Seperti yang kita sedia maklum, Battlefield 2042 ialah entri terbaru dalam francais dan merupakan game pertama untuk generasi Battlefield seterusnya, dengan persekitaran yang lebih terperinci, pertempuran epik pada peta besar dan Specialist unik baharu. Buat masa ini, ia adalah salah satu FPS paling cantik pernah saya lihat dan tidak seperti pendahulunya, Battlefield 2042 sepenuhnya adalah multiplayer dan tidak mempunyai kempen. Tanpa melengahkan masa lagi, inilah review saya untuk Battlefield 2042!

Spesifikasi PC yang digunakan untuk review Battlefield 2042 ini:
- AMD RYZEN 5 3500X 3.6/4.1GHZ 32MB
- DDR4-2X8GB 3200MHZ
- M.2 SSD 1TB
- GeForce RTX 3060TI 8GB
Battlefield 2042 menawarkan empat mode, tujuh peta All-Out War/Hazard Zone, enam peta Portal Battlefield klasik dan 10 Specialist untuk dimainkan (lebih banyak akan datang pada musim akan datang). Saya akan cuba ringkasan supaya anda semua faham.

Mode apa yang kita boleh cuba?
All-Out Warfare
Fokus utama Battlefield 2042 ialah mod All-Out Warfare yang terdiri daripada dua mod kegemaran, Conquest dan Breakthrough. All-Out Warfare menawarkan pengalaman multiplayer yang lebih kurang sama seperti Battlefield dulu tetapi merupakan mode terbaik untuk para beginner yang ingin membiasakan diri dengan game ini. Kita bermula dengan Conquest dahulu.
- Conquest

Dalam Conquest, setiap pasukan bermula dengan jumlah “Reinforcement” yang mewakili bilangan nyawa mereka miliki untuk keseluruhan perlawanan. Pasukan pertama yang kehabisan seluruh Reinforcement mereka akan serta merta kalah. Peta itu juga dibahagikan kepada beberapa sektor dan mengawal sebahagian besar sektor akan menyebabkan pasukan musuh menggunakan lebih banyak askar Reinforcement tersebut.

Untuk menguasai sektor, pasukan anda perlu mengawal semua objektif (lokasi-lokasi kecil) dalam sektor – biasanya hanya terdapat satu atau dua objektif bagi setiap sektor. Untuk mendapatkan sebuah objektif, anda perlu memastikan ia bebas daripada sebarang askar musuh. Dengan mengawal setiap objektif, pasukan anda akhirnya akan mengambil alih kawasan itu. Lakukan ini untuk setiap objektif dan sektor itu akan menjadi milik anda. Bekerjasama dengan skuad dan pasukan adalah penting untuk menang dalam Conquest.
- Breakthrough

Mode ini menampilkan dua pasukan yang terdiri daripada 64 pemain (atau 32 di PS4/Xbox One) yang kemudian akan dipecahkan kepada empat pasukan. Satu pasukan Attacker akan cuba menangkap dan mengawal sehingga tiga objektif dalam satu sektor daripada pasukan Defender. Jika Attacker berjaya memegang ketiga-tiga objektif sekaligus, pemain Defender terpaksa berundur ke sektor baharu. Perkara ini akan berulang sehingga tiada lagi sektor untuk para Defender berundur atau sehingga Attacker kehabisan masa atau Reinforcement.

Dalam Breakthrough, pemain Defender mempunyai jumlah Reinforcement tanpa had, jadi mereka sentiasa boleh mengekalkan pertahanan, tetapi Attacker mempunyai jumlah Respawn yang terhad. Attacker perlu berfikir secara taktikal untuk mengawal objektif dalam setiap sektor kerana Reinforcment akan berkurangan dengan cepat jika Attacker hanya kamikaze-kan diri pada setiap objektif. Jadi ingat, mainlah secara bijak.
Secara keseluruhan, saya rasa Breakthrough membenarkan sifat pacing yang lebih baik, serta lebih fokus, manakala Conquest berasa lebih seperti perlawanan free-for-all.
Hazard Zone

Hazard Zone pula lebih menyerupai battle royale. Skuad anda, bersama beberapa skuad musuh lain perlu mencari, mengumpul dan mengekstrak seberapa banyak data drive yang boleh daripada satelit yang terhempas di sekitar peta. Anda hanya boleh mengekstrak data ini pada masa tertentu dan di kawasan tertentu, jadi pemain perlu memerhatikan masa dan pastikan diri berada dalam kedudukan yang baik.

Mengapa saya kata ia seperti battle royale? Kerana seluruh skuad anda boleh disingkirkan kalau tewas dalam pertempuran. Ini bermakna jika anda mati, anda akan serta merta kalah. Sesiapa yang kalah juga akan meninggalkan data drive yang kemudian boleh dikumpul oleh musuh. Walaupun anda telah mati secara kekal, rakan skuad masih boleh teruskan misi. Jika hanya seorang daripada anda yang masih hidup apabila mengekstrak data, semua orang akan mendapat ganjaran.
Lebih banyak data drive yang anda dapat, lebih banyaklah ganjaran anda yang datang dalam bentuk Credit. Credit ini kemudian akan digunakan untuk membeli senjata dan peningkatan taktikal bagi perlawanan seterusnya. Jika dapat “perform” dengan baik, anda boleh menggunakan Credit untuk membeli senjata yang lebih baik tetapi jika pemain mati terlalu maka anda tidak akan dapat Credit dan hanya boleh pakai senjata basic.

Ini bermakna Hazard Zone lebih sesuai untuk pemain yang mahir, dan merupakan mode yang susah untuk para beginner. Pemain yang kurang berpengalaman masih boleh memperoleh Credit, tetapi mereka pasti akan dibunuh oleh pemain yang lebih baik, yang bermakna segala Credit kita kumpul akan sia-sia hilang. Ia adalah mode yang terlalu berisiko untuk beginner tetapi akan menjadi syurga buat pemain elit yang bersifat kompetitif.
Battlefield Portal

Jika pengalaman kompetitif Battlefield 2042 tidak menarik minat anda, kita boleh mencipta pengalaman santai sendiri. Battlefield Portal membolehkan anda membina, menemui dan berkongsi pengalaman sandbox custom Battlefield sendiri dengan peta, kenderaan, kelas, senjata, pasukan dan banyak lagi daripada pelbagai game Battlefield dahulu dan sekarang. Ini termasuk Battlefield 2042, Battlefield 1942, Bad Company 2 dan Battlefield 3.
Anda tidak boleh membuat peta sendiri, tetapi boleh mengubah suai peta sedia ada dengan menambahkan peraturan, item dan lain-lain untuk membuat pengalaman baharu – di mana pengalaman itu boleh menjadi nyata.

Kita juga boleh membuat perlawanan ini serumit atau semudah ikut apa yang anda suka. Walaupun terdapat pilihan mudah untuk mengubah suai elemen seperti pasukan, AI, senjata dan peta, terdapat juga pilihan lebih teknikal yang membolehkan anda menetapkan event trigger, kelajuan peluru dan perkara-perkara kecil yang lain.
Bagi peta lama, setiap satu telah di-remaster semula. Pada dasarnya, anda boleh membuat versi moden dari game lama Battlefield, seperti Caspian Border dari Battlefield 3 atau El Alamein dari Battlefield 1942. Satu sentuhan yang saya rasa bagus dalam peta remaster ini ialah, walaupun ia dipertingkatkan secara mekanikal dan visual, game ini masih mengekalkan soundtrack ori untuk membangkitkan perasaan nostalgia umpama kita kembali ke sejarah klasik Battlefield.
Dengan begitu banyak variasi dalam Portal Battlefield, saya sendiri tidak sabar untuk melihat perlawanan yang bakal dicipta oleh komuniti.
Specialist

Specialist ialah playable character di mana anda akan memilih 1 daripada 10 Specialist sebelum turun ke padang. Setiap Specialist mempunyai satu gajet dan satu pasif eksklusif. Gajet ini agak hebat, dan membolehkan anda menggunakan grappling hook sesuka hati atau memanggil peti loadout semasa berperang untuk menukar senjata. Tidak termasuk mode Hazard Zone, pemain boleh menggunakan mana-mana Specialist. Seperti yang saya kata tadi, Battlefield 2042 mempunyai sepuluh Specialist. Lapan daripadanya akan dibuka serta-merta tetapi Mackay akan unlock pada level 15, manakala Paik boleh dimainkan pada level 25.

Specialist dibahagikan kepada empat kategori:
- Assault mempunyai gajet yang memberi mereka pilihan tambahan dalam pertempuran (lebih kepada mobiliti). Contohnya, Mackay mempunyai grappling hook, Sundance mempunyai bom tangan dan wingsuit, manakala Dozer mempunyai perisai yang menghalang tembakan senjata kecil.
- Engineer kini tertumpu pada mempertahankan titik penting dan bukan sahaja tentang memusnahkan dan menyelenggara kenderaan. Kedua-dua Specialist yang dikategorikan dalam peranan ini adalah Irish dan Boris, yang menggunakan gajet defensif. Mana-mana Specialist kini boleh menggunakan Engineer’s Repair Tool dan gajet anti-vehicle.
- Recon masih berperanan untuk meninjau keadaan peperangan, untuk memberikan maklumat tentang situasi musuh. Mereka juga mempunyai gajet yang disesuaikan untuk melumpuhkan kenderaan, seperti keupayaan penggodaman Rao dan dron milik Casper. Keupayaan wallhack Paik juga termasuk dalam kategori Recon. Sniper kini tidak lagi eksklusif untuk Recon; kerana mana-mana kelas boleh menggunakannya.
- Support mengisi peranan sebagai pakar perubatan dan boleh bantu mengisi semula peluru, perisai dan kesihatan. Setiap Support juga boleh revive mana-mana rakan yang jatuh, dan bukan hanya ahli skuad mereka. Kedua-dua Support pada masa ini adalah Falck dan Angel, yang boleh revive rakan sekutu pada kadar yang lebih pantas.

Bagi mereka yang bimbang tentang keseimbangan Specialist, awak semua tidak perlu risau kerana tiada Specialist yang terlalu overpowered. Ini memberi kita kebebasan dalam memilih Specialist, dan bereksperimen lebih banyak dalam hal itu. Satu-satunya perbezaan antara Specialist ialah kebolehan unik mereka kerana anda boleh menggunakan sebarang loadout untuk mana-mana watak.
Sistem senjata dan customization

Terdapat 22 senjata dalam Battlefield 2042, setiap satu dengan berpuluh-puluh attachment yang, buat pertama kalinya, boleh diubah dengan cepat semasa dalam perlawanan. Anda boleh menukar scope, kartrij peluru dan muzzle menggunakan sistem attachment baharu. Ini bermakna kita boleh menggunakan scope 4x semasa menembak musuh dari jauh kemudian beralih kepada reflex sight 1x apabila semakin dekat dengan barisan hadapan mereka. Keupayaan untuk bermain-main dengan senjata anda seharusnya memberi peluang yang lebih besar untuk bertahan hidup dalam hampir setiap situasi pertempuran.
Untuk unlock senjata baharu, kita perlu mencapai level mastery tertentu bagi setiap senjata. Setiap attachment juga memerlukan level mastery tertentu yang boleh dicapai dengan grinding dalam perlawanan multiplayer. Dengan mempunyai akses kepada keseluruhan senjata, ia boleh memberi manfaat dalam pelbagai cara. Sepanjang permainan, anda mungkin perlu menukar peranan atau menukar gaya pertempuran.

Pada masa yang sama, grinding untuk mendapatkan senjata baharu sebenarnya tidak begitu teruk. Ini bermaksud semua orang berada pada tahap yang sama, dan jika anda bekerja keras, anda akan mendapat senjata impian. Jadi tidak banyak etika Pay-2-Win di sini. Ia juga menggalakkan aspek replayability dan boleh dianggap sebagai latihan untuk kita mengendalikan pelbagai jenis senjata.
Visual dan grafik

Bagi saya, setiap peta amat luas dan menakjubkan dan pada masa yang sama, mencipta gambaran jelas untuk dunia yang dilanda perang dalam Battlefield 2042. Pertama yang saya suka ialah Breakaway, iaitu peta berais beku putih yang terletak di tundra Antartika . Kedua, saya suka ialah Hourglass, di mana kita dapat melihat bangunan pencakar langit tertimbus oleh pasir.
Jika anda melihat pemandangan semata-mata, fuhh, memang antara yang paling lawa pernah saya lihat dalam mana-mana game FPS. Saya sarankan korang semua untuk berhenti sekejap dan mengagumi alam sekitar. Cuma, hati-hati supaya tidak kena headshot ya. Supaya tidak ada yang salah faham, sesetengah peta hanyalah kawasan lapang. Memang tiada tempat untuk kita berteduh jika musuh menyerang. Jadi jika anda fikir ini seperti PUBG yang penuh dengan rumah-rumah kecil, maka anda silap.

Selain daripada itu, game ini mempunyai sistem cuaca dinamik yang muncul pada beberapa peta khusu seperti puting beliung dan ribut pasir, yang akan menyedut pemain dan kenderaan ke langit atau menjadikan gajet kita tidak berfungsi. Bukan itu sahaja, ia juga akan menjejaskan penglihatan pemain selama beberapa saat. Dari satu perspektif, ini agak cool dan menawarkan cabaran semasa kita belajar menyusun strategi.
Masih ada beberapa masalah

Malangnya, game ini masih mempunyai banyak masalah. Mungkin kerana saya sedang bermain fasa early access, tetapi saya sebutlah supaya anda memahami apa yang saya rasa. Pertama sekali, matchmaking memang ada isu untuk beberapa mode. Saya terpaksa menunggu kira-kira hampir sejam hanya untuk mencuba Hazard Zone kerana ahli skuad tidak cukup. Akhirnya, saya berjaya menyertainya mode itu, tetapi mereka meninggal game, jadi tinggal saya seorang saja. Terima kasih banyak-banyak.
Kedua adalah masalah terputus sambungan yang dihadapi oleh rakan (saya tidak ada masalah itu) dan akhir sekali adalah kita mungkin “tidak akan respawn dengan betul”, dan kadang-kadang terperangkap dalam bangunan atau persekitaran. Semua itu perkara biasa saya rasa. Kebanyakannya mungkin akan diperbaiki hari ini apabila ia dilancarkan secara rasmi di seluruh dunia.
Pendapat

Jika anda suka main game first-person shooter dan mempunyai sifat berdaya saing, mahupun baru bermula dalam genre ini, maka saya masih akan mengesyorkan Battlefield 2042 kepada anda.
Ini kerana Battlefield 2042 memperkenalkan semula genre sandbox shooter dalam cara yang berani dan kreatif. Sistem Specialist baru mungkin agak pelik pada mulanya untuk peminat lama, tetapi memberi lebih banyak kebebasan yang tidak mungkin wujud dalam entri sebelumnya. Peta yang besar dan direka dengan baik pula menawarkan banyak ruang untuk eksperimen manakala setiap mod terasa amat seronok bagi saya.

Bersama All-Out Warfare, Hazard Zone dan Battlefield Portal, game ini cuba untuk memenuhi citarasa semua jenis pemain, tanpa mengurangkan content. Bagi pemain yang ingin berperang senjata dengan lebih bebas dan seronok, Battlefield 2042 akan memberikan segala-galanya yang anda dambakan.
Itu sahaja untuk review saya bagi Battlefield 2042 yang kini boleh didapati di PlayStation 5, Xbox Series, PlayStation 4, Xbox One, dan PC melalui Steam, Epic Games Store, dan Origin. Untuk segala liputan kami tentang Battlefield 2042, sila tekan pautan ini.

@gamersantaimy
The Review
Battlefield 2042
Bersama All-Out Warfare, Hazard Zone dan Battlefield Portal, game ini cuba untuk memenuhi citarasa semua jenis pemain, tanpa mengurangkan content. Bagi pemain yang ingin berperang senjata dengan lebih bebas dan seronok, Battlefield 2042 akan memberikan segala-galanya yang anda dambakan.
PROS
- Pertempuran terasa epik dengan sistem customization yang luas
- Mode Portal mempunyai banyak potensi
- Peta yang cantik dan terperinci
CONS
- Hazard Mode tidak sesuai untuk beginner
- Gameplay yang agak grinding
Discussion about this post