Bukan selalu dapat bermain sebagai haiwan lagi-lagi nak kena bertahan dalam dunia yang hampir musnah. Kali ini, kami berpeluang untuk bermain Endling – Extinction is Forever di mana, anda akan menjadi seekor ibu musang terakhir dan melindungi anak-anaknya untuk mengelakkan daripada kepupusan.
Tanpa melengahkan masa lagi, jom kita terus kepada review Endling – Extinction is Forever.
Penceritaan

Anda akan bermain sebagai seekor ibu musang yang terakhir di mana spesies musang semakin dekat dengan ancaman kepupusan. Pada pengawalan game, musang itu sedang mencuba untuk melarikan diri dari kebakaran hutan dan tercedera selepas jatuh dari tebing kecil.
Kemudiannya, musang itu membuat rumah perlindungan dan melahirkan empat ekor anak yang menjadi kunci untuk menjaga spesies mereka daripada kepupusan.

Pada awal penceritaan, ibu musang mempunyai keluarga yang damai dan harmoni sehingga pemburu menangkap seekor anaknya. Di sinilah pengembaraan bermula. Anda perlu mencari anaknya yang hilang dengan meneroka dunia luar yang penuh dengan bahaya. Dalam masa yang sama, ibu musang perlu berbuat sesuatu untuk kekal bertahan bersama anak-anaknya.
Pengembaraan pada dunia yang besar dan cantik

Game ini berlaku pada dunia yang berbahaya di mana terdapat beberapa kompleks perindustrian bersama rumah pelindungan manusia yang hancur. Apa yang saya boleh gambarkan pada game ini adalah bumi yang telah rosak di mana pokok sentiasa ditebang, sumber air yang sangat kotor dan penuh dengan sampah, asap daripada kilang mencemarkan udara dan tiada haiwan yang selamat daripada diburu.
Walaupun pemandangan game ini menyedihkan, anda masih dapat melihat keindahan di sebalik semua itu di mana setiap haiwan masih cuba menjalani kehidupan mereka dan secara tidak langsung memberikan harapan untuk ibu musang itu meneruskan kehidupannya.

Endling menggunakan reka bentuk dunia grafik 3D dengan penuh tetapi ia bermain seperti game side-scrolling. Walaupun hanya side-scrolling, anda masih boleh sesat kerana ia dimainkan pada dunia yang besar. Jika sesat, anda tidak perlu risau, kerana pasukan developer menyediakan button map di mana anda boleh melihat peta dunia tersebut pada bila-bila masa sahaja.
Walaupun tidak banyak tempat menarik, anda masih boleh mendapatkan pengalaman yang sangat menggembirakan dengan melalui pelbagai acara dan tempat-tempat yang boleh berinteraksi.

Hal ini kerana, anda perlu menerokai dunia luar semata untuk mencari makanan supaya dapat bertahan melawan kepupusan spesies. Sudah tentu matlamat utama anda adalah untuk mencari anaknya yang hilang. Disebabkan tidak banyak yang boleh dilakukan dalam satu hari, anda perlu balik ke rumah perlindungan bersama anak-anak sebelum memulakan hari baru.
Kadang-kadang, anda tidak boleh nak lakukan apa-apa kerana laluan untuk mencari anaknya masih berkunci dan terpaksa membazirkan masa dengan memberikan makanan kepada anak-anaknya. Bahagian yang paling teruk adalah anda perlu sentiasa balik ke rumah perlindungan yang sangat jauh dari kedudukan yang anda berada sekarang dan ia boleh membosankan dengan cepat.

Walau bagaimanapun, saya tetap suka dengan dunia yang sentiasa berubah setiap hari di mana ia memberikan kesegaran setiap kali bermain pada hari seterunya. Terutama sekali pada peristiwa besar berlaku seperti menara elektrik jatuh atau bagaimana Badger liar boleh terperangkap dalam sangkar pemburu. Kalau anda nak tahu, anda juga boleh menyelamatkan haiwan lain seperti peristiwa yang saya katakan tadi.
Adegan bersama Badger adalah perkara paling hebat dalam game ini. Sebelum Badger itu diselamatkan, dia sering bertindak terlalu agresif apabila anda mencuba untuk mendekati tempat perlindungannya. Selepas dia diselamatkan oleh ibu musang, Badger terus menjadi lembut bersama anak-anak musang tetapi bukan kepada ibunya.
Hal ini kerana, mereka ingin mengekalkan realistik game dengan memberikan naluri seekor haiwan liar. Betapa gembiranya saya apabila mengetahui yang anda boleh membentuk satu ikatan untuk menjalinkan hubungan antara spesies haiwan yang berbeza bagi meneruskan kehidupan.
Gameplay

Survival merupakan perkara yang paling penting dalam game ini lagi-lagi anda bermain sebagai seekor ibu musang terakhir di bumi dan mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk melindungi anak-anaknya. Nasib baik game ini tidak menyuruh anda berbuat selain daripada mencari makan dan anaknya yang hilang.
Walaupun sekadar mencari sumber makanan, ia juga masih terasa mencabar kerana sumber makanan akan sentiasa berubah. Contohnya, anda menjumpai sarang arnab pada kawasan yang tertentu, apabila anda kembali pada keesokan harinya, tempat itu seperti tidak pernah wujud.
Jadi, anda akan menerokai dunia baru setiap hari sebelum menemui sesuatu. Sama ada memburu haiwan atau mengutip makanan terbuang di tong sampah, anda akan dipandu oleh “scents trail” yang berwarna hijau sebagai penunjuk. Terdapat juga penunjuk berwarna ungu sebagai “scent trail” bagi mencari pemburu yang menangkap salah seekor anaknya.

Walaupun menjadi spesies yang sangat jarang ditemui di dunia, ia tetap menjadi sasaran untuk diburu. Tetapi, ia sangat pelik kerana apabila datangnya bahaya mengancam kehidupan si ibu musang ini, bahaya itu sangat mudah untuk dielak. Apa yang saya katakan adalah bahaya sebenar yang boleh mengancam kepupusan spesies musang ini termasuk pemburu yang memburu dan menjual musang.
Apabila pemburu itu terlepas untuk memburu sasarannya, dia seperti tidak mempunyai semangat atau tenaga untuk mendapatkannya kembali. Ia terasa seperti berlawan dengan zombi.

Selain daripada pemburu, terdapat juga haiwan pemangsa seperti burung hantu besar yang sangat bahaya. Tetapi anda boleh mengelaknya dengan sangat mudah. Anda perlu menyelinap masuk ke dalam semak kerana mereka sentiasa tidur dengan nyenyak.
Terdapat juga bahaya yang berbetuk lain. Setiap daripada manusia yang melihat anda, mereka akan menyasarkan kepada ibu musang. Manakala haiwan pemangsa akan menyasarkan anak musang. Jadi, anda perlu berhati-hati terhadap semua jenis bahaya kerana ibu musang dan anak-anaknya masih terdedah jika diserang.

Pada awalnya, anda akan terasa anak musang itu langsung tidak membantu tetapi apakan daya, itulah kebenaran pada setiap kehidupan. Lama kelamaan, anak musang itu akan mempelajari skill baru yang boleh membantu ibu musang untuk terus hidup. Ada beberapa skill yang sangat membantu ibu musang termasuk mencelah kawasan yang kecil yang selalu menuju ke sumber makanan baru.
Sudah pasti saya bimbang akan anak-anak musang itu kerana mereka sangat terdedah dengan bahaya. Malangnya, kebimbangan saya membazir begitu sahaja kerana mereka sangat bebas dan anda tidak perlu sentiasa menjaga anak-anak musang itu.
Sebagai ibu musang, anda boleh bergerak sejauh yang mungkin dan anak-anak musang itu akan cuba mengejar ibunya. Ia juga perkara yang saya tidak jangkakan kerana sesetengah game memaksa anda sentiasa rapat dengan anak-anak mereka.
Kesimpulan

Cara Endling – Extinction is Forever menggambarkan semula dunia yang musnah berdasarkan isu dunia sebenar adalah bahagian yang paling penting dan terkuat dari keseluruhan pengalaman. Sebagai game, saya dapat pengalaman yang sangat bercampur baur yang memerlukan banyak kerja, terutamanya jika anda betul-betul ingin menawarkan game yang memfokuskan kepada kelangsungan hidup yang lebih sengit di mana watak anda mempunyai tanggungjawab yang begitu besar dan sepatutnya sangat terdedah.

Musuh yang anda lawan sangat mudah untuk mengelak sehingga tidak menumpukan kepada mereka dan hanya memfokuskan kepada mencari makanan untuk bertahan di dunia yang musnah. Lama kelamaan, mencari sumber makanan juga sangat menjadi sangat mudah apabila progress anda sangat maju dan anak-anak musang turut membantu dengan mengakses sumber makanan baru.
Walaupun begitu, saya masih berfikir yang Endling – Extinction is Forever mempunyai banyak daya tarikan dan anda dapat melihat developer benar-benar meletakkan banyak usaha untuk mencipta pengembaraan yang mementingkan alam sekitar yang terbaik.
Kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan Endling – Extinction is Forever, ia telah pun tersedia pada 19 Julai 2022 di PlayStation 4, Xbox One, Nintendo Switch dan PC melalui Steam dan Epic Games Store. Ikuti Gamer Santai untuk mendapatkan review lain berkenaan game dan juga teknologi daripada kami.
@gamersantaimy
The Review
Endling
PROS
- Berdasarkan isu dunia sebenar
- Reka bentuk dunia yang cantik dan sentiasa berubah
- Pengalaman interaktif yang sangat menarik bersama alam sekitar dan spesies lain
CONS
- Boleh mengelak daripada bahaya dengan sangat mudah
- Kembali ke rumah perlindungan dengan sangat kerap
Discussion about this post