Semasa menulis review ini bagi beta Elden Ring, terdapat dua perkara yang saya belajar. Pertama sekali, From Software memang pakar dan tahu apa yang mereka ingin lakukan dengan genre popular ini. Kedua, mereka berjaya memberi idea-idea baru kepada sebuah formula lama. Dianugerahkan “Most Anticipated Game Awards”, minggu ini menandakan permulaan Closed Network Test bagi Elden Ring, di mana pemain akan dapat mengakses game buat pertama kali. Diberi peluang oleh Bandai Namco, ini adalah review kami untuk Elden Ring versi Beta!
Gameplay

Satu perkara menarik tentang RPG ini ialah ia sangat berkait dengan game lain dalam francais walaupun hakikatnya tidak ada kaitan antara Demon’s Souls, Dark Souls dan Bloodborne. Di sini, kita dapat melihat From Software agak cenderung untuk mengambil apa yang “bagus” daripada entri sebelum dan menggabungkannya dengan idea baru. Hasilnya, sistem pertempuran dalam Elden Ring Beta memang terasa sangat smooth, dan mencontohi Dark Souls 3 yang pantas tetapi tidak begitu fast-paced seperti Bloodborne.
Saya paling suka mekanik Counter Hits baru di mana anda boleh melakukan Heavy Attack sejurus selepas block untuk melakukan damage besar. Ia membetulkan suatu “kekurangan” dalam entri Souls lama iaitu Two-Handed Weapon sebenarnya kurang efektif (bergantung pada tahap kehandalan pemain) kerana ia mempunyai nilai Block yang teruk, jadi pemain terpaksa bermain secara mengelak. Dengan mekanik Counter Hits, anda boleh melakukan lebih banyak damage kerana serangan yang anda terima semasa Block akan dicerminkan kepada damage besar, atau “Stagger Attack”, yang melakukan kecederaan kritikal (boleh makan sebahagian HP bos).

Sudah tentu, jika anda tidak suka bertarung jarak dekat dengan Bos, pilihan jarak jauh juga tersedia dalam permainan. Magic memudahkan segala urusan dan bersama kelas Enchanted Knight, ia menggabungkan kedua-dua kelebihan jarak jauh dan jarak dekat untuk mencipta kelas yang kuat secara berdepan, sambil mempunyai kuasa sihir yang hebat.
Pertarungan bos dalam Elden Ring

Salah satu tarikan terbesar genre dalam genre Souls ialah ‘Boss Fight’ atau pertarungan Bos. Setiap pertarungan direka secara teliti untuk memberi pengalaman yang susah tetapi puas hati, di mana salah satu contoh adalah “Ornstein and Smough” yang sehingga hari ini masih dianggap sebagai antara Bos paling seronok untuk berlawan bagi setiap peminat Dark Souls.
Untuk Elden Ring, pertarungan bos terasa lebih seperti Bloodborne dari segi reka bentuk. Bos utama dalam game ini, Margit -The Fell Omen, betul-betul mencontoh Father Gascoigne yang merupakan antara Bos awal dalam Bloodborne. Apa yang saya nak cuba sampaikan adalah pertarungan dengan Father Gascoigne boleh dianggap sebagai “ujian” yang berfungsi untuk memeriksa sama ada kita sudah cukup memahami tentang game ini.

Bos ini direka supaya sentiasa bertarung secara jarak dekat, jadi anda terpaksa belajar cara-acara untuk “dodge” atau “parry”. Margit juga lebih kurang sama kerana dia agak agresif, dan menggunakan banyak helah yang tidak dilihat dalam Early Game Boss seperti delayed attack dan serangan campur aduk.
Apabila pertarungan dengan Margit masuk fasa kedua, dia akan mula memakai tukul besar, dan satu-satunya cara untuk mengelak sambil menyerangnya adalah dengan mengelak tepat pada masanya, kerana serangan Margit lebih kurang seperti serangan AOE yang menghasilkan letupan secara radius. Bagi saya, sistem ujian seperti ini lebih seronok, dan jika itu arah yang Elden Ring ingin pergi, memang saya setuju 100%.
Kuda amat diperlukan untuk maju dalam permainan

Itu bukan satu-satunya yang berubah pada sistem pertempuran. Sekarang, kita boleh menyeru kuda untuk ikut bertarung sekali. Disebabkan menunggang kuda, kelajuan kita pun akan meningkat secara drastik, tetapi anda kehilangan keupayaan untuk mengelak. Bagi Tree Sentinel (salah satu Bos dalam permainan), boleh dikatakan memang wajib untuk kita bertarung dengan menunggang kuda, kerana Bos ini memang lincah dan sukar untuk kejar.
Walau bagaimanapun, cara kita bertarung semasa menunggang kuda amat terhad. Memang jelas ia tidak akan efektif dalam setiap pertarungan, jadi lebih baik untuk jangan terlalu berharap pada kuda. Ini juga sama untuk Ash Spirit (sejenis summon), yang merupakan non-consumable item yang memerlukan FP untuk digunakan.
Sistem open-world

Salah satu perubahan terbesar dalam Elden Ring ialah sistem open-world baharu, yang sebelum ini tidak pernah dilihat dalam mana-mana game bergenre Souls (mempunyai pendekatan Metroidvania dalam reka bentuk level). Kini, jalan sempit sudah tiada, dan sebaliknya kita akan meneroka padang yang luas penuh dengan musuh. Saya agak 50/50 sebenarnya tentang sistem ini memandangkan kita harus memakai taktik menyelinap untuk bertarung musuh (merupakan pilihan lebih fleksibel jika anda tidak mahu melawan 10 musuh sekaligus).
Ada sebab game ini memberi Shrine of Amana, dan saya rasa ramai peminat Souls tidak akan menikmati gameplay di mana kita perlu bermain ala-ala Hitman. Pada masa yang sama, From Software telah menambah sesuatu pada Elden Ring yang tidak mungkin wujud sebelum ini iaitu bos yang boleh merayau dalam dunia terbuka. Demo ini menampilkan Tree Sentinel, seorang kesatria emas gergasi lengkap dengan bar HP yang besar dan seperti yang saya sebut tadi, Bos ini tidak akan duduk diam pada satu tempat dan lebih suka untuk merayau-rayau.

Oleh itu, saya suka idea di mana pertarungan bos boleh berlaku di mana sahaja. Kita mempunyai kawasan luas untuk bertarung, dan ini merupakan sesuatu yang biasanya tidak boleh didapati dalam persekitaran kecil untuk entri lama.
Selain itu, terdapat juga Catacomb, yang merupakan spiritual successor kepada Chalice Dungeon dari Bloodborne. Ia mempunyai susun atur sama di mana kita perlu mencari suis untuk mengaktifkan pintu bagi pertarungan Bos, tetapi level tidak akan dihasilkan secara rawak dan sebaliknya menjadi pengalaman yang direka khusus. Saya suka bagaimana ia digabungkan ke sistem open-world dan kini menjadi lokasi fizikal yang boleh anda kunjungi untuk menjadikan sesi penerokaan lebih menyeronokkan.

Akhir sekali, kita ada Crafting. Pada mulanya, saya memang takut tentang aspek crafting di Elden Ring. Adakah saya perlu membuat senjata dan tidak lagi mencarinya di dungeon? Macam-macam dalam otak tapi nasib baiklah, crafting hanya benar-benar digunakan untuk consumable, seperti barang penyembuhan dan sebagainya.
Ciri-ciri Quality of Life

Disebabkan dunia lebih luas, game ini menawarkan beberapa ciri Quality of Life (QoL) untuk memudahkan pengalaman kita seperti keupayaan untuk menggunakan peta bagi fast travel terus ke Sites of Grace (ala-ala Bonfire) yang telah dibuka, manakala sejenis cahaya keemasan akan menunjukkan pemain ke Site seterusnya. Terdapat juga Stakes of Marika (seperti checkpoint) yang berfungsi sebagai tapak untuk kita respawn andai kata anda tiba-tiba mati di tengah-tengah jalan.
Alang-alang bercakap tentang Site, anda kini boleh naik tahap di mana-mana Site of Grace, berkat bantuan Maiden Melina. Dia boleh diseru di mana-mana Site of Grace, yang bermakna anda tidak perlu balik semula melalui jalan yang panjang jika mempunyai Rune (ala-ala Souls) yang secukupnya untuk naik tahap. Satu lagi ciri QoL ialah flask anda yang mengikut sistem Dark Souls 3. Ia kini akan isi semula apabila anda membunuh sekumpulan musuh tertentu.

Memang jelas bahawa From Software mahu setiap pemain meneroka dunia Elden Ring dan berusaha untuk memastikan anda tidak mengalami masalah sepanjang sesi bermain.
Masih menerapkan formula lama

Beta untuk Elden Ring menawarkan Legacy Dungeon yang pasti menjadi pengalaman nostalgia untuk pemain tegar. Bagi mereka yang tidak tahu, dungeon ini sebenarnya adalah pengalaman klasik dan terdiri daripada koridor yang ketat, dan teka-teki yang berkait dengan alam sekitar -sama seperti entri lama! Sejujurnya, sesiapa yang cuba pasti akan mati beberapa kali sebelum benar-benar mempelajari cara-cara sebenar untuk selesaikan dungeon tersebut.
Pendapat

Tidak seperti Sekiro yang cuba membezakan diri dengan game Souls lain -Elden Ring secara semula jadi amat setia dengan genre, itu review jujur saya semasa mencuba beta. Ia menggabungkan semua ciri-ciri bagus dalam genre dan menggabungkannya dengan idea yang baru. Bagi saya, ini sangat bagus kerana tidak banyak francais besar yang berani menerapkan gameplay baru dengan sesebuah IP terkenal. Jika anda seorang peminat, hakikatnya kita perlu kagum bahawa mereka berani untuk mengambil risiko itu.
Beta tertutup ini memberi tanggapan yang hebat untuk Elden Ring dan ia mempunyai segala-galanya yang peminat akan suka tentang genre Souls, serta banyak elemen baru yang boleh dipelajari oleh peminat paling tegar sekalipun. Terdapat beberapa isu, itu memang pasti. Tidak semua sempurna tetapi dalam setiap game Souls yang saya cuba, kelebihannya sentiasa akan mengatasi kekurangan, dan ini sama untuk Elden Ring. Apa yang saya tahu adalah korang patut mencuba game ini apabila ia dikeluarkan pada 25 Februari 2022 untuk pelantar PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series X & Series S, dan Microsoft Windows.

Itu sahaja untuk review saya tentang beta Elden Ring! Untuk segala liputan kami tentang permainan, sila tekan pautan ini.

@gamersantaimy
Discussion about this post