Sepanjang minggu lalu, saya berpeluang untuk mencuba Forspoken, sebuah action-RPG parkour berasaskan magic yang dihasilkan oleh Square Enix dan Luminous Productions. Berlatarkan Frey Holland yang tiba-tiba mendapati dirinya kena “isekai” ke dunia menarik bernama Athia, dia harus selamatkan alam itu daripada kehancuran.
Di sini, saya ingin berkongsi pengalaman saya bermain game ini termasuk jalan ceritanya, sistem pertempurannya, adegan eksplorasi, dan lain-lain.
Tanpa melengahkan masa lagi, berikut adalah review saya untuk Forspoken!
Jalan cerita dengan visual menarik, cuma pacing tidak menentu

Di dunia sebenar, Frey Holland hidup dalam keadaan susah dan membesar di bandar New York tanpa wang dan tanpa kawan. Nasibnya berubah apabila dia menemui sejenis perisai lengan boleh bercakap yang digelar sebagai “Cuff”. Cuff, kemudian secara ajaib, telah “isekai” Frey ke dunia Athia yang pelik dan memberinya kuasa “magic” untuk melindungi diri sendiri.
Pada suatu masa dahulu, Athia diperintah oleh empat “Tanta” – individu-individu hebat dengan kuasa magic yang luar biasa. Semua Tanta menggunakan kuasa mereka untuk mengekalkan keamanan dan kemakmuran di kerajaan masing-masing, tetapi secara beransur-ansur, mereka menjadi kejam apabila sejenis fenomena bernama “The Break” melanda seluruh Athia dan mengubah setiap makhluk hidup menjadi raksasa berbahaya.

Disebabkan Frey imun terhadap efek ‘the Break’, dia dan Cuff dapat sampai ke Cipal, benteng terakhir buat umat manusia. Sebaik sahaja tiba di situ, beberapa peristiwa besar berlaku yang menyebabkan Frey harus mengembara ke penjuru dunia paling jauh. Kini, hanya Frey sahaja yang boleh menyelamatkan Athia.
Jadi itulah sinopsis untuk jalan cerita Forspoken. Latar belakang dunia dan kisahnya cukup menarik, tetapi ia tidak menceritakan keseluruhan plotline bagi game itu. Jika anda ingin belajar lebih lagi tentang sejarah Forspoken dan apa yang berlaku kepada Athia, semuanya direkodkan dalam bentuk “collectible” (barang yang boleh dikutip) ala-ala seperti game The Last of Us.

Bagi saya, saya sebenarnya berminat dengan jalan cerita game ini. Ia mirip anime isekai; cuma bezanya adalah semua watak kali ini orang barat. Aspek “worldbuilding” pun sangat hebat tetapi isu terbesar adalah cara ia menyampaikan visual dan lakonan yang menganggu pacing jalan cerita.
Secara khususnya, kelemahan terbesar game ini daripada aspek penceritaan adalah cutscene yang pelik, penyampaian dialog yang tidak meyakinkan, dan transisi “fade-to-black” yang tidak diperlukan. Walaupun sudah masuk ke plot pertengahan, masalah ini tetap muncul dengan kerap.

Daripada segi lakonan, kebanyakan lakonan watak amat “flat” dan seolah-olah tiada emosi. Ini diburukkan lagi oleh penyuntingan cutscene, di mana babak hitam tiba-tiba akan muncul walaupun sekadar perbualan antara watak NPC.
Korang semua perlu tahu; Forspoken adalah game yang fast-paced dengan konsep cerita yang menarik tetapi adegan cutscene pelik dan membosankan telah merosakkan pengalaman saya dan menganggu rentak gameplay. Walaupun Frey, Cuff dan beberapa watak sokongan lain mempunyai persembahan yang saya *rasa* anggap bagus, itu pun tidak cukup untuk atasi masalah ini.
Kelebihan sebenar Forspoken terletak pada sistem pertempuran dan cara eskpolarsi berasaskan magic yang akan saya bincangkan di bawah.
Sistem pertempuran fast-paced, mahir berpuluh-puluh magic

Gameplay Forspoken mengutamakan “magic/spell”, di mana Frey dapat menggunakan pelbagai sihir misteri untuk bertarung. Sistem ini sejujurnya agak kompleks, tetapi setiap mekanik akan diperkenalkan secara beransur-ansur untuk mengelakkan pemain daripada menjadi serabut.
Setiap spell dibahagiakan kepada dua jenis iaitu: Support dan Attack. Support ialah L2, dan Attack ialah R2. Konsep umum bagi gameplay adalah untuk sentiasa menyerang sambil menggunakan magic jenis “support” untuk mengawal gerombolan musuh/raksasa yang banyak.

Setiap spell mempunyai tempoh cooldown yang berbeza dan kaedah serangan tertentu, seperti ‘tapping’, ‘hold’ atau ‘charging’. Dengan menahan butang trigger, kita boleh mengecas kuasa magic, atau menyerang secara berterusan seperti mesingan. Walaupun hanya satu spell boleh digunakan pada satu masa, kita boleh buka “spell menu” pada bila-bila masa dengan menahan butang L1 atau R1 untuk beralih kepada spell berbeza.
Pada awalnya, kita hanya dapat menggunakan Purple Magic. Namun, setelah mencapai Chapter 6, Frey kemudian akan memperoleh lebih banyak spell baharu yang boleh digunakan seperti Red Magic, diikuti oleh Blue dan Green.


Setiap magic berfungsi secara berbeza dan amat berguna dalam pelbagai situasi. Sebagai contoh, Purple Magic amat efektif apabila menyerang musuh daripada jauh, tetapi akan berasa kurang berkesan jika musuh mendekati anda. Jika itu berlaku, tukar kepada Red Magic dan serang mereka dengan tumbukan atau pedang berapi.
Memandangkan kebanyakan musuh mempunyai kelemahan terhadap salah satu jenis magic, kita boleh bereksperimen untuk menentukan serangan mana yang paling efektif.

Pendek cerita; sistem pertempuran Forspoken amat menghiburkan, fast-paced, dan seronok. Saya rasa inilah sorotan utama Forspoken – lagi-lagi apabila dikelilingi oleh berpuluh-puluh raksasa jahat, ketika inilah saya rasa seperti seorang wira isekai yang dapat mendominasikan medan perang. Satu-satunya masalah apabila bertarung adalah kamera kadangkala boleh menjadi gila, tetapi ini masalah kecil kerana pemain dapat reset isu ini dengan mudah.
Satu lagi kata terakhir adalah pertempuran rasa lebih seronok bersama maklum balas haptik dan ciri adaptive trigger PS5 DualSense yang menawarkan pengalaman “realistik” semasa bermain.
Terokai Athia pakai parkour, gunung tinggi pun boleh daki

Dalam banyak-banyak game eksplorasi, Forspoken juga antara kegemaran saya. Untuk meneroka dunia Athia, Frey akan menggunakan ilmunya parkour (yang ditambah kuasa magic) bernama Flow. Dengan Flow, Frey boleh pecut merentasi padang dan mendaki gunung tinggi dengan mudah.
Semua eksplorasi akrobatik ini boleh dibuat dengan menekan satu butang sahaja (tahan butang O), dan anda akan menjadi hero paling lincah dalam sekelip mata. Semakin jauh kita di dalam plot, lebih banyak pilihan parkour akan dibuka, yang membolehkan Frey pergi ke lokasi lebih sukar untuk mendapatkan ganjaran rahsia.

Dunia terbuka Athia terbahagi kepada pelbagai wilayah yang dipenuhi dengan banyak misi sampingan dan mercu tanda. Ini termasuk cabaran kubu yang mengandungi banyak musuh, safe house untuk Frey crafting dan upgrade barang serta berehat, mini-dungeon dengan bos istimewa, monumen unik yang akan menguji kebolehan parkour Frey, dan sebagainya.
Malangnya, sebaik sahaja meneroka beberapa wilayah, saya perasan bahawa misi dan aktiviti tidak banyak berubah. Ternyata, aktiviti di dalam game kekurangan variasi, dan sebaliknya, ia hanya “mengisi” dunia dengan aktiviti yang sama setiap kali. Satu-satunya perkara yang mendorong saya untuk meneruskan aktiviti sampingan ini adalah Frey boleh memperoleh lebih banyak spell dan ganjaran untuk menguatkan diri sendiri.

Daripada cara saya menjelaskan dunia Forspoken, mungkin ada yang menganggap tidak menarik, tetapi sejujurnya saya tidak kisah menerokai dunia Athia kerana proses perjalanan dan sistem menyeronokkan tidak pernah membosankan.
Satu lagi sebab mengapa saya suka meneroka dunia Athia adalah untuk mengalami sepenuhnya visual dan sejarah dalam permainan. Tidak boleh dinafikan, grafiknya sangat cantik dan terdapat banyak perkara untuk dilihat dan mengalami. Sejujurnya, lebih baik kita meluangkan masa dan menikmatinya sepenuhnya daripada tergesa-gesa menghabiskan jalan cerita.
Gayakan diri dengan mengubah “baju, rantai dan kuku”

Selain daripada perisai lengan ajaibnya, Frey mempunyai beberapa kaedah lain untuk menguatkan abilitinya. Khususnya, dia mempunyai akses kepada tiga jenis peralatan berbeza yang memainkan peranan penting dalam proses upgrade.
Dua peralatan yang perlu saya sebutkan dahulu ialah ‘Cloak’ dan ‘Necklace’. Frey akan menghabiskan sejumlah bahan sumber (boleh ditemui di sekitar Athia) untuk menambah ‘stat’ tambahan, abiliti pasif dan banyak lagi. Sesetengah sangat penting seperti membuatkan Frey kebal terhadap racun apabila HP-nya capai tahap kritikal jadi pastikan anda memilih pasif itu dengan bijak.

Di antara kedua-duanya, Necklace lebih sukar dicari, tetapi jika dapat meluangkan masa yang cukup semasa mencari, korang pasti akan menjumpainya setelah menewaskan mini-boss atau di sebalik lokasi terpencil. Untuk menambah upgrade pada Cloak dan Necklace, Frey boleh menggunakan crafting bench yang boleh didapati di semua rumah berehat.
Satu nasihat berguna ialah untuk sentiasa mengejar Cloak dan Necklace walaupun korang tidak mahu menukar peralatan semasa. Lebih banyak peralatan yang dikumpul, lebih banyak upgrade pasif yang akan dibuka. Pasif ini kemudian boleh digunakan pada item lain.

Akhir sekali, Frey boleh melukis pada kukunya untuk meningkatkan kekuatan magic. Berbeza daripada Cloak dan Necklace, ‘Nail Art’ mempunyai menu sendiri. Setiap kali Frey melukis corak baharu pada kukunya, sejumlah bahan berbeza akan digunakan – jadi korang perlu memikir tentang efek setiap kuku sebelum membuat keputusan kerana takut membazir bahan.
Jangan lupa untuk melukis dua corak kuku berlainan di setiap tangan untuk memaksimumkan kesannya.

Pujian harus diberikan kepada aspek customization Forspoken. Ia tidak kompleks dan menawarkan banyak pilihan untuk Frey di mana pemain boleh menggayakannya mengikut playstyle yang mereka rasa selesa. Tidak banyak ARPG yang menawarkan fleksibiliti seperti ini, jadi saya anggap itu antara kekuatan Forspoken.
Pendapat

Secara jujurnya, Forspoken dalam situasi yang pelik – ia bagus tetapi tidak berjaya menepati jangkaan orang ramai. Highlight sudah tentu adalah sistem pertempuran dan saya rasa ramai akan bersetuju dengan ‘kenyataan’ saya ini. Cuma, lakonan dan adegan cutscene dalam game benar-benar merosakkan pengalaman saya.
Ini agak sedih kerana jalan ceritanya mempunyai banyak potensi di mana studio berjaya mencipta game aksi RPG bergaya ‘western’ dengan plot isekai. Sepatutnya semua nampak cool kan? Malangnya, tidak.

Tetapi, jika anda jenis pemain yang suka kisah isekai fantasi dan tidak kisah jika wataknya generik, saya yakin Forspoken amat sesuai untuk anda. Tidak semua tentang jalan cerita 100% buruk kerana sesetengah watak cukup menawan/memberi impak dan aspek worldbuiling sebenarnya sangat menarik untuk mendalami.
Daripada segi kelebihan, gameplay dan dunia open-world adalah sorotan utama. Walaupun aktiviti di dalam dunia agak standard kerana kekurangan variasi, tetapi cara kita berinteraksi dan menavigasi melalui Athia adalah bahagian yang menyeronokkan. Ditambah lagi dengan sistem pertempuran yang cemerlang dan menghiburkan, dapat juga saya rasa seperti hero isekai di dalam anime.

Secara keseluruhan, Forspoken adalah game yang mengagumkan. Ia tidak sempurna dan kekurangan di beberapa aspek tetapi saya akan mengesyorkannya jika anda ingin gameplay penuh adrenalin.
Buat mereka yang berminat, Forspoken kini tersedia di PlayStation dan PC melalui Steam dan Epic Games Store.
@gamersantaimy
The Review
Forspoken
Tetapi, jika anda jenis pemain yang suka kisah isekai fantasi dan tidak kisah jika wataknya generik, saya yakin Forspoken amat sesuai untuk anda. Tidak semua tentang jalan cerita 100% buruk kerana sesetengah watak cukup menawan/memberi impak dan aspek worldbuiling sebenarnya sangat menarik untuk mendalami.
PROS
- Visual memukau mata.
- Sistem navigasi ala parkour yang penuh adrenalin dan menarik.
- Sistem pertempuran 'magic' yang menyeronokkan.
CONS
- Aktiviti dalam game terasa berulang.
- Adegan cutscene pelik yang mengganggu pacing cerita dan lakonan yang tidak menyakinkan
Discussion about this post