The Batman bukan seperti filem superhero biasa dan walaupun pelbagai jenis watak Batman telah wujud sejak era 40-an, pengarah Matt Reeves berjaya menunjukkan bahawa ada banyak cara lain untuk menggambarkan Batman di layar perak. Kini ditayangkan di Malaysia, filem The Batman lakonan Robert Pattinson telah meraih banyak ulasan positif dan memandangkan movie ini terlalu ‘hype’, inilah review peribadi saya bagi filem The Batman.
Tiada Bruce Wayne

Mana-mana filem Batman pasti akan mengambil banyak inspirasi daripada filem detektif dan komik berelemen ‘noir’ tetapi yang membahagikan filem ini dengan yang lain adalah cara mereka menguruskan watak Batman dan alter egonya Bruce Wayne. Dalam filem ini, mereka sepenuhnya tertumpu kepada Batman dan bagaimana dia beroperasi.
Daripada memberkas penjenayah hingga berurusan dengan Pegawai Polis Gotham City -Jim Gordon (Jeffrey Wright), memang jarang lah kita melihat Bruce Wayne. Selain itu, banyak babak aksi dan adegan-adegan lain menunjukkan sisi detektif Batman jarang ditunjukkan di dalam filem seperti cara dia mengumpul maklumat, bagaimana dia mendapatkan petunjuk dan lain-lain. Selalunya “perfect”, saya pun teringin nak tahu rupa Batman yang runsing kepala.
Kisahnya bermula begini

Seperti mana-mana cerita detektif, The Batman bermula dengan kes pembunuhan berprofil tinggi. Batman dibenarkan menyiasat di tempat kejadian tersebut kerana sejenis nota telah ditinggalkan khas untuknya, yang mengandungi teka-teki oleh The Riddler (Paul Dano). Mengikut klu ini, Batman tanpa sengaja terperangkap di dalam dunia yang penuh dengan rasuah, pembohongan dan penipuan.
Dalam filem ini, Batman bermula sebagai watak yang tidak berperasaan, tetapi mula mempersoalkan matlamatnya selepas dua tahun membanteras jenayah. Melalui skrip, Batman menggambarkan Gotham sebagai bandar yang “rosak” di mana orang jahat hanya bertindak balas kepada ketakutan. Bagaimanapun, kehadirannya tidak menghalang jenayah ataupun mengurangkan jumlah jenayah. Oleh itu, Batman mula mempersoalkan diri apabila The Riddler “menghadiahkan” misteri besar kepadanya.
Robert Pattinson sebagai Batman yang lebih muda

Apabila kita akhirnya melihat Bruce Wayne, watak ini jarang berkata dan majoriti skripnya adalah semasa berinteraksi dengan Alfred (Andy Serkis), jadi semuanya tertumpu kepada Batman. Membawa emosi ke Batman pun bukanlah tugas yang mudah tetapi saya agak kagum dengan cara Pattinson membawa watak itu. Walaupun hanya melalui gerakan mata (kerana mukanya disorok oleh topeng), kita boleh melihat emosi yang sedang mengalir andai kata sedang marah atau takut.
Selain Robert Pattinson, The Batman dipenuhi dengan pelakon hebat-hebat belaka lain yang memberikan 100% tidak kira jika peranan mereka besar atau kecil. Jim Gordon lakonon Jeffrey Wright, bagi saya, adalah sama penting seperti Batman untuk menyelesaikan jenayah yang berleluasa dan seolah-olah “sidekick”.

Zoe Kravitz menghidupkan watak Selina Kyle aka Catwoman dan berjaya menyampaikan personaliti klasik watak yang suka menggoda sambil menunjukkan dia bukanlah orang yang patut dimain-mainkan. Daripada segi chemistry, memang tidak boleh dinafikan bahawa Kravits memang serasi dengan Pattinson.
Itu untuk orang baik. Bagaimana dengan watak jahat? Penguin (Colin Farrell) merupakan ketua organisasi gelap, yang agak masuk akal untuk memastikan suasana filem terasa lebih realistik, tetapi pada masa yang sama, mereka memberi rujukan-rujukan kecil yang mengaitkan asal-usul dan latar belakang watak original. Sebagai antagonis utama, The Riddler memang hebat dan pamerkan personaliti psycho yang kadangkala agak menakutkan. Secara peribadi, saya rasa dia berada di tahap yang hampir sama seperti Heath Ledger punya Joker.
Batman masih belajar

Aksi dalam filem ini sedikit berbeza di mana mereka tidak memakai babak pertarungan jenis berkoreografi cantik dan sebaliknya memaparkan pertarungan ala-ala “street fight” untuk menunjukkan betapa brutalnya Batman. Untuk mengekalkan realisme, memandangkan superhero kita tiada kuasa dan masih belajar, Batman pun sering kena belasah sama banyak dengan dia membantai musuh.
Bagi mereka yang ingin melihat Batman yang bergaya, yang rilek -ini bukan Batman yang korang nak. Mereka tidak akan menunjukkan Batman sebagai superhero yang profesional, dan ini memberi kita pandangan yang lebih mendalam kepada watak Batman yang kita kenal.
Pendapat

Walaupun jalan cerita dan persembahan pelakon adalah tumpuan utama dalam The Batman, aksinya memang menarik dan kreatif. Kita tahu Batman tiada kuasa istimewa, dia hanya individu yang kaya, bijak, dan hebat berlawan, tetapi Matt Reeves menyerlahkan lagi sisi Batman yang lemah dengan menunjukkan bahawa dia punya hanya manusia seperti kita, cuma dengan tanggungjawab yang besar.
Ini bukanlah Batman terbaik atau paling handal dalam dunia, tetapi ini adalah Batman yang paling “relatable” dari segi kemanusiaan dan itu saya suka.
Maka, tamatlah review saya bagi filem The Batman yang kini ditayangkan di pawagam Malaysia. Untuk baca segala liputan kami tentang Batman, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post