Sudah lama dinantikan, Indiana Jones and the Great Circle akhirnya mengembalikan pengembara ikonik ini ke dunia game. Dibangunkan oleh MachineGames dan diterbitkan oleh Bethesda Softworks, game ini berusaha untuk mengekalkan semangat siri filem yang dicintai sambil memperkenalkan pengalaman yang segar.
Game ini menyajikan satu lagi pengembaraan bersama ahli arkeologi terkenal ini, menggabungkan naratif klasik dengan elemen baharu yang memperkaya legasi francais. Dari saat Dr. Jones memakai menghayunkan cambuknya, pemain dibawa ke dalam dunia penuh misteri purba, aksi, dan pencarian yang menggabungkan unsur sejarah dan mitos.
Namun, sejauh manakah bab baharu ini mampu menghidupkan kembali keajaiban Indiana Jones? Adakah ia setanding dengan legasi pendahulunya, atau sebaliknya gagal mencapai jangkaan peminat? Berikut adalah reviu terperinci mengenai The Great Circle sama ada ia mampu berdiri sebagai tambahan hebat kepada saga Indiana Jones.
Pengembaraan Tidak Pernah Berhenti
Berlatar tahun 1937, di antara peristiwa Raiders of the Lost Ark dan The Last Crusade, game ini memperkenalkan jalan cerita baharu yang berkait rapat dengan alam sinematik Indiana Jones.
Kisahnya bermula di muzium universiti tempat Indiana bekerja, apabila seorang penceroboh misteri mencuri artifak berharga, sebuah “mumia kucing.” Loket yang ditinggalkan di tempat kejadian mendedahkan kaitan dengan Vatican, memulakan pengembaraan merentasi benua.

Dari ruang bawah tanah kuno Vatican hingga piramid Mesir dan hutan tebal Thailand, naratifnya memadukan elemen sejarah dan keajaiban mitologi.
Misi Indiana berkembang daripada mendapatkan semula artifak yang hilang kepada menyelami misteri di sebalik “Great Circle,” sambil bersaing dengan kumpulan ahli arkeologi Nazi yang tidak henti-henti mengejarnya.

Persekitaran game pula adalah harta karun bagi peminat eksplorasi. Setiap lokasi mempunyai reka bentuk unik, daripada kubur bawah tanah Vatican yang suram hingga makam Mesir yang diterangi cahaya matahari, lengkap dengan hieroglif yang rumit dan laluan berliku.
Rasa keasyikan ditingkatkan melalui perspektif first-person, terutamanya ketika menjelajah makam gelap di mana cahaya obor yang berkelip-kelip mendedahkan mural atau perangkap tersembunyi.

Walaupun eksplorasi tidak sepenuhnya bebas, kebebasan untuk menjalankan misi sampingan dan menyelesaikan teka-teki tersembunyi memberikan kepuasan tersendiri kepada pemain.
First-Person Buat Gameplay Lagi Menarik
Seperti saya kata tadi, perspektif first-person memberikan pengalaman yang sangat seornok. Pemain dapat melihat dunia melalui mata Indiana, sama ada ketika mengagumi runtuhan purba atau merangkak melalui gua sempit.
Perspektif ini turut meningkatkan saspen semasa menghadapi musuh atau melepaskan diri dari perangkap tersembunyi pada saat-saat genting.

Sistem pertempuran terbahagi kepada mekanik jarak dekat dan jarak jauh, dengan pelbagai alat dan senjata yang boleh digunakan. Pemain boleh menggunakan senjata sementara seperti penyodok, gitar, dan juga pemukul lalat, namun setiap satunya mempunyai had ketahanan.
Apabila tanpa senjata, tumbukan Indiana sentiasa menjadi pilihan utama. Senjata api seperti revolver ikoniknya menawarkan pilihan serangan jarak jauh, tetapi peluru yang terhad memerlukan strategi penggunaan yang bijak.
Kerap kali, pendekatan stealth menjadi pilihan terbaik. Jika musuh mengesan pemain, mereka boleh memanggil bala bantuan, menjadikan keadaan lebih sukar dikawal.

Cambuk ikonik Indiana pula berfungsi sebagai alat serbaguna, membolehkan pemain melucutkan senjata musuh, menjatuhkan mereka, mengaktifkan mekanisme, atau melintasi jurang yang berbahaya.
Teka-teki menjadi elemen utama gameplay, direka dalam eksplorasi makam dan persekitaran harian. Dari mentafsir skrip kuno hingga mengendalikan mekanisme kompleks, setiap cabaran dirangka dengan variasi yang memastikan gameplay kekal segar dan menyeronokkan.
Fungsi Adventure Camera menambahkan elemen interaksi yang menarik. Pemain boleh merakam artifak atau momen penting untuk memperoleh “Adventure Point” yang digunakan untuk membuka skil baru melalui “Adventure Book” yang dikumpulkan.

Buku-buku ini dibahagikan kepada kategori seperti Survival (peningkatan nyawa), Fitness (ketahanan dan pemulihan), serta Brawling (kemahiran bertempur jarak dekat), membolehkan pemain menyesuaikan watak mengikut gaya permainan mereka.
Visual Terperinci, Tapi NPC Tiada Emosi

Game ini sangat menonjol dalam aspek naratif persekitaran, menampilkan lokasi yang megah dan kaya dengan keaslian budaya. Setiap lokasi, dari kubur bawah tanah Vatican hingga kuil kuno Mesir, dirasakan seperti portal ke era yang berbeza. Namun begitu, reka bentuk model watak masih memerlukan penambahbaikan.
Walaupun Indiana direka dengan teliti menyerupai Harrison Ford, watak sampingan mempamerkan ekspresi wajah yang kaku dan kurang emosional.

Runut bunyi, yang digubah oleh Gordy Haab dengan inspirasi daripada tema klasik John Williams, menambahkan kualiti sinematik yang sama hebat. Momen-momen penting seperti melintasi jurang menggunakan cambuk diiringi skor orkestra yang membangkitkan semangat pengembaraan.
Bunyi latar seperti dentuman cambuk Indiana dan bunyi mekanisme purba menambahkan elemen realisme yang menghidupkan dunia game ini.
Pendapat
Indiana Jones and the Great Circle berjaya mencipta naratif yang memikat hati, membawa pemain menyelami kisah Indiana Jones yang harmoni dengan alam sinematiknya. Gabungan elemen naratif ala filem dengan mekanik gameplay menghasilkan pengalaman yang padu, di mana cerita dan gameplay saling melengkapi.
Salah satu aspek paling menonjol ialah teka-teki, yang menawarkan pelbagai cabaran kreatif mengikut tahap kesukaran. Sama ada pemain memilih penyelesaian mudah atau menikmati teka-teki kompleks tanpa panduan, kepuasan menyelesaikannya tetap terasa.

Eksplorasi dalam game ini juga sangat memuaskan, berkat reka bentuk persekitaran yang cantik. Pemain akan dibawa ke lokasi yang luar biasa, setiap satunya menampilkan elemen visual yang unik dan memperlihatkan warisan budaya yang berbeza.
Aktiviti eksplorasi menjadi lebih menyeronokkan dengan misi sampingan yang dirancang, memberikan ganjaran yang memadai tanpa membuat pemain merasa terbeban.
Namun, game ini tidak terlepas daripada kelemahan. Salah satu isu utama ialah pepijat inventori yang berulang kali mengganggu. Masalah ini kadangkala menyebabkan pemain tidak dapat mengakses item yang diperlukan, mengakibatkan mereka terhalang untuk maju atau menghadapi kesukaran dalam pertempuran.
Dalam situasi tertentu, pemain terpaksa memuat semula save file lama, yang boleh mengganggu kemajuan.

Selain itu, animasi watak, terutamanya bagi NPC sokongan, masih memerlukan banyak penambahbaikan. Watak-watak lain sering kali mempamerkan ekspresi wajah yang kaku dan kurang hidup, mencacatkan kualiti keseluruhan.
Kekurangan ini paling ketara pada watak penting seperti Voss, di mana ekspresi wajahnya gagal menyampaikan emosi yang sesuai dalam adegan penting, mengurangkan impak dramatik.

Secara keseluruhan, Indiana Jones and the Great Circle adalah pengalaman yang menghiburkan, terutama untuk peminat filem, penggemar adventure, dan pencinta teka-teki. Ia menggabungkan gameplay berasaskan naratif dengan elemen sinematik, menjadikannya sesuai untuk pemain kasual mahupun peminat tegar genre ini.
Bagi mereka yang berminat, game ini akan dilancarkan untuk Xbox Series dan PC melalui Steam dan Microsoft Store pada 9 Disember, diikuti oleh PlayStation 5 pada 2025. Game ini juga akan tersedia melalui Xbox Game Pass. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi di SINI.
@gamersantaimy
The Review
Indiana Jones and the Great Circle
Game ini berjaya mencipta naratif yang memikat hati, membawa pemain menyelami kisah Indiana Jones yang harmoni dengan alam sinematiknya. Gabungan elemen naratif ala filem dengan mekanik gameplay menghasilkan pengalaman yang padu, di mana cerita dan gameplay saling melengkapi.
PROS
- Perspektif first-person "immersive" yang meningkatkan pengalaman eksplorasi dan pertempuran
- Teka-teki yang direka dengan teliti dengan mekanik yang pelbagai
- Persekitaran yang teliti dan autentik dari segi budaya
- Naratif menarik dan berkait rapat dengan filem Indiana Jones
CONS
- "Pepijat inventori" mengganggu keasyikan gameplay
- Animasi NPC yang kaku dan janggal, terutamanya dalam adegan emosi
Discussion about this post