Selepas 14 tahun menyepi sejak Bleach: Soul Resurrección menemui peminat di PS3, siri shonen ikonik hasil karya Tite Kubo akhirnya kembali ke dunia konsol menerusi BLEACH Rebirth of Souls—sebuah arena fighter yang penuh aksi dan intensiti, dibangunkan oleh Tamsoft.
Berdasarkan salah satu siri manga dan anime paling berpengaruh sepanjang zaman, game ini membawa pemain menyelami dunia Soul Reaper, dan Hollow berskala besar yang menjadi nadi kepada francais ini.
Sebagai judul Bleach pertama yang benar-benar baharu di konsol selepas lebih sedekad, Rebirth of Souls hadir dengan misi besar: menghidupkan kembali semangat pertarungan dan emosi yang menjadi tunjang kisah Soul Society.
Persoalannya—adakah ia berjaya mengangkat kembali nama Bleach ke puncak?
Story Mode Yang Cukup Solid
Berbeza dengan kebanyakan arena fighter—terutama sekali yang diadaptasi daripada anime popular—Tamsoft wajar diberi pujian kerana memberi perhatian luar biasa terhadap Story Mode dalam BLEACH Rebirth of Souls.
Game ini tidak setakat menyentuh permukaan; ia membawa pemain merentasi kisah original, bermula dari detik pertama Ichigo bertemu Rukia dan mula menggalas takdir sebagai Shinigami, sehinggalah ke beberapa arc penting yang akhirnya memuncak dengan pertarungan epik menentang Aizen di Fake Karakura Town.
Hampir keseluruhan jalan cerita utama Bleach diliputi di sini, kecuali dua arc terakhir iaitu Fullbring dan Thousand-Year Blood War yang mungkin dirancang untuk dimasukkan kemudian.

Walaupun saya belum menamatkan keseluruhan Story Mode, pengalaman setakat ini menunjukkan tempoh permainan yang padat dan mudah mencecah lebih 20 jam. Persoalan utamanya tentu berkisar pada soal kualiti—dan jawapan paling jujur barangkali ialah “memadai.”
Ada usaha yang jelas untuk mempersembahkan naratif dengan penuh hormat melalui penggunaan model 3D, disokong oleh lakonan suara, karya seni, dan cutscene sinematik yang diselitkan dari semasa ke semasa.

Namun begitu, ada juga kekurangan yang tidak boleh diabaikan. Beberapa bahagian terasa seperti dipercepatkan atau kekurangan bajet—dengan animasi yang agak hambar dan persembahan visual yang kadang kala tidak mencapai standard. Meskipun begitu, usaha Tamsoft tetap terasa ikhlas.
Mereka cuba sedaya upaya menyampaikan pengalaman cerita yang komprehensif dalam ruang dan sumber yang terhad. Jumlah pertempuran dalam mod ini juga sangat banyak, termasuk watak-watak yang hanya muncul dalam mod cerita, walaupun sayangnya mereka tidak boleh dimainkan di luar mod tersebut. Sayang juga, kerana mereka berpotensi menambah variasi kepada barisan watak utama.

Secara keseluruhan, Story Mode dalam Rebirth of Souls mungkin bukan pilihan terbaik untuk sesiapa yang baru ingin mengenali kisah Bleach buat kali pertama.
Tetapi bagi mereka yang sudah mengikuti anime atau manga, ia tetap satu pengalaman menarik—lebih-lebih lagi dengan banyaknya pertempuran eksklusif yang direka khas untuk mod ini.
Malah, terdapat juga Secret Story yang menawarkan bab tambahan, memberi gambaran baru dari sudut pandang pelbagai watak utama dalam dunia Bleach—sesuatu yang pasti dihargai oleh peminat setia.
Sistem Pertarungan yang Unik Tapi Tidak Sempurna
Walaupun sering dianggap sebagai versi ringan berbanding fighting game tradisional, genre arena fighter sebenarnya menyimpan potensi besar—dan BLEACH Rebirth of Souls membuktikan hal itu dengan cara tersendiri. Game ini berani keluar dari kebiasaan, dan dalam beberapa aspek, ia benar-benar berjaya menonjol.
Seperti yang dijangka, sistem pertarungannya menjadi tarikan utama, didorong oleh beberapa mekanik unik yang jarang dilihat dalam genre ini.

Perkara pertama yang ketara ialah kawalan pergerakan yang lebih menyerupai fighting game klasik. Tiada pergerakan bebas sepenuhnya; pemain perlu menumpukan perhatian kepada gerakan ke hadapan, ke belakang, dan ke sisi—ala Tekken, tetapi dengan kawalan yang lebih halus dan responsif.
Salah satu inovasi paling menonjol pula datang daripada sistem nyawa yang dikenali sebagai Konpaku. Setiap pemain bermula dengan beberapa Konpaku (biasanya sembilan), dan kehilangan satu setiap kali mereka ditewaskan.
Sekilas pandang, ia mungkin kelihatan meleret kerana perlawanan boleh jadi panjang, tetapi hakikatnya banyak bergantung pada kemahiran pemain. Serangan Ultimate misalnya, jika digunakan pada waktu yang tepat, mampu menghapus beberapa Konpaku sekali gus—membuka ruang untuk comeback dramatik dalam pertarungan.

Sistem ini menjadikan keputusan perlawanan sukar dijangka. Malah apabila hampir tewas, anda masih berpeluang untuk membalikkan keadaan. Setiap watak mempunyai gaya bertarung unik, dengan sistem evolusi mereka sendiri.
Ada yang boleh mengaktifkan Bankai, ada yang berubah bentuk, dan beberapa watak—seperti Ichigo—boleh bangkit semula dalam bentuk lebih kuat seperti Vasto Lorde.

Dari segi serangan pula, setiap watak dilengkapi dengan Quick Attack, Flash Attack, serta Signature Move tersendiri. Signature Move ini bukan sekadar hiasan, malah boleh menjadi alat penting untuk memanjangkan kombo atau mencipta ruang taktikal.
Contohnya, Soi Fon boleh melontar pisau yang, jika digunakan dengan tepat, membolehkan kombo mencecah lebih 70 pukulan. Tetapi pisau adalah terhad, jadi anda perlu bermain bijak untuk mengisi semula.
Ulquiorra pula mampu melepaskan tembakan Cero pantas, tetapi dengan risiko kehilangan nyawa sendiri—suatu strategi yang berisiko tinggi tetapi memberi ganjaran besar jika berjaya.

Menguasai Signature Move adalah kunci utama untuk memahami selok-belok game ini, kerana banyak strategi lain yang boleh dikitar semula antara watak.
Di samping itu, terdapat juga bar EX untuk skil khas seperti Kikon dan Reverse, membolehkan anda melakukan Flash Step atau mencipta letupan tenaga untuk memanjangkan serangan—memberikan rasa kepuasan tersendiri dalam eksplorasi kombo.
Dengan watak yang pelbagai dan sistem yang bertingkat, game ini jauh lebih mendalam daripada yang disangka, walaupun banyak elemen lanjutan itu kekal sebagai pilihan untuk pemain yang ingin menggali lebih jauh.

Namun begitu, semua keunikan ini sedikit tercalar oleh kelemahan yang ketara pada mod tutorial. Walaupun game bermula dengan pengenalan asas, terlalu banyak mekanik penting yang langsung tidak disentuh. Tutorial lanjutan pun masih tidak memadai, dengan aspek kritikal seperti sistem Soul Break langsung tidak dijelaskan dengan baik.
Soul Break membolehkan anda mengaktifkan serangan Ultimate yang lebih kuat dengan menunggu saat yang sesuai—tetapi jika diaktifkan terlalu awal, ia mudah dipatahkan dan hanya menggunakan sedikit Konpaku. Tanpa pengetahuan ini, pemain baharu mungkin terlepas peluang taktikal yang besar.

Selain itu, terdapat juga sistem Spirit Drive yang memberikan peningkatan besar kepada watak. Jika anda terlalu pasif atau gagal menguruskan baki Konpaku, lawan boleh menggunakan Spirit Drive untuk membuat comeback yang mengubah keseluruhan rentak perlawanan.
Mekanik ini mencipta pertempuran yang tidak mudah diramal, tetapi pada masa sama, ia juga boleh memberi kesan negatif—menjadikan hasil perlawanan terasa lebih bergantung pada nasib berbanding kemahiran tulen.

Isu keseimbangan watak turut menyumbang kepada masalah ini. Ada watak yang jauh lebih berkuasa berbanding yang lain, dan beberapa daripadanya boleh mencipta infinite combo dengan terlalu mudah. Ini berbeza daripada fighting game tradisional, di mana combo infiniti sukar dilaksanakan dan biasanya dikekang oleh sistem seperti damage scaling.
Dalam Rebirth of Souls, tiada sistem seperti itu yang benar-benar membataskan kombo panjang, menjadikan pertarungan kadang-kadang terasa seperti eksploitasi mekanik dan bukannya pertempuran taktikal.
Gaya yang Menghidupkan Persona BLEACH
Salah satu perkara yang membuatkan Bleach menonjol daripada kebanyakan siri shonen lain adalah gaya visual dan estetikanya yang tersendiri. Sama ada melalui sentuhan seni Tite Kubo yang terkenal dengan latar minimalis bagi menonjolkan emosi dan karakter, atau gaya berpakaian watak yang penuh karisma, Bleach sememangnya mempunyai aura bergaya yang unik.
Menariknya, elemen inilah yang berjaya diterjemahkan dengan begitu baik dalam BLEACH Rebirth of Souls. Harus saya akui, game ini tidak sekadar membawa aksi, tetapi juga penuh gaya yang mencerminkan semangat original siri tersebut.

Gaya ini jelas terpancar dalam pelbagai aspek gameplay, namun salah satu yang paling menonjol — dan juga kegemaran peribadi saya — ialah reka bentuk menu utamanya. Walaupun hanya menampilkan karya seni watak dalam gaya minimalis, susun aturnya sangat bergaya dan menarik.
Keupayaan pembangun untuk mewujudkan suasana yang begitu kuat tanpa perlu bergantung kepada rekaan UI kompleks atau kesan visual keterlaluan merupakan pencapaian yang patut dipuji.

Satu lagi elemen penting yang benar-benar menghidupkan pengalaman ialah runut bunyi game ini. Setiap watak mempunyai lagu tema tersendiri yang akan dimainkan apabila mereka mengaktifkan transformasi — dan hampir semuanya dibina dengan kualiti vokal dan produksi yang tinggi.
Saya secara peribadi sangat menggemari “Instant War Cry” milik Yoruichi dan “Stinger” milik Soi Fon.

Selain itu, game ini juga menawarkan pelbagai lagu hebat lain seperti “Through the Limit” dan “Die For Love”, yang bukan sahaja memperkuat suasana pertarungan tetapi turut memperkayakan keseluruhan pengalaman bermain.
Jika ada satu kekurangan yang boleh disebut, mungkin ia terletak pada durasi lagu-lagu tersebut yang agak pendek. Kebanyakan hanya memiliki satu verse utama, menjadikan pemain terasa seperti belum puas dan ingin mendengarnya lebih lama.
Cabaran Online Mode dan Masa Depan Komuniti Pemain
Segala perbincangan sebelum ini mungkin masih boleh diterima kerana ia berkait dengan aspek yang sedang diperbaiki secara berterusan oleh pembangun. Namun begitu, satu aspek yang saya anggap lebih kritikal, terutamanya dari sudut jangka panjang, ialah keadaan mod online BLEACH Rebirth of Souls — yang pada ketika ini masih agak mengecewakan.

Sejak ia dilancarkan, satu-satunya mod online yang tersedia hanyalah Free Match, yang memasangkan anda secara rawak dengan pemain lain, dan Room Match, yang membolehkan anda menyertai bilik yang dicipta oleh pemain — walaupun sering kali bilik-bilik ini sudah penuh atau dilindungi kata laluan.
Ini dengan sendirinya mengehadkan akses kepada perlawanan yang konsisten dan menyeronokkan.

Bagi mereka yang mengharapkan kewujudan Ranked Match, berita kurang baiknya adalah ia masih belum diperkenalkan. Namun, pihak pembangun telah menyatakan bahawa mereka menyedari permintaan tinggi terhadap mod ini dan merancang untuk menambahkannya pada masa akan datang — selepas mereka menyelesaikan isu-isu utama seperti keseimbangan watak.
Malangnya, ketiadaan Ranked pada waktu ini adalah satu kehilangan besar, kerana mod inilah yang biasanya menjadi tulang belakang kepada komuniti fighting game. Walaupun ia ditambah kelak, ada kemungkinan besar ia tidak akan memberikan pengalaman kompetitif yang memuaskan jika teras gameplay masih tidak ditambah baik terlebih dahulu.

Masalah sebenar kembali kepada isu-isu teknikal yang telah disebut sebelum ini — seperti exploit yang mudah disalah guna, dan sesetengah watak yang mampu melaksanakan kombo tanpa henti (infinite combo) tanpa banyak usaha. Jika ini tidak ditangani dengan betul, mod kompetitif seperti Ranked hanya akan mempercepatkan kekecewaan pemain, bukannya menjadi pemangkin daya saing.
Ditambah pula dengan bilangan pemain aktif yang semakin merosot, risiko untuk kehilangan komuniti sepenuhnya bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Satu lagi isu ialah ketiadaan sokongan crossplay, yang bermakna anda hanya akan dipasangkan dengan pemain yang menggunakan platform yang sama. Sebagai gambaran, versi PC game ini hanya mencatat sekitar 800 hingga 1,000 pemain serentak sehari mengikut data Steamcharts.
Ini bermaksud, jika anda bermain pada waktu luar puncak, peluang untuk mencari perlawanan yang stabil adalah sangat tipis. Tidak cukup dengan itu, kadar pemain yang keluar dari perlawanan secara tiba-tiba juga agak membimbangkan — walaupun dalam Free Match, menunjukkan kesabaran pemain yang semakin menipis.

Namun, tidak semua aspek mod online perlu dikritik. Game ini turut memperkenalkan Urahara Shop, yang menawarkan pelbagai kosmetik dan item customization yang boleh digunakan dalam mod multiplayer. Item-item ini boleh dibeli dengan menggunakan Soul Crystal, mata wang dalam game yang diperoleh melalui aktiviti bermain.
Ini sedikit sebanyak memberi motivasi tambahan kepada pemain yang mungkin kurang berminat dengan Story Mode, tetapi tetap ingin memperoleh ganjaran visual atau kosmetik dalam game.
Pendapat
Dalam usahanya untuk mengubah persepsi negatif terhadap genre arena fighter, apa yang dilakukan oleh Tamsoft menerusi BLEACH Rebirth of Souls boleh dikatakan cukup mengagumkan.
Sekurang-kurangnya, jika dibandingkan dengan kebanyakan game lain dalam kategori sama, jelas kelihatan bahawa mereka benar-benar berusaha menghasilkan sesuatu yang berkualiti dengan sumber yang terhad.
Kandungan yang ditawarkan juga sangat melimpah — bermula dari Story Mode yang menyeluruh, senarai awal lebih 30 watak, hinggalah ke Secret Story, iaitu senario tambahan yang memberikan dimensi baharu kepada dunia Bleach, termasuk adegan-adegan original yang tidak pernah muncul dalam manga atau anime.

Dari segi gameplay, game ini memperkenalkan pelbagai mekanik unik yang membezakan dirinya daripada pesaing lain. Namun begitu, pendekatan ini tidak semestinya akan sesuai dengan semua jenis pemain, terutama apabila tempoh perlawanan cenderung untuk menjadi lebih panjang dan sukar dijangka.
Walaupun elemen ini boleh memberikan variasi dan ketegangan, ia juga berisiko menjauhkan pemain yang lebih gemar sistem perlawanan yang pantas dan terus ke titik.

Namun tidak dinafikan, game ini masih dihantui oleh beberapa masalah utama — antaranya isu keseimbangan watak, pepijat yang mengganggu, sistem yang mudah dieksploitasi, serta ketiadaan Ranked Mode dan sokongan crossplay. Semua ini secara langsung telah memberi kesan besar terhadap jumlah pemain aktif yang semakin merosot.

Oleh itu, BLEACH Rebirth of Souls lebih sesuai disyorkan kepada pemain kasual yang inginkan game penuh kandungan dan mahu menikmati dunia Bleach dengan cara baharu.
Tetapi bagi mereka yang mencari pengalaman kompetitif atau mahukan fighting game yang benar-benar halus dari segi reka bentuk dan keseimbangan, mungkin game ini belum lagi sampai ke tahap tersebut — sekurang-kurangnya buat masa sekarang.
BLEACH Rebirth of Souls tersedia untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, PlayStation 4, dan PC melalui Steam. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi di SINI.
@gamersantaimy
The Review
BLEACH Rebirth of Souls
Dalam usaha mengubah persepsi negatif terhadap genre arena fighter, Tamsoft berjaya menonjol menerusi BLEACH Rebirth of Souls. Berbanding banyak game sejenis, jelas mereka berusaha menghasilkan pengalaman berkualiti meskipun dengan sumber terhad. Kandungan yang ditawarkan juga melimpah—dari Story Mode yang menyeluruh, lebih 30 watak awal, hinggalah ke Secret Story yang menambah dimensi baharu dengan adegan original yang tiada dalam manga atau anime.
PROS
- Penuh dengan kandungan terutamanya untuk Story Mode
- Senarai watak yang besar dengan lebih daripada 30 watak
- Sistem combat yang sangat berbeza berbanding arena fighter lain
- Rupa gaya yang menakjubkan sama ada dari segi arah seni dan pilihan muzik
CONS
- Masih dipenuhi dengan masalah penting terutamanya untuk keseimbangan watak dan gameplay
- Online Mode yang mengecewakan dengan ciri yang sangat sedikit, tiada Ranked, dan sokongan crossplay
- Persembahan Story Mode banyak yang perlu diperbaiki
Discussion about this post