Sekiranya pernah bermain Assassin’s Creed Valhalla, maka anda akan tahu bahawa Ubisoft Montreal dan Ubisoft Singapore telah mencurahkan masa berjam-jam untuk mencipta salah satu dunia permainan paling luas dan cantik pada generasi ini. Kini mereka kembali dan telah menyusun semua sumber penyelidikan ke Discovery Tour: Viking Age yang menawarkan gambaran lebih mendalam sejarah Norway, tamadun England, dan mitologi Norse di mana kisah Eivor berlaku. Kami di Gamer Santai berpeluang mencuba permainan ini dan berikut adalah review saya bagi Discovery Tour: Viking Age!

Latar belakang & gambaran keseluruhan

Dalam Discovery Tour: Viking Age, pemain akan cuba sebuah pengalaman interaktif unik di mana mereka belajar tentang sejarah, tradisi dan watak terkenal era Viking yang bermula dari abad ke-9 hingga ke-11. Dari Norway ke England dan dunia mitos Viking, alami sendiri kehidupan seharian para Viking dan warga Anglo-Saxon.
Pemain akan mengawal beberapa watak Viking dan Anglo-Saxon dari Assassin’s Creed Valhalla (ACV) dan melihat dengan mata sendiri apa yang berlaku dalam perjalanan. Dalam pengembaraan, kita (pemain) akan berinteraksi dengan dunia dan penduduknya, sambil menemui banyak maklumat dan anekdot mengenai zaman tersebut.

Tiada langsung unsur keganasan dan direka untuk semua penonton, Discovery Tour: Viking Age telah dikembangkan dengan kerjasama antara sejarawan, ahli arkeologi dan guru-guru, yang telah membantu menjadikan permainanan ini sebagai alat yang menyeronokkan dan berkesan untuk mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang pengaruh dan budaya orang Viking.
Apa yang kita sebenarnya perlu buat?

Discovery Tour: Viking Age memanfaatkan semua yang saya kata di atas dengan menggunakan naratif sebagai teras pengalaman. Pertama sekali, kita akan mengawal pasangan suami isteri bernama Thorsteinn dan Gunnhilda , seorang rahib muda bernama Earlric dan King Aelfred dari Wessex lalu mengalami kisah mereka dari perspektif masing-masing. Semasa bergerak dari satu objektif ke objektif lain (yang ditunjukkan oleh objektif hijau seperti di permainan asas manakala Discovery Site akan berwarna kuning/emas), pemain terdedah kepada pelbagai maklumat sejarah yang memberitahu lebih banyak mengenai tradisi dan budaya pada era itu.
Saya akan cerita lebih lagi tentang watak di bawah.
Disebabkan ia menerapkan konsep naratif, permainan menawarkan pengalaman interaktif di mana pemain merupakan pelakon dan bukannya penonton di mana interaksi adalah sesuatu yang penting dengan dunia dan penduduknya. Kandungan Tour Discovery memberi tumpuan kepada 8 kategori yang bersama-sama memberikan pemahaman menyeluruh mengenai zaman Viking:

- War & Politics
- Daily Life
- Religion & Magic
- Myths & Legends
- Science
- Law & Justice
- Art & Culture
- Trade & Economy
Sebagai contoh, semasa membantu Brother Ealric mencari penawar untuk menyembuhkan rakannya, kita menemui beberapa fakta menarik tentang kehidupan seorang rahib dan jenis ubat-ubatan yang efektfif. Selain itu, ada satu adegan di mana Thorsteinn perlu menaiki kapal panjang untuk menyeberangi laut, di mana pemain akan mengikutinya sepanjang langkah-langkah membuat kapal tersebut seperti: memilih reka bentuk untuk badan kapal dan tiang, menyiapkan kayu untuk digunakan dan memilih arca untuk menjadi lambang kapal.

Dengan menyelesaikan tugas-tugas tersebut, pemain secara progresif akan belajar tentang kepentingan pelayaran bagi Viking sambil melihat kehidupan seharian mereka dan maju dalam jalan cerita. Jika anda terlepas apa-apa info menarik, setiap maklumat sejarah yang ditemui dalam permainan boleh diakses dari menu Codex yang berfungsi sebagai pangkalan data dan dapat dibuka pada bila-bila masa.
Bukan itu sahaja, Discovery Tour: Viking Age juga merangkumi 25 info Behind-The-Scenes (diwakili oleh titik biru), yang semuanya diceritakan oleh Shaun Hasting, watak dan sejarawan dalam permainan Assassin’s Creed’s. Dia sendiri akan memberikan maklumat dan anekdot mengenai proses pembangunan utama untuk Assassin’s Creed Valhalla.

Di sini, peminat Assassin’s Creed akan berpeluang belajar mengenai proses produksi Valhalla dan menemui fakta menarik bagi proses pembuatan permainan video, termasuk bagaimana mereka mencipta Eivor, reka bentuk suara dalam permainan atau cara pemilihan palet warna untuk kawasan yang berbeza.
Bukan hanya Eivor, semua orang boleh digunakan

Sepanjang pengembaraan, pemain akan mengawal empat watak utama yang berbeza, masing-masing dengan keperibadian, keinginan dan latar belakang sendiri. Pertama sekali seperti yang saya sebutkan di atas ialah Thorsteinn dan Gunnhilda yang ingin berhijrah ke Norway, kedua adalah seorang rahib bernama Brother Ealric, dan akhir sekali ialah Aelfred, Raja Wessex yang memainkan peranan besar dalam permainan ACV utama.
Isi kandungan Discovery Tour: Viking Age dibahagikan kepada 8 misi yang bersama-sama membentuk kisah keseluruhan berikutan dan berlangsung di 4 kawasan yang berbeza iaitu: Norway, England dan alam mitologi Jotunheim dan Asgard. Setiap misi boleh dimainkan dalam apa-apa urutan dan masing-masing memfokuskan pada beberapa peristiwa penting dalam sejarah, yang dihasilkan dengan kerjasama pakar dan dikaji oleh sejarawan. Walaupun lima dari misi ini memfokuskan pada sejarah Viking, yang selebihnya direka mengikut sejarah Anglo-Saxon yang dilihat dari perspektif Ealric dan Aelfred.

Selain 4 watak ini, kita akan secara beransur-ansur membuka pelbagai watak Assassin’s Creed yang dapat digunakan untuk menjelajahi dunia Discovery Tour: Viking Age secara bebas (tidak boleh digunakan dalam misi naratif). Sebilangan watak tersebut, seperti Thor atau Eivor, secara langsung berhubung dengan dunia Assassin’s Creed Valhalla manakala yang lain – Layla Hassan atau Shaun Hastings misalnya – diambil dari francais Assassin’s Creed secara keseluruhan.
Tambahan: Semua peminat ACV pasti tahu bahawa Eivor adalah satu-satunya watak yang mampu “parkour” melalui kota, memanjat bangunan, dan memanggil Synin untuk memberi pandangan yang lebih luas untuk persekitaran sekeliling. Jangan risau, semua watak di sini boleh melakukan perkara yang sama supaya anda tidak menghadapi masalah semasa mengembara.
Pendapat

Semasa menulis review, apa yang saya rasai istimewa tentang Discovery Tour: Viking Age adalah bagaimana semua maklumat ini disampaikan kepada pemain. Pelakon suara untuk setiap NPC mengekalkan keperibadian dan daya tarikan mereka dari AC Valhalla di mana naratif dilakukan dengan sangat mahir, seolah-olah dari dokumentari profesional seperti National Geographic.
Discovery Tour: Viking Age berjaya menangkap inti-inti ACV dan mengubahnya menjadi pengalaman pembelajaran yang lengkap. Pada masa yang sama, permainan ini dapat menarik minat demografi yang luas, yang bermaksud pemain perlu bermain atau menjadi peminat kepada francais Assassin’s Creed untuk cuba. Jika dilihat sebagai lawatan alam maya yang menghiburkan, Discovery Tour: Viking Age mungkin adalah salah satu alat pendidikan terbaik yang boleh digunakan di sekolah mahupun muzium.

Bagi saya, (kerana saya peminat tegar ACV) ia memberikan pengalaman yang luar biasa. Untuk meneroka segala pergunungan dan desa-desa Norway serta mengembara ke kota-kota bersejarah England – yang telah saya habiskan selama 100+ jam – memberikan lebih banyak konteks untuk permainan daripada apa yang saya dapat bayangkan. Secara keseluruhan, dapat memperoleh perspektif yang lebih baik tentang sejarah dan proses pembangunan yang memperkayakan cara saya berfikir dan bermain permainan ini. Baiklah, sambung main Assassin’s Creed Valhalla lah selepas ini.
Itu sahaja bagi review saya tentang Discovery Tour: Viking Age! Sesiapa yang mempunyai permainan ACV boleh mengakses mod ini secara percuma mulai 19 Oktober di PS4, PS5, Xbox One, Xbox Series X|S, dan PC. Pemain PC juga boleh membelinya secara berasingan melalui Ubisoft Connect atau Epic Games Store pada 19 Oktober, dan di PS4, PS5, Xbox One, dan Xbox Series X|S pada awal 2022.
Untuk segala liputan kami tentang Assassin’s Creed Valhalla, sila tekan pautan ini.

@gamersantaimy
The Review
Discovery Tour: Viking Age
Discovery Tour: Viking Age berjaya menangkap inti-inti ACV dan mengubahnya menjadi pengalaman pembelajaran yang lengkap.
PROS
- Grafik cun yang meningkatkan lagi pengalaman
- Alat pembelajaran yang sangat baik untuk seluruh keluarga
- Menambah lebih banyak konteks untuk peminat AC seperti sejarah beberapa watak
CONS
- Bukan untuk mereka yang mahukan "permainan aksi"
- Mungkin memerlukan sistem yang canggih jika anda benar-benar ingin menghargai apa yang ditawarkan oleh permainan.
Discussion about this post