Kali ini, MSI bagi saya peluang untuk mencuba model MSI Pulse GL66 12UEK serba baharu. Ia didatangkan dengan spesifikasi yang hebat iaitu Intel Core i9-12900H dan NVIDIA GeForce RTX 3060. Dari luar sehingga dalam semuanya baharu tetapi adakah prestasi yang ditampilkan oleh laptop ini setanding dengan laptop dari siri GL yang lain?
Jadi, itulah tugas saya untuk menjawab semua persoalan anda mengenai laptop ini. Tanpa melengahkan masa lagi, jom ikut saya review laptop ini.
Reka Bentuk

Sama seperti laptop MSI yang lain, reka bentuk yang dipunyai oleh laptop ini agak standard dengan banyak model MSI tetapi ia ada sedikit penambahan garisan dan mengingatkan saya seperti kereta sport. Jika dilihat dengan mata kasar, mungkin kita lihat seperti warna silver tetapi warna sebenarnya adalah Titanium Gray.

Bagi saya, size laptop ini agak compact dan sepatutnya boleh dimasukkan ke dalam banyak beg biasa tanpa mempunyai masalah. Jika nak dibandingkan dengan laptop yang selalu saya bawa, ianya terasa lebih ringan namun bila korang bawa pengecas dan aksesori sudah tentu ianya jadi berat.


Bagi bahagian I/O, terdapat banyak port di sepanjang sisi kiri dan kanan laptop. Di kiri, kita ada 1x port USB 3.2 Gen 1, 1x port USB 2.0 dan port mengecas manakala di sebelah kanan mempunyai 1x port USB 3.2 Gen 1, 1x Type-C USB3.2 Gen1 dan 1x port bicu audio.
Paparan & Keyboard

Mari kita bermula dengan paparan dahulu, MSI Pulse GL66 disediakan panel IPS dengan 165Hz refresh rate yang bersaiz 15.6 inci QHD dan resolusi 2560 x 1440 iaitu 2K. Dengan menggunakan panel IPS dan didatangkan dengan resolusi 2K, ianya nampak hebat untuk bermain game yang mempunyai sinematik yang cantik.
Saya boleh katakan yang paparan laptop ini agak cerah, tetapi jangan risau, semua laptop dihadirkan dengan tetapan skrin. Hal ini kerana, laptop ini dilengkapi dengan 100% DCI-P3 yang akan memberi warna yang saturate dan menarik minat saya untuk bermain game pada laptop ini.

Untuk bahagian keyboard, saya rasa ianya agak kecil sedikit kerana ianya didatangkan dengan numpad pada sebelah kanan laptop. Saya yang mempunyai tangan yang besar agak susah untuk saya gunakan pada awalnya dan kerap salah tekan. Tetapi lama kelamaan, masalah itu berkurangan.
Pada keyboard ini, ia mempunyai rasa seperti tactile keyboard tetapi tidak mengeluarkan bunyi ‘clicky’ yang selalu kita dengar pada keyboard tactile. Apa yang saya pelik adalah button ‘FN’ yang berada di sebelah kanan dan agak sukar untuk menggunakannya. Selain itu, keyboard-nya tiada masalah. Keyboard yang dilengkapi dengan lampu RGB yang menarik.

Setiap laptop mesti akan didatangkan dengan Touchpad betul kan? Jom saya cakap sedikit mengenai Touchpad. Apa yang saya rasa mengenai touchpad ini adalah biasa sahaja dan tiada perkara yang istimewa mengenainya. Sudah pasti korang akan menggunakan mouse untuk bermain game nantikan.
Audio & Sistem Cooling

Saya rasa bunyi yang dihasilkan olehnya adalah baik sahaja. Semasa saya menonton video YouTube dengan Volume 20 ianya sangat biasa untuk kegunaan harian tetapi apabila saya cuba untuk naikkan pada Volume 70, saya rasa kualiti bunyinya agak rendah dan mula bergegar di sekitar kawasan keyboard. Saya nak kata bunyi dia crack pun tidak cuma ianya tidak clear.

Mari kita bergerak pada sistem cooling pula. Semasa bermain game, laptop akan menjadi panas dan ianya adalah lumrah sebuah laptop gaming. Pada laptop ini, bahagian yang akan panas adalah di tepi, belakang dan kawasan keyboard di mana saya rasa ianya agak biasa pada setiap laptop gaming.
Sewaktu saya bermain Guild War 2, saya tidak rasa apa-apa haba pada palm rest walaupun kipas laptop berbunyi bising. Tambahan, jika korang matikan Extreme Performance ataupun tidak bermain game, laptop ini akan menjadi sejuk pada suhu biasa dengan pantas.
Ketahanan Bateri

Saya mencuba untuk tidak berbuat apa-apa pada laptop ini dalam masa 2 jam dan 30% bateri telah habis dengan tetapan default. Jika anda menonton video selama 2 jam pada mode Balanced, lebih kurang 50% bateri habis. Kalau korang nak bawa keluar tanpa menggunakan pengecas, boleh saja tapi dalam jangka masa pendek.
Satu perkara lagi, saya memang tidak sarankan untuk bermain game ketika tidak mengecas. Hal ini kerana, semasa saya mencuba bermain game selama 20 min, bateri telah habis sebanyak 20% pada MSI Pulse GL66 ini.
MSI Center

Dengan adanya MSI Center, korang boleh set game mana yang korang nak gunakan dalam Game Mode secara khusus. Aplikasi ini juga sediakan User Scenarios termasuk Intelligent Smart Auto AI untuk tetapan auto. Selain itu, terdapat juga mode lain yang boleh digunakan iaitu Extreme Performance, Balanced, Silent dan Super Battery.

Aplikasi ini biasanya, digunakan untuk mengawas hardware, dengan menyediakan penggunaan CPU/GPU dan segala maklumat berkenaan hardware. Korang juga boleh membersihkan ruang Storage dan RAM disini. Rasa tidak lengkap apabila tidak bercakap mengenai lampu RGB pada keyboard-nya. Ianya boleh ditukar kepada warna yang korang inginkan. Ramai orang kata tidak lengkap jika tidak nampak macam kedai tomyam yang berwarna-warni.
Prestasi & Benchmark
Guild Wars 2

Saya bermain dalam World vs World pada mode Balanced di MSI Center dan ianya sangat teruk. Walaupun saya sudah turunkan tetapan grafik paling rendah, ianya tidak dapat memberi 20-30 FPS secara stabil. Apabila bermain dengan mode Extreme Performance, ianya menunjukkan penambahbaikan pada FPS. Prestasi pada PVE adalah baik dan boleh mendapat hampir 60 FPS dengan stabil.
Horizon Zero Dawn

Game ini menunjukkan prestasi yang bagus walaupun dalam tetapan Ultra yang memberikan 30 FPS paling teruk. Jika korang nak bermain dengan lancar, saya sarankan untuk anda turunkan tetapan grafik kepada FPS yang anda mahukan tetapi ianya tidak akan melebihi 60 FPS.
Death Stranding

Dengan menampilkan 70 hingga 90 FPS pada tetapan High, saya rasa ianya agak memuaskan untuk korang yang ingin bermain dengan lancar. Dalam masa yang sama, saya mendapati bahawa cutscene telah dihadkan pada 60 FPS.
3DMARK – 8278

PCMARK 10 – 6796

Kesimpulan

Seperti laptop dalam siri GL sebelum ini, sudah pasti ianya mampu untuk memberi prestasi yang memuaskan untuk korang bermain game AAA dengan lancar pada tetapan medium hingga ultra. Tambah pula dengan kombinasi Intel Core i9-12900H dan NVIDIA GeForce RTX 3060, memang puas hati kalau dapat main game dengan FPS yang tinggi.
Secara keseluruhannya, MSI Pulse GL66 12UEK adalah pilihan yang bagus untuk korang yang selalu bergerak pergi kerja, meeting dan banyak lagi tetapi inginkan CPU dan GPU yang berkuasa tinggi. Saya harap review ini dapat menjawab semua persoalan korang mengenai laptop ini. Jika korang berminat untuk beli unit yang sama seperti review di atas, ia kini boleh didapati di kedai online dan pengedar sah MSI pada harga RM 7,599.00.
Spesifikasi penuh boleh baca di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post