yang betul lalu menggunakannya pada masa yang tepat.
Pemain mesti menyusun strategi ofensif dan defensif dengan seeloknya, menggunakan sumber yang terhad untuk memaksimumkan keberkesanan mereka di medan perang.

Sebagai contoh, anda mempunyai AP (Action Point) dan untuk menyeru seorang askar biasa memerlukan 30 AP, manakala untuk mengeluarkan kereta kebal memerlukan 180 AP. Jika tidak sabar, anda boleh upgrade kadar pemulihan Action Point supaya menjadi lebih pantas, tetapi itu pun memerlukan AP.
Jadi, pemain akan sentiasa merasai elemen strategik seperti ini di dalam game.

Metal Slug Attack Reloaded mempunyai berpuluh/hampir ratusan stage yang mesti dihadapi dalam mode Campaign. Salah satu aduan terbesar saya ialah tahap kesukaran sangat tidak sekata dan boleh menjadi sukar secara tiba-tiba. Kadang-kadang, anda akan bermain di stage yang mudah, tetapi peringkat seterusnya tiba-tiba menjadi sangat susah, jadi anda perlu mengubah strategi sepenuhnya.
Hal ini amat menjengkelkan, tetapi elemen ini yang menjadikannya game lebih menyeronokkan untuk terus bermain.

Metal Slug Attack Reloaded juga mempunyai ciri multiplayer untuk bertarung dengan pemain lain; anda boleh bertarung secara online dengan pemain di seluruh dunia, atau secara local dengan rakan-rakan. Disebabkan aspek PvP tersebut, pemain perlu “grinding” agar dapat bersaing dengan mereka.
Kami sendiri mengesyorkan agar anda memberi perhatian kepada unit dan akaun supaya tidak terkejut apabila ditemukan dengan pemain yang akaunnya handal.
Ada 300 Unit Untuk Cuba

Setiap faction mempunyai unit masing-masing, di mana anda boleh meningkatkan level mereka menggunakan MSP yang boleh diperolehi melalui grinding dalam Campaign. Bukan setakat strategi sahaja, unit juga sama penting kerana setiap watak mempunyai stats sendiri termasuk HP, ATK, Defense, dan Level.
Jika anda terus lupa untuk menguatkan unit, watak yang mati dengan mudah akan menjadi beban. Sebaliknya, jika unit semakin kuat , anda tidak perlu berusaha sangat untuk memikirkan strategi yang rumit.

Apa yang lebih menarik ialah pemain boleh mengumpul sekurang-kurangnya sehingga 300 unit di seluruh francais Metal Slug. Jumlah ini memang banyak, tetapi menambah kedalaman strategi pada masa yang sama kerana setiap unit boleh menawarkan kelebihan masing-masing dalam pelbagai situasi, dan boleh dimasukkan ke dalam pelbagai formasi.
Cis! Ada Gacha

Malangnya, anda tidak boleh mendapatkan semua unit serta-merta melalui Campaign, tetapi perlu menggunakan sistem gacha yang dipanggil ‘Call to Arms’. Di sini, pemain boleh menyeru unit dengan rarity Normal atau Rare menggunakan Medal yang diperoleh melalui Campaign atau selepas menyelesaikan Quest/Achievement.
Jika mendapat watak yang sama lebih daripada dua kali, anda akan mendapat bahan berguna untuk Evolve watak itu. Selain daripada meningkatkan stats, ciri Evolve boleh mengurangkan AP (Action Point) untuk sesebuah unit. Ini penting kerana lebih cepat anda boleh menyeru unit ke medan perang, lebih tinggi peluang untuk menang.
Visual Kekal Klasik

Metal Slug terkenal dengan gaya seni klasik yang unik tetapi menarik, dan saya bersyukur Metal Slug Attack Reloaded meneruskan tradisi ini. Watak, kenderaan dan persekitaran semuanya dipaparkan dalam gaya 2D yang jelas dan terperinci.
Selain itu, seni sprite pun sangat mengagumkan, di mana setiap watak dan musuh dianimasikan dengan teliti untuk menghidupkan suasana medan perang dalam bentuk retro. Secara langsung, penggunaan seni retro terus membangkitkan pengalaman visual yang nostalgia.
Namun, apabila melihat adegan jalan cerita atau semasa melihat unit di menu atau galeri, mereka akan tampil dalam bentuk moden.
Pendapat

Metal Slug Attack Reloaded berjaya menggabungkan rupa klasik Metal Slug dengan elemen gameplay strategi baharu, lantas menawarkan pengalaman segar tetapi masih sangat ikonik.
Walaupun ada beberapa kebimbangan tentang gacha dan grinding yang mungkin terlalu berat bagi sesetengah pemain, tahap kedalaman gameplay, variasi dan daya tarikan nostalgia daripada game ini menjadikannya menarik kepada peminat lama dan pemain baru.
Bagi mereka yang berminat, Metal Slug Attack Reloaded kini dikeluarkan secara rasmi untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox Series, Nintendo Switch, dan juga PC melalui Steam. Anda boleh melayari laman web rasmi di SINI untuk maklumat lanjut.
@gamersantaimy
The Review
Metal Slug Attack Reloaded
Walaupun ada kebimbangan tentang gacha dan grinding yang mungkin terlalu berat untuk sesetengah pemain, gameplay, variasi dan daya tarikan nostalgia daripada game ini menjadikannya menarik kepada peminat lama dan pemain baru.
PROS
- Gameplay yang mudah, menyeronokkan tetapi mencabar
- Kualiti visual berkualiti tinggi gabungan retro dan klasik
CONS
- Pemain kasual mungkin mengadu tentang grinding dan sistem gacha
Discussion about this post