Rune Factory 4 Special Edition telah dilancarkan pada 8 Disember yang lalu untuk pemain yang tidak mempunyai konsol Nintendo. Ini antara game hebat yang dilepaskan dalam francais sejak pelepasan Tides of Destiny kerana Nintendo sentiasa menjadi platform sasaran untuk francais ini.
Entri keempat siri ini tidak dapat dinafikan sememangnya game lama dan mungkin sukar bagi sesetangah orang untuk bermainnya, lebih-lebih lagi game ini terasa seperti direndahkan dari segi persembahan jika dibandingkan dengan Rune Factory: Frontier. Pengeluaran Special Edition ini bukan sahaja tertumpu pada penambahbaikan grafik tetapi ada perkara yang lebih istimewa menanti pemain baru disebalik game farming simulator yang nampak biasa ini.

Tentang Rune Factory 4
Kepada yang tidak tahu, Rune Factory antara francais yang berjaya mengubah keseluruhan perspektif saya mengenai genre simulasi. Ianya terlalu menawan tidak kiralah dari gaya seni, dunia fantasinya dengan suasananya yang menenangkan serta gabungan mekanik RPG pada game ini. Selain itu, terdapat banyak watak yang tidak dapat dilupakan serta cerita yang menarik untuk diikuti. Senang cerita, francais ini merupakan game terbaik yang saya boleh dapat untuk genre ini.
Saya pada mulanya tidak mahu bermain game ini mengenangkan prestasinya yang dulu tidak memuaskan, tetapi setelah berjam-jam bermainnya saya terus terpikat dan hanya bermain game ini berbulan-bulan dan tidak menyentuh game lain. Saya tidak bermain versi baru ini semasa ia dilancarkan di Switch, jadi ini memang peluang yang baik untuk memberikan game ini peluang kedua terutamanya dengan penambahan semua kandungan yang baru.

Sebelum saya teruskan review saya untuk Rune Factory 4 Special, mari saya ceritakan dahulu mengenai game ini. Seperti yang saya katakan diatas, ia merupakan game farming simulator di mana anda bermain sebagai wira muda atau heroin yang satu hari jatuh dari langit dan mendarat di Selphia, sebuah wilayah yang diperintah oleh Elder Dragon Ventuswill AKA Venti. Macam-macam yang berlaku dan anda dilantik sebagai pengganti Putera Arthur untuk menyelesaikan masalahnya di Selphia, tetapi anda juga perlu menjaga ladang baru anda di kediaman Venti.
Jalani hidup anda dan mulakan pengembaraan hebat dalam dunia fantasi ini bukanlah seperti Harvest Moon dan Story of Seasons. Ia bukan sahaja mengenai perbezaan dalam persekitaran dunia, tetapi pengembaraannya juga lebih nyata kerana setiap game Rune Factory merupakan game RPG, jadi anda boleh melakukan beberapa perkara seperti meneroka dungeon, melawan raksasa dan sebagainya.

Inilah sebab mengapa Rune Factory mendapat lebih banyak variasi pada gameplaynya. Francais ini tidak terlalu banyak mengorbankan bahagian simulasinya malah ia masih lengkap di mana anda boleh menanam pelbagai jenis tanaman bergantung pada musim, peralatan, kemudahan bangunan dan juga menternak raksasa sebagai pengganti ternakan. Apabila mengembara, anda boleh melawan musuh dengan menggunakan pelbagai jenis senjata dan juga sihir. Tetapi watak anda mudah letih, jadi anda perlu seimbang antara menjaga ladang dan mengembara dalam satu hari atau fokus kepada satu tugasan dalam sehari.
Selain itu,anda boleh melakukan banyak perkara lain untuk meluangkan masa seperti memancing, memasak dan paling penting berinteraksi dengan penduduk bandar, terutamanya gadis atau lelaki yang anda mungkin ingin jalinkan hubungan yang lebih rapat dan akhirnya membawa kepada perkahwinan. Untuk sebahagian besar Rune Factory 4 atau keseluruhan francais, ia tidak membawa sebarang evolusi yang ketara kepada genre malah banyak game indie lain yang lakukan kerja yang lebih baik dan idea yang segar. Tetapi anda boleh bergantung pada Rune Factory untuk memberikan pengalaman yang “baik” secara konsisten untuk game farming simulator.

Apa yang baru dalam Special Edition
Sejujurnya saya tidak menyangka Rune Factory 4 Special ini bagus. Ini kerana selain penambahbaikan grafik yang tidak begitu ketara, terdapat banyak tambahan untuk kandungan cerita dan ciri sistem. Tambahan saya maksudkan adalah seperti filem tambahan, DLC Another Episode, mod Newlywed, tahap kesukaran baru dan banyak lagi. Sesetengah orang mungkin fikir ia tidak nampak macam banyak tetapi kandungan tambahan itulah yang membuatkan game ini dihargai terutamanya ia mampu membuatkan pemain lama kembali bermain game ini.
Another Episode mungkin salah satu tambahan terbaik daripada semua kandungan baru yang ditambah. Anda dapat menikmati 13 episod cerita baru dengan yang diceritakan oleh setiap Bachelor dan Bachelorette dalam game. Selain daripada itu, game ini memang serupa dengan Rune Factory 4 original tetapi lebih baik daripada itu. Penambahan baru ini memang sesuatu yang istimewa kerana saya rasa macam kali pertama bermainnya.

Prestasi di PC
Saya bermain Rune Factory 4 Special pada PC dan kualiti portnya sangat baik. Tidak ada crash, bug dan secara keseluruhannya port yang baik dari segi prestasi. Game ini juga tidak berat untuk dimainkan pada PC kerana ia hanya menggunakan 500MB RAM saya dan 20 – 30 % penggunaan pemprosesan. Saya juga bermain menggunakan tetapan terbaik dan saya tidak menyangka terdapat pilihan untuk resolusi 4K. Launcher game ini juga menyediakan tetapan untuk memilih suara antara bahasa Inggeris atau Jepun dan sokongan controller untuk Xbox, PS4 dan Switch.
Walaupun prestasi portnya bagus, tetapi ada dua masalah yang saya harap dapat diselesaikan. Pertama ialah butang controller pada game berubah jika anda tertekan keyboard anda. Jika anda ingin menggunakan controller semula, anda perlu restart game atau meyambung semula controller anda. Ini betul-betul menjengkelkan saya. Yang kedua adalah ketiadaan butang exit atau butang untuk kembali ke main menu. Jadi kalau anda ingin keluar daripada game atau restart game, anda perlu menutupnya secara paksa. Ciri ini sepatutnya ada memandangkan hampir semua game mempunyai fungsi ini. Saya harap mereka akan menambahnya pada masa depan.

Kesimpulan
Rune Factory 4 Special datang tepat pada waktunya memandangkan saya ingin bersiap sedia untuk bermain entri kelima Rune Factory pada tahun depan. Ia memberikan pengalaman yang tenang, dimana anda akan selalu kembali selepas seharian bekerja dan merasai kehidupan yang aman dalam dunia fantasi. Kandungan tambahan daripada versi Special ini betul-betul mantap dan lebih baik untuk pengalaman pemain baru. Terdapat banyak sangat kandungan dan daya tarikan lain yang boleh membuatkan saya syorkan game ini kepada peminat farming simulator yang lain. Anda boleh dapatkan game ini melalui Steam untuk bermain di PC.
Untuk membaca segala review dari kami, sila klik pautan ini.
@gamersantaimy
The Review
Rune Factory 4 Special
PROS
- Grafik yang lebih baik dan kandungan yang banyak
- Prestasi permainan yang hebat pada PC
- Gameplay yang lebih lama
CONS
- Hilang ciri umum seperti akses ke main menu dan butang keluar
- Penambahbaikan grafik tidak begitu ketara selain daripada resolusi yang lebih tinggi
Discussion about this post