Ketika Fantasian pertama kali diumumkan, kita ditunjukkan kepada dunia unik yang penuh dengan grafik buatan diorama dan watak 3D yang terperinci. Dihasilkan oleh pencipta Final Fantasy, Hironobu Sakaguchi, adakah ia dapat mencapai tahap JRPG yang memuaskan dan imersif tetapi pada peranti mudah alih? Setelah seminggu (lebih?) mencuba permainan, inilah review Fantasian saya yang membuktikan permainan bukan sahaja dapat menepati jangkaan peminat genre RPG, malah sangat selesa dimainkan di pelantar mudah alih. Mari kita mulakan ulasan ini!
Naratif & latar belakang
Kita akan bermain sebagai Leo, seorang pencuri yang bangun dalam dunia mesin tanpa sebarang memori tentang kisah silam. Tidak lama kemudian, kita akan belajar bahawa Leo telah melawat beberapa dunia lain, kerana ingin menangani masalah Mechteria yang merosakkan dunia. Sepanjang perjalanan, kita akan bertemu dengan beberapa ahli parti seperti Kina yang wataknya lebih kurang seperti Aerith dari FF7, dan juga Cheryl, si sang puteri kepada sebuah kerajaan.
Setelah melarikan diri dari fasiliti mesin, Leo akan kembali ke bandar asal iaitu En. Di sini, dia akan belajar tentang teknologi bernama “Toy Box“, di mana dia menyimpan harta karun yang dijumpai. Leo cuba mencari bantuan seorang tukang tilik untuk mengembalikan memorinya yang hilang, dan berjumpa dengan Kina. Semasa dalam perjalanan untuk mengembalikan memori ini, Leo mendapati bahawa dewa Vam sebenarnya jahat, dan cuba menyerang Leo semasa dalam pengembaraan. Sambil bertahan hidup, Leo dan rakan-rakan berjaya menaiki sebuah kapal untuk menuju ke bandar seterusnya.
Adakah kisah Fantasian sudah tamat? Belum! ‘Part 1‘ sahaja sudah berdurasi 20 jam, manakala Part 2 akan keluar pada hujung tahun ini. Memang jalan ceritanya menarik dan membuatkan ramai terpikat untuk tahu lebih lagi.
Visual & estetika
Sekilas pandang, Fantasian nampak seperti permainan ‘old-school‘ Final Fantasy, dengan bunyinya yang klasik dan reka bentuk UI yang serupa. Tetapi itu bukan tumpuan utama.. Salah satu ciri hebat yang mereka lakukan ialah sebahagian besar latar belakang permainan datang dari model dunia sebenar, yang dibuat dalam gaya diorama. Ini memberikan penampilan yang cukup unik kepada permainan, di mana model 3D yang digunakan juga kelihatan sangat berkualiti tinggi, dan sangat cantik semasa di ‘cutscene‘. Saya agak suka art style-nya, kerana ia jauh beza dari gaya chibi di Bravely Default sambil tidak terlalu berusaha untuk menjadi realistik seperti permainan terkini Final Fantasy.
Reka bentuk watak pun agak mantap, tetapi pemain mungkin akan melihat sedikit persamaan dengan beberapa watak dari IP Square Enix. Sebagai contoh, Leo mempunyai banyak persamaan dengan protagonis Nier, Kina pula “sangat-sangat” diinspirasikan oleh Aerith, dan salah satu robot yang kita dapat pada awal permainan amat menyerupai mecha-Vivi dari Final Fantasy.
Gameplay asas & sistem pertempuran
Sekarang, jom kita sembang tentang bahagian kegemaran saya dalam Fantasian. Seperti mana-mana JPRG, sistem pertempuran berbentuk ‘turn-based‘, tetapi dengan sedikit kelainan. Kedudukan musuh amat penting dalam permainan, dan semua serangan kita boleh dilakukan pada baris yang lurus atau melengkung. Beberapa serangan bahkan dapat melalui musuh, jadi pemain harus memastikan musuh berada di barisan yang betul untuk menyerang banyak musuh sekaligus.
Parti kita boleh mempunyai maksimum 3 orang, dan anda boleh menukar anggota parti tambahan dalam menu (saya masih belum membuka lebih dari 3 ahli parti tetapi slot ini wujud di menu). Satu lagi perkara yang perlu saya sebutkan adalah watak mempunyai kelas masing-masing, tetapi permainan itu sendiri tidak mempunyai sistem pekerjaan. Setiap watak pula mempunyai kemahiran tersendiri yang dipelajari apabila meningkat ‘level‘, tetapi selain dari peralatan, pemain tidak ada cara untuk membuat ‘build‘ khusus.
Setiap pertarungan menggunakan sistem giliran. Malangnya, saya tidak pasti bagaimana setiap giliran dikira dan kita pun tidak ada cara untuk memanipulasi waktu giliran selain dari pertarungan Dimengeon (saya akan jelaskan sistem ini di bawah). Satu lagi perkara yang saya perlu mengadu adalah tentang cara setiap kemahiran berfungsi. Oleh kerana kita perlu merancang arah mana untuk menyerang musuh, pemain seharusnya ‘klik’ kemahiran tersebut, kemudian tarik untuk memilih sasaran. Walaupun ramai yang bersetuju cara ini lebih mudah dan ‘straight-forward‘, saya beberapa kali, tanpa sengaja, telah tekan butang kemahiran dan hanya dapat menyerang satu sasaran sahaja. Memang menyedihkan, lagi-lagi apabila kita dalam keadaan terdesak.
Satu masalah lain adalah sudut kamera yang tidak konsisten. Sebagai contoh, pertarungan bos menggunakan kamera sudut rendah, yang menjadikan serangan melengkung agak sukar untuk kita lihat. Tidak ada cara untuk perbaiki masalah ini melainkan jika kita menyerang musuh yang paling jauh, lantas membuatkan beberapa pertarungan agak menjengkelkan jika kita ingin menyerang banyak musuh sekaligus.
Sistem Dimengion
Pernah tak anda terlalu mendalami jalan cerita permainan dan ingin tahu apa yang terjadi di bahagian seterusnya tetapi sering diganggu oleh pertemuan rawak dengan musuh? Dalam Fantasian, ini bukan masalah! Dengan sistem Dimengeon, kita dapat ‘menyimpan’ raksasa yang ditemui dalam perjalanan. Harap maklum, sistem ini tidak menyelesaikan, tetapi hanya menunda pertarungan tersebut. Sistem Dimengeon mempunyai had simpanan untuk 30 raksasa (boleh ditingkatkan kemudian dalam permainan) dan pada bila-bila masa, anda boleh membuka sistem ini untuk melawan semua raksasa di dalam simpanan.
Pertarungan ini mempunyai gimik khas sendiri, di mana kita dapat memukul objek yang melayang di sekeliling untuk mendapatkan ‘buff‘ seperti ‘Attack Up‘, atau giliran tambahan. Dimengeon akan aktif secara automatik setelah pemain membukanya, tetapi juga dapat dimatikan jika pemain mahukan pengalaman JRPG tipikal dengan pertemuan rawak selang beberapa minit.
Pertarungan bos
Saya terpaksa jujur dengan awak semua. Setiap pertarungan bos dalam permainan sangat-sangat susah! Buat masa ini, saya hanya dapat selesaikan tiga sahaja. Itupun, salah satu adalah bos tutorial, jadi saya tidak tahu nak kira sekali atau tidak. Bos kedua pula saya dapat tewaskan dengan memaksa Kina meminum banyak ‘Energy Drink‘ untuk dapatkan buff Attack Up manakala saya tersekat pada bos ketiga selama tiga hari berturut-turut.
Walaupun saya kata ia susah, saya juga mendapati bahawa setiap pertarungan bos agak seimbang kerana membolehkan kita menggunakan ‘buff‘ seperti Energy Drink yang memberi Attack Up, dan lain-lain. Berbeza dari konco-konconya yang pergerakan mudah diramal, bos mempunyai corak gerakan sendiri, yang sukar untuk dijangka. Sebagai contoh, bos dari tutorial boleh dikalahkan apabila pemain memusnahkan menara, tetapi kita tidak akan mendapat pilihan untuk menyerang menara tersebut sehingga permainan memberitahu.
Seekor lagi bos pun mempunyai mekanik yang serupa di mana Cheryl akan memberitahu kelemahannya berada di kepala. Setelah 2 hari menderita (sebab tidak tahu apa yang perlu dibuat), rupanya kita perlu menunggu bos itu untuk melakukan sebuah animasi spesifik (ia akan pandang ke atas) untuk menyerang raksasa tersebut bagi melakukan ‘damage‘ berlipat ganda! Ini adalah mekanik yang menarik kalau orang luar dengar tetapi agak mengelirukan bagi pemain yang tidak memberi perhatian. Satu petua saya boleh beri adalah pemain boleh kutip Elemental Fragment, yang boleh digunakan seperti sihir untuk melakukan nilai kerosakan yang tinggi.
Masalah apa yang saya hadapi semasa bertarung? Ini mungkin ialah pendapat peribadi tapi saya mendapati Leo agak lemah. Dia hanya melakukan kerosakan fizikal biasa, dan kebanyakan kali, saya menggunakannya untuk mencuri barang musuh dengan abiliti ‘Steal‘. Dia mempunyai sihir yang boleh menyerang berkali-kali tetapi itu hanya untuk satu sasaran sahaja, yang bermaksud kita hanya akan aplikasikannya untuk pertarungan boss. Walaupun begitu, semua bos hanya lemah terhadap ‘Holy spell‘ milik Kina, jadi saya biasanya menggunakan giliran Leo untuk memberi ‘Energy Drink‘ kepada Kina kerana satu tembakan Holy+Energy Drink lebih sakit daripada apa yang boleh dilakukan Leo.
Peralatan
Setiap ahli parti mempunyai peralatan sendiri, yang boleh dibeli di kedai. Leo memakai pedang, Kina memakai tongkat sihir, dan Cheryl menggunakan cincin. Untuk perisai, setiap watak mempunyai pilihan masing-masing, di mana Leo dan Kina dapat menggunakan rompi manakala Cheryl menggunakan tali pinggang.
Ini adalah kaedah yang menarik untuk memastikan setiap watak menepati peranan mereka (tali pinggang mempunyai pertahanan yang lebih rendah daripada rompi jadi Cheryl tidak dapat dijadikan sebagai ‘tank‘) tetapi terasa pelik. Kita juga boleh menggunakan permata untuk menambahkan buff tambahan. Satu perkara yang saya rasa pelik- pada awal permainan, semua permata memberi buff ketahanan kepada unsur elemental. Saya rasa ini tidak perlu kerana saya tidak banyak bertemu dengan musuh elemental pada awal permainan.
Pendapat
Sejujurnya, Fantasian memang menyeronokkan. Ini adalah JRPG yang cukup mantap, dengan banyak fitur baru yang membuatkan saya rasa ia berbaloi untuk orang cuba, walaupun ia mempunyai konsep JRPG ‘old-school‘ sebagai asas. Kadang-kala, permainan boleh bikin ‘frust‘ seperti kelemahan bos yang berdasarkan animasi atau sudut kamera yang kekok, tetapi pada masa yang sama, saya gembira pihak pemaju cuba menerapkan sesuatu yang baru dan tidak berpegang tehuh pada konsep RPG klasik.
Itu sahaja untuk review Fantasian ini! Sehingga kita berjumpa lagi, selamat ber-gaming! Untuk segala liputan kami tentang Fantasian, sila tekan sini.
Video gameplay

Dari pencipta Final Fantasy, datanglah pengembaraan menakjubkan seterusnya dari legenda industri Hironobu Sakaguchi. Fantasian adalah RPG menarik baru dengan latar belakang spektakuler yang dibuat dengan lebih dari 150 diorama buatan tangan yang menggabungkan persekitaran fizikal dan watak 3D.
@gamersantaimy
The Review
Fantasian
Sejujurnya, Fantasian memang menyeronokkan. Ini adalah JRPG yang cukup mantap, dengan banyak fitur baru yang membuatkan saya rasa ia berbaloi untuk orang cuba, walaupun ia mempunyai konsep JRPG 'old-school' sebagai asas.
Discussion about this post