Diumumkan semasa acara Sony CES 2022, rasanya ramai yang terkejut dengan pendedahan Horizon Call of the Mountain, sebuah game VR serba baharu berkisarkan alam semesta Horizon. Dibangunkan oleh Guerilla Games dan Firesprite secara eksklusif untuk PlayStation VR2, game ini akan dikeluarkan pada 22 Februari 2023 dan tersedia hanya untuk PS5 sahaja.
PlayStation memberi peluang kepada saya untuk mencuba game ini, jadi selepas meluangkan beberapa hari bersamanya, saya ingin berkongsi segala-galanya yang saya belajar tentang Horizon Call of the Mountain dalam artikel review ini.
Jalan cerita berkisarkan protagonis baru, Ryas

Carja Sundom masih dalam huru-hara akibat “Red Raids”, sebuah kempen perang kejam/pengorbanan ritual yang dilakukan oleh puak Carja ke atas puak jiran mereka. Serbuan ini mengorbankan banyak nyawa tetapi berjaya ditamatkan apabila Mad Sun-King Jiran ditewaskan oleh anaknya, Avad.
Secara tidak langsung, ini memecahbelahkan puak Carja, di mana ada yang bersyukur atas pengakhiran pemerintahan Jiran di Sundom, manakala askar yang setia kepada Jiran terpaksa melarikan diri lalu membentuk puak baru bernama Carja in Shadow.
Protagonis Horizon Call of the Mountain, Ryas, adalah salah satu daripada askar itu. Setelah memainkan peranan penting dalam penculikan Putera Itamen dari rumahnya di Meridian, Ryas berusaha untuk menebus kesilapan diri dan mendapatkan semula kehormatannya.
Selepas membenarkan dirinya ditangkap dan dipenjarakan oleh puak Carja, Ryas diampunkan daripada hukuman mati. Kini, dia direkrut oleh Sun-King Avad dan Blameless Marad.
Seorang pendaki, pakar pemanah dan pemburu hebat, Ryas mesti memperoleh kebebasannya dengan menyiasat ancaman baharu.
Sinopsis

Horizon Call of the Mountain ialah game pertama dalam francais Horizon di mana Aloy bukan protagonis dan walaupun dia muncul dalam jalan cerita, ini bukan kisah tentang heroin berambut merah kita.
Aloy bukanlah tumpuan utama untuk kisah kali ini; sebaliknya jalan ceria akan menumpukan tentang Ryas dan bagaimana dia ingin menebuskan dosanya yang dahulu. Selain Aloy, kami akan menemui beberapa watak lama serta watak baharu yang bakal diperkenalkan di dalam game.

Dalam cerita seperti ini, naratif berskala kecil dengan protagonis baharu sejujurnya sangat menarik perhatian saya. Ia meluaskan plot keseluruhan siri Horizon dan mengembangkan jalan cerita supaya lebih bercabang. Untuk peminat lama, setiap lokasi dalam game penuh dengan easter egg untuk dicari.
Pada masa yang sama, ia turut menjadi game yang hebat untuk peminat VR mencuba walaupun anda tidak berpeluang bermain mana-mana game Horizon kerana kisahnya yang mudah difahami.

Satu-satunya perkara yang saya ingin mengadu ialah jalan ceritanya agak pendek, kira-kira 7-10 jam. Jika anda hanya fokus sahaja pada jalan cerita, tempoh masa mungkin dikurangkan kepada 5-7 jam mengikut kehandalan masing-masing.
Nama pun “Mountain”, gameplay mesti banyak memanjat

Sebagai rumusan, game ini memfokuskan pada mekanik “mendaki/memanjat” yang pasti akan meletihkan tangan kita dan aksi memanah yang menguji kemahiran menyasar kita. Semuanya dilakukan dalam 360 darjah jadi kebebasan untuk memandang ke bawah, atas, kiri dan kanan adalah sepenuhnya di bawah kawalan pemain.
Untuk berjalan, kita perlu melakukan gerakan ‘hayun lengan’ sambil memegang butang [segi empat] dan [x ]. Seolah-olah saya menghayunkan tangan untuk bergerak ke hadapan, ia terasa natural dan imersif. Jika anda terlalu malas, game ini juga menyokong pergerakan ‘controller’ konvensional, tetapi sepanjang bermain game ini, saya tidak memakai sistem ini kerana takut ia menjadi terlalu membosankan.

Seperti yang saya katakan, memang jelas bahawa pendakian akan memainkan peranan penting dalam game dan menggunakan controller PS VR2 Sense, kita hanya perlu meniru aksi pendakian dengan menggunakan tangan untuk berpegang pada sisi gunung atau retakan kecil di dinding.
Interaksi terasa semula jadi di mana pergerakan tangan saya direplikasikan ke tangan maya dalam skrin, dan bersama maklum balas haptik dan adaptive trigger, ia mengubah daya dan tension bergantung pada apa yang saya lakukan atau pegang (contohnya: tension akan semakin meningkat jika bahagian saya memanjat semakin mencuram).

Saya dapat mengalami secara fizikal apa sahaja yang Ryas memanjat dengan memakai tangan saya seperti yang dilakukan di dunia sebenar. Bahagian ini diaplikasikan kepada aksi-aksi lain seperti memanjat tangga dan tali.
Kemudian, Ryas akan memperoleh ‘pick-axe’ yang boleh digunakan pada permukaan “licin” seperti ais atau sisi gunung yang tiada rekahan. Ini juga merupakan satu lagi bentuk pengalaman untuk membuatkan kami merasa seperti pendaki yang mahir.

Menggunakan tanda-tanda yang halus tetapi jelas, laluan mendaki agak mudah untuk dinavigasi. Cuma, saya perlu memberi amaran kepada anda semua, bahagian mendaki sebenarnya agak meletihkan pada tangan lengan, jadi sesuai untuk korang buat senaman!
Semasa bermain game ini, saya terkejut melihat dunia yang penuh dengan item boleh berinteraksi. Bersikap ingin tahu, saya cuba menyentuh semua yang boleh dilihat seperti tumbuh-tumbuhan dan air. Apa yang mengejutkan adalah semua objek itu bertindak balas terhadap sentuhan saya.

Bukan sahaja persekitaran, dunia sekeliling dipenuhi dengan objek interaktif untuk kita cari. Antara contoh objek adalah kita boleh mencari di dalam peti dan tong yang berselerak untuk menemui barang. Selain itu, ada objek lain seperti periuk, pinggan, kotak, dan anak patung yang boleh diambil, diperiksa, atau dibuang. Walaupun semasa membaling, ia masih rasa autentik kerana pinggan akan pecah apabila terkena lantai.
Selain itu, terdapat beberapa lagi item interaktif yang boleh meningkatkan pengalaman imersif. Contoh termasuk berus cat yang boleh digunakan untuk menghiasi dinding gua di mana saya tulis nama saya, sejenis kompang yang boleh dimainkan dengan memukul bahagian tepi, dan seruling yang akan mengeluarkan bunyi apabila kita meletakkannya di dekat mulut kita.
Tetapi seperti mana-mana game VR lain, pengalaman VR ini boleh diganggu dengan kemunculan ralat teknikal. Itu sebab sesetengah objek akan “terlekat” di tanah dan saya tidak dapat mengutip atau mengambilnya.
Bertarung melawan mesin dinosaur

Tidak lama selepas itu datang bahagian pertempuran dan nasib baik Ryas berjaya menemui busur. Dengan jelas, ini akan menjadi senjata pilihan utama Ryas untuk pertempuran kerana semua game Horizon menggunakan busur dan anak panah.
Daripada segi pertempuran VR, mekanik memakai busur agak tipikal; kita akan menarik busur daripada belakang, mengambil satu anak panah, sasar dan tembak – sama seperti dunia sebenar. Tetapi berkat maklum balas haptik, saya dapat merasakan sensasi menarik tali busur yang semakin mengetat melalui getaran controller.

Apa yang menjadikan Horizon Call of the Mountain berbeza daripada segi pertempuran VR ialah cara ia menginovasi mekanisme “dodge dan strafe (mengelak)” untuk memberikan keunikan sendiri.
Sebaik sahaja bertarung dengan salah satu mesin, kita terperangkap di dalam satu bulatan yang berfungsi seperti ruang pertempuran. Di sini, kita boleh menyerang dan mengelak musuh sambil menembak anak panah seperti Aloy. Untuk mengelak, kita hanya perlu menghayunkan tangan ke kiri atau kanan bergantung ke mana kita hendak pergi sambil memegang [segi empat] dan [x] kemudian lepaskan butang.

Saya dapat menewaskan kebanyakan mesin dengan melakukan tindakan di atas dengan kerap supaya mendapat ruang untuk bertarung dan bergerak ke posisi lebih baik.
Mungkin ada yang akan kata “pertempuran ada limitasi kerana kami tidak mempunyai ruang penuh untuk berlawan” tetapi percayalah saya – ” ruang itu sebenarnya agak besar”; jadi kita masih ada kebebasan untuk bergerak. Dengan ini, pertempuran lebih mudah untuk dinavigasi dan juga menyumbang kepada pengalaman VR Horizon yang autentik.

Menentang mesin besar berperisai sambil mencabut bahagian kelemahan secara strategik adalah elemen gameplay besar dalam francais Horizon. Oleh itu, dengan keupayaan mengelak, kita boleh mengenal pasti kelemahan mereka dan kemudian menyerang pada masa yang tepat. Dari satu aspek, Horizon Call of the Mountain cuba mencipta semula gaya pertempuran itu secara realistik tetapi dalam konteks realiti maya.
Selain itu, kami juga boleh mencipta senjata baharu seperti Blastsling dan jenis anak panah berbeza seperti Shock Arrow dan Fire Arrow daripada bahan mentah. Malangnya, tidak semua senjata daripada francais utama akan muncul di dalam game ini.

Dari segi jenis musuh, variasinya agak banyak seperti Watcher, Scrapper dan juga Thunderjaw yang besar. Sebenarnya ada lagi, tetapi kebanyakannya tidak agresif seperti Tallneck.
Satu lagi perkara yang kita perlu ambil perhatian ialah musuh di dalam game ini tidak agresif seperti game utama kerana kebanyakan corak pergerakan mereka direka semula agar sesuai dengan pertempuran VR. Itu pun bagus kerana tidak semua pergerakan Aloy boleh diterjemahkan ke sistem VR dengan lancar.

Dan jika kekurangan HP, anda boleh cuba makan epal yang bertaburan di merata tempat. Hanya ambil satu biji dan bawa ke mulut anda untuk memulihkan nyawa. Dari segi animasi, Ryas benar-benar sedang makan sebiji epal kerana isinya akan hilang dengan setiap gigitan.
Seolah-olah kita berada di dunia Horizon

Saya sebenarnya mengalami adegan paling imersif semasa ‘River Ride’, bahagian paling awal di dalam game itu sendiri.
Menaiki bot, saya dapat melihat dunia Horizon melalui mata saya sendiri dan melihat betapa besarnya skala dunia. Terdapat begitu banyak pemandangan untuk dilawat seperti bunga yang berwarna-warni dan air terjun yang mengalir di sisi.

Pemandangan menjadi lebih mengasyikkan selepas melihat mesin dari dekat, di mana saya dapat memerhatikan seekor Stormbird terbang dari jauh, sekumpulan Grazer di tebing sungai, dan perasaan hampir dipijak oleh Tallneck.
Mereka yang pernah bermain game Horizon akan tahu bahawa mesin ini semua bersaiz besar dan menakjubkan untuk dilihat, walaupun dari perspektif orang ketiga. Tetapi apabila melihat seekor Tallneck dari perspektif first-person – lagi-lagi semasa ia berjalan di atas anda – kita mempunyai perspektif baharu untuk dunia Horizon.

Visual Horizon Call of the Mountain jauh melebihi apa sahaja yang saya lihat pada PS VR original. Memang tidak boleh dibandingkan!
PSVR 2 bukan sahaja mempunyai resolusi yang lebih besar, tetapi juga kuasa untuk menghasilkan semua visual berkualiti tinggi, yang pada pendapat saya, adalah setanding dengan mana-mana game PC VR yang grafiknya berat. Visual Call of the Mountain pun hampir sama seperti Horizon Forbidden West kerana semuanya jelas, definisi tinggi dan segala ciri dipaparkan dengan jelas dan tepat.

Aspek terakhir untuk meningkatkan pengalaman saya ialah maklum balas haptik pada headset. Sama seperti controller, headset juga akan menghasilkan gegaran lembut semasa detik-detik penting dalam game untuk memberi pengalaman yang mengasyikkan. Sebagai contoh; apabila Tallneck datang, headset akan bergegar mengikut gegaran tanah.
Pendapat

Secara keseluruhan, Horizon Call of the Mountain adalah satu game yang anda mesti cuba jika diri ingin mendapatkan PS VR2.
Ia hibrid daripada pelbagai game VR; pertama sekali, ia mempunyai naratif yang hebat, pengalaman safari yang mengasyikkan, pengalaman mendaki ala parkour yang realistik, dan sistem pertempuran komprehensif di mana anda perlu bergerak semasa menyerang dan bukannya hanya menyasar seperti game VR lain. Bahagian paling seronok sekali adalah sesi interaksi bersama objek. Semua ciri-ciri ini digabungkan menjadi pengalaman game VR yang definitif.

Sangat mustahil untuk “merasa” dunia Horizon semasa menggunakan gamepad atau melihat di TV, jadi saya sangat mengesyorkan kepada peminat lama untuk mencuba Call of the Mountain kerana ia menolak setiap aspek ke tahap lebih tinggi.
Walaupun anda tidak pernah bermain siri Horizon, saya masih akan meminta anda untuk mencuba game ini kerana ia layak digelar sebagai antara game VR paling hebat pada dekad ini.
Horizon Call of the Mountain akan dikeluarkan pada 22 Februari 2023 dengan nilai harga RM 249.00. Pada masa yang sama, anda juga boleh dapatkan set bundle ‘PlayStation VR2 Horizon Call of the Mountain bundle yang mengandungi PS VR2 dan game sekali. Bundle ini dijual pada harga RM 2999.
Untuk membaca review kami tentang headset PS VR2, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
The Review
Horizon Call of the Mountain
Ia hibrid daripada pelbagai game VR; pertama sekali, ia mempunyai naratif yang hebat, pengalaman safari yang mengasyikkan, pengalaman mendaki ala parkour yang realistik, dan sistem pertempuran komprehensif di mana anda perlu bergerak semasa menyerang dan bukannya hanya menyasar seperti game VR lain. Bahagian paling seronok sekali adalah sesi interaksi bersama objek. Semua ciri-ciri ini digabungkan menjadi pengalaman game VR yang definitif.
PROS
- Sangat-sangat interaktif
- Visual hebat yang didorong oleh mekanik komprehensif
- Sistem pergerakan adalah intuitif untuk penerokaan dan pertempuran
CONS
- Jauh lebih memenatkan daripada game VR tipikal
- Jalan cerita agak pendek
- Sesetengah objek mungkin hilang atau/terlekat pada persekitaran - pepijat teknikal
Discussion about this post