Sudah lama Razer tidak mengeluarkan webcam baru sejak pengenalan Razer Kiyo pada tahun 2017, tetapi dengan kehadiran pandemik, permintaan untuk teknologi baru pun makin meningkat. Di sini, mereka memperkenalkan Razer Kiyo Pro, dengan reka bentuk baru yang mengutamakan spesifikasi, untuk rupa yang lebih matang dan premium.
Berbeza dengan Kiyo yang menggunakan ring-light untuk pencahayaan, Kiyo Pro sebaliknya memanfaatkan sensor cahaya dari Sony IMX327 CMOS dengan teknologi Starvis, yang asalnya digunakan untuk kamera keselamatan. Apabila digabungkan dengan apertur F2.0 milik Kiyo Pro, sensor ini membolehkan kamera mengubahsuai tangkapan cahaya untuk memastikan gambar kita sentiasa terang tanpa memerlukan pencahayaan luar.
Pada masa yang sama, terdapat banyak ciri baru di Kiyo Pro, termasuk “field-of-view” yang boleh diubahsuai, resolusi HDR, dan kemampuan untuk merakam pada 1080p @60fps, yang menjadikan webcam ini sebagai pilihan menarik untuk streamer, orang bekerja dan juga “content creator” amatur.
Bersama ciri-ciri ini, Razer Kiyo Pro boleh dibeli pada jumlah nilai RM1,149.00! Agak mahal kan? Adakah ciri-ciri itu sepadan dengan harganya, atau adakah webcam ini hanya untuk golongan bangsawan? Mari kita lihat dalam ulasan ini!
Bentuk yang tahan lasak tetapi pelik
Keluar saja dari kotak, anda dapat melihat bahawa Kiyo Pro jauh lebih besar daripada kebanyakan model webcam lain, dan ini adalah untuk menampung sensor dan perkakasan yang canggih bagi rakaman 60fps tajam. Ukuran saiznya pula agak pelik, dan tidak rasa begitu selesa apabila digunakan pada komputer riba yang nipis.
Selain itu, webcam ini dilengkapi dengan mikrofon omni-directional, kabel bertenun USB-C 3.0, dan mempunyai “multifunctional mount” yang boleh digunakan secara tradisional pada bahagian atas monitor, pada permukaan meja yang rata, atau dicantumkan ke tripod.
Akhir sekali ialah kaca Corning® Gorilla® Glass 3, di mana kita tidak perlu risau tentang kerosakan akibat ketukan dan calar semasa mengendalikan webcam ini. Ini kerana kaca tersebut diformulasikan dengan daya tahan kerosakan yang tinggi, lantas memberikan peningkatan sebanyak 4x jika dibandingkan dengan kaca lain.
Prestasi imej & video hebat semasa keadaan kurang cahaya
Setelah menggunakan Kiyo Pro selama beberapa hari, kelebihan yang saya nampak ialah webcam ini dengan mudah dapat menghasilkan video berkualiti tinggi. Semasa pertama kali memasang Kiyo Pro, saya cukup puas hati dengan “default settings” di mana ia memberi imej yang tajam dan profesional tanpa memerlukan saya menukar tetapan. Untuk insan yang tidak suka kerja yang terlalu leceh atau serabut, inilah sesuatu yang bagus dari sebuah USB webcam.
Kebanyakan webcam pasti akan menghasilkan gambar yang cantik jika bilik itu dipenuhi dengan pencahayaan yang cukup, tidak kisah dari matahari atau artifisial. Tetapi, tanpa banyak mengubah tetapan, prestasi imej Kiyo Pro sentiasa kelihatan bagus dalam keadaan gelap di mana saya menutup semua cahaya lampu dan hanya membiarkan cahaya dari monitor bernyala. Walaupun masih gelap, saya hanya perlu meningkatkan “exposure” sedikit untuk mendapatkan imej gambar yang cantik.
Ini membuktikan bahawa teknologi pengesanan cahaya untuk Kiyo Pro sangat bagus, kerana webcam lain terlalu “overexpose” model dan persekitaran dalam gambar. Sudah tentu, masalah seperti ini dapat dibetulkan menggunakan pelbagai program, tetapi bagi sesiapa yang memerlukan webcam bagus tanpa banyak usaha, produk inilkah yang akan memberi kualiti terbaik.
Tidak kira sama ada anda memerlukan webcam untuk kegiatan streaming atau sebagai peranti untuk panggilan persidangan digital, Razer Kiyo Pro akan sentiasa menjadi pilihan utama untuk kualiti. Hanya cucuk, dan kita pun dah bersedia untuk muncul depan kamera.
Perisian Razer Synapse & kecanggihan penstriman
Disebabkan ini adalah produk dari Razer, sudah pastilah Kiyo Pro sepenuhnya serasi dengan aplikasi Razer Synapse, yang dapat mengubahsuai tetapan seperti “brightness, contrast, saturation, dan white balance“.

Anda juga boleh menggunakan Synapse untuk beralih antara resolusi HDR dan SDR, menukar fokus dari automatik ke fokus manual digital, dan memilih dari 3 “field of view” berbeza iaitu 80 darjah (linear), 90 darjah (medium) dan 103 darjah (wide). Harap maklum bahawa walaupun kita boleh merakam pada resolusi 1080p @60 FPS HDR, kadar bingkai boleh diturunkan hingga 30fps untuk prestasi yang lebih lancar.
Kualiti video pun boleh tahan kerana tidak memerlukan saya ubah apa-apa dalam tetapan untuk pengalaman plug-and-play yang lancar, dan saya pun tidak menghadapi masalah ketika menggunakan webcam ini di beberapa aplikasi seperti Zoom, OBS atau Stream Labs. Perisian seperti Google Meets akan mengehadkan kualiti video webcam hingga 720p, tetapi visual yang tajam dan tangkapan nilai warna sebenar masih akan menyerlah semasa panggilan.
Untuk sesiapa sahaja yang suka bermain dengan tetapan video dan suka membuat beberapa penyesuaian kualiti, saya mengesyorkan anda untuk guna Razer Synapse. Malangnya, ini pun antara perkara yang saya paling benci tentang webcam ini kerana terdapat begitu banyak fitur yang bergantung pada aplikasi Razer Synapse seperti mod HDR dan perubahan FOV. Ia hanya dapat ditukar melalui aplikasi sahaja.
Satu lagi kekurangan bagi saya ialah resolusi maksimum untuk webcam ini hanyalah 1080p sahaja. Memandangkan harga pun mencecah RM1000+, saya mengharapkan produk ini sekurang-kurangnya adalah resolusi 4K. Walaupun penggunaan 4K tidak luas untuk sebuah webcam, saya ingin kecanggihan peranti ini sesuai dengan nilai yang saya bayarkan.
Pendapat
Secara kasar, Razer Kiyo Pro adalah webcam paling canggih pernah saya guna, tetapi itu tidak menjadikannya pembelian yang bagus untuk setiap pengguna. Dengan nilai harga RM1,149.00, ini ialah webcam yang terlalu mahal untuk penggunaan kasual.
Sekiranya anda hanya memerlukan kamera untuk mesyuarat kerja sahaja, Razer Kiyo Pro bukanlah webcam paling sesuai untuk anda. Terdapat banyak pilihan yang lebih murah di pasaran di mana saya pasti ia lebih memenuhi keperluan anda. Walau bagaimanapun, webcam ini sangat sesuai jika anda seorang streamer yang ingin meningkatkan kualiti penstriman atau mencari webcam “long-term” yang sesuai dengan bidang. Yang penting, ia antara webcam yang paling hebat dalam pasaran!
Dengan kehebatan teknologi sensor cahaya, Razer Kiyo Pro mampu memberi imej dengan kualiti yang luar biasa dalam apa-apa keadaan yang teruk, dan itu yang menjadikan harganya begitu tinggi. Jika anda menepati syarat pengguna-pengguna di atas, Razer Kiyo Pro adalah pelaburan yang bagus untuk apa-apa situasi. Kita cuma perlu memanfaatkan webcam ini dengan bijak sahaja, dan tidak membazirkan nilai sebenarnya.
Razer Kiyo Pro kini boleh didapati di Malaysia pada nilai harga RM 1,149.00, di pautan ini! Itu sahaja untuk ulasan ini, sehingga kita berjumpa lagi, selamat ber-gaming! Untuk segala liputan kami tentang produk Razer, sila tekan sini.
Spesifikasi Razer Kiyo Pro
- Camera
- Connection type: USB3.0
- Image resolution: 2.1 Megapixels
- Video Resolution: 1080p @ 60/30/24FPS / 720p @ 60FPS / 480p @ 30FPS / 360p @30FPS
- Video encoding: H.264 codec
- Still Image Resolution: 1920×1080
- Image Quality Settings Customization: Yes
- Diagonal Field of View (FOV): 103°, 90°, 80°
- Focus Type: Auto
- Mounting Options: L-shape joint and Tripod (Not included)
- Cable Length: 1.5 meters braided cable
- Microphone
- Channels: Stereo
- Audio Codec: 16bit 48KHz
- Polar patterns: Omni-directional
- Sensitivity: -38dB
- System Requirements
- PC with a free USB port
- Windows® 8 (or higher)
- Internet connection
@gamersantaimy
Discussion about this post