Genre survival horror seolah-olah telah mengalami kebangkitan baru-baru ini dengan kejayaan pelbagai game seperti Resident Evil 4 Remake, Dead Space Remake, dan Signalis. Kali ini kita ada tambahan baru kepada genre iaitu Daymare: 1994 Sandcastle oleh Invader Studios. Daymare: 1994 Sandcastle merupakan game prekuel (bukan sekuel ya) untuk judul sebelumnya – Daymare: 1998, tetapi kini dengan UI yang berbeza dan mekanik gameplay yang berbeza-beza di dalam.
Kami sempat menguji game ini selama beberapa hari dan berikut adalah pendapat saya!
Naratif yang pendek tapi padat

Berlangsung pada 1994; berikutan kemalangan maut yang melibatkan ramai orang awam di kawasan sekitar, fasiliti penyelidikan eksperimen yang paling maju di Amerika menghentikan semua komunikasi dengan dunia luar. Sistem keselamatan dalamannya telah menutup semua jalan masuk dan keluar dari pangkalan rahsia itu.
Walaupun orang awam dan media mengutuk Presiden AS kerana tidak memberikan penjelasan tentang apa yang berlaku, ejen khas Dalila Reyes dan rakan skuadnya dari H.A.D.E.S – Hexacore Advanced Division for Extraction and Search – dihantar secara rahsia oleh Setiausaha Pertahanan AS untuk menyusup ke fasiliti itu dan mendapatkan semula data berharga tentang penyelidikan tersembunyi yang dilakukan di sana.
Semua ini disembunyikan daripada pihak tertinggi kerajaan, termasuk POTUS sendiri. Bakal menjadi krisis dalaman terbesar dalam sejarah AS, misi “Sandcastle” bermula.
Sebaik sahaja berada di dalam pintu bangunan, Reyes mendapati dirinya dalam perjuangan untuk bertahan hidup dalam labirin bawah tanah yang besar, kini pangkalan kepada makhluk yang mengerikan dan bahaya.
Ejen H.A.D.E.S. berazam untuk menyelesaikan teka-teki demi membongkarkan kebenaran, tetapi peristiwa dan pendedahan mengejutkan akan menyebabkan dia mempersoalkan rakan sepasukan yang paling rapat… dan juga dirinya sendiri. Tiada tempat yang selamat lagi termasuk fikirannya sendiri…
Sinopsis

Daripada segi naratif, saya rasa tempo ceritanya amat seimbang. Ia tidak terlalu laju, tetapi sesetengah bahagian agak perlahan. Mungkin ada yang kurang puas hati tetapi secara amnya, jalan cerita masih boleh dihadam tanpa masalah.
Ada kalanya plot tidak rasa sesuai, dan hanya diwujudkan untuk membina saspens, lalu diketepikan/dibuang terus daripada jalan cerita. Walaupun begitu, mereka melakukan kerja yang baik dari segi pembinaan cerita. Sekurang-kurangnya ia membuatkan saya tertarik dan ingin mengetahui kisah lebih lanjut.

Satu lagi hal yang saya suka adalah game ini bukan sahaja memberi pengakhiran yang menarik dan memberi teaser untuk sekuel, malah ia juga memberikan perspektif dan info yang sangat menarik tentang Daymare: 1998. Selain itu, saya juga pasti jika ada pengakhiran lain kerana ada bahagian yang benar-benar mencurigakan. Sebagai contoh, selepas satu cutscene yang panjang, game menyuruh kita klik mouse sebanyak dua kali tetapi game diteruskan dengan cutscene lain. Tetapi selepas menunggu beberapa minit, tiada apa yang berlaku.
Saya menghabiskan game ini dalam tempoh masa sekitar 7 jam, jadi game ini tidak terlalu lama dan sesuai untuk gamer yang inginkan naratif pendek tapi padat.
Visual dan audio masih boleh diperbaiki

Dari segi grafik, saya boleh katakan semuanya agak standard. Saya pun hanya mampu main game ini pada setting grafik Medium, jadi saya layak untuk memberi pendapat tepat tentang kualiti visual. Cuma daripada apa yang saya nampak, lalat yang beterbangan kelihatan seperti gambar yang bergerak manakala animasi watak dalam beberapa cutscene nampak janggal. Walau bagaimanapun, reka bentuk untuk persekitaran amat bagus dan berjaya menghasilkan suasana seram tepat dengan genre.
Dalam level awal dalam makmal yang penuh dengan makhkluk, ia kekal rupa futuristik seram dan bertambah ngeri dengan adanya lendir hitam melekit yang tersebar di merata. Kemudian di kawasan perumahan, suasana keseluruhan kelihatan seperti sebuah bandar bawah tanah terbiar yang ditakluki oleh raksasa tersebut. Semua tumpuan pada butiran menjadikan game ini lebih mengasyikkan.

Alang-alang sembang tentang raksasa, reka bentuk mereka pun bagus dan agak menakutkan/seram untuk saya. Satu ciri yang ditambah baik berbanding Daymare: 1998 ialah pemain boleh mengenal pasti sama ada musuh betul-betul mati atau hidup dengan mudah.
Musuh yang masih hidup akan mengeluarkan cahaya berwarna biru atau merah, dan jika anda bunuh mereka, mata dan badan mereka tidak akan bercahaya lagi. Dalam game sebelum, semua ini tidak ada dalam game, jadi saya rasa susah untuk tahu sama ada musuh itu sudah mati lalu membazirkan lebih banyak peluru daripada yang sepatutnya.

Untuk aspek audio, BGM minimum akan berbunyi bila pemain membuat aksi berkait penerokaan seperti cuba lari untuk ke peringkat seterusnya. Bagi saya, ini sebenarnya lagi bagus, daripada meletakkan muzik ngeri dan seram yang terlalu kuat. Perasaan mendengar tapak kaki sendiri di lorong yang sunyi menambah lagi elemen seram, lantas menguatkan lagi elemen imersif.
Untuk lakonan suara, saya sebenarnya kurang suka. Agak susah untuk saya menerangkannya, tapi nada suara memang tidak sepadan dengan apa yang mereka katakan dalam situasi tertentu.
Eksplorasi di fasiliti “terbiar“

Elemen eksplorasi dalam game ini hampir sama seperti game lain; pemain mencari petunjuk untuk teka-teki, kumpul sumber seperti peluru dan ubat, kemudian majukan jalan cerita. Dalam Daymare: 1994 Sandcastle, anda tidak perlu patah balik ke kawasan lama dengan kerap berbanding Resident Evil.
Walapun pemain perlu melawat kawasan lama pada titik tertentu dalam jalan cerita, ia seringkali menjadi kawasan baru, dan biasanya ada jalan pintas yang boleh digunakan. Sebagai, contoh, saya mengambil dua laluan berbeza untuk pulang ke tempat yang sama – dan bagi saya, itu agak kreatif dan buatkan game terasa “fresh” sedankan matlamat kita masih sama.
Walaupun begitu, penerokaan untuk game ini agak linear. Ia tidak memberi banyak laluan berbeza apabila pemain maju ke dalam naratif.

Seperti saya kata tadi, akan ada beberapa teka-teki untuk diselesaikan, dan akan ada benda yang boleh diimbas menggunakan mekanik baru, H.A.D.E.S. Scanner. Jika ada objek berdekatan yang boleh diimbas, sejenis tanda visual dan audio akan muncul untuk menyuruh pemain mengimbas. Semakin dekat scanner itu pada objek, makin kecillah bulatan di mana anda akhirnya boleh imbas.
Ini merupakan alat berguna yang supaya pemain dapat belajar lebih lanjut tentang dunia dan latar belakang Daymare: 1994 Sandcastle. Selain daripada itu, kadangkala anda akan jumpa beberapa dokumen di sekitar, yang juga menjelaskan dunia permainan, dan juga memberi petunjuk seperti kod laluan atau cara-cara untuk menyelesaikan teka-teki tertentu.
Bagi teka-teki, walaupun ada beberapa variasi, majoriti teka-teki yang tidak berkait dengan jalan cerita lebih kurang menggunakan mekanik yang sama.

Teka-teki lain yang tidak berkait dengan jalan cerita hanyalah dipakai untuk membuka kunci locker/bilik bagi mendapatkan bekalan atau upgrade; dan sejujurnya ada yang susah. Sesetangah teka-teki terdiri daripada grid yang penuh dengan nombor dan huruf, di mana kita perlu memindahkan kod yang betul ke garisan kunin. Pada difficulty paling tinggi, ikon tengkorak akan muncul dalam grid tersebut, dan kalau kita mengalihkannya ke garisan kuning, ia akan reset semula dengan kod baru.
Teka teki ini pun mempunyai had masa, dan kita hanya boleh cuba sebanyak dua kali. Andai kata anda gagal dan ingin cuba lagi, anda perlu tunggu teka-teki ini dibuka semula. Daripada pengalaman, saya sangat suka teka-teki jenis ini, ia mencabar tapi tidak terlalu susah, dan saya jumpa cara untuk menyelesaikan setiap masalah secara konsisten.

Untuk teka-teki yang berkait dengan naratif intuitif; jika anda terperangkap di satu tempat, anda hanya perlu memperhati ruang sekeliling untuk memahami bagaimana untuk menyelesaikannya.
Dan jika anda betul-betul memperhati persekitaran sekeliling dengan teliti, ada beberapa rujukan terkenal untuk dijumpai. Satu contoh adalah perkataan ‘REDRUM’, siap dengan kapak di pintu – yang merupakan rujukan kepada filem seram popular The Shining. Pada masa yang sama, saya juga ternampak kota Demon Slayer, yang dibawa oleh watak utama Tanjiro dan juga pakaiannya. Saya tidak pasti jika ada rujukan lain tetapi saya pasti ada banyak easter egg di dalam game ini.
Sistem pertempuran lebih bersifat aksi

Dengan yakin, saya boleh berkata bahawa Daymare: 1994 Sandcastle akan lebih dinikmati oleh peminat game aksi, malah Michele Giannone (Pengarah Kreatif) juga berkata demikian dalam temu bual eksklusif kami dengannya. Sistem reload realistik dalam Daymare: 1998 sudah dibuang dan kadangkala boleh membuatkan game lebih sukar daripada biasa. Kini, ia digantikan dengan sistem reload tipikal yang digunakan dalam kebanyakan game, lantas menjadikan pertempuran lebih seronok, lebih natural dan responsif.
Saya rasa tidak ada senjata lain dalam game ini, kerana sepanjang bermain, saya tidak pernah jumpa senjata lain yang boleh dikutip. Sepanjang permainan, saya hanya guna shotgun dan SMG yang dibawa oleh Reyes sejak awal, dan juga Frost Grip yang akan dibuka pada titik kemudian dalam jalan cerita.

Sebagai ganti, studio cuba mereplikasikan perasaan menembak senjata sebenar, di mana kamera akan bergegar bila saya guna senapang patah. Secara tidak langsung, ini membuat saya sukar untuk sasar. Bagi SMG, kawalannya baik, tapi recoil di hujung agak kuat hingga membuatkan tembakan lari ke atas jika tidak dikawal dengan baik.
Saya agak sedih kerana game ini hanya menyediakan empat jenis musuh berbeza. Saya faham ada beberapa game lain yang jenis musuhnya lebih sedikit, tapi saya rasa game ini boleh mencipta lebih variasi memandangkan naratif dan latar belakang yang menarik.
Sebagai ringkasan, berikut adalah jenis musuh yang pemain akan jumpa:
- Decoy (jarak dekat): Musuh standard yang melakukan serangan jarak dekat
- Decoy (jarak jauh): Musuh standard yang sama tapi melakukan serangan jarak jauh. Musuh jenis ini mempunyai serangan yang boleh melumpuhkan kita, menyebabkan pemain tidak dapat tembak jadi anda perlu hati-hati.
- Sparker: Melakukan serangan jarak dekat, tapi boleh embunuh anda dengan satu serangan tidak kira berapa banyak HP yang anda miliki. Ia juga boleh menyeru Decoy dari mayat dan mempunyai nyawa yang banyak. Selain itu, ia mengurangkan tahap liquid nitrogen maksimum anda.
- Helen Ogre: Kakak Reyes yang menjadi gila. Serangan utama akan membuatkan pemain kembali ke kawasan permulaan di level hujung penamat. Pertarungan ini yang mengelirukan saya di kesimpulan game ini.

Daripada yang saya sebutkan di atas, hanya Devcoy sahaja yang ada dua warna bercahaya berbeza. Bagi musuh bercahaya biru, mereka agak lemah, tapi jika anda membunuh musuh tersebut di sebelah mayat, sejenis cahaya biru akan keluar dari badan lalu masuk ke dalam mayat. Mayat ini kemudian anda hidup semula dan pemain perlu membunuhnya semula sehingga semua mati. Jika anda bunuh musuh bercahaya biru di sebelah musuh lain, chaya biru itu akan masuk ke dalam musuh yang musuh dan menguatkan mereka.
Jika perkara yang sama berlaku berulang kali, cahaya itu akan bertukar merah dan Decoy akan menjadi lebih kuat daripada biasa. Kita boleh menembak mereka, tetapi peluru tidak boleh mencederakan mereka. Satu-satunya cara untuk membunuh mereka adalah dengan membeku musuh memakai Frost Grip (akan dijelaskan dibawah). Namun, ada cara untuk hentikan cahaya itu untuk berpindah ke badan lain, iaitu dengan menembaknya menggunakan Frost Grip hingga ia hancur.

Frost Grip

Frost Grip merupakan sarung tangan yang disambungkan ke tangki liquid nitrogen yang dibawa di belakang anda, dan anda boleh menggunakan gajet ini untuk menyelesaikan teka-teki dan membunuh musuh. Bagi saya, ini antara mekanik paling bagus dalam game dan direka dengan baik – bukan semata-mata untuk gimik sahaja. Dalam kebanyakan game, kita hanya akan menggunakan gajet itu sekali dan langsung terlupa tentang kewujudanya tetapi Daymare 1994 sangat bertentangan dengan konsep itu. Semakin anda maju dalam game, semakin banyak kita perlu bergantung pada gajet ini.
Satu perkara yang saya tidak nyatakan sebelum ini ialah peluru dalam game ini sangat terhad. Jika tidak berhati-hati, anda tidak akan ada cukup peluru semasa melawan segerombolan Decoy. Walaupun peluru merupakan cara terbaik untuk membunuh mereka, Frost Grip membantu saya banyak kali dan juga membantu dari segi jimat peluru.

Jika anda ditangkap oleh musuh, anda perlu tekan butang Space banyak kali untuk melarikan diri. Selepas melarikan diri, anda boleh menghasilkan gelombang ais yang melambatkan atau bekukan musuh.
Bagi jimat peluru, setiap kali saya teroka dan hadapi satu atau dua musuh, saya hanya meletupkannya dengan Frost Grip dan tumbuk mereka (bukan tembak). Memandangkan liquid nitrogen boleh dipulihkan secara beransur-ansur, lebih baik untuk menggunakan cara ini bagi menghadapi jumlah musuh yang kecil.

Anda boleh upgrade Frost Grip jika terjumpa terminal. Pada peringkat awal, anda hanya boleh buat beberapa upgrade kecil seperti meningkatkan kapasiti atau meningkatkan kelajuan pembekuan, tapi lama-lama, anda boleh membuka fungsi baru seperti bom ais, periuk api jenis ais. Selepas membuka fungsi bom, saya hanya berlawan memakai Frost Grip kerana ia merupakan alat yang berguna untuk menghalang musuh dari menyerang hendap dan berguna dalam pertarungan dengan ramai musuh sekaligus.
Namun, studio mungkin boleh memperbaiki soal jumlah musuh. Walaupun mekanik musuh agak seronok dan memerlukan kami untuk berfikir, beberapa pertarungan terlalu menjengkelkan kerana jumlah musuh terlalu ramai dan kita tidak mempunyai masa untuk berhenti dan merancang. Setiap kali berhenti, saya akan ditangkap atau diserang dari jarak jauh.
Di samping itu, mereka cuba membuat jumpscare. Sebagai contoh, apabila kita tergesa-gesa melari di sebalik sudut atau membuka pintu, satu musuh akan menunggu. Jika anda suka jumpscare, game ini adalah banyak lagi contoh seperti itu
Sistem D.I.D.

Ini merupakan tema utama utuk francais Daymare, dan adalah sistem inventori dan UI untuk pemain menyelesaikan teka-teki. Jika dibandingkan dengan game sebelum, sistem D.I.D. jauh lebih tersusun, lebih bagus dan lebih mudah untuk guna, dan kelihatan sangat mirip dengan sistem inventori dalam game Resident Evil baru-baru ini.
Bagi mereka yang tidak tahu, D.I.D. ialah komputer mudah alih yang dilengkapi pada tangan watak. Dalam Daymare: 1998, apabila anda membuka inventori, watak akan mengangkat tangannya dan UI akan keluar di sebelah kanan peranti. Model watak menganggu sepenuhnya info yang dipaparkan di skrin tetapi dalam Daymare: 1994 Sandcastle, kita dapat melihat UI yang lebih jelas di sis kanan sambil Reyes masih memandang ke jam tangannya.
Pendapat

Secara keseluruhan, Daymare: 1994 Sandcastle adalah entri yang solid dalam genre horror survival. Banyak perkara yang direka dengan baik dan sesuai dengan temanya, dan ia juga saling melengkapi antara gameplay.
Sebagai contoh, Frost Grip seronok untuk digunakan, dan merupakan alat paling bagus untuk menguruskan musuh. Pada masa yang sama, musuh dalam game direka supaya pemain wajib menggunakan Frost Grip dan inilah maksud saya tentnag saling melengkapi antara gameplay. Bahagian eksplorasi dalam game ini juga seimbang, dan memberi suasana reka bentuk yang seram dan saspens, di mana kami tidak perlu patah balik ke tempat sama berulang kali.

Namun, saya masih ada beberapa hal untuk mengadu tentang game ini, terutamanya tentang kawalan senjata yang terlalu realistik sehingga menganggu aspek mensasar. Tempo jalan cerita sudah agak bagus dan membuatkan saya tertarik, tetapi sesetengah plot tidak sesuai dengan naratif keseluruhan. Akhir sekali, variasi musuh terlalu sedikit.
Saya tahu ada beberapa kekurangan tetapi saya masih akan mengesyorkan game ini pada anda jika jika ada yang sedang mencari game horror survival yang seronok. Selain ciri positif di atas, saya tidak pernah mengalami sebarang masalah semasa bermain game ini – tiada satu bug atau ralat pun yang muncul dan itu sendiri pun cukup mengagumkan.Secara keseluruhan, saya akan beri rating 7/10 untuk Daymare: 1994 Sandcastle!
Bakal dilancarkan di PS4, PS5, Xbox One, Xbox Series X|S, Switch, PC melalui Steam hari ini, anda semua boleh cuba semua game ini sekarang.
@gamersantaimy
The Review
Daymare: 1994 Sandcastle
Secara keseluruhan, Daymare: 1994 Sandcastle adalah entri yang solid dalam genre horror survival. Banyak perkara yang direka dengan baik dan sesuai dengan temanya, dan ia juga saling melengkapi antara gameplay.
PROS
- Mekanik gameplay yang direka dengan baik dan saling melengkapi
- Reka bentuk level bagus yang hasilkan suasana seram
- Teka-teki yang mencabar dan seronok
- Naratif yang menarik
CONS
- Kawalan senjata terlalu realistik hingga menganggu gameplay
- Variasi musuh sangat sedikit
- Plot yang tidak sesuai pada sesetengah babak
Discussion about this post