Jika ada sesiapa tanya saya tentang “game anime yang wajib cuba”, serta merta saya akan jawab One Piece Odyssey dan itulah yang kita akan bincangkan dalam review kali ini.
Dibuat bersama bantuan pencipta Eiichiro Oda yang menghasilkan reka bentuk untuk watak dan musuh baharu, semuanya visual yang kita lihat di dalam game seolah-olah datang daripada muka surat manga, bersama lakonan suara original oleh pihak anime.
Berbeza dengan game lama dalam siri, Odyssey berasal di genre turn-based JRPG dan memaparkan jalan cerita original (tidak canon) sambil mengimbas semula peristiwa lama yang membentukkan sejarah krew Straw Hat. Malah, pemain yang belum pernah baca manga atau menonton anime pun boleh menggunakan game itu sebagai ringkasan plot.
Memandangkan One Piece Odyssey kini tersedia di pasaran, adakah game terbaru dalam francais popular ini sehebat seperti yang kita sangkakan? Jom kita usya sama-sama.
Jalan cerita boleh jadi sinopsis untuk peminat baru One Piece
Semasa berlayar, kapal Thousand Sunny milik geng Straw Hat telah ditelan oleh ribut besar. Apabila bangun, masing-masing mendapati diri mereka terkandas di sebuah pulau misteri dan terpisah antara satu sama lain. Sebagai Monkey D. Luffy, mulakan pengembaraan baharu penuh dengan keajaiban semula jadi, musuh yang kuat dan pertemuan aneh bersama penduduk tempatan.
Bekerjasama dengan Luffy dan krew untuk belayar sekali lagi!

Keadaan bertambah buruk apabila mereka bertemu Adio, seorang lelaki misteri, dan Lim, seorang wanita muda yang dia anggap sebagai anak perempuannya. Kerana terlalu membenci lanun yang sebelum ini terkandas di pulau itu, Lim menghilangkan ingatan semua krew Straw Hat.
Memori setiap orang kemudian ditaburkan di sekitar pulau dalam bentuk kiub, di mana semua ahli tiba-tiba turun daripada level 40 kepada level 1 dan kehilangan semua abiliti. Disebabkan kiub ini mengandungi memori semua orang, ini memberi peluang kepada pemain untuk mengimbas semula kenangan lama kerana abiliti istimewa setiap watak boleh dipulihkan apabila kami menemui kiub.

Terdapat 11 story arc dalam One Piece, tetapi Odyssey memperkenalkan kita kepada empat sahaja iaitu: Alabasta, Water Seven, Marineford, dan Dressrosa. Di sini, kita mesti mencari misi digelar Memory Links untuk mengalami detik-detik penting yang dikongsi geng Straw Hat.
Buat mereka yang menonton One Piece buat kali pertama, salah satu isu terbesar ialah jumlah kandungannya yang banyak. Peminat anime secara amnya komited tetapi One Piece mempunyai lebih daripada 1000 episod anime dan bab manga, jadi ini sukar bagi pendatang baru untuk mengikutinya.
Pemain ingin mengetahui jalan cerita sebaik mungkin, tetapi tidak mempunyai masa melihat beribu-ribu jam kandungan. Maka, datanglah Memory Links untuk membantu mereka yang kurang tahu tentang One Piece.

Memory Links tidak menambah apa-apa info baharu pada kisah keseluruhan tetapi merupakan cara bagus untuk memahami kisah sedia ada. Masalahnya ialah ini bukan penceritaan semula yang tepat; plot di dalam game tidak tepat, tidak menampilkan semua watak yang terlibat, dan plot diringkaskan ke tahap minimum.
Walau bagaimanapun, ini adalah pendekatan yang menarik kepada jalan cerita, di mana peminat kasual dan para beginner boleh mengalami kisah paling “lengkap” daripada sejarah One Piece tanpa perlu menghadapi bahan yang panjang.

Walaupun langkah itu berisiko, One Piece Odyssey sepatutnya menjadi gabungan ideal untuk peminat lama sambil menarik minat pemain baru yang tidak pernah menonton anime sebelum ini.
Sistem pertempuran turn-based menyerlahkan kehebatan setiap Straw Hat

Kalau mengikut tradisi, pertempuran bersifat action adventure telah menjadi tumpuan utama bagi keseluruhan siri game One Piece, tetapi Odyssey berhasrat untuk beralih kepada genre berbeza yang mungkin menarik kelompok pemain baharu.
Apa yang membezakan One Piece Odyssey berbeza daripada game terdahulu (yang biasanya lebih tertumpu kepada aksi adventure) adalah ia rasmi digelar sebagai JRPG turn-based yang sangat konvensional. Gameplay pada dasarnya terdiri daripada meneroka level yang linear, berinteraksi dengan watak untuk memajukan jalan cerita, dan pertempuran turn-based strategik.

Dalam mana-mana game JRPG, gameplay turn-based lazimnya meminta pemain untuk menyediakan semua watak sebelum memulakan pertarungan. Walau bagaimanapun, One Piece Odyssey mengambil pendekatan berbeza.
Ia menggunakan permainan batu-kertas-gunting sebagai taktik asas, sambil mengagihkan watak secara rawak ke beberapa kawasan dalam pertarungan. Ini unik kerana kita boleh bertukar antara watak—dan menggunakan sepenuhnya kebolehan dan kemahiran unik mereka untuk mengalahkan musuh. Sistem ini menyediakan pelbagai situasi untuk mereka hadapi, yang membawa perspektif baharu kepada pertempuran.

Sehingga empat watak akan menentang musuh manakala selebihnya akan menjadi “pemain simpanan.” Watak itu kemudian boleh diseru pada bila-bila masa dan boleh diletakkan secara bebas selagi pemain masih boleh bertindak. Memandangkan dapat menukar antara watak pada bila-bila masa, kami boleh memikirkan kedudukan pertempuran dan watak mana yang efektif pada jenis musuh.
Untuk memastikan pengalaman kekal menarik, One Piece Odyssey menggunakan sistem Dramatic Scene di mana kami ditugaskan untuk mengatasi cabaran rawak dalam pertarungan.

Sistem Dramatic Scene akan secara rawak menyediakan objektif di tengah-tengah pertarungan dan menawarkan EXP, wang dan barangan penting tambahan jika objektif tercapai. Sebagai contoh, seekor musuh mesti dikalahkan oleh watak tertentu; walaupun watak itu sebenarnya lemah pada jenis musuh tersebut. Ini kadangkala menjadikan pertarungan lebih sukar, tetapi ganjarannya memang berbaloi.
Di luar pertempuran, kita boleh meneroka pulau Waford untuk menghadapi musuh, mencari harta karun, dan cuba menemui rahsia dan barang tersembunyi. Setiap ahli Straw Hat mempunyai kebolehan khusus yang boleh kami gunakan semasa meneroka:

- Luffy boleh memanjangkan tangannya, membolehkan dia mencapai tempat yang lebih tinggi atau mengambil barang yang jauh. Dia juga boleh menggunakan Observation Haki Pemerhatian untuk mengesan musuh yang akan memberikan EXP bonus sebelum memulakan pertarungan.
- Sanji boleh mencari bahan-bahan tersembunyi yang boleh dia gunakan untuk memasak.
- Chopper boleh menggunakan saiznya yang kecil untuk memasuki lubang dan ruang kecil.
- Zoro boleh memusnahkan beberapa rintangan, seperti pintu besi yang menghalang.
- Nami boleh mengesan wang yang tersembunyi di dalam tanah.
- Usopp boleh menggunakan senjata Slingshot untuk memperoleh item tersembunyi dari kawasan yang tidak boleh dicapai
Lanun perlu “bereksplorasi”- untuk mencari harta karun tersembunyi

Sepanjang perjalanan, Luffy dan kawan-kawan akan menghabiskan masa berehat dan crafting apabila “camping”. Tapak khemah boleh ditemui apabila meneroka, dan di sana kita dapat berehat dan mengadakan jamuan yang membolehkan kita memulihkan semua HP, meningkatkan pemerolehan EXP sebanyak 30% dan meningkatkan peluang 5x ganda untuk melakukan serangan kritikal.
Semasa berkhemah, jangan lupa untuk membelanjakan sumber; sama ada melalui memasak, membuat Trick Ball atau memanfaat Mystery Craft.

Sanji ialah chef bagi krew dan boleh memasak pelbagai hidangan lazat untuk dimakan dalam pertempuran. Seeloknya, korang menyiapkan makanan dari Sanji’s Kitchen sebelum memulakan mana-mana pertempuran sukar kerana hidangannya lebih berkesan daripada mana-mana bahan makanan rawak. Contohnya, Bronze Bat Soup sangat berguna kerana dapat menyembuhkan HP semua orang dan memberikan bonus 10% kepada DEF dan GUTS.
Usopp pula (si sniper dalam krew) boleh mencipta Trick Balls yang memberikan buff besar untuk parti atau debuff besar kepada musuh.

Nico Robin adalah ahli yang menjaga peralatan geng Straw Hat. Setiap orang mempunyai sebuah grid dan pemain boleh mengisi grid itu secara bebas untuk menguatkan krew dengan memperoleh kiub yang mengandungi pelbagai abiliti dan bonus penting.
Di hujung game, saya anggap Nico Robin sebagai krew paling penting kerana kita banyak meluangkan masa untuk mencipta peralatan demi membina playstyle yang kita mahukan (agihkan perlatan ke watak masing-masing dan menentukan peranan mereka dalam playstyle kita).

Tetapi jika dibandingkan dengan JRPG lain, aspek customization Odyssey sangat mudah untuk faham berbanding game lain, lantas menjadikannya sangat bagus untuk mereka yang kurang mahir dalam JRPG.
Visual game kekalkan kualiti daripada anime

Tidak boleh dinafikan, ini adalah game One Piece yang paling cantik setakat ini, walaupun mungkin nampak “biasa-biasa pada kali pertama. Yang benar-benar menyerlah adalah model dan persekitarannya, yang membuatkan saya rasa seronok untuk melihat gelagat geng Straw Hat, terutamanya ekspresi muka mereka yang lucu. Ditambah lagi dengan lokasi ikonik daripada siri, semuanya cantik untuk dilihat dan teroka.
Saya ada sebut tentang perkara ini di awal review di mana lakonan suara dalam game dibuat oleh pelakon suara original anime, jadi pengalaman bermain saya terasa lebih autentik. Pada masa yang sama, pujian harus diberikan kepada UI dan menu, yang nampak sangat bergaya dan sesuai dengan tema One Piece yang kita lihat di anime dan manga.

Walaupun paling cantik, saya sedar ada beberapa kekurangan. Yang paling ketara sekali adalah beberapa bahagian animasi nampak agak kaku dan malas. Biasanya JRPG memang banyak bahagian bercakap tetapi sesetengah pergerakan terlalu “robotik” dan kekok.
Pendapat
Tanggapan pertama saya – One Piece Odyssey mengambil pendekatan yang inovatif tetapi amat berisiko, termasuk menambah plot baharu dan mengubah genre ke turn-based. Namun, untuk melepaskan diri daripada trend “game anime”, mungkin strategi berani ini yang diperlukan.
Jika dinilai lebih mendalam, game ini sebenarnya sangat bagus; ini adalah JRPG yang direka dengan baik dengan visual hebat, penerokaan menarik dan sistem pertempuran yang menyeronokkan. Walau bagaimanapun, apa yang saya tidak setuju ialah penceritaan semula plot lama yang tidak tepat dan ini mungkin tidak disukai oleh peminat tegar One Piece bersama animasi watak yang kaku di sesetengah adegan.
Cuma, saya tidak dapat menafikan bahawa One Piece Odyssey masih sangat menyeronokkan, dan mengesyorkan korang semua untuk cuba jika ada peluang.
Buat sesiapa yang berminat, One Piece Odyssey oleh Bandai Namco Entertainment kini tersedia di PS4, PS5, Xbox One, Xbox Series X dan PC. Jika tidak pasti untuk membuat pilihan beli, korang juga boleh mencuba demo percuma.

@gamersantaimy
The Review
One Piece Odyssey
PROS
- Strategi pertempuran turn-based yang menyeronokkan dan kreatif.
- Sesuai untuk pemain baru yang ingin masuk ke francais One Piece.
- Gaya seni yang menarik secara visual dan estetik.
CONS
- Bukan JRPG yang mencabar.
- Disebabkan jalan cerita yang dipadatkan, keseluruhan jalan cerita tidak 100% tepat.
Discussion about this post