Armored Core VI Fires of Rubicon menandakan kepulangan siri klasik daripada From Software; satu siri yang membina legasi besar dalam industri gaming dan satu siri yang sudah lama tidak disentuh sejak Armored Core Verdict Day (2013). Sebelum mencipta genre “soulslike“, genre mecha yang membuatkan From Software terkenal dahulu dan di sini, saya berpeluang bermain melalui keseluruhan Armored Core VI – entri ke-6 dalam francais Armored Core.
Secara am, Armored Core VI Fires of Rubicon adalah kepulangan kepada zaman gemilang From Software, dan saya gembira untuk mengatakan bahawa game ini bagus seperti yang dijangkakan. Selepas bermain game ini selama beberapa hari, game ini masih mengekalkan intipati From Software kerana gameplay-nya yang sukar tetapi menyeronokkan.
Bagaimana dengan bahagian lain? Teruskan membaca review saya di bawah untuk tahu lebih lanjut tentang Armored Core VI Fires of Rubicon.
Naratif dan Struktur Misi

Saya pernah menjelaskan tentang game ini dalam preview dahulu dan pendapat saya masih sama. Janganlah anda menganggap Armored Core VI sebagai game semi-open-world kerana kemajuan dan struktur misi lebih kurang sama seperti entri lama dalam francais Armored Core. Ternyata, ini adalah reka bentuk yang penting, terutamanya untuk game mecha di mana anda perlu kerap mengetepikan masa untuk melakukan pengubahsuaian (modifikasi) dan persiapan lain.
Serta merta, kita akan dilemparkan terus ke aksi sebagai tentera upahan dengan nama samaran “Raven” yang bekerja di bawah seorang handler bernama “Walter“. Pada mulanya, anda dianggap sebagai amatur yang perlu membuktikan kemahiran dan kesetiaannya dengan melakukan pelbagai tugas berbahaya. Semua ini adalah untuk menyokong syarikat mega dalam mendapatkan “Coral“, sumber berharga yang menjadi punca konflik dan pencetus di sebalik bencana “The Fires of Ibis“.

Di antara konflik antara syarikat korporat besar yang berusaha mendapatkan sumber Coral dan pemberontakan Rubiconian, tugas Raven adalah untuk memastikan mereka dapat memperoleh sumber berharga tersebut – yang menjadi kunci kepada kebebasan hidup abadi. Pendek kata; tiada pihak yang benar-benar baik untuk disokong, dan kita hanyalah seorang tentera upahan yang mesti lakukan semua arahan yang diberitahu oleh Walter.
Walaupun game ini distrukturkan supaya kurang dipacu oleh jalan cerita berbanding siri Soulsborne (terutamanya kerana tiada interaksi antara manusia), saya sebenarnya sangat tertarik dengan naratif. Sebagai tentera upahan tanpa nama, secara perlahan-lahan kita akan dapat pengiktirafan daripada Walter dan rakan-rakan AC lain. Tidak kira betapa mudah atau sukarnya misi, game ini memastikan pemain akan menerima pengalaman yang mendorong kita untuk terus maju.

Sesetengah pemain mungkin tidak ambil berat tentang naratif dan hanya mahu terjun terus ke dalam aksi sebagai pilot AC. Saya faham. Masing-masing ada gaya sendiri. Tetapi jika anda ingin mengikuti naratif dengan serius, maka saya syorkan menonton Story Trailer di YouTube.
Ini kerana trailer dipersembahkan sebagai prolog di mana watak utama masih berkhidmat sebagai juruterbang C4-621 yang mengalami tragedi dalam perang besar, lalu terpaksa meneruskan hidup dengan menyertai Walter sebagai tentera upahan. Anehnya, prolog ini tidak diselitkan sebagai cutscene pada permulaan kisah seperti kebanyakan game lain – jadi pastikan anda menontonnya.
Berkenaan struktur misi, kita diberi pilihan untuk memilih pelbagai misi yang disediakan mengikut jalan cerita dan boleh kembali untuk mencuba misi lama bagi tujuan grinding jika perlu. Apa yang saya sangat suka ialah variasi misi, yang dipenuhi dengan detik-detik epik daripada awal hingga akhir.
Dalam preview, saya banyak bercerita tentang melawan mecha Strider gergasi, tetapi rupanya banyak lagi misi menarik. Satu contoh adalah semasa kita diburu oleh MT halimunan (musuh) dan akhirnya terpaksa hadapi semua dalam pertarungan boss 1v4 yang agak mencabar. Pada masa yang sama, salah satu misi di penghujung Chapter 1 memerlukan kita menyusup ke Watchpoint, melawan pemburu AC yang kuat, dan akhirnya ditamatkan dengan pertarungan bos menentang Balteus – yang terbukti cukup seksa.
Anda akan diberi ganjaran wang tunai yang banyak dalam setiap misi besar, tapi kos belanja seperti pembaikan dan peluru akan memakan sumber wang anda.

Sesetengah misi dipenuhi dengan objektif mudah yang boleh diselesaikan dalam masa yang singkat, manakala ada yang dibahagikan kepada beberapa fasa di mana kita bermain dalam peta besar dengan checkpoint di sekitar bersama misi optional seperti melawan mini boss.
Antara cabaran ini merupakan sebahagian daripada LOGHUNT yang diperlukan untuk meningkatkan Hunter Class dan mengumpul ganjaran yang besar. Variasi misi inilah yang membuatkan Armored Core VI begitu menyeronokkan untuk dimainkan, kerana game ini sentiasa meletakkan kita ke dalam adegan aksi dan memastikan setiap misi adalah berbeza daripada yang seterusnya.

Gameplay

Kawalan dan rasa gameplay adalah salah satu keutamaan apabila menilai keseronokan sebuah game mecha game. Itupun kerana kebanyakan game yang saya mainkan dalam genre mecha berasa sama ada kekok atau terlalu perlahanan.
Kali pertama mencuba Armored Core VI, saya serta-merta dapat merasa kawalan, ketepatan, dan responsif kepada gameplay, yang betul-betul memenuhi jangkaan saya. Tempo game tidak sepantas Armored Core IV, tetapi ia juga tidak selambat Verdict Day, jadi ada keseimbangan yang bergantung pada senario pertempuran dan build AC anda sendiri.
AC (mecha) kita dilengkapi dengan empat slot senjata di mana dua digunakan di kedua-dua belah tangan dan dua di bahu AC. Dari sini, anda bebas memilih mana-mana kombinasi senjata untuk cipta pelbagai kombo serangan selagi ia masih diizinkan, kerana setiap senjata mempunyai berat berbeza yang mesti dikekalkan supaya tidak melebihi kapasiti. Dengan menggunakan kombinasi serangan berbeza secara berterusan, ia memberi lebih banyak tekanan kepada musuh terutamanya jika anda melaksanakannya bersama ciri Assault Boost.

Para pemaju telah menekankan betapa pentingnya Assault Boost dalam Armored Core VI, dan saya faham mengapa. Secara am, ini adalah kemahiran yang membolehkan anda bergerak sepantas mungkin dengan memakan EN (energy boost). Kemahiran ini sangat berguna untuk buat pelbagai gerakan seperti meneroka peta besar dengan cepat, mengekalkan jarak semasa dekati musuh sambil menyerang mereka, dan elak serangan berturut-turut dari pelbagai arah. Lebih dari sekadar memaksimumkan mobiliti, satu lagi ciri penting tentang Assault Boost ialah supaya anda boleh melawan dengan lebih agresif.
Siapa sangka penambahan Assault Boost kepada gameplay akan membuat perbezaan yang begitu drastik, dan saya rasakan impaknya setiap saat sehingga susah untuk bermain game ini tanpa ciri tersebut.

Gaya gameplay yang lebih agresif mesti ditemani oleh sifat berwaspada, sebab musuh dalam Armored Core VI sangat menggerunkan terutamanya secara pertempuran jarak jauh di mana mereka ketepatan tembakan mereka boleh membunuh kita dalam sekelip mata. Beberapa tembakan dari artileri berkuasa tinggi boleh mengurangkan nyawa kita dengan dan letakkan pemain dalam status “stun” – lantas memberikan peluang besar kepada musuh untuk menghabiskan pemain.
Walaupun game ini memfokuskan pergerakan pantas, ada beberapa situasi di mana kawalan boleh menjadi luar kawalan, terutamanya bila kita perlu membuat aksi platforming tepat. Ini kerana AC anda bergerak secara “slide” dan pada masa yang sama, perlu memberi perhatian kepada penggunaan EN untuk capai beberapa tempat tinggi supaya tidak jatuh, kerana EN boleh habis dengan cepat.

Misi di mana saya perlu melawan Strider adalah satu contoh yang bagus, kerana kita perlu membuat pergerakan platforming apabila memanjat di atas jentera besar ini. Memang mudah untuk terjatuh kerana kedudukan generator agak berisiko untuk didekati, dan kawasan di mana anda melawan titik lemah mecha tersebut tidak begitu luas, jadi pemain boleh jatuh dengan mudah jika tidak beri memberi perhatian.
Memandangkan kebanyakan misi dalam Armored Core VI perlu diselesaikan sekaligus, anda perlu menjaga sumber yang tersedia seperti peluru dan Repair Kit untuk pulihkan AP. Sesetengah pertarungan melawan bos boleh memakan masa yang panjang, itulah sebabnya saya sentiasa bawa Pulse Blade sebagai senjata utama untuk mengurangkan penggunaan peluru, ditambah lagi dengan nilai DMG-nya yang tinggi.
Saya bermain satu level panjang yang dibahagikan kepada beberapa fasa, dandi level seperti ini lah kita boleh menambah semula peluru dan Repair Kit tanpa perlu mulakan semula misi.

Menyelam ke dalam sistem

Seperti yang saya bincangkan dalam preview sebelum ini, cabaran terbesar dalam Armored core VI masih berakar umbi dalam pertempuran, terutamanya ketika menghadapi bos. Berbanding preview, saya bermain dengan lebih baik untuk review kerana tiada had masa dan kita boleh bermain mengikut rentak sendiri. Ternyata, saya berjaya menewaskan Juggernaut dengan hanya dua percubaan sedangkan saya terperangkap selama hampir dua jam dalam preview media.
Kunci kemenangan adalah untuk memahami sistem game sebanyak mungkin, di mana saya sentiasa melihat setiap tutorial, belajar tentang ciri-ciri baharu, dan kaji setiap upgrade berbeza. Jika anda bermain tanpa menyusun strategi dan menganggapnya sebagai game aksi kasual, maka Armored Core VI akan berubah menjadi game yang sangat kejam.

Game ini juga termasuk mode ARENA di mana anda boleh lawan AC lain dalam peta yang besar. Walaupun pertempuran kelihatan cukup mudah pada permulaan, akhirnya anda perlu menghadapi AC berpangkat tinggi yang terbukti lebih sukar dan agresif. Selain itu, Repair Kit tidak ada dalam mode Arena, jadi kesilapan kecil boleh bawa maut.
Setiap kali berjaya menyelesaikan misi di Arena, kita akan diberi ganjaran OST Chip yang boleh digunakan untuk upgrade sistem AC. Chip ini sangat-sangat berguna, di mana kita boleh memperoleh skil baru dengan Assault Boost, belajar manuver Quick Turn, menambah expansion baru kepada AC seperti Assault Armor, menambah efek pemulihan kepada Repair Kit, serta pelbagai peningkatan dan kemahiran penting lain.
Bayangkan jika anda tidak buat tidak kisah kepada semua kandungan sampingan ini dan hanya teruskan misi utama, maka lambat laun kita akan dihukumm sepenuhnya. Sebaliknya, ini boleh dianggap sebagai alternatif untuk buat game lebih sukar bagi pemain tegar yang menginginkan cabaran.

Saya juga mengesyorkan anda semua untuk menyelesaikan kelas Training selagi ada. Ini kerana game mempunyai tutorial penting yang tidak dijelaskan dalam misi utama -seperti membelajar manuver berbeza untuk semua jenis AC hingga ke cara bertarung mengikut kombinasi senjata. Anda juga akan diberi ganjaran expansion atau senjata baharu setiap kali menyelesaikan kelas Training, jadi tiada sebab untuk melangkau.

Aspek Customization

Armored Core tidak akan lengkap tanpa ciri AC customization. Sebelum ini, saya tidak begitu pedulikan bahagian ini bila memainkan ansuran sebelum dan sebaliknya anggap sebagai sesuatu yang melecehkan. Ternyata, ini satu kesilapan besar kerana customization merupakan antara mekanik penting dalam game ini; iaitu untuk membina AC terbaik dan bereksperimen dengan build yang lebih cekap bagi menyelesaikan misi.
Setiap bahagian dalam game direka dengan spesifikasi uniknya sendiri, jadi anda tidak boleh menaik taraf semuanya untuk mendapatkan statistik yang lebih tinggi. Pada masa yang sama, pemain akan sentiasa berhadapan dengan dilema untuk korbankan statistik khusus demi mendapatkan peningkatan di bahagian lain.

Situasi khas juga memerlukan pelarasan baharu. Jika rasa EN habis terlalu cepat, maka anda mungkin perlu tukar Generator untuk mempercepatkan pemulihan EN yang sangat berguna untuk manuver seperti Quick Boost atau Assault Boost. Mereka yang ingin bergerak lebih pantas boleh menukar Booster, yang turut menyumbang kepada prestasi penerbangan keseluruhan.
Masalah yang paling biasa adalah seperti berat berlebihan bila menggunakan kombinasi senjata tertentu, maka anda boleh mengubah kaki AC yang menentukan keupayaannya untuk menyokong berat peralatan. Atas sebab ini, nasihat kami adalah untuk bukan menukar semata-mata, tetapi menumpukan pada bahagian yang lebih memerlukan.

Customization selebihnya yang ditawarkan termasuk pilihan reka bentuk AC. Anda boleh menukar warna dan tekstur setiap bahagian atau bentuk keseluruhan AC, termasuk mengubah kombinasi warna, corak dan pelekat tambahan mengikut citarasa anda.
Pilihannya sangat banyak jadi saya yakin AC setiap pemain pasti berbeza antara satu sama lain. Jika anda ingin bagi sentuhan yang lebih autentik, game ini sediakan ciri Image Editor yang membolehkan anda mencipta imej dengan menggabungkan preset sedia ada. Reka bentuk original ini kemudian boleh dikongsi dengan pemain lain melalui ciri AC Data dengan menukar Share ID.
Prestasi di PS5

Kali ini, saya main Armored Core VI di PlayStation 5 dan mengubah beberapa tetapan. Pilihan Ray Tracing wujud, tetapi hanya boleh dipakai bila kita berada di Garage dan untuk mode Quality sahaja, bukannya Performance.
Jadi, saya hanya main game dalam mode ini – yang agak stabil dan cukup responsif termasuk semasa pertempuran sengit dengan aksi penerbangan tinggi. Namun, saya masih mengalami kejatuhan FPS apabila terlalu banyak letupan dan efek berlaku di atas skrin sehingga audio pun tergagap sebenar. Saya cuba mode Performance dan prestasinya agak stabil secara keseluruhan tanpa banyak pengurangan terhadap visual.
Pendapat

Dalam preview, tanggapan saya tentang Armored Core VI Fires of Rubicon sangat positif dan nampaknya pendapat saya tidak berubah untuk versi rasmi. Sesi saya bersama game ini lebih menyeronokkan selepas dapat meneroka setiap kandungan dan mekanik yang ditawarkan.
Untuk francais yang tidak begitu terkenal, Armored Core VI nampaknya telah membuat saya jatuh cinta dengan genre mecha. Gabungan elemen daripada karya terkini From Software benar-benar menyumbang kepada pengalaman keseluruhan, sama ada daripada reka bentuk level, gaya pertempuran dan pertarungan bos yang mencabar. Dari segi kelemahan, saya sebenarnya tidak ada banyak untuk mengadu. Cuma FPS akan jatuh semasa adegan pertempuran sengit tetapi sekurang-kurangnya isu ini boleh diminimumkan dengan Mode Performance.

Dari perspektif seorang pemain yang tidak begitu minat game mecha, sejujurnya Armored Core VI Fires of Rubicon memberi pengalaman gaming yang lain daripada lain. Terdapat penekanan kuat pada konsep gameplay dalam siri original, tetapi sebaliknya game ini juga membawa perubahan dan penambahan baharu yang jelas diinspirasikan oleh karya moden From Software. Ini terutamanya boleh dirasai dalam tahap kesukaran apabila melawan bos (umpama melawan bos Dark Souls), yang saya jamin akan membuatkan ramai pemain tertekan.
Oleh itu, saya akan beri rating 9/10 untuk Armored Core VI Fires of Rubicon.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman web rasmi. Bagi mereka yang berminat, Armored Core VI Fires of Rubicon bakal dilancarkan untuk PlayStation 5, Xbox Series, PlayStation 4, Xbox One dan PC melalui Steam pada 25 Ogos. Baca segala berita kami tentang game ini di SINI.
@gamersantaimy
The Review
Armored Core VI Fires of Rubicon
Terdapat penekanan kuat pada konsep gameplay dalam siri original, tetapi sebaliknya game ini juga membawa perubahan dan penambahan baharu yang jelas diinspirasikan oleh karya moden From Software. Ini terutamanya boleh dirasai dalam tahap kesukaran apabila melawan bos (umpama melawan bos Dark Souls), yang saya jamin akan membuatkan ramai pemain tertekan.
PROS
- Jalan cerita dan naratif yang menarik untuk mereka yang mengambil berat
- Misi yang bervariasi
- Sistem customization yang luas
- Pertarungan bos yang sengit
- Pertempuran yang menyeronokkan dan responsif
CONS
- Beberapa isu prestasi dan audio pada PS5
- Walaupun game menawarkan mobiliti yang hebat, ia tidak bagus untuk platforming tepat
- Perlu berlajar semuanya perlahan-lahan dan meneroka pelbagai pilihan, tidak sesuai untuk pemain yang tergesa-gesa
Discussion about this post