Asus ROG Flow X13 adalah salah satu laptop gaming paling nipis dan paling ringan pernah saya lihat, memandangkan kita tahu kebanyakan laptop gaming zaman sekarang sangat besar. Berkat kemajuan teknologi, kita kini dapat merasa pengalaman gaming yang hebat dalam pakej yang kecil. Tetapi ROG Flow X13 bukan sekadar alat untuk gaming sahaja dan sebenarnya ada fungsi “2-in-1” di mana ia boleh berubah menjadi tablet, bersama pilihan external “GPU RTX” untuk memberikan kuasa tambahan.
Pilihan ROG XG Mobile (tidak disertakan dengan unit review saya) yang mempunyai GPU Nvidia RTX 30 series lebih hebat tetapi walau tanpa eGPU, Flow X13 masih adalah mesin yang bagus. Jika anda sedang mencari peranti mudah alih yang mampu uruskan selera gaming anda, teruskan baca review saya untuk ASUS ROG Flow X13.
Berikut adalah spesifikasi ringkas:
- Paparan: 13.4” WQUXGA (3840×2400) IPS, 116% sRGB Adaptive Sync, Touch Screen
- CPU: AMD Ryzen R9-5980HS CPU
- GPU: Nvidia GeForce GTX 1650 4GB; optional GeForce RTX 3080 external XG Mobile GPU
- RAM: 32GB DDR4
- Storan: PCIE NVME 1TB M.2 SSD
- Saiz: 15.8 mm, 1.3kg
Reka bentuk & Port I/O

Dengan kenipisan hanya 15.8 mm dan berat 1.3kg, Flow X13 adalah salah satu laptop gaming paling kecil dan ringan di pasaran. Saya boleh masukkan Flow X13 ke dalam beg dan hampir tidak rasa beratnya. Bersama reka bentuk minimalis serba hitam dan papan nama ROG di sudut bawah, ia diperbuat daripada bahan magnesium, tetapi memberi rasa sentuhan ala-ala “plastik”. Walaupun begitu, laptop ini berasa kukuh secara keseluruhan dengan engsel yang mampu bergerak 360 darjah untuk menukar peranti ke Stand Mode, Tablet mode, dan Tent Mode.
Bagi aspek port I/O, sebelah kanan unit mempunyai 1x port USB-A 3.2 dan 1x port USB-C 3.2 untuk mengecas. Bahagian kiri pula mempunyai audio jack 3.5mm, port HDMI dan port untuk GPU ROG XG Mobile.


Apa yang saya boleh kata adalah posisi port tidak ideal, terutamanya untuk mereka yang lebihkan tangan kanan seperti saya. Port di sebelah kanan banyak terletak di tengah-tengah laptop, jadi saya kerap menyentuh kabel USB apabila menggerakan mouse. Ini tidak akan menjadi masalah besar semasa membuat kerja, tetapi jika sedang ber-gaming, ia akan mula menjadi menjengkelkan.
Saya juga tidak beberapa suka dengan lokasi butang kuasa yang terletak di hujung bahagian kanan. Memandangkan butang ini sangat sensitif, kadangkala saya secara tidak sengaja akan tertekan butang ini semasa mengubah mode laptop ke tablet.

Keyboard & Touchpad

Jari saya tidak pernah merasa lenguh apabila menggunakan keyboard. Walaupun produk sangat kecil, saiz keyboard memberi ruang yang secukupnya untuk tangan kita bergerak. Setiap sentuhan pada kekunci pun terasa tepat, intuitif, dan responsif. Saya sebenarnya menulis review ini menggunakan Flow X13 dan pengalaman saya memang mantap dan selesa.
Apa yang menarik adalah ROG Flow X13 tidak mempunyai cahaya RGB, jadi janganlah harapkan lampu warna-warni di laptop ini. Sesetengah orang mungkin suka, tetapi saya faham bahawa masih ada beberapa orang yang akan kecewa. Kita hanya ada lampu “backlight berwarna putih” yang boleh diubah suai kepada 3 mode iaitu “static, breathing, dan strobing”.
Touchpad yang licin pula memberikan rasa sentuhan dan tracking yang tepat. Saiznya yang kecil mungkin akan menimbulkan masalah, terutamanya bagi mereka yang terbiasa membuat “gesture yang luas”, tetapi bukanlah isu yang besar.
Paparan & Audio

Flow X13 menampilkan paparan touchscreen bersaiz 13.4 inci dengan resolusi 1920 x 1200 dan refresh rate setinggi 60Hz (varian lain mempunyai 120hz, unit saya hanya mampu cecah 60hz). Nisbah aspek 16:10 memberikan paparan yang lebih tinggi dan secara tidak langsung, ini menyediakan skrin yang lebih besar untuk kerja harian dan penggunaan umum. Masalahnya ada pantulan. Dalam adegan gelap di filem seram atau game dengan banyak bayang-bayang, saya kadangkala melihat diri sendiri di skrin. Sebaliknya, menggunakan laptop di bilik yang terlalu terang atau di bawah cahaya matahari juga membuatkan saya hampir mustahil untuk melihat skrin.
Walaupun kata begitu, perkara ini jarang berlaku dan ASUS melakukan kerja yang baik untuk membuatkan warna kelihatan semula jadi dan tidak terlalu “saturated”. Ia juga mempunyai sijil Pantone, yang bermaksud ia sepadan dengan setiap warna dalam sistem Pantone.
Jika anda membeli Flow X13 untuk gaming sahaja, anda tidak dapat memanfaatkan kesemua ciri-ciri yang ditawarkan. Walau bagaimanapun, untuk para artis atau content creator, laptop ini dilengkapi dengan stylus untuk urusan kreativiti. Stylus ini hanya disertakan dengan varian Flow X13 tertentu tetapi berita baik adalah ia dijual secara berasingan. Sekarang biar saya jelaskan tentang mode yang kita boleh ubah ala-ala robot Transformers untuk Flow X13:
- Laptop Mode: Mode tradisional untuk sesi gaming biasa, produktiviti dan penciptaan kandungan
- Tent Mode: Faktor bentuk berdiri untuk penyejukan yang lebih baik, sesi gaming berunsur gamed atau external keyboard, melihat video dan kandungan kain
- Tablet Mode: Sesi gaming berunsur touchscreen, lihat video dan kandungan lain, mencipta kandungan berkaitan stylus dan urusan produktiviti
- Stand Mode: Sesi gaming berunsur gamed atau external keyboard , sesuai untuk menonton video dan kandungan lain secara beramai-ramai

Apa yang lebih menghairankan adalah speaker pun boleh tahan bagus. Walaupun terletak di bahagian bawah, ia masih mampu menghasilkan bunyi, yang bagi pendapat saya, cukup elok untuk menonton movie atau mendengar lagu bersama kawan-kawan. Sudah tentu, kita tidak akan mendapat bass yang berdentum, tetapi segala-galanya dari audio untuk video atau kesan bunyi dalam game boleh didengar dengan jelas. Jika anda tidak berpuas hati dengan bass-nya yang lemah, solusi paling senang adalah untuk sambung headset kegemaran.
Prestasi
Pasti ramai yang ragu-ragu tentang prestasi ROG Flow X13 memandangkan saiznya sangat kecil. Unit review ASUS ROG Flow X13 saya dilengkapi dengan Nvidia GeForce GTX 1650 Max-Q, CPU AMD Ryzen 9 5900HS, 32GB RAM dan 1TB NVME PCIe Gen 3 SSD. Dengan macam agak mengagumkan, hakikatnya saya hanya mampu menguji game moden pada Low Setting atau paling maksimum, Medium.
Unit kami tidak disertakan dengan ROG XG Mobile eGPU, jadi semua ujian di bawah adalah berdasarkan GTX 1650 Max-Q.
Valorant
Boleh dijalankan pada Medium Setting, tetapi Low Setting adalah tetapan paling bagus jika anda mahukan pengalaman yang selesa dan lancar. Mempunyai purata FPS setinggi 110+.
Remnant: From the Ashes
Boleh dijalankan pada Medium Setting, tetapi visual terlalu kabur atau berpecah. Low Setting pun merupakan tetapan paling selesa supaya kita dapat mengembara dan membunuh raksasa dengan purata 90 FPS yang stabil.
Control
Tidak boleh dimainkan sama sekali pada Medium Setting. Walaupun bertukar ke Low Setting, ia masih tidak boleh dimainkan. Saya terpaksa pergi ke halaman Advanced Options, dan mematikan beberapa ciri untuk menjalankan game ini. Mempunyai purata 60 FPS .
Jika membeli bundle XG Mobile, GPU RTX 3080 tambahan sudah pasti akan menyediakan banyak lagi kuasa yang rasanya baru cukup untuk mana-mana senario gaming: tidak kira game single player, atau game multiplayer kompetitif. Keadaan saya di atas sangat berbeza kerana terpaksa bergantung pada GTX 1650 Max-Q sahaja. Jadi, jika anda berminat untuk membeli ROG Flow X13, memang sangat penting untuk dapatkan XG Mobile. Selagi tiada eGPU, jangan haraplah dapat main game AAA pada tetapan maksimum.
Walau bagaimanapun, apabila menguruskan tugas harian, ia cukup bagus untuk urusan penciptaan kandungan dan live game streaming, di mana CPU AMD Ryzen R9-5980HS memastikan pengalaman yang lancar. Dalam ujian benchmark, Flow X13 memberi markah yang memuaskan dan berjaya menghasilkan skor sebanyak 5,657 di PCMark 10.
Di 3DMark pula, saya menjalankan tiga ujian berbeza iaitu Time Spy, Fire Strike dan CPU Profile. Berikut adalah hasil keputusan:
Isu kepanasan

Jika menonton video YouTube atau saja-saja melihat internet, saya tidak ada masalah dan berasa selesa memegang Flow X13 di riba. Namun, keadaannya sangat berbeza semasa sesi gaming yang mengharuskan kita meletakkan laptop di atas meja. Keluaran haba yang ketara boleh dikesan di bawah bahagian bawah Flow X13 yang menjadi lebih panas semasa proses intensif dan kawasan di atas papan kekunci pula menjadi terlalu panas untuk disentuh. Bunyi kipas boleh dengar tetapi tidak terlalu ketara sehingga ke tahap yang saya rasa mengganggu.
Jangka hayat bateri
Sejujurnya, bateri Flow X13 sangat cepat habis. Semasa menguji game di atas, tak sampai satu jam tiba-tiba sudah 5%. Walau bagaimanapun, ia berjaya tahan hampir 4 jam semasa membuat kerja. Untuk kekalkan produktivit semasa dalam perjalanan, saya mengesyorkan korang untuk sentiasa membawa pengecas yang disertakan.
Pendapat

Laptop 13-inci dengan fokus yang besar pada gaming bukanlah sesuatu yang biasa kita lihat, jadi ia sesuai untuk sesiapa yang memerlukan peranti produktiviti yang nipis tetapi mampu handle sedikit gaming berat. Fungsi 2-in-1 juga menjadikan Flow X13 lebih unik dan menarik kerana ia dapat berfungsi sebagai tablet untuk urusan melukis atau menulis nota.
Walau bagaimanapun, anda harus tahu bahawa prestasi gaming (melainkan jika memakai eGPU), jangka hayat bateri dan posisi port I//O kurang memberangsangkan. Jika ini bukan masalah besar bagi anda, saya dapat kata dengan yakin bahawa Flow X13 adalah laptop gaming next-gen yang dapat memuaskan keperluan kerja saya yang intensif sambil kekal inovatif dengan fungsi touch screen dan screen lipat.

Asus ROG Flow X13 kini tersedia di laman web ASUS dan terdapat dalam dua konfigurasi berbeza. Model dengan bundle ROG XG Mobile+RTX 3080 dijual pada harga RM 13,499 manakala model tanpa XG Mobile pula boleh didapatkan pada nilai harga semurah RM 5,499.
@gamersantaimy
Discussion about this post