Star Ocean: The Divine Force adalah satu game terbaru dan merupakan ansuran ke-6 dalam francais Star Ocean. Game ini telah pun dilancarkan pada 27 Oktober 2022 di PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series X|S dan PC melalui Steam. Dengan pelancaran tersebut, kami berpeluang untuk mencuba bermain game JRPG ini.
Jika anda mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Star Ocean: The Divine Force, jom ikuti kami dalam review game ini.
Jalan cerita

Game ini akan menampilkan dua protagonis utama di mana anda akan diberikan pilihan untuk memulakan perjalanan sama ada sebagai Raymond Lawrence atau Laeticia Aucerius. Raymond merupakan seorang kapten kapal dagang Ydas yang berkhidmat di bawah syarikat keluarnya iaitu Lawrence Logistic.
Pada suatu hari, kapal yang dikemudinya itu telah diserang oleh Federation dan dia terpisah daripada anak kapal yang lain. Lalu dia tiba di sebuah planet yang sangat jauh dan planet itu digelar Aster IV. Namun, planet tersebut tidak pernah dijajah oleh Federation lagi. Jadi, planet ini kurang dibangunkan dan penduduknya langsung tidak mengetahui tentang kewujudan dunia lain.
Nak dijadikan cerita, watak yang bernama Laeticia sebenarnya tinggal dan berkhidmat sebagai puteri di sana. Hal ini kerana planet tersebut merupakan rumah kepada Kingdom of Aucerius. Dia yang selalu ditemani oleh satrianya iaitu Albaird Bergholm telah memulakan perjalanannya untuk mengelak daripada berlakunya konflik bersama negara jiran.

Selepas mereka berdua berjumpa, di sinilah Raymond dan Laeticia memulakan perjalanan yang panjang. Mereka berdua perlu bersatu hati untuk menyelamatkan kosmos daripada ancaman yang lebih besar.
Pada pendapat saya, watak yang ditampilkan sangat baik dengan reka bentuknya yang unik dan setiap daripada mereka nampak bergaya. Malangnya, watak-watak lain nampak tidak begitu cantik di mata saya di mana ia boleh dikatakan yang ia seperti tidak siap. Walau bagaimanapun, ia sangat biasa dipaparkan pada game JRPG yang lain. Selepas bermain game ini, saya rasa mahukan watak-watak lain hidup dan lengkap.
Selain itu, ada juga watak-watak NPC yang berdiam kaku dan pemain langsung tidak boleh berinteraksi dengannya. Tetapi ada juga NPC yang lebih penting di mana anda boleh berinteraksi dengannya dan mendapatkan “side quest”, akses untuk membeli item dan ada juga yang mencabar anda untuk bermain card game yang bernama Es’owa.
Pertempuran

Star Ocean: The Divine Force merupakan sebuah game Action RPG di mana anda perlu mendekati musuh sebelum masuk ke fasa pertempuran. Ianya sama seperti JRPG cuma kawasan pertempuran adalah masih sama seperti mendekati musuh dan bukannya pergi ke kawasan pertempuran lain yang kecil.
Pada pendapat saya, pertempuran yang ditampilkan agak mudah dengan setiap watak yang dimainkan mempunyai ability yang tersendiri di mana setiap serangan akan menggunakan AP. Namun, AP yang digunakan akan naik dengan sangat cepat jika anda berhenti membuat sebarang serangan buat seketika.
Walau bagaimanapun, pertempuran game ini sememangnya bergantung AP dan tiada satu serangan yang tidak menggunakan AP. Jadi, anda sebagai pemain perlu bijak mengurus AP untuk membuat serangan yang baik.

Dengan melalukan banyak progress di dalam game, sedikit sebanyak anda akan membuka lebih banyak skill tetapi malangnya tiada satu daripadanya tidak menggunakan AP dan secara tidak langsung memberikan tekanan yang tinggi kepada pemain untuk menikmati game ini.
Jika anda dapat adaptasi jenis pertempuran seperti ini, langkah seterusnya adalah serangan kombo di mana pemain dapat menetapkan beberapa skill pada button yang berbeza termasuk susunan skill daripada setiap menu watak.
Dengan adanya ciri-ciri seperti ini, saya rasa ianya sangat fleksibel dan memberi banyak ruang untuk bereksperimen. Contohnya watak yang bernama Nina, dia sebenarnya watak support dan tidak boleh mengeluarkan sebarang damage. Jad, apabila anda bermainnya, sasaran utama dipindahkan kepada rakan sepasukan lain kerana dia hanya tertumpu kepada memberi sokongan dan mengekalkan jarak yang selamat dari musuh.

Apa yang membuatkan lebih berbeza daripada siri Star Ocean yang lama adalah sistem D.U.M.A di mana ia berbentuk sebiji bola terbang dan boleh membuat serangan kombo bersama pemain. Namun, serangan yang dilakukan oleh sistem D.U.M.A menggunakan bar yang berbeza iaitu Vanguard Assault (VA). Untuk mengisinya pula sangat mudah kerana semasa membuat serangan juga dapat mengisi sehingga penuh dan boleh digunakannya untuk “Block” serangan musuh.
Dengan adanya sistem D.U.M.A, anda boleh menggunakannya untuk melakukan serangan, dodge dengan sangat pantas atau mungkin terbang. Bukan setakat itu sahaja, anda juga boleh membuatkan musuh buta dan secara tidak langsung dapat memberikan damage yang tinggi padanya. Tetapi terdapat beberapa musuh yang tidak terkesan dengan serangan buta ini kerana mereka tidak mempunyai mata. Senang cerita, anda gunakan sahaja serangan VA Rush untuk melemahkan musuh.
Pengubahsuaian

Untuk pengubahsuaian, saya rasa ianya agak asas kerana setiap watak mempunyai Skill Tree yang berbeza dengan menggunakan SP untuk meningkatkan skill atau membuka skill baharu. Namun, setiap peningkatan skill dilakukan, mereka sebenarnya meletakkan impak yang besar kepada watak tersebut dan secara tidak langsung menjadi lebih kuat daripada sebelum ini.
Selain itu, anda juga boleh mengubahsuai equipment setiap watak, meningkatkan pertempuran, active skill dan juga passive skill di mana ia boleh memberikan lebih banyak istimewa pada setiap watak. D.U.M.A juga boleh dipertingkatkan dan mempelajari skill baharu. Namun, untuk mempertingkatkannya, anda perlu mengumpul satu permata yang khas untuk digunakan dan gem tersebut akan bertukar menjadi PTS secara automatik.

Permata tersebut amatlah mudah untuk dijumpai kerana ia bersepah di merata tempat. Tetapi untuk meningkatkan level skill itu tadi, ia memerlukan sekurang-kurangnya 50 PTS. Jadi, anda boleh mengumpul permata biasa sebanyak 50 atau 5 permata istimewa yang boleh memberikan 15 PTS.
Item Creation juga disediakan untuk anda melakukan banyak perkara seperti mencipta “consumable item, accessory, weapon, armor” dan “alchemy” atau “synthesize weapon.” Kadang-kala, bonus SP yang diberi amatlah rawak. Ada yang sikit, ada yang banyak. Macam saya, saya lebih suka membuat aksesori kerana dapat memberikan boost yang tetap.
Semakin tinggi level anda, semakin banyak item yang anda boleh buat menggunakan Item Creation ini. Pada pendapat saya, sistem pengubahsuaian yang disediakan dalam game ini sangat mudah dipelajari dan sudah semestinya amat senang digunakan.
Meneroka

Dengan adanya sistem D.U.M.A, anda boleh terbang ke mana sahaja dengan mudah dan panas. Lagi-lagi dengan tiada cooldown, saya terus gunakannya tanpa henti. Merentasi keseluruhan peta amatlah seronok dengan menggunakan D.U.M.A ini sehingga tidak ingin berjalan kaki atau berlari sahaja walaupun di dalam bandar.
Sedang berjalan di kawasan yang luas, anda sebenarnya terdedah dengan pelbagai rintangan lain seperti berjumpa bos yang kuat secara rawak atau mungkin hanya membuka peti harta karun. Tidak banyak yang anda akan berjumpa selain musuh kecil yang memberikan XP sahaja.
Apabila berada di bandar-bandar utama juga terasa seperti kosong kerana perbualan diantara pemain bersama NPC sangat sedikit dan tidak mempunyai isi kandungan yang penting. Kadang-kala, ada juga NPC yang menarik dan kebanyakan daripada mereka suka mencabar pemain untuk Es’owa. Misi sampingan juga boleh dikatakan membosankan dan terlalu generik.

Bercakap tentang misi sampingan, terdapat satu-satunya misi yang sangat menarik bagi saya iaitu Private Action. Secara asasnya, misi ini dapat meningkatkan ikatan ukhuwah diantara watak utama dan juga rakan sepasukan lain di mana terdapat beberapa dialog yang menentukan berapa banyak skor yang anda dapat untuk meningkatkan ikatan diantara rakan sepasukan.
Dengan cara ini, anda sebenarnya boleh mengetahui lebih banyak perkara lain mengenai watak sampingan termasuk latar belakang atau mungkin “ending” setiap daripada mereka sendiri. Saya rasa ianya sangat bagus kerana boleh berinteraksi bersama mereka dan mengetahui serba sedikit mengenainya walaupun tidak mempunyai sebarang kesinambungan dengan cerita utama.
Kesimpulan

Secara keseluruhan, Star Ocean: The Divine Force adalah ansuran yang sudah pasti lebih baik dari sebelum ini. Walau bagaimanapun, ia masih banyak ruang untuk diperbaiki atau ditambah baik untuk menghidupkan kembali francais Star Ocean.
Seperti yang anda baca review di atas, banyak aspek yang saya katakan kurang memberi impak, namun saya masih menikmati game ini seperti game lain. Terima kasih atas sistem D.U.M.A yang sangat membantu dalam meneroka dunia yang luas, mengalahkan musuh yang kuat dan sudah pasti memberikan pengalaman bermain game RPG yang lebih menyeronokkan. Saya rasa kalau sistem ini tiada, mungkin saya tidak bersemangat nak bermain game ini.

Jika anda betul-betul peminat francais Star Ocean atau mungkin genre JRPG itu sendiri, saya sememangnya mengesyorkan anda untuk mendapatkan Star Ocean: The Divine Force sekarang. Game ini telah pun tersedia di pelbagai platform termasuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series X|S dan PC melalui Steam.
Untuk mendapatkan review lain mengenai game, filem dan banyak lagi, sila klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post