Harvestella adalah game simulator pertanian yang unik dengan penambahan elemen JRPG, lebih kurang seperti Rune Factory. Dibangunkan oleh Live Wire dan diterbitkan oleh Square Enix, game ini tersedia untuk Nintendo Switch dan PC melalui Steam.
Seperti game JRPG biasa, watak utama dalam game ini telah mengalami amnesia dan kisah ini berlangsung di mana anda dan parti perlu mengetahui tentang fenomena yang dikenali sebagai Quietus. Ianya adalah musim di mana udara dipenuhi dengan habuk yang membawa maut dan semua makhluk hidup akan mati jika terkena habuk tersebut. Kecuali anda.
Story

Dunia Harvestella dibina di atas empat struktur utama seperti kristal di kawasan berbeza yang dipanggil Seaslight. Setiap Seaslight menentukan perubahan stabil antara empat musim. Tetapi pada suatu hari, kejadian aneh telah berlaku iaitu Quietus telah melanda yang menyebabkan tanaman menjadi layu dan mati. Ia membuatkan para penduduk tidak boleh keluar rumah selama satu hari. Disebabkan anda tidak terjejas dengan Quietus, penduduk di Lethe Village telah membenarkan anda menginap di Bird’s Eye Brae di mana anda boleh melakukan aktiviti harian sebagai petani.
Kisah Harvestella bukanlah sesuatu yang inovatif atau sesuatu yang senorok untuk ditulis tetapi ia mempunyai daya tarikannya tersendiri. Satu perkara yang patut diberi perhatian ialah bagaimana Seaslights dan Quietus dikatakan main peranan penting dalam aspek pertanian Harvestella. Setiap musim berlangsung selama 30 hari mengikut kalender in-game dan sebelum peralihan musim, hari Quietus akan bermula di mana ia akan memaksa anda untuk menanam semula tanaman.

Secara peribadi saya merasakan itu adalah cara yang baik untuk memperkenalkan pemain ke dunia Harvestella jika ingin dibandingkan dengan naratif biasa seperti “atuk anda telah mewasiatkan ladangnya untuk anda uruskan”. Ianya sesuatu yang baru untuk melihat keseluruhan pengalaman game daripada menyelamatkan dunia menjadi naratif utama game ini berbeza dengan plot game pertanian lain yang lebih santai dan tenang.
Terdapat juga side-quest watak yang boleh dipilih untuk buat atau tidak, ia membolehkan anda meningkatkan ikatan anda dan watak itu. Yang menariknya, jika ikatan anda cukup tinggi, anda mempunyai pilihan untuk membangun ikatan romantik bersamanya. Side-quest itu adalah misi biasa seperti game lain di mana pemain perlu pergi ke kawasan spesifik dan mengambil barang yang diminta oleh NPC.

Game ini telah melakukan kerja yang bagus dengan jalan cerita yang kemas, salah satu contoh yang saya boleh beri ialah ketika quest tiga kanak-kanak di Lethe Village terpaksa akur dengan keputusan salah seorang daripada mereka terpaksa berpindah ke tempat baru kerana kerja ibu bapa mereka.
Reka bentuk

Keseluruhan reka bentuk Harvestella kelihatan sangat menarik. Perkara seperti reka bentuk watak hingga bandar kelihatan berbeza dengan ketara antara satu sama lain dan bagaimana visual kristal Seaslights gergasi dilihat dari jauh disertai dengan reka bentuk penjara bawah tanah yang pelbagai menjadikan visual game ini menarik.
Melangkah masuk ke bandar-bandar yang berbeza secara visual, kebanyakan reka bentuk bandar mewakili Seasonal Seaslight. Terdapat Lethe Village yang mempunyai reka bentuk kawasan dengan tumbuhan hijau yang biasa dilihat pada sesetengah game RPG. Terdapat juga bandar di mana bunga tumbuh dengan mekar sepanjang tahun serta dipenuhi dengan pokok sakura dan kelopak yang dipanggil Nemea Town mewakili musim bunga. Dan perkampungan tepi laut Shatolla di mana bumbung bangunan diperbuat daripada jerami dan batu karang berwarna-warni bertaburan di seluruh kampung mewakili musim panas.

Salah satu aspek kegemaran saya dalam game ini dari segi persembahan ialah seni sprite 2D setiap watak. Karya sprite dilukis dengan menggunakan tangan dalam gaya yang sangat berbeza. Ia memberikan rasa unik dan fantasi kepada watak, amat sesuai dengan gaya JRPG tetapi cukup berbeza untuk menonjol daripada game lain.

Bagi model 3D watak pula, ia dihasilkan dengan baik dan sesuai untuk spesifikasi Nintendo Switch. Tidak terlalu teruk dan tidak terlalu bagus. Cumanya ia kelihatan sedikit kabur kerana tidak mempunyai outline yang jelas. Secara keseluruhannya, saya tetap berpuas hati dengan model 3D game ini.
Satu kelemahan yang saya kurang gemar untuk Harvestella ialah kekurangan lakonan suara. Walaupun game ini membenarkan saya memilih suara watak, kekurangan lakonan suara dalam game ketika berdialog menyebabkan perasaan seronok itu tenggelam. Saya faham bahawa dengan tidak mempunyai suara tidak semestinya menjadi sebuah game itu teruk, tetapi ia membuatkan saya berasa pelik kerana watak hanya bercakap secara watak sewaktu pertempuran.
Gameplay

Untuk gameplay, saya akan memecahkan kepada dua bahagian iaitu pertanian dan pertempuran. Walaupun namanya mempunyai ayat “harvest”, namun pertanian bukan aspek utama game ini. Hal ini kerana anda perlu membina ladang sebagai sumber pendapatan utama untuk menaik taraf senjata dan membeli barangan penting.
Penggunaan mekanik ladang dalam game ini adalah repititif tetapi anda mempunyai beberapa jenis tanaman yang berbeza dan masa penuaian yang berbeza. Sesetengah tanaman hanya akan tumbuh mengikut musim tertentu dan terdapat beberapa tanaman yang anda tidak perlu menggantikan benihnya. Tidak lupa juga pemain boleh menaik taraf saiz ladang dan membina mesin untuk menghasilkan makanan serta menambah kandang haiwan.

Selepas masa tertentu, anda akan diberi akses kepada buku yang mempunyai pelbagai objektif kecil untuk diselesaikan seperti menuai beberapa tanaman tertentu atau memasak makanan tertentu. Dengan menyelesaikan beberapa quest akan membolehkan pemain mendapat akses kepada kebolehan bertani seperti mencangkul beberapa bidang tanah sekaligus.

Selain daripada menjual hasil tanaman anda untuk mendapatkan wang, anda juga boleh menggunakannya sebagai makanan atau minuman untuk mengisi bar kelaparan. Bar kelaparan sangat penting kerana ia bertindak sebagai salah satu tanda dari segi melaksanakan tugas harian seperti bertani dan ketika berlawan. Pemain harus peka dengan bar kelaparan dan jangan diturunkan sehingga kosong kerana ia akan membahayakan mereka, lebih-lebih jika berada di dungeon di mana anda boleh diserang tetapi tidak boleh menyerang.
Kita bercakap tentang pertempuran pula, Harvestella menggunakan elemen hack-and-slash di mana pemain hanya perlu menekan satu butang dan dua butang sekali-sekala untuk menghasilkan kombo. Ini bermakna mekanik pertempurannya tidak sedalam seperti game lain dan ia cukup mudah untuk dimainkan dan memuaskan. Selain itu, anda boleh mempunyai sehingga tiga class (Job) berbeza di mana anda boleh bertukar-tukar semasa pertempuran dan setiap kelas memberi pengalaman berbeza.

Setiap kelas mempunyai skill tree tersendiri dan untuk menaik taraf kebolehannya, anda akan memerlukan Job Points. Satu benda yang saya suka tentang game ini ialah setiap Job Points adalah berasingan daripada setiap kelas dan anda tidak perlu menggunakan Job untuk mendapatkan mata. Ini bermaksud anda boleh bermain dengan Job pilihan anda dan masih boleh memperoleh point dan meningkatkan tahap kemahiran kelas yang berbeza.

Bagi musuh yang anda akan berlawan pula, mereka mempunyai kelemahan elemen tersendiri dan semasa berlawan dengan Boss, jika pemain memukul dengan kelemahannya berulang kali, anda akan mencetuskan efek “break” di mana musuh akan mendapat lebih banyak damage untuk masa yang terhad. Pemain boleh mengalahkan musuh dengan mudah jika menggunakan efek tersebut.
Pengembaraan di dunia Harvestella

Dunia Harvestella sememangnya sangat besar dan pemain boleh mengembara di setiap bandar serta dungeon yang berbeza melalui peta diorama dunia. Setiap dungeon mempunyai berbilang lapisan seakan-akan labirin di mana lebih banyak tempat anda teroka maka lebih banyak peta akan dibuka untuk anda.
Tempoh masa yang diambil untuk pemain meneroka dungeon sepenuhnya adalah lebih kurang tiga hari waktu in-game, hal ini bukan kerana ia sangat besar tetapi sebab masa in-game berlalu dengan sangat pantas. Seperti biasa, dihujung dungeon akan diakhiri dengan pertarungan Bos.

Akan terdapat halangan tertentu yang akan anda temui semasa meneroka dungeon di dalam game ini. Salah satunya ialah laluan yang rosak di mana anda perlu membaikinya dan laluan itu akan menjadi jalan pintas untuk anda.

Terdapat juga halangan lain iaitu FEAR, seekor raksasa besar yang mempunyai level tinggi. Jika parti anda tidak cukup kuat untuk membunuhnya, adalah digalakkan untuk mengelak daripada berlawan dengannya. Beberapa raksasa FEAR ini akan menghalang laluan anda atau menjaga peti harta tetapi selalunya anda boleh menyelinap melepasi mereka. Jika anda tanpa sengaja aggro raksasa tersebut, anda boleh melarikan diri kerana ia akan berhenti mengejar apabila jarak antara pemain dan raksasa tersebut terlalu jauh.
Kesimpulan

Secara keseluruhannya, saya menikmati sepanjang sesi bermain Harvestella dan gameplay pertarungannya sangat menyeronokkan. Pemain boleh memilih dan bermain dengan pelbagai jenis Job, hal ini membolehkan mereka mencuba pelbagai playstyle berbeza.
Tetapi untuk sesiapa yang hanya mencari game simulasi pertanian, sudah pasti Harvestella bukan untuk anda. Ianya sebab kerana secara jujurnya pemain akan menghabiskan masa mereka melawan raksasa dan meneroka dungeon daripada bercucuk tanam. Walau bagaimanapun, saya tetap mendapati mekanik pertanian game ini memuaskan tanpa mengira tentang kesusahannya.

Kekurangan game ini bagi saya hanyalah masa in-game kerana ia berlalu dengan cepat. Saya rasa mata wang sebenar game ini ialah masa dan bagaimana anda menggunakannya. Ia boleh menjadi agak mengecewakan pada masa-masa tertentu sebab, cuba bayangkan. Hanya beberapa langkah lagi untuk sampai ke checkpoint tertentu, tahu-tahu anda dibut semula di rumah.
Untuk game yang santai dan casual, Harvestella adalah salah satu game yang sesuai kepada mereka yang ingin bermain dengan reka bentuk menarik dan mempunyai kelainan tersendiri kepada genre pertanian.
Untuk baca banyak lagi review daripada kami, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
The Review
Harvestella
Untuk game yang santai dan casual, Harvestella adalah salah satu game yang sesuai kepada mereka yang ingin bermain dengan reka bentuk menarik dan mempunyai kelainan tersendiri kepada genre pertanian.
PROS
- Artstyle yang menarik dan cantik.
- Pertarungan yang simple tetapi seronok.
- Perbezaan kelas pekerjaan.
CONS
- Masa in-game terlalu pantas.
- Bukan game yang akan memenuhi citarasa orang ramai.
Discussion about this post