Guilty Gear -Strive- merupakan antara fighting game yang paling mengagumkan, menampilkan visual bergaya, mekanik combat yang mantap dan memuaskan, muzik latar yang sedap, serta prestasi online yang stabil. Kini, pengalaman Guilty Gear -Strive- yang sama boleh dinikmati di mana-mana sahaja menerusi versi Nintendo Switch.
Edisi Switch untuk Guilty Gear -Strive- hadir dengan 28 watak serta menyertakan tiga Season Pass pertama secara langsung. Jika anda sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan versi standard di platform lain, apa kata anda beri peluang kepada versi Switch ini?
Berikut adalah pandangan kami mengenainya.
Prestasi Solid dan Visual Hampir Hebat di Konsol Mudah Alih
Guilty Gear -Strive- berjaya mengekalkan kadar 60 FPS yang stabil semasa pertarungan di Nintendo Switch. Satu pencapaian yang mengagumkan memandangkan keupayaan perkakasan konsol ini yang lebih terhad.
Sama ada ketika melancarkan kombo-kombo padu atau bertempur dalam situasi genting, kadar bingkai yang konsisten menjadikan pengalaman bermain terasa lancar dan responsif.

Masa loading juga tidak mengecewakan. Sama ada anda memasuki mod Arcade, Training, atau lobi Online, masa menunggu adalah singkat. Malah, lebih baik jika dibandingkan dengan beberapa port third-party lain di platform ini.

Dari segi visual pula, game ini tampil cukup memukau di Switch. Reka bentuk watak kekal penuh gaya dan identiti, manakala sudut kamera dramatik serta aksi Super sinematik masih mampu menyerlah walaupun di skrin bersaiz kecil.
Namun begitu, ada beberapa kompromi visual yang tidak dapat dielakkan: latar kelihatan sedikit kabur, resolusi serta tekstur tidak setajam versi di PS5 atau PC.
Walaupun begitu, memandangkan ini adalah versi mudah alih, tahap persembahan visual masih mencukupi untuk mengekalkan identiti game yang bergaya, terutamanya apabila dimainkan dalam mod handheld di mana kekurangan ini kurang ketara.
Pengalaman Kawalan: Joy-Con vs Fightstick
Saya mencuba Guilty Gear -Strive- di Nintendo Switch menggunakan Joy-Con standard serta arcade fightstick, dan perbezaannya memang ketara. Fightstick memberikan kawalan yang lebih stabil dan responsif, terutama dalam situasi perlawanan bertekanan tinggi.
Input terasa tajam dan tepat, tanpa sebarang masalah ketika melakukan kombo rumit atau gerakan bertahan.

Penggunaan Joy-Con pula masih boleh diterima, terutamanya bagi pemain kasual. Saiz butangnya yang lebih kecil memerlukan sedikit masa untuk dibiasakan, terutama jika anda biasa bermain di PlayStation atau Xbox yang menawarkan rekaan lebih luas dan maklum balas sentuhan yang lebih padu.
Bagi pemain yang serius atau kompetitif, susun atur Joy-Con mungkin terasa sempit dan menyukarkan ketepatan, lebih-lebih lagi dalam sesi gaming yang panjang.

Namun begitu, tidak dinafikan Joy-Con tetap praktikal dan mudah digunakan. Meskipun saiznya kecil, ia masih mampu menjalankan semua fungsi asas tanpa sebarang kekurangan besar. Setelah anda menyesuaikan diri, ia boleh digunakan dengan lancar, khususnya dalam mod handheld atau ketika bermain semasa dalam perjalanan.
Untuk sesi serius, fightstick atau controller khusus sememangnya disarankan, tetapi Joy-Con tetap menjadi pilihan fleksibel yang berfungsi baik untuk sesi santai atau latihan ringan.
Kualiti Online Memuaskan, Tapi Ada Kekangan
Versi Nintendo Switch untuk Guilty Gear -Strive- hadir dengan sokongan rollback netcode, satu ciri penting yang memberikan kelebihan besar dalam perlawanan online. Ia memastikan perlawanan online terasa lebih lancar dan responsif, walaupun ketika menentang lawan yang mempunyai sambungan internet kurang stabil.
Dalam genre fighting game yang bergantung pada ketepatan masa, kehadiran rollback netcode sememangnya satu kelebihan yang nyata.

Namun begitu, ada beberapa kekurangan yang perlu diberi perhatian. Berbeza dengan versi di PlayStation dan PC, versi Switch tidak menyokong fungsi crossplay. Ini bermaksud anda hanya boleh berlawan dengan pemain lain yang turut menggunakan Switch, sekali gus mengehadkan saiz komuniti pemain.
Bagi mereka yang gemar bermain secara kompetitif atau ingin kerap beraksi online, ini boleh dianggap sebagai kekurangan yang ketara.

Satu lagi isu yang berpotensi ialah daya tahan komuniti online untuk jangka masa panjang. Memandangkan Switch bukan platform utama bagi fighting game kompetitif, jumlah pemain mungkin tidak ramai dan boleh terus berkurangan dari semasa ke semasa.
Ini boleh menyebabkan masa menunggu dalam sistem matchmaking menjadi lebih lama, terutamanya di kawasan dengan jumlah pemain aktif yang rendah atau di luar waktu puncak.
Pendapat
Guilty Gear -Strive- masih teguh sebagai salah satu fighting game paling bergaya, memuaskan dan teknikal di pasaran, dan versi Nintendo Switch berjaya membawa pengalaman itu ke dalam format mudah alih dengan cemerlang.
Dengan kadar 60 FPS yang stabil semasa pertarungan, masa loading yang pantas, serta semua kandungan hingga Season Pass 3 dimuatkan sekali, ia memberi nilai yang sangat berbaloi untuk pemain yang ingin menikmati game ini di mana-mana sahaja.

Dari segi visual, walaupun ada beberapa kompromi yang tidak dapat dielakkan, mutu persembahan keseluruhannya masih sangat mengagumkan untuk sebuah konsol mudah alih. Sama ada anda bermain menggunakan Joy-Con atau fightstick, gameplay kekal kemas dan responsif.
Walaupun begitu, pemain yang lebih serius pasti akan menghargai penggunaan controller yang lebih sesuai bagi mendapatkan ketepatan input yang lebih konsisten.
Dari sudut online pula, kehadiran rollback netcode sangat dialu-alukan, namun perlu diingat bahawa ketiadaan fungsi crossplay dan komuniti pemain yang lebih kecil mungkin memberi kesan terhadap perlawanan kompetitif dalam jangka panjang.

Bagi saya secara peribadi, versi ini amat sesuai untuk sesi latihan santai, perlawanan tempatan bersama rakan, atau hanya untuk menikmati aksi penuh gaya dan runut bunyi yang memikat di mana jua saya berada.
Meskipun untuk perlawanan Ranked atau pertandingan online saya tetap akan beralih ke PS5, versi Switch ini tetap menjadi pelengkap berguna dalam koleksi saya — sebagai cara yang mudah dan fleksibel untuk menikmati Guilty Gear -Strive- mengikut rentak saya sendiri.
@gamersantaimy
The Review
Guilty Gear -Strive-
Guilty Gear -Strive- di Nintendo Switch membawa pengalaman fighting yang bergaya dan memuaskan ke dalam format mudah alih dengan baik. Prestasi 60 FPS, masa load yang pantas, dan kandungan lengkap hingga Season Pass 3 menjadikannya satu port yang berbaloi. Visual tetap mengagumkan walaupun ada sedikit kompromi, dan gameplay kekal responsif sama ada guna Joy-Con atau fightstick. Rollback netcode hadir untuk pengalaman online yang lancar, tapi ketiadaan crossplay dan komuniti kecil mungkin jadi kekangan. Secara peribadi, versi ini sesuai untuk sesi santai, manakala saya masih pilih PS5 untuk aksi kompetitif.
PROS
- Mengekalkan 60 FPS yang stabil semasa perlawanan, memberikan combat yang lancar dan responsif walaupun pada Switch
- Merangkumi 28 watak + kandungan Season Pass 1–3, nilai hebat untuk pendatang baru dan peminat yang kembali
- Berfungsi dengan baik menggunakan Joy-Con, Pro Controller, atau Fightstick, menjadikannya serba boleh sama ada anda bermain secara kasual atau serius
- Masa loading pantas untuk Switch, menjadikannya salah satu port third-party fighting game yang lebih lancar pada sistem ini
CONS
- Tiada crossplay dengan platform lain, mengehadkan online matchmaking kepada pemain Switch sahaja, yang boleh menjejaskan kelangsungan kompetitif jangka panjang
- 30 FPS dalam menu dan beberapa adegan potong membuatkan prestasi nampak menurun
Discussion about this post