Biasa kita selalu dengar game simulation yang berkaitan dengan memandu kenderaan, menjaga gaya hidup dan membersihkan rumah tetapi untuk memburu haiwan liar adalah sangat jarang sekali. Kali ini, kami berpeluang untuk bermain Way of the Hunter untuk memberikan review jujur kami kepada anda. Terima kasih kepada THQ Nordic kerana berikan peluang ini.
Sebelum meneruskan dengan review penuh, Way of the Hunter adalah game memburu haiwan dengan grafik berkualiti tinggi dan realistik. Ia akan dilancarkan pada 17 Ogos 2022 di PlayStation 5, Xbox Series X|S dan PC melalui Steam dan Epic Games Store. Tanpa melengahkan masa lagi, jom baca review jujur daripada kami.
Jalan cerita & Misi

Game akan bermula dengan anda bermain sebagai River Knox sedang menuju ke rumah persinggahan yang dikenali sebagai Bear Den Ranch di tengah hutan Nez Perce Valley. Selepas sampai di rumah persinggahan, anda dikehendaki untuk mencari kunci rumah untuk masuk ke dalam dan memakai senjata peninggalan atuknya iaitu Wallace Elliot Willow.
Sebelum pergi lebih mendalam tentang jalan cerita game ini, saya ingin memberitahu anda bahawa misi dalam game ini akan bergerak seiring dengan jalan cerita. Sekiranya misi tidak diselesaikan, jalan cerita juga tidak berjalan.

Dalam game ini, terdapat satu mekanik di mana ia akan membuka lebih banyak imbas kembali tentang River Knox semasa dia kecil selepas menyelesaikan misi. Mari teruskan dengan jalan cerita.
Setelah sekian lama tidak singgah ke sana kira-kira 10 tahun, anda perlu berjumpa dengan kawan lamanya di atas gunung. Jadi, anda perlu pergi memanjat gunung untuk berjumpa kawan lamanya yang bernama Echo.
Selepas selesai berjumpa dengan kawan lamanya, anda dikehendaki untuk pergi ke “hunting range” untuk melatih skill menembak. Pada awalnya, saya main tembak-tembak sahaja dan secara tidak langsung terdapat satu soalan yang mengatakan “kenapa peluru saya tidak terkena pada sasaran?”

Rupa-rupanya saya perlu menggunakan mekanik yang dipanggil “zeroing”. Selepas mengubah mekanik tersebut kepada jarak yang saya sasarkan, semua tembakan saya terkena pada sasaran. Jadi, mekanik ini adalah sama penting dengan arah dan kelajuan angin.
Selepas puas berlatih, masanya sudah tiba untuk anda pergi memburu haiwan pertama iaitu “badger” di kawasan belakang rumah persinggahan. Inilah masanya untuk anda menggunakan Hunter Sense untuk menganalisis, menunggu, berjalan, menembak dan mengambil haiwan.
Selain daripada misi yang berjalan sekali dengan jalan cerita, anda juga akan menerima e-mel sebagai misi. Contoh yang saya boleh berikan adalah kawan kepada datuknya memerlukan bekalan daging burung “pheasant”.

Seperti yang saya katakan di atas berkenaan imbas kembali. Ia akan dibuka apabila anda menyelesaikan misi tertentu dan ianya akan berbentuk komik. Daripada komik tersebut, anda akan melihat imbas kembali tentang bagaimana River mula gemar memburu, bertemu dengan kawan baru dan tentang ibunya.
Kisah bermula dengan River pergi ke rumah persinggahan di tengah hutan untuk berjumpa dan meluangkan masa bersama atuk dan neneknya iaitu Wallace Elliot Willow dan Rose Willow semasa cuti musim panas.

Ayah kepada River iaitu Richard Knox, tidak begitu rapat kepada Wallace, dan memberikan amaran kepadanya untuk tidak mendekati anaknya dengan senjata mahupun pergi memburu. Jadi, dia telah menghabiskan masa cutinya dengan kawan barunya iaitu April dan Noah. Mereka mengelilingi hutan tersebut dan berjumpa dengan rakan baharu iaitu Echo.

Walau bagaimanapun, dia juga menghabiskan masanya dengan neneknya sehingga menjumpai album yang menunjukkan gambar ibunya. Daripada album tersebut, kita boleh lihat yang ibu River sangat sukakan aktiviti memburu. Tetapi disebabkan ada perkara yang berlaku padanya, ini berkemungkinan menjadi punca kepada ayah River melarang River mendekati senjata atau pergi memburu.
Malang sekali, River tidak dapat mengetahui lebih lanjut mengenai ibunya melalui neneknya dan terpaksa mengetahui kebenaran dengan atuk dan ayahnya.
Gameplay & Feature

Apa yang saya boleh katakan pada gameplay-nya, ianya sangat mudah kerana apabila anda melihat sasaran, anda hanya perlu menembaknya sahaja. Tetapi apabila ia ditambah dengan konsep realistik seperti arah dan kelajuan, “zeroing” dan banyak lagi, ia menjadi sangat susah. Jom, saya ceritakan satu per satu ciri-ciri penting yang akan membantu anda sepanjang pengembaraan dan memburu.
Computer

Mari kita bermula dengan Computer terlebih dahulu. Dengan menggunakan Computer, anda boleh mencari segala perkara yang penting di sini seperti “e-mail, shop, storage, sleep” dan “car.” Di dalam “shop”, anda boleh membeli “Arm, Gear, Attachment” dan “Boundary.”
Senjata (Arm)

Pada awalnya, anda akan diberikan senjata yang digunakan oleh atuknya Wallace iaitu “Grandpa’s Old Rifle”. Ia telah dilengkapi dengan “scope” yang cukup untuk seorang beginner melihat haiwan sasaran. Selepas menembak dan “claim” Badger, anda akan diberikan misi untuk membeli senjata. Di dalam store itu nanti, anda akan melihat bukan sahaja “sniper rifle” malah “shotgun pun ada.
Namun, terdapat satu mekanik yang sangat penting seperti arah dan kelajuan angin iaitu “zeroing”. Seperti yang saya katakan di atas ianya sangat penting kerana mereka ingin membuatkan game ini terasa lebih dekat dengan pengalaman “real life”.

Tidak seperti game FPS yang lain, Way of the Hunter tidak didatangkan dengan mekanik “auto reload”. Jadi, anda perlu menekan butang “R” untuk “reload” senjata anda. Jika kita lihat daripada awal, mereka menyediakan stor tetapi mereka tidak menyediakan stor untuk pemain membeli peluru. Hal ini kerana, mereka telah menetapkan had peluru untuk satu hari.
Contoh yang saya boleh berikan adalah senjata yang bernama Remington 783. Pada setiap hari, anda akan diberikan sebanyak 25 peluru sahaja. Jika anda telah kehabisan peluru, anda perlu balik ke rumah dan terus tidur untuk “reset” reset kembali peluru tersebut.

Perkara penting yang saya selalu lupa semasa memburu adalah membawa senjata lebih. Kalau korang nak tahu, pemain dibenarkan untuk membawa sebanyak 2 senjata sahaja. Jika satu senjata kehabisan peluru, anda boleh menggunakan senjata satu lagi yang mempunyai peluru. Jadi, siap sedialah untuk memburu.
Hunting Sense

Sejak dari awal game, mereka telah memperkenalkan “hunting sense” kerana tanpanya anda tidak akan dapat mengenal pasti tapak kaki, bunyi, kawasan makan dan minum haiwan serta banyak lagi. Korang pun boleh mengenal pasti najis haiwan tau. Jadi, memang berguna betul “hunting sense” ni.
Selepas mengenal pasti tanda-tanda haiwan tadi, anda akan perasan di mana mereka akan meletakkan gambar haiwan pada peta. Sekali gus menambah pelbagai info berkenaan haiwan yang dijumpai di “encyclopedia.”

Maklumat yang akan diberikan adalah secara keseluruhan. Daripada info pengenalan sehingga kitaran hidupan haiwan ada. Jadi, kalau korang nak memburu dengan lebih senang, anda pergi lihat kitaran hidupan mereka terdahulu, lalu tidur sehingga waktu mereka makan atau minum.
Dalam “encyclopedia” bukan setakat haiwan sahaja mereka berikan, maklumat tentang mekanik, senjata, peluru, komik dan banyak lagi. Memang padat dengan info penting untuk Way of the Hunter.

Kembali kepada “hunting sense”. Selepas menembak haiwan, haiwan akan meninggalkan jejaknya dengan menggunakan darah. Jadi, anda boleh menjejakinya dengan menggunakan “hunter sense” untuk melihat darah dengan lebih mudah.
Tetapi sebelum itu, anda mesti tembak haiwan pada kawasan “vital point” kerana mereka akan mati dengan lebih senang tanpa sebarang penyeksaan yang lama. Jika peluru anda tidak terkena pada vital point, haiwan yang anda tembak tadi akan susah mati sekali gus menyusahkan misi pencarian haiwan dan membazir masa untuk mencarinya.
Disebabkan perkara ini berlaku pada semasa bermain, saya telah membazir hampir satu jam untuk mencari haiwan tadi dan tidak membuahkan hasil.

Walau bagaimanapun, anda masih mempunyai peluang untuk menjumpai bangkai haiwan tersebut jika anda menembak tepat ke “vital point”. Jika anda menjumpainya, anda boleh “claim haiwan tersebut dan mereka akan memberikan “bullet camera” untuk melihat peluru anda terkena pada bahagian mana.
Bukan itu sahaja, mereka juga memberikan statistik yang sangat terperinci di bahagian kanan skrin. Selepas anda puas melihat “bullet camera” dan statistik, anda boleh menjualnya atau “texidermy”.
Apa yang saya perasan tentang “hunting sense”, warna yang didatangkan adalah berwarna kuning. Dengan warna persekitaran yang menghijau dan kuning, saya kadang-kadang langsung tidak nampak di mana “hunter sense” semasa menjejaki darah haiwan.
Kereta

Kereta adalah sesuatu perkara yang penting dalam Way of the Hunter. Dengan peta buruan yang sangat besar, sudah pasti anda akan memerlukan kenderaan untuk meneroka seluruh tempat. Jika anda ingin berjalan kaki, ia akan mengambil sangat lama. Hal ini kerana, saya telah mencuba untuk berlari sepanjang 200m dan ia mengambil masa selama 2 minit.
Memandangkan anda sedang memburu, saya sarankan anda untuk berhenti dan mula berjalan kaki secara perlahan apabila menghampiri kawasan yang anda ingin pergi. Jika tidak haiwan akan terkejut dan sekali gus berlari dalam ketakutan.

Tidak lupa juga kereta yang anda gunakan kadang-kala akan tersangkut di beberapa tempat. Ianya bukan bug tetapi kemalangan berlaku. Terdapat dua cara untuk anda mendapatkan kembali kereta. Yang pertama adalah dengan menggunakan “computer” di lounge dan pergi ke tab “car”. Cara yang kedua adalah pergi ke tempat letak kereta yang berdekatan dan gunakan papan tanda untuk mendapatkan kereta kembali.
Dengan menggunakan dua cara ini, kereta yang anda pilih akan “respawn” di tempat kereta terdekat dengan anda.
Tidur

Tidur adalah sangat penting untuk anda keluar memburu dan tidak membuang masa. Dengan menggunakan mekanik seperti ini, anda boleh menghabiskan misi dengan lebih cepat.
Grafik

Bercakap tentang grafik, saya bermain dengan tetapan grafik tertinggi iaitu Ultra dan juga High. Baru sahaja mula bermain, grafik yang ditampilkan dalam Way of the Hunter sangat terang dan menakjubkan. Grafik persekitaran mereka nampak realistik dan sangat cantik. Daripada setiap helaian daun pada pokok, batu di sungai, tanah, memang semua nampak sangat cantik dan realistik yang terperinci lagi.
Jika nak bercakap tentang haiwan, memang cantik model haiwannya. Siap bulu-bulu pada badan haiwan pun boleh nampak setiap helaian. Anda boleh melihat dengan lebih terperinci semasa “claim” bangkai haiwan yang anda tembak. Ini bukan untuk haiwan yang besar sahaja, daripada burung pheasant sehingga rusa, memang terperinci habis.
Kalau korang buat tetapan grafik pun, haiwan dan persekitaran masih nampak sangat terperinci. Jadi, anda tidak perlu risau tentang grafik pada haiwan dan juga persekitaran.
Audio

Bergerak kepada audio, mereka telah menghasilkan audio yang sangat realistik daripada bunyi tapak kaki, persekitaran sehingga ke bunyi setiap haiwan. Cuma terdapat satu masalah yang saya hadapi di mana semak samun yang kelihatan tidak menghasilkan bunyi semasa berjalan menerusinya.
Tetapi pengalaman bermain Way of the Hunter langsung tidak terganggu pada perkara tersebut. Sudah alang-alang semak samun tidak menghasilkan bunyi, saya rasa ia sangat sesuai untuk menjadikan tempat bersembunyi semasa memburu.
Kesimpulan

Walaupun saya banyak menghabiskan masa untuk mencari rusa yang ghaib, saya tetap berseronok semasa bermain Way of the Hunter. Saya tidak nafikan gameplay sebagai seorang pemburu adalah sangat mencabar. Lagi-lagi nak kena kawal peluru dengan “zeroing” dan arah serta kelajuan angin, memang sangat susah sama seperti di dunia sebenar.
Dengan gabungan grafik dan audio yang realistik, saya pasti anda akan mula jatuh cinta pada Way of the Hunter. Bukan setakat itu sahaja, jalan penceritaan juga sangat menarik dengan dia sedang mencari kebenaran tentang ibunya sejak kecil lagi.

Secara keseluruhan, saya memang sarankan untuk dapatkan Way of the Hunter kerana game simulation seperti ini dapat memberikan anda beberapa maklumat penting tentang haiwan. Dengan secara tidak langsung, kita boleh menambah ilmu berkenaan haiwan yang berada di dunia sebenar. Jika sebelum ini hanya kenal rusa, lepas bermain game ini, anda akan mengenal pelbagai bentuk rusa yang ada.
Way of the Hunter dibangunkan oleh Nine Rocks Games dan diterbitkan oleh THQ Nordic telah dijadualkan akan keluar pada 17 Ogos 2022 di PlayStation 5, Xbox Series X|S dan PC melalui Steam dan Epic Games Store. Untuk dapatkan liputan review lain berkenaan game, teknologi dan banyak lagi, sila klik pautan ini.

@gamersantaimy
The Review
Way of the Hunter
PROS
- Grafik persekitaran dan haiwan sangat realistik
- Gameplay menembak yang sangat realistik
CONS
- Terlalu banyak masa untuk diluangkan
- Warna hunter sense yang serasi dengan persekitaran
Discussion about this post