Rasanya hampir semua kanak-kanak pernah mencuba atau tahu tentang game LEGO. Dengan reka bentuk yang mudah diakses, mod co-op yang mesra keluarga, dan ikatan kuat dengan francais ikonik, setiap game LEGO mempunyai daya tarikan yang luas. Namun, walaupun kebanyakan tajuk LEGO dikeluarkan oleh TT Games dan berasaskan filem terkenal, entri terbaru LEGO Horizon Adventures mengambil pendekatan unik dengan menerokai dunia francais permainan video melalui kolaborasi bersama Guerrilla Games dan Studio Gobo.
Kerjasama ini mengundang rasa ingin tahu sejak awal: bagaimana mereka akan mengadaptasi dunia Horizon yang sarat emosi kepada alam LEGO yang ceria? Bolehkah tajuk seperti Horizon—yang terkenal dengan nada kompleks dan matang—menarik peminat baharu dan pada masa yang sama tetap memikat peminat setia?
Inilah review kami untuk Horizon Adventures.
Aloy Semakin Ceria Dalam Dunia LEGO Yang Riang
Dalam LEGO Horizon Adventures, pemain akan menghidupkan semula jalan cerita Horizon Zero Dawn dalam versi LEGO yang ceria dan penuh warna. Game ini mengulangi naratif original tetapi menambah humor ringan, yang memberi sentuhan unik. Meskipun gaya ini mungkin terasa asing dalam game utama Horizon, saya sendiri terkejut untuk melihat ia agak sesuai dengan suasana LEGO.

Aloy, protagonisnya, kini tampil lebih comel dan optimis, menambahkan daya tarikan kepada penonton muda seperti kanak-kanak, di mana perjalanan Aloy dikisahkan secara ringkas dan kurang intens, menjadikannya lebih mudah diakses, namun masih mengekalkan inti pati Horizon.
Kisah bermula seperti dalam Horizon Zero Dawn, di mana kita melihat asal-usul Aloy yang dibesarkan oleh Rost, seorang pemburu yang disisihkan. Babak awal dimainkan semula -yang menunjukkan latihan Rost untuk Aloy bagi membuktikan diri kepada suku Nora- cuma dalam versi LEGO yang lebih ringkas.

Selepas serangan cultist terhadap suku Nora, Aloy perlu membantu membangunkan semula kampung, menyelamatkan ahli suku, dan merekrut sekutu yang membawa pelbagai kebolehan unik. Watak-watak popular seperti Varl, Teersa, dan Erend masing-masing muncul dengan kelebihan tersendiri yang memperkayakan pengalaman bermain.
Secara am, ia berfungsi sebagai versi segar dan lebih “simple” bagi kisah Aloy. Bukan itu sahaja, keaslian game ini diperkaya dengan kembalinya pelakon suara original seperti Ashly Burch (Aloy) dan JB Blanc (Rost dan juga Narator), yang mengulangi peranan mereka dengan nada ceria, menambah humor dan keceriaan dalam plot yang sudah dikenal.

Namun, naratif yang dipermudahkan dan lebih ringan mungkin terasa kurang mendalam bagi pemain yang mengharapkan tahap emosi dari naratif asal Horizon Zero Dawn.
Bantu Menyelamatkan Kampung Nora
Selepas Aloy mengeratkan hubungan dengan suku Nora, dia diberi amanah untuk membantu membina semula kampung Mother’s Heart, yang kini menjadi pusat utama/main hub dalam game. Kampung yang hidup ini menjadi tempat bagi pemain untuk kembali antara misi, menggunakan ganjaran yang dikumpul untuk memperbaiki kampung selepas diserang cultist.

Cerita utama terbahagi kepada misi-misi kecil yang lebih mudah, memberi peluang kepada Aloy untuk kembali dengan kerap ke Mother’s Heart dan melabur dalam pemulihan komuniti. Ahli suku Nora yang berjaya diselamatkan akan membuka kedai/rumah di kampung, menawarkan perkhidmatan seperti mengubah pakaian Aloy atau memberi peluang kepada pemain untuk menghias Mother’s Heart.
Pilihan untuk menghias di Mother’s Heart sangat luas. Pemain boleh menghias bangunan-bangunan, membuka misi sampingan di papan komuniti, atau membeli pakaian baharu untuk Aloy dan rakan-rakannya.

Bagi keseronokan tambahan, kampung ini boleh diubah untuk mencerminkan pelbagai musim atau suku dalam dunia Horizon. Malah, pilihan ini melangkaui Horizon, termasuk elemen dari LEGO City, Ninjago, dan banyak lagi. Di Pokok All-Mother, Aloy dan rakan co-op boleh menggunakan Studs (mata wang dalam game) untuk menguatkan senjata atau membeli faedah lain yang memberi manfaat kepada seluruh watak.

Mengikut gaya LEGO, pilihan customization ini tidak hanya terhad kepada bangunan. Watak-watak juga boleh diberi pakaian unik, membolehkan Aloy dan rakan-rakannya tampil dengan rupa yang berbeza daripada penampilan asal mereka. Aloy juga boleh memakai pelbagai pakaian daripada alam semesta Horizon atau LEGO yang lain. Sebagai contoh, saya pernah memakai pakaian Polis untuk salah satu misi di papan komuniti.
Gameplay Setia Kepada IP Horizon
Bagi mereka yang biasa dengan game klasik LEGO, LEGO Horizon Adventures langsung terasa sama. Teras gameplay melibatkan penerokaan persekitaran yang dikenali, melawan musuh, menyelesaikan teka-teki mudah, dan mengumpul stud LEGO dalam objek yang boleh dipecahkan dan peti tersembunyi.
Namun, kekuatan sebenar LEGO Horizon Adventures terletak pada cara ia bijak menggabungkan elemen Horizon Zero Dawn, memperkenalkan mekanik baharu yang memberi pengalaman yang unik.

Game ini mengambil elemen ikonik Horizon dan membayangkannya semula dalam gaya LEGO yang ceria. Di setiap peringkat, pemain berpeluang untuk memanjat, menaiki zipline, dan menggunakan pelbagai alat untuk menavigasi dunia LEGO, dengan setiap watak menampilkan gaya permainan yang tersendiri.
Busur Aloy dan alat Focus-nya menambah dimensi baru dalam pertempuran dan navigasi. Dengan menekan butang [◻], Aloy boleh membidik sasaran tertentu dengan busurnya.
Menekan R1 pula mengaktifkan Focus-nya, yang menyerlahkan sasaran utama dalam warna biru. Ini membolehkannya melancarkan serangan kuat dan berinteraksi secara kreatif dengan persekitaran—misalnya, memanah melalui unggun api menghasilkan panah berapi yang menambah damage atau membakar tumbuhan untuk membuka laluan baru.

Pertarungan dengan mesin-mesin pula mengambil secara langsung mekanik pertarungan ikonik Horizon. Pemain boleh membidik titik lemah pada perisai makhluk robot, menyebabkan bahagian-bahagian tercabut, kadang-kadang membolehkan Aloy menjadikan bahagian yang tertanggal itu menjadi senjata.
Setiap mesin diperkenalkan dengan kelemahan spesifik, memerlukan pemain untuk mengimbas titik-titik ini menggunakan Focus Aloy.
Stealth dalam game ini juga lucu dan menghiburkan. Ketika bersembunyi di rumput tinggi, watak-watak bukan sahaja menyorok; mereka berubah menjadi gumpalan bata LEGO yang menyerupai rumput, berjalan secara mengendap dengan gaya yang comel.

Selain Aloy, pemain boleh menggunakan watak lain dengan gaya pertarungan yang unik: Varl menggunakan tombak, Teersa menggunakan pelbagai item sebagai bom, dan Erend bergantung pada kekuatan tombaknya.
Kepelbagaian ini memberi ruang kepada pemain untuk mencuba strategi pertarungan berbeza, dengan setiap watak turut dilengkapi alat Focus untuk mengenalpasti titik lemah musuh.
Setiap watak juga mempunyai power-up khusus untuk mempertingkatkan senjata unik mereka, memberi efek tambahan atau kuasa khas. Peningkatan kuasa ini menyumbang kepada perkembangan setiap watak, membolehkan pemain membuka abiliti baharu dan menguatkan watak mereka seiring kemajuan permainan.
Contohnya, Aloy boleh meningkatkan busurnya supaya lebih kuat, sementara bom Teersa mungkin mendapat efek letupan tambahan.

Namun, walaupun di kesukaran paling tinggi, cabaran dalam game ini terasa agak rendah. Kebanyakan peringkat masih mudah diselesaikan, dan akan terasa lebih mudah jika anda bermain bersama rakan yang sudah berpengalaman.
Lebih Seronok Bersama Kawan
Seperti kebanyakan game LEGO, LEGO Horizon Adventures benar-benar bersinar dalam mod co-op, sama ada bermain bersama rakan secara local atau online.
Pertarungan co-op melawan mesin Horizon adalah pengalaman yang menyeronokkan dan penuh aksi, yang lebih mengasyikkan apabila dinikmati bersama rakan. Ia sangat sesuai untuk pemain muda dan rakan atau ahli keluarga mereka.

Satu ciri reka bentuk yang bijak adalah bahawa kedua-dua pemain mempunyai akses kepada power-up, jadi sesiapa yang bermain sebagai watak sokongan tidak akan merasa seperti sekadar “pemain sampingan.” Aloy mungkin protagonis, tetapi rakan-rakannya juga memainkan peranan penting, menjadikan setiap watak terasa bernilai dan unik dalam pertempuran.
Jika salah seorang pemain kehabisan nyawa, pemain lain boleh menghidupkannya semula dengan menekan butang [△]. Namun, perlu diingat, pemain yang dihidupkan semula akan kehilangan sebarang power-up yang telah mereka kumpulkan.

Game ini juga menyediakan lima tahap kesukaran yang boleh disesuaikan, membolehkan pemain dari pelbagai umur dan tahap kemahiran menikmati pengalaman ini. Ciri ini menonjolkan lagi daya tarik LEGO Horizon Adventures sebagai permainan yang benar-benar direka untuk dinikmati bersama.
Visual Menawan, Hampir Semua Boleh Dibina Di Dunia Sebenar
Salah satu ciri utama yang menonjol dalam LEGO Horizon Adventures adalah tahap butirannya yang mengagumkan, di mana setiap adegan dibina dengan teliti menggunakan bata LEGO animasi. Dari pemandangan luas hingga bangunan yang usang, game ini berjaya mencipta semula dunia Horizon dalam gaya LEGO dengan setia.
Dengan pencahayaan yang realistik dan tekstur yang terperinci, kesan visualnya memang memukau, hingga ke pantulan cahaya pada kepingan plastik yang kelihatan seperti LEGO sebenar.

Perhatian terhadap perincian sangat mengagumkan, sehingga setiap watak, mesin, atau objek dalam game berpotensi untuk direka semula dalam LEGO sebenar, asalkan memiliki kepingan yang sesuai. Dedikasi terhadap keaslian ini, digabungkan dengan grafik yang berkualiti tinggi, menjadikan penerokaan dunia LEGO Horizon sangat mengasyikkan secara visual.
Berbeza dengan banyak game LEGO lain yang menekankan kemusnahan objek, di sini fokus lebih kepada pemeliharaan persekitaran, membolehkan pemain menikmati dunia LEGO yang terperinci ini.

Seperti game LEGO lain, elemen humor juga diselitkan dalam hampir setiap butiran visual, mengingatkan kita kepada LEGO Star Wars. Game ini berjaya menyeimbangkan humor slapstick dengan rujukan kepada Horizon. Contohnya, watak Rost yang serius diubah dalam gaya komedi, yang sering membuat jenaka pada setiap kesempatan yang ada.
Pendapat
LEGO Horizon Adventures berjaya menyatukan dunia luas dan kompleks Horizon Zero Dawn dengan sentuhan humor khas dari permainan LEGO, untuk mencipta versi pengembaraan Aloy yang segar dan mesra keluarga.

Dengan jalan cerita yang lebih ringkas, versi Horizon ini mudah diakses oleh pemain muda tetapi tetap menawarkan kedalaman dan rujukan kepada siri original untuk peminat lama.
Game ini masih menyatukan elemen-elemen klasik permainan LEGO—seperti mengumpul stud, menyelesaikan teka-teki, dan platforming—dengan mekanik ikonik Horizon, termasuk kebolehan unik setiap watak, alat Focus, dan sasaran titik lemah musuh.

Walaupun ia mungkin tidak memiliki kedalaman emosi dan kerumitan seperti Horizon Zero Dawn, game ini menggantikannya dengan daya tarikannya yang santai, humor, dan kemudahan akses.
Sama ada bermain sendirian atau dalam mod co-op, ini adalah pengembaraan yang menggabungkan dua dunia kesayangan, mengajak pemain dari semua peringkat umur untuk meneroka dunia Aloy dalam cara yang lebih ringan dan menghiburkan.
LEGO Horizon Adventures rasmi akan dilancarkan untuk PlayStation 5, Switch, dan PC melalui Steam dan Epic Games Store pada 14 November. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi di SINI.
@gamersantaimy
The Review
LEGO Horizon Adventures
LEGO Horizon Adventures berjaya menyatukan dunia luas dan kompleks Horizon Zero Dawn dengan sentuhan humor khas dari permainan LEGO, untuk mencipta versi pengembaraan Aloy yang segar dan mesra keluarga. Game ini masih menyatukan elemen-elemen klasik permainan LEGO—seperti mengumpul stud, menyelesaikan teka-teki, dan platforming—dengan mekanik ikonik Horizon, termasuk kebolehan unik setiap watak, alat Focus, dan sasaran titik lemah musuh.
PROS
- Gabungan unik sambil mengekalkan kebanyakan elemen gameplay dan naratif Horizon Zero Dawn
- Visual LEGO yang terperinci dan sangat autentik
- Penuh dengan humor dan Easter Egg
- Boleh dinikmati bersama keluarga dan rakan dari semua peringkat umur dan tidak memerlukan kemahiran tinggi
CONS
- Cerita yang diringkaskan tanpa aspek emosi berat
Discussion about this post