Untuk kembali ke dunia Elden Ring adalah satu idea yang menakutkan, tetapi memandangkan kisah epik yang disampaikan oleh FromSoftware pada tahun 2022 berjaya memenangi hati seluruh dunia termasuk memenangi anugerah Game of the Year, kami tetap memberanikan diri untuk mencuba DLC expansion Elden Ring Shadow of the Erdtree.
Dalam previu sebelum, kami menjelaskan bahawa Elden Ring: Shadow of the Erdtree lebih mencabar daripada base game – dan selepas bermain DLC Shadow of the Erdtree sepenuhnya, DLC ini mengingatkan saya mengapa Elden Ring begitu istimewa di hati semua gamer.
Tanpa melengahkan masa, berikut adalah review saya tentang Elden Ring Shadow of the Erdtree.
Plot

Kesinambungan kepada kisah Elden Ring ini berlaku di tanah yang terselubung dalam Shadow of the Erdtree. Selepas mengalahkan Mohg, Lord of Blood, dan menghampiri kepompong di Mohgwyn Dynasty Mausoleum, anda akan disambut oleh Leda dan dijemput untuk mencari Miquella melalui Shadow Realm.
“Pencarian ini bukanlah mudah—bahaya baharu menanti di setiap sudut, dan peperangan purba antara Orde Emas dan penduduk Realm of Shadow masih membara di atas tanah yang ditinggalkan ini.”

“Walaupun sukar, bagaimanapun, anda tidak perlu berjalan sendirian: pengikut Miquella masing-masing akan memberikan sokongan atau bimbingan semasa anda membongkar misteri tanah itu.”
Untuk mengakses DLC, anda mesti mengalahkan Starscourge Radahn dan Mohg the Lord of Blood. Hanya selepas itu anda boleh menyentuh lengan yang tergantung dari kepompong untuk memasuki Shadow Realm.
Peta Kecil Tapi Masih Berbahaya

Mula-mula, mari kita lihat peta DLC. Menavigasi tanpa peta adalah perkara hampir mustahil tetapi nasib baik DLC ini tidak begitu besar; ia lebih kurang saiz Limgrave dan Caelid.
Walau bagaimanapun, disebabkan rupa bumi yang diri daripada tebing dan kawasan curam, aspek eksplorasi menjadi semakin susah. Banyak lokasi boleh dilihat tetapi tidak boleh diakses kerana terlalu tinggi atau curam, jadi kita memerlukan banyak usaha untuk sampai ke destinasi.

Peta diagihkan kepada lima, setiap satu membuka kawasan yang berbeza. Ini termasuk kawasan DLC awal, Gravesite Plain; kawasan tengah, Scadu Altus; Pantai Selatan; Rauh Ruins; dan akhir sekali, Abyssal Woods.
Gravesite Plain amat serupa dengan Limgrave; ia adalah kawasan yang dikelilingi oleh gunung tinggi dengan tanah yang rata. Semasa meneroka titik permulaan, anda akan sampai ke jalan yang bersimpang. Laluan kiri menghala ke Belurat, Tower Settlement, rumah kepada bos singa. Laluan kanan membawa anda ke Castle Ensis, yang dijaga oleh Rellana, Twin Moon Knight.

Jangan terlalu risau tentang bos mana yang perlu ditewaskan dahulu kerana anda perlu menewaskan kedua-duanya. Satu diperlukan untuk jalan cerita utama, dan satu lagi adalah penting untuk naratif.
Sebaik sahaja mengalahkan Twin Moon Knight, kita boleh terus ke Scadu Altus. Di sini, kita boleh meneruskan ke Cathedral of Manus Metyr dan Shadow Keep. Cathedral of Manus Metyr mempunyai NPC penting, iaitu Count Ymir.

Sebaliknya, Shadow Keep ialah kubu besar, dan mempunyai banyak jalan keluar yang boleh menuju ke pelbagai kawasan lain, termasuk Ancient Ruin of Rauh, Abyssal Woods, dan laluan ke bos DLC besar, Messmer.
Walaupun Elden Ring adalah game open-world, DLC ini lebih linear berbanding base game. Sesetengah kawasan memerlukan kita untuk mengalahkan bos bagi membuka laluan ke kawasan seterusnya. Contohnya, Castle Ensis ialah lokasi penting untuk mengakses Scadu Altas, Dragon Pit berfungsi sebagai kawasan bersyarat untuk sampai ke Jagged Peak, dan Scadu Altas ialah hub besar yang menghubungkan beberapa kawasan lain.

Jika ingin mencari laluan alternatif ke kawasan baharu, ia mungkin agak sukar dalam DLC. Kebanyakan laluan disekat oleh tebing, jadi anda sama ada perlu melompat (dan mati) atau mengalahkan bos untuk maju.
Cuma, saya yakin beberapa pemain handal akan menemui beberapa solusi dan cara lain.

Selain itu, Spiritspring dalam DLC (laluan angin yang membolehkan anda melompat ke atas dan ke bawah ke tempat yang lebih tinggi atau lebih rendah) telah dikunci oleh batu ajaib, yang menyorok di kawasan sekeliling. Anda boleh mencari batu itu untuk mengangkat sumpahannya.
Cross Yang Ditinggalkan Oleh Miquella

Miquella Cross menandakan tempat di mana Miquella membuang sebahagian daripada dirinya yang terikat kepada Golden Order. Memandangkan mercu tanda ini memberi petunjuk tentang lokasinya, ia adalah antara fokus penting dalam misi anda di Shadow Realm.
Scadutree Fragment dan bahan unik lain biasanya boleh dikutip di mercu tanda ini, manakala Cross itu boleh diperiksa untuk mendapatkan maklumat tambahan tentang Miquella.
Blessing Baharu

Bersama dengan cara tradisional untuk meningkatkan kekuatan anda, Shadow Realm menawarkan barang-barang rare yang boleh memberi kelebihan besar kepada pemain, walaupun hanya di DLC ini.
Item baru ini dipanggil Scadutree Fragment dan Revered Spirit Ash. Sebaik sahaja menemui salah satu, anda perlu berehat di Site of Grace untuk mengakses menu “Shadow Realm Blessing”, di mana anda dapat menggunakan item tersebut dan menerima faedahnya.

Kedua-dua item itu akan aktif pada masa yang sama, jadi tidak perlu memilih yang mana satu untuk mendapat bonus. Untuk mengakses level blessing yang lebih tinggi, ia memerlukan lebih banyak item; bermula satu item untuk level pertama hingga ke tiga item untuk level lebih tinggi. Jika anda kembali ke Lands Between, blessing itu tidak akan aktif lagi.
Scadutree Fragment

Scadutree Fragment digunakan untuk meningkatkan level Scadutree Blessing. Blessing ini meningkatkan kedua-dua “nilai pengurangan damage” dan “Attack Power”. Ini menyebabkan anda menerima lebih sedikit damage daripada serangan musuh dan melakukan lebih banyak damage dengan serangan sendiri.
Peningkatan diambil daripada % nilai basic stats pemain, jadi tanpa peralatan, anda akan sentiasa menerima bonus tinggi. Meningkatkan level Scadutree Blessing boleh menjadi aset yang berharga jika anda bergelut untuk mengalahkan musuh tertentu.
Revered Spirit Ash

Blessing Revered Spirit Ash adalah sama seperti Scadutree Blessing, di mana ia meningkatkan kedua-dua keupayaan serangan dan pertahanan untuk Spirit Ash lantas menguatkan rakan sekutu kita. Memandangkan anda tidak boleh melihat stats tambahan Spirit Ash, anda hanya boleh melihat kekuatan mereka semasa dalam pertempuran.
Penambahan Baru Kepada Pertempuran

Antara perkara menarik dalam expansion pasti adalah jenis senjata baharu yang ditambahkan. Secara keseluruhan, terdapat lapan jenis senjata – yang kemudian memberi kita akses kepada sekitar 100 senjata baharu untuk dikumpulkan. Jenis senjata baharu terdiri daripada:
- Beast Claw
- Great Katana
- Hand-to-Hand Art
- Light Greatsword
- Perfume Bottle
- Reverse-hand Sword
- Throwing Weapon
- Thrusting Shield

Kebanyakan senjata ini adalah tambahan yang bagus kepada game, terutamanya hand-to-hand yang selalunya tidak popular atau sememangnya satu pilihan yang negatif dalam game soulslike. Terdapat juga light greatsword yang akhirnya menjadi senjata kegemaran saya dalam expansion ini.
Ada juga Perfume Bottle dan Throwing Weapon yang asalnya saya anggap akan memakan FP/mana, tetapi rupanya saya tidak perlu risau kerana ia hanya akan memakan stamina seperti senjata lain.

Secara am, saya rasa kedua-dua adalah pilihan yang bagus untuk orang yang ingin bermain menggunakan senjata jarak jauh ala consumable, untuk memberi sedikit. Dengan build yang betul, ia boleh menyerlah sebagai salah satu jenis senjata paling kuat dalam game terutamanya jika anda membina build yang khusus.
Di samping itu, DLC menampilkan banyak Ash of War, Spirit Ash, dan Spell baharu dan unik – eksklusif untuk expansion ini. Anda boleh mendapatkan item baharu ini dengan meneroka peta, mencari peti tersembunyi, menewaskan musuh, atau daripada bos.

Pada masa yang sama, DLC memperkenalkan beberapa item baru yang direka khusus untuk menentang musuh DLC. Contohnya, Hefty Furnace Pot boleh digunakan untuk melawan Furnace Golem, di mana anda perlu mengumpulkan bahan dan cookbook untuk membuatnya.
Bos Tiada Belas Kasihan

Berkenaan watak, DLC memperkenalkan sejumlah watak baharu, yang masing-masing dibahagikan kepada puak Messmer dan Miquella. Semakin jauh di dalam naratif, kita boleh mempelajari tentang keseluruhan cerita DLC daripada dialog mereka dan sumber maklumat lain.
Untuk mengekalkan misteri, saya tidak akan spoiler apa-apa tentang jalan cerita di sini. Sebaliknya, saya akan menyenaraikan beberapa bos penting yang pemain boleh temui.

- Divine Beast Dancing Lion
- Rellana, Twin Moon Knight
- Ancient Dragon Man
- Golden Hippopotamus
- Messmer the Impaler
- Jori, Elder Inquisitor
- Romina, Saint of the Bud
- Bayle the Dread
- Furnace Golem
Tahap Kesukaran

“Difficulty” atau tahap kesukaran merupakan kes subjektif untuk setiap pemain. Ada yang susah bagi sesetengah pemain tetapi mungkin mudah bagi pemain lain. Tetapi jika saya perlu membandingkannya dengan kempen utama Elden Ring, Shadow of the Erdtree amat mencabar dari awal lagi.
Sebagai contoh, saya terperangkap bersama bos Dancing Lion selama kira-kira 4 – 5 jam, dan terpaksa menggunakan Mimic Tear pada Rellana. Namun, saya berjaya mengalahkan Messmer dengan mudah (yang sepatutnya menjadi pertarungan yang jauh lebih sukar memandangkan dia adalah bos utama Shadow of the Erdtree).

Bukan bos sahaja, anda boleh merasakan betapa susahnya DLC ini serta-merta, kerana raksasa biasa pun boleh mengambil lebih separuh daripada HP kita dengan hanya satu serangan.
Jika meningkatkan level dan mengubah gear tidak cukup, maka tugas pertama anda ialah untuk mengumpul Scadutree Fragment, yang seperti saya jelaskan di atas, adalah untuk meningkatkan damage dan mengurangkan damage musuh.

Biasanya anda boleh mendapatkan bahan ini apabila terjumpa Cross baharu, tetapi anda juga boleh mendapatkannya di banyak tempat lain seperti selepas mengalahkan bos penting.
Apa Yang Sama?

Walau bagaimanapun, semua yang ditawarkan oleh expansion itu bukanlah baharu sepenuhnya. Kadangkala anda masih boleh melawan musuh dan bos yang sama daripada base game. Sebagai contoh, Ancient Dragon Senassax kembali dalam DLC tetapi akan menghalang laluan anda.
Lebih kuat daripada versi base game, ia menjadi pertarungan yang menjengkelkan – dan tidak memberi keseronokan yang sama ketika menghadapi ancaman baharu.

Secara keseluruhan, struktur gameplay tidak banyak berubah dengan Shadow of the Erdtree, jadi perasaan “sama” itu akan berlarutan untuk sepanjang DLC.
Sesetengah orang mungkin mempunyai jangkaan yang lebih tinggi dan melihat expansion ini sekuel sebagai “Elden Ring” memandangkan tiada lagi DLC akan dibuat selepas ini, tetapi hakikatnya, ia hanyalah tambahan kepada base game, bukannya game serba baharu.
Pendapat

Sejujurnya, DLC Elden Ring Shadow of the Erdtree cukup sempurna. Saya telah bermain selama lebih 20 jam, tetapi hanya meneroka separuh sahaja daripada apa yang ditawarkan dalam game ini. Walaupun peta lebih kecil daripada base game, masih banyak yang perlu diterokai.
Tahap kesukaran sememangnya jauh lebih tinggi daripada base game, malah DLC ini mempunyai sistem upgrade sendiri untuk memberi sedikit kelainan. Walaupun fasa awal agak mencabar, sebaik sahaja kita dapat menyesuaikan diri dan memanfaatkan Scadutree Blessing, seluruh pengalaman menjadi lebih menyeronokkan.

Elemen baharu dalam DLC pun sangat banyak, dengan peralatan baharu, talisman baharu, spell baharu, Ash of War baharu, dan juga Spirit Ash baharu. Semua ini bergabung untuk memberikan kandungan baharu kepada pemain veteran bereksperimen.
Bagi bos, setiap satu mempunyai corak gameplay lebih kreatif berbanding bos dalam base game. Tidak kira sama ada daripada corak serangan atau abiliti yang pelbagai kemahiran, musuh jauh lebih bervariasi.

Saya biasanya bukan pemain tegar genre Soulslike, tetapi hakikatnya saya tidak dapat menemui sebarang kelemahan daripada segi gameplay, cabaran, grafik dan lain-lain untuk DLC ini.
Jika kita menilai tahap kesukaran sahaja, saya akan memberikannya skor sempurna 10, terutamanya apabila dibandingkan dengan base game, perbezaan kepada tahap kesukaran memang sangat ketara. Jika saya menilai keseluruhan DLC, saya tetap akan beri skor 10 daripada 10.

Maka, dengan ini, saya menobatkan Elden Ring Shadow of the Erdtree sebagai DLC terbaik pada tahun ini.
Elden Ring kini tersedia untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, PlayStation 4, Xbox One dan PC melalui Steam manakala expansion “Shadow of the Erdtree” akan dikeluarkan pada 21 Jun.
@gamersantaimy
The Review
Elden Ring Shadow of the Erdtree
Sejujurnya, DLC Elden Ring Shadow of the Erdtree cukup sempurna. Saya telah bermain selama lebih 20 jam, tetapi hanya meneroka separuh sahaja daripada apa yang ditawarkan dalam game ini.
PROS
- Peta lebih kecil berbanding base game, tetapi aspek eksplorasi masih besar
- Bos masih susah tetapi lebih kreatif dan variasi dalam corak serangan
- Sistem upgrade DLC menjadikan gameplay lebih menarik
CONS
- Penambahan content yang banyak untuk pemain bereksperimen
Discussion about this post