Studio FromSoftware memang sangat terkenal kerana mencipta genre ‘Soulsborne’ (tahap kesukaran yang sangat tinggi) yang tampil dalam game seperti Dark Souls, Bloodborne dan Sekiro. Kini, mereka datang dengan game baru iaitu Elden Ring. Saya diberi peluang oleh Bandai Namco Entertainment untuk review tentang Elden Ring sebelum pelancaran rasminya pada 25 Februari 2022, jadi selepas empat – lima hari mencuba, rasanya saya lebih memahami dan boleh jelaskan sedikit tentang apa yang membuatkan game ini unik.
Secara kasar, Elden Ring adalah ciptaan yang unik dari FromSoftware kerana ia berlangsung dalam sistem open world yang luas. Ini merupakan perubahan yang besar oleh studio tersebut kerana sebelum ini mereka suka memfokuskan pada kawasan atau bangunan sempit untuk menambahkan lagi cabaran. Tetapi jangan risau wahai peminat Souls. Memang betul Elden Ring membawa beberapa elemen baru kepada genre, tetapi ia bukanlah perubahan yang radikal.
Jadi mari kita mulakan review Elden Ring ini!
Macam sama tapi sebenarnya baru

Saya bukanlah peminat tegar kepada genre Souls tetapi masih ada banyak pengalaman kerana pernah mencuba Dark Souls, Bloodborne, Sekiro, Nioh dan lain-lain. Bermain di PS5, saya dapat melihat bahawa watak dan reka bentuk dunia masih mempunyai gaya ikonik dari siri Dark Souls. Walaupun begitu, ia mula menunjukkan identiti tersendiri semasa kita meneroka dunia luar yang lebih berwarna-warni dan ‘luas’. Pertama kali keluar dari dungeon, saya dapat melihat dunia Elden Ring yang boleh disamakan dengan game dengan latar belakang “medieval fantasy”. Grafik tidak perlu kata, memang cantik di mana kita boleh melihat butiran paling kecil di bangunan, pokok, bangunan dan sebagainya. Mungkin sebab suasana tidak suram seperti game lama, saya terasa seperti grafik pun makin cantik.

Memandangkan ini adalah game dalam genre Soulsborne, saya daripada awal sudah bersiap sedia untuk menghadapi pelbagai cabaran serta belajar segala mekanik rumit untuk survive dalam game. Cuma, itu tidak perlu, kerana Elden Ring menghabiskan bahagian pertama untuk mengajar kita tentang mekanik-mekanik asas. Terdapat bahagian tutorial untuk mereka yang kurang confident dan pertarungan pertama juga direka khas untuk mengajar kita tentang sistem pertempuran sebelum kita dilepaskan ke dunia luar.
Jadi mengapa saya terlalu risau pada awal-awal? Ini kerana Dark Souls dan kaum kerabat sebenarnya kurang menjelaskan tentang mekanik-mekanik penting. Sebaliknya, ia terpulang kepada kita untuk belajar keseluruhan fungsi sistem semasa bermain. Ini pula sangat berbeza dengan Elden Ring di mana kita boleh belajar tentang cara-cara menyerang, cara untuk counter attack, crafting, dan lain-lain mengikut tempo sendiri. Bukan itu sahaja, tutorial ini juga memberi info lengkap dan tidak menyembunyikan apa-apa maklumat penting.

Saya pun jenis yang suka belajar diri sendiri tanpa bantuan tutorial tetapi harus mengaku bahawa beberapa mekanik dalam Dark Souls terlalu susah untuk faham kadangkala. Masa inilah sistem tutorial dapat berfungsi. Bagi Elden Ring, ia mencapai keseimbangan yang bagus antara “mengajar pemain” dan “membiar pemain jelajah dengan sendiri.” Korang boleh sahaja terus bermain tanpa lihat tutorial, tetapi andai kata lupa atau tidak faham, terdapat banyak panduan yang disediakan.
Sistem open-world di mana stealth lebih berguna

Dunia Elden Ring mungkin nampak kecil berbanding game open-world lain tetapi ia masih seronok untuk teroka. Apabila membuka peta, korang dapat lihat bahawa sebahagian besar daripada dunia diselubungi dengan kabus. Dengan meneroka dunia, peta ini akan kemudian diisi. Walaupun ini bukan game pertama yang menggunakan mekanik tersebut, saya sebenarnya suka ciri ini di Elden Ring kerana mencari lokasi-lokasi penting di peta selalunya menarik.

Selalunya, lokasi seperti ini dipanggil sebagai “point of interest* dan memang penuh dengan rahsia menarik. Bukan sekadar lokasi untuk mengumpul sumber atau item, kita boleh melawat tapak runtuhan untuk harta karun, mungkin seekor mini-boss sedang tersembunyi, menemui laluan rahsia, jumpa item yang betul-betul ada faedah dan sebagainya. Berbeza dengan game open world lain, ia selalunya kata “point of interest” tapi apabila sampai -“oh, tapak cari material rupanya”.
Satu lagi fakta yang korang mungkin tidak tahu ialah Elden Ring merupakan peta terbesar dalam francais Souls dari segi luas persegi, di mana setiap inci dari paras laut hingga ke puncak istana dipenuhi dengan tempat untuk diterokai.
Memandangkan game ini luas, kita memerlukan sejenis kenderaan untuk memudahkan perjalanan. Dengan itu, Elden Ring memperkenalkan “mount system” di mana kita boleh menunggang kuda astral. Ini juga adalah perubahan baru oleh From Software dan menggandakan lagi keseronokan semasa menjelajah dunia. Pertama, ia memudahkan eksplorasi, membolehkan kita melarikan diri dari musuh menjengkelkan, boleh digunakan untuk serang, dan paling penting sekali, ia stailo habis!

Satu lagi aspek baru dalam Elden Ring ialah sistem stealth yang kini lebih penting dan praktikal untuk digunakan berbanding game Soulsborne lama. Dengan menekan butang L3 (saya main dengan PS5), kita akan serta merta merangkak ala-ala ninja yang membolehkan kita bersembunyi di sebalik tumbuh-tumbuhan panjang atau objek lain. Unsur stealth terbukti sangat berguna kerana, walaupun berada di kawasan dengan musuh paling lemah, mereka masih susah untuk dibunuh atau mengelak jika berkumpul secara beramai-ramai, jadi solusinya adalah untuk berambus secara senyap.
Sistem pertempuran yang lebih fleksibel

Seperti biasa, pergerakan yang berhati-hati dan serangan tepat adalah prinsip utama. Dalam mana-mana game Soulsborne, mereka mempunyai animasi pertarungan yang agak panjang lantas bermaksud “timing” kita semasa menyerang, counter dan mengelak harus sempurna 100% untuk mengalahkan musuh. Bagi pendapat saya, pertempuran Elden Ring terasa lebih perlahan berbanding Dark Souls 3 dan Bloodborne, tetapi tidaklah selambat Demon’s Souls. Itu tidak bermakna ia membosankan – setiap boss mempunyai mekanik unik yang membuatkan pertarungan lebih sukar seperti “delayed attack” dan “mix-up” (kombo berbeza yang bermula seperti biasa tetapi berakhir dengan serangan berbeza) untuk menghasilkan pengalaman yang berbeza.

Sekarang saya nak jelaskan tentang empat perubahan besar pada mekanik dan sistem pertempuran yang semua patut tahu.
- Salah satu tambahan kegemaran saya pada Elden Ring ialah counter attack atau nama rasminya, Guard Counter. Jika anda berjaya block satu serangan, sama ada dengan perisai atau senjata lain, kita boleh menekan R2 untuk segera melancarkan serangan balas yang kuat. Damage yang dilakukan pun sama kuat seperti heavy attack, cuma kita tidak perlu menunggu animasi yang lama untuk melancarkan serangan.
- Kedua adalah Powerstancing. Ini ialah mekanik daripada Dark Souls 2 yang mereka bawa semula untuk Elden Ring. Secara ringkas, jika kita memakai dua jenis senjata yang sama, kombo yang dilakukan adalah sepenuhnya baru. Powerstancing diaktifkan secara automatik selagi kita memakai dua jenis senjata yang sama.
- Mekanik Ashes of War pula membenarkan kita untuk melengkapi abiliti istimewa pada senjata, sama seperti mekanik Weapon Arts daripada Dark Souls 3. Abiliti ini boleh ditukar di Sites of Grace (lebih kurang seperti bonfire), dan menambahkan serangan baharu ke senjata yang anda gunakan.
- Spirit Ashes merupakan sistem “summoning” di mana kita menyeru roh-roh dari musuh yang tertewas yang kemudian boleh membantu kita dalam pertempuran. Sprit Ashes juga sangat bagus dalam pertarungan boss, bukan kerana boleh menghasilkan damage, tetapi kerana mereka boleh mengalih perhatian bos lantas memberi kita peluang untuk menyerang.

Seterusnya, Elden Ring menggalakkan kita untuk mencuba taktik baru melalui crafting atau Spirit Summon dan menukar senjata dengan bebas. Kepada mereka yang hanya lekat pada satu build kerana malas mencari sumber, dunia Elden Ring penuh dengan material yang boleh saya gunakan untuk membuat anak panah, perangkap dan lain-lain, jadi saya tidak pernah merasa perlu kekal dengan hanya satu build dari awal hingga hujung permainan. Dari magic, ke melee, ke long range; semua kita boleh cuba tanpa masalah.

Pendekatan ini akan membantu pemain baru dan juga pemain veteran, yang sebelum ini tidak mempunyai kebebasan untuk meneroka sepenuhnya kesemua build dan taktik yang disediakan dalam game Soulsborne.
Sistem makin senang, musuh pun makin senang?

Saya rasa soalan ini kerap muncul untuk mana mana peminat Souls. Adakah Elden Ring layak digelar sebagai game Souls yang paling susah? Bagi saya, jawapannya adalah tidak. Ada yang lebih susah, tetapi sudah pasti, cabaran mesti ada. Apa yang membuatkan Elden Ring lebih mudah adalah terdapat banyak alatan yang membantu kita. Sebagai contoh, Stakes of Marika berfungsi sebagai checkpoint dan andai kata kita mati, sekurang-kurangnya kita tidak perlu respawn di Site of Grace yang lokasinya memang jauh ya amat. Sebaliknya, kita akan hidup semula di kawasan yang lebih dekat berhampiran boss.
Walaupun saya kata lebih mudah, hakikatnya; ini masih adalah game bergenre Soulsborne. Mudah macam mana pun, kita tetap akan mati banyak kali dalam Elden Ring. Di kawasan pertama, saya terjumpa kem penuh dengan musuh yang sedang menjaga harta karun. Saya perlu cuba sebanyak 7 HINGGA 8 KALI untuk membunuh mereka semua dan ini pun memerlukan kesabaran yang tinggi, banyak gameplay stealth, dan sedikit aksi counter attack yang tepat.

Bagi pertarungan boss, semuanya berlipat kali ganda lebih susah. Dalam review ini, saya tidak akan cerita banyak tentang boss Elden Ring kerana tidak ingin spoiler tentang gameplay mereka tetapi izinkan saya menjelaskan sedikit tentang anak-anaknya. Saya pernah menghadapi sekumpulan gergasi di atas sebuah bukit. Bukan itu sahaja, mereka siap disokong oleh pasukan pemanah dan anjing ala-ala iblis. Bayangkan betapa susahnya untuk mengelak hujan anak panah dan serangan gergasi sambil dikejar oleh anjing gila. Selain itu, kita seorang jenis musuh ksatria yang menunggang kuda. Jarak serangannya memang jauh tetapi apa yang menakutkan adalah dia boleh mengejar kita dengan laju. Pendek cerita, semuanya susah!
Pendapat

Berdasarkan pengalaman saya dalam review ini, saya berani jamin bahawa Elden Ring adalah game terbaik daripada FromSoftware buat masa. Walaupun mengekalkan gameplay yang sama, ia mengambil formula “yang lebih bebas” dengan memperkenalkan banyak mekanik baru seperti stealth, customization yang lebih fleksibel, checkpoint dekat dan lain-lain.
Awalnya, kita akan bermula dalam cara yang sama seperti mana-mana game Soulsborne, tetapi ia cepat beralih ke bentuk bebas untuk pemain meneroka, berlawan dan mengalami jalan cerita mengikut tempo sendiri. Sepanjang masa bermain, saya sangat kagum dengan pendekatan Elden Ring yang sangat “beginner-friendly”, dan cara mereka mempersembahkan genre open world dalam cara sendiri.
Secara keseluruhan, Elden Ring berjaya mengekalkan intipati Soulsborne tetapi dengan sedikit penambahan baru, FromSoftware kini menyediakan pengalaman gaming yang lancar, tidak menjengkelkan, dan lebih seronok untuk dinikmati oleh semua pemain, tidak kira baru atau lama.
Maka, tamatlah review saya untuk Elden Ring. Bagi mereka yang berminat, game ini akan dilancarkan pada 25 Februari 2022 untuk PC, PS4, PS5, Xbox One dan Xbox Series.
@gamersantaimy
The Review
Elden Ring
PROS
- Peralihan ke sistem open world dilakukan dengan bagus dan terasa natural
- Pertarungan bos yang direka dengan baik dan kreatif
- Masih rasa puas hati walaupun mati
CONS
- Masih susah dan bukan untuk mereka yang panas baran
Discussion about this post