Ramai peminat Monster Hunter sangat teruja dengan ketibaan siri spin-off francais, iaitu Monster Hunter Stories 2: Wings of Ruin (MHS 2) pada 9 Julai yang lalu. Game ini memberikan pemain untuk menjalin ikatan dan membesarkan Monsties mereka, menjadi Rider, melawat pelbagai tempat menarik melalui kisah dan quest yang ada di dunia Monster Hunter. Capcom telah mengumumkan game ini tersedia untuk Nintendo Switch dan PC melalui Steam semasa acara Nintendo Mini Direct bulan September 2020 yang lalu, dan ianya menjadi salah satu tajuk yang dinantikan.
Bagi mereka yang sudah biasa bermain dengan game utama, mungkin mereka akan mendapati MHS 2 mempunyai identiti tersendiri. Walaupun Capcom masih mengekalkan banyak elemen dan formula dari siri, tetapi game ini masih mempunyai daya tarikan tersendiri yang sesuai untuk pemain seperti saya. Gameplay dan jalan ceritanya yang kasual memberikan pemain baru mudah untuk mengikuti kisah pengembaraan dalam game ini. Tanpa membuang masa, jom baca review Monster Hunter Stories 2: Wings of Ruins ini!
Jalan cerita
Di MHS 2, anda bermain sebagai cucu kepada Red, seorang legenda Rider dari Mahana Village. Kisahnya bermula apabila Rathalos dari seluruh dunia telah hilang, dan mereka mengesyaki bahawa ianya disebabkan oleh fenomena Red Light misteri yang mempunyai kaitan dengan Wings of Ruin. Sebagai Rookie Rider, anda akan bersama Kayna dan Navirou (kucing peneman yang bercakap) telah diamanahkan untuk menjaga sebiji telur Rathalos yang diberikan oleh gadis Wyverian bernama Ena. Mereka diingatkan supaya berhati-hati, kerana Rathalos yang lahir dari telur tersebut dikatakan bakal membawa kekacauan dan kehancuran pada dunia.
Sepanjang pengembaraan, pemain akan bertemu dengan ramai watak baru seperti Kayna, Alwin, Kyle, Tsukino dan beberapa watak yang kembali semula iaitu Lilia, Reverto dan Avinia. Setiap watak ini akan terlibat dalam kisah pengembaraan dan membantu menjadi ahli parti anda, dengan gaya pertarungan unik yang berbeza bersama Monstie mereka.
Walau bagaimanapun, untuk game yang telah menekankan kisahnya terutama pada tajuk, jalan cerita MHS 2 menjadi terlalu ringkas dan mudah diramalkan. Capcom telah menggunakan formula yang kebanyakannya sudah digunakan dalam game JRPG lain, dan jika anda peminat genre ini mungkin tidak banyak perkara yang hebat untuk dikagumkan. Namun, untuk pemain baru mungkin menganggap kisah dalam game ini sangat menarik untuk dimainkan.
Gameplay
Dari segi gameplay, MHS 2 mempunyai perbezaan dengan siri Monster Hunter lain, kerana anda akan bermain dengan sistem turn-based seperti kebanyakan genre JRPG tradisional. Dalam game ini terdapat dua segmen gameplay, iaitu bahagian ekplorasi dan pengembaraan.
Untuk gameplay di bahagian ekplorasi, anda akan mendapat akses ke kawasan-kawasan tertentu sekitar kampung di permulaan game, dan akan menjelajah lebih jauh sepanjang perjalanan cerita. Penjelajahan jarak jauh lebih mudah dengan bantuan Monstie anda yang boleh dinaiki pada bila-bila masa ketika berada di tempat terbuka. Setiap peta sangat luas dan dipenuhi dengan pelbagai sumber untuk dikumpulkan seperti herb, mining material, Zenny dan item bernilai seperti Bottle Cap yang boleh ditukarkan ke item rare di Hub. Bottle Cap boleh didapati apabila anda menjelajahi ke kawasan Everden atau menyelesaikan Quest.
Aktiviti yang boleh dilakukan bersama Monster dan Monstie!
Anda juga boleh mengakses ke kawasan lain yang bersambung dengan peta utama, iaitu Monster Den dimana pemain akan dibawa ke sarang Monster untuk mengambil telur mereka bagi menetaskan Monstie baru. Peneman anda Navirou akan menilai telur yang diambil sama ada ia mempunyai potensi memiliki gen yang rare atau tidak. Anda dapat membezakan jika ia adalah sarang Monster yang mempunyai rare gen melalui petunjuk batu emas yang berada di sekitar sarang tersebut.
Perkara lain yang ada di bahagian ekspedisi adalah setiap Monstie mempunyai kemampuan berbeza yang mereka boleh gunakan untuk melintasi ke kawasan tertentu, dan ianya berbeza berbanding game Monster Hunter lain, dimana watak anda perlu melakukan tindakan tertentu dengan menaiki Monstie. Malah, tidak semua Monstie boleh melakukan aksi lapangan yang sama, contohnya anda memerlukan Monstie jenis air untuk berenang dan Monstie jenis pantas untuk melompat ke seberang jurang.
Bertarung dengan Monstie
Tambahan pula, pemain boleh terlibat dalam pertempuran apabila mendekati Monstie yang berkeliaran, sama ada mereka sedang bersantai atau mengejar anda. Perkara yang menarik perhatian saya ketika dalam pertempuran ialah Monstie anda akan bertindak sebagai ahli parti, dan salah-satu daripadanya sangat diharapkan berbanding yang lain. Walaupun MHS 2 mempunyai gameplay turn-based JRPG tradisional, tetapi ia sangat menarik kerana anda dapat melihat sistem ini sama dengan game Monster Hunter lain. Sebagai contoh, arahan serangan asas terbahagi kepada tiga jenis, iaitu Power, Speed, dan Technical.
Jenis serangan ini boleh dipilih semasa pertempuran seperti permainan sebelum ini. Anda boleh mengenal pasti corak serangan Monster dengan memahami cara lawannya kerana setiap jenis serangan mempunyai kelemahan dan kekuatannya tersendiri, seperti contoh Speed boleh mengalahkan Power, Technical boleh mengalahkan Speed, dan Power boleh menewaskan Technical. Setiap serangan monster tidak hanya terhad kepada satu corak sahaja, tetapi ia akan berubah mengikut situasi.
Selain itu, terdapat juga meter biru dipanggil Kinship Gauge yang bertindak sebagai Magic Point untuk membolehkan anda melakukan Skill. Sama seperti serangan biasa, Skill juga mempunyai tiga jenis serangan yang lebih kuat dan mampu memberi kesan status, bergantung pada senjata digunakan. Kinship Gauge juga boleh digunakan dengan pelbagai cara, seperti melakukan Double Attack bersama Monstie untuk menghalang musuh dari membalas serangan anda, atau membuat serangan maut pada masa yang tepat.
Sistem Kinship Gauge juga memberikan pemain untuk menunggang Monstie ketika dalam pertempuran serta membolehkan anda untuk memulihkan kesihatan apabila meternya sudah penuh dan keluar pilihan “Riding”. Ini boleh dikira sebagai mod Power-up, tetapi pada masa anda juga boleh jatuh dari Monstie apabila kalah Head-to-Head sebanyak dua kali. Sekiranya anda dapat mengekalkan Riding dalam jangka masa yang lebih lama, maka Kinship Gauge boleh meningkat ke tahap lebih tinggi untuk membolehkan pemain menggunakan Kinship Skill lebih kuat semasa menunggang Monstie di waktu lain. Namun, anda perlu tahu bahawa apabila menggunakan Kinship Skill secara automatik akan melepaskan Monstie mereka selepas itu. Jadi, pemain perlu mempertimbangkan waktu terbaik untuk menggunakan Skill semasa Riding.
Senjata membantu dalam menewaskan musuh
Bercakap mengenai senjata, pemain boleh membawa tiga senjata dalam pertempuran dan ianya boleh ditukar pada bila-bila masa sahaja. Ianya sangat penting kerana ada ketika senjata yang digunakan tidak berkesan keatas musuh tertentu, seperti mereka melindungi diri menggunakan objek tumpul yang mudah dihancurkan oleh Hammer. Setelah anda berjaya memecahkan pertahanan musuh, mereka akan mengalami damage kritikal dan ini adalah peluang untuk anda menewaskannya dengan mudah. Biasanya, saya akan terus menggunakan Kinship Skill sebagai serangan utama bagi menghasilkan damage sehingga 60% pada HP musuh.
Di samping itu, terdapat had untuk watak pemain dapat dihidupkan kembali setelah dikalahkan, dengan melihat pada meter Heart dibawah Kinship Gauge. Jika anda kehilangan tiga Heart atau ditewaskan sebanyak tiga kali dalam satu pertempuran, maka pertarungan akan tamat. Jadi, walaupun ia mudah kerana tidak perlu bimbang untuk menyimpan seberapa banyak item untuk dihidupkan semula, tetapi anda masih tidak boleh menghidupkan semula watak lebih dari tiga kali.
Secara keseluruhannya, saya mendapati game ini sangat mudah, strategik dan lebih pantas kerana ia mempunyai gabungan JRPG tradisional dan beberapa elemen dari Monster Hunter klasik. Namun, saya kurang menyukai bahagian ekspedisi ini kerana kebanyakkan kawasan di luar Hub atau bandar utama tidak mempunyai pelbagai aktiviti menarik.
Dapatkan quest di Hub
Hub adalah tempat utama dimana pemain dapat berinteraksi dengan penduduk tempatan, menerima quest, dan mendapatkan pelbagai kemudahan, termasuk rumah sendiri. Seperti dalam game Monster Hunter lain, akan ada Quest Board di mana anda boleh menerima pelbagai jenis sub-quest untuk mendapatkan hadiah tambahan, Market untuk membeli item dan Armory & Smithy bagi membeli atau menempa peralatan. Ianya nampak lebih ringkas berbanding Hub di Monster Hunter sebelum ini, kerana anda hanya boleh memburu Monstie tertentu dan mengumpulkan bahan yang cukup untuk membuat satu armor. Pemain juga boleh mengumpulkan Blue Mushroom dengan mudah untuk membuat Potion sebanyak mungkin kerana ianya sangat senang didapatkan.
Dari segi quest yang boleh dipilih, terdapat beberapa sub-quest tersedia dari NPC dan anda boleh meluangkan masa menyelesaikannya semua dalam satu masa. Walaupun agak memakan masa, tetapi ia akan memberi ganjaran yang sangat berbaloi dan dapat membantu ketika melakukan quest berbahaya di waktu lain. Kemudahan lain yang boleh membantu anda melakukan quest adalah seperti Prayer Pot, untuk memberi pelbagai blessing atau bonus pada karakter, dan Melynx Inc., dimana pemain boleh menukar Bottle Cap dengan item Rare.
Menetaskan Monstie
Dalam Monster Hunter Stories 2: Wings of Ruin, terdapat sebuah fasiliti penting dipanggil Stables dimana pemain boleh menguruskan Monstie dan telur mereka. Selain dari menjadi tempat menetaskan telur Monstie, pemain boleh menggunakan Rite Channeling untuk menguruskan Gen bagi mendapatkan Monstie yang kuat seperti dimahukan. Namun, ada ketika beberapa Monstie yang saya miliki akan kembali ke jenis serangan asal walaupun telah menukarnya ke jenis lain dengan stats lebih sesuai. Tetapi, sekurang-kurangnya ada beberapa peningkatan Quality of Life ketika memilih Gen yang memberikan anda bonus paling optimum.
Mod Multiplayer
Dalam game ini, pemain boleh mencuba mod multiplayer dimana mereka boleh bersama rakan untuk memburu telur Monstie serta mencari item rare. Mod ini hampir sama dengan oline co-op yang ada pada game Monster Hunter sebelum ini, dimana anda boleh bersama sehingga 4 pemain untuk memburu Monster. Namun saya tidak dapat mencuba mod multiplayer kerana agak sukar untuk mencari pemain lain disebabkan game ini masih baru, jadi saya banyak menghabiskan masa bermain di mod single-player dengan melengkapkan sub-quest sahaja.
Penutup
Secara keseluruhannya, saya sangat menyukai gameplay yang ada di Monster Hunter Stories 2: Wings of Ruin kerana ia amat mudah serta kasual untuk dimainkan dan mempunyai banyak aktiviti menarik boleh dilakukan. Bagi mereka yang baru mencuba meminati JRPG, game ini amat sesuai kerana anda boleh mengetahui kelemahan musuh dengan memerhatikan jenis serangannya melalui sistem pertarungan sistem turn-based.
Walaupun tidak banyak Monster yang ditampilkan dalam game utama, tetapi anda masih boleh mengumpul pelbagai jenis Monster dengan cara mencuri telur dari sarang mereka dan menetaskannya di Stable. Malah, anda juga boleh mencipta Monstie dengan kebolehan baru melalui hasil pemilihan Gen yang terbaik dan sangat membantu dalam pertempuran. Pemain pastikan akan rasa seronok bermain game ini kerana sepanjang pengembaraan di Monster World, anda ditemani sahabat Monstie dalam pertempuran dan melakukan quest.
Walau bagaimanapun, game ini tetap mempunyai beberapa kekurangan seperti dari segi jalan cerita agak lambat berkembang dan sangat mudah untuk diramalkan. Musuh dalam game ini juga amat mudah ditewaskan kerana mereka hanya kekal pada satu jenis serangan dan anda boleh mengetahui bila ia akan menyerang watak pemain. Namun, bagi saya semua ini tidak menjadi masalah yang besar sehingga mengganggu jalan cerita di Monster Hunter Stories 2, kerana ianya masih seronok untuk dimainkan.
Dari segi prestasi, sepanjang saya bermain di PC ia memberikan pengalaman yang cukup stabil, tetapi ada beberapa kali game ini akan mengalami gangguan crash dan saya terpaksa menutupnya. Walaupun saya sudah mendapatkan kemaskini terbaru, tetapi crash itu tetap berlaku walaupun tidak terlalu kerap. Nasib baiklah game ini mempunyai ciri auto-save, jadi saya tidak begitu risau jika masalah crash berlaku ketika bermain.
Sampai disini sahaja review saya tentang Monster Hunter Stories 2: Wings of Ruin. Bagi yang ingin mendapatkan game ini, anda boleh membelinya salinan digitalnya di Nintendo eShop atau di Steam pada harga RM248 sahaja! Untuk membaca segala liputan kami berkaitan game ini, anda boleh tekan sahaja pada pautan yang tersedia.

@gamersantaimy
The Review
Monster Hunter Stories 2: Wings of Ruin
Spin-off Monster Hunter yang sesuai untuk pemain JRPG baru
PROS
- Gameplay mudah dimainkan
- Jalan cerita yang kasual dan tidak rumit
- Pelbagai aktiviti menarik boleh dimainkan
- Grafik yang bagus
CONS
- Kurang Monster di game utama
- Masalah crash ketika bermain di PC
Discussion about this post