Alice in Borderland kembali dengan Season 2 dan kita dapat lihat Arisu dan kumpulannya berusaha untuk bertahan di dunia yang penuh dengan game membunuh dan pengkhianatan. Bagi kami, musim kedua ini benar-benar menunjukkan tahap bahaya yang berbeza membuatkan setiap jalan di Shibuya menjadi tidak selamat. Kini, Arisu bersama rakan-rakannya terpaksa berusaha dengan lebih gigih berbanding sebelum ini.

Apa yang menarik untuk musim baru adalah game yang lebih kejam dan penuh dengan aksi yang mendebarkan. Jadi mungkin anda akan tertanya-tanya jika ia lebih seronok berbanding season 1 atau tidak? Mari saya jawab persoalan itu untuk kamu! Kami menerima peluang awal untuk menonton Alice in Borderland season 2, jadi berikut adalah review saya bagi musim kali ini.
Cabaran baru

Musim baru ini bermula dengan sambungan pada penghujung season 1 dahulu dan apa yang menunggu mereka adalah sesuatu dilua jangkaan. Selepas melepaskan diri daripada organisasi Beach, Arisu, Usagi dan rakan-rakan yang masih hidup akan menempuh cabaran dengan game maut lebih mencabar.
Dengan game daun terup biasa telah selesai, kini Game Master telah membuka langkah untuk beralih ke fasa seterusnya untuk permainan maut ini. Jika sebelum ini mereka menggunakan daun terup bernombor, kini mereka menggunakan daun terup versi King, Queen dan Jack.

Fasa kedua permainan ini bermula dengan King of Spades, seorang lelaki bersenjata dan memakai topeng akan membunuh sesiapa sahaja walaupun permainan belum dimulakan. Jadi Arisu dan rakan-rakannya harus melengkapkan setiap misi permainan ini, bertahan untuk kekal hidup dan mungkin mempunyai jalan pulang.
Permainan baru

Agak susah untuk saya menerangkan secara terperinci tanpa memberi spoiler, tetapi apa yang saya boleh katakan ialah saya suka dengan perubahan yang mereka lakukan pada season 2 kali ini. Dengan permainan yang lebih sukar, para pemain kena fikirkan pelbagai strategi untuk selesaikan misi.
Permainan maut ini secara umumnya boleh dikatakan mempunyai pelbagai jenis di mana para peserta akan menggunakan kekuatan fizikal dan mental. Ini kerana mereka akan menghadapi permainan yang menambah elemen psikologi yang lebih mengelirukan peserta. Kita juga akan dapat lihat lebih banyak perspektif daripada watak-watak yang lain, terutama sekali Chishiya yang akan menyertai permainannya sendiri. Daripada beberapa permainan tersebut, kita akan lihat Chishiya berlawan dengan orang yang sama bijak dengannya pada musim ini.

Daripada apa yang saya tonton, Alice in Borderland season 2 ini sering memecahkan kumpulan watak utama, jadi sesetengah watak sampingan mendapat screen time lebih jika ingin dibandingkan pada musim sebelum ini. Mereka hilang selepas selesai cabaran pada awalnya dan kembali untuk permainan akhir. Musim ini juga terdapat beberapa watak baru yang menarik tetapi mereka tidak menyumbang banyak untuk keseluruhan plot.
Untuk permainan akhir, ia agak mengecewakan bagi saya kerana mereka boleh menyelesaikan cabaran tersebut dengan mudah. Tetapi disebabkan siri ini ingin memberikan perasaan berdebar-debar kepada penonton, para peserta membuatkan permainan itu kelihatan susah. Oleh kerana itu, drama yang sepatutnya menjadi kemuncak musim ini terasa seolah-olah direka.
Watak

Bagi watak yang mendapat screen time lebih, mereka akhirnya mendapat perkembangan watak yang kukuh. Watak utama, Arisu, seorang yang dahulunya tidak mempunyai sebarang impian atau motivasi akhirnya menjadi seorang yang ingin membantu peserta lain dan menghentikan permainan maut ini. Anda dapat lihat bagaimana kematian rakannya menjadi motivasi untuk dia pastikan yang lain tidak mendapat nasib yang sama.

Heroin utama, Usagi kini nampak lebih mempercayai kepada Arisu dan yang lain. Jika dulu dia hanya memikirkan untuk terus hidup dan mencari ayahnya, kini dia telah keluar daripada kepompong dan mula terikat dengan watak-watak lain. Bagi watak sampingan yang pula, Tatta dan Chishiya betul-betul menarik perhatian saya dengan strategi yang diberikan oleh mereka, berjaya membantu untuk menyelesaikan cabaran permainan maut.

Musim baru ini juga telah memperkenalkan satu kumpulan watak jahat. Daripada hanya bermain permainan yang telah disediakan, kini mereka bersaing dengan Face Cards: Kings, Queen dan Jacks. Mereka merupakan ‘citizens’, iaitu penduduk tetap di kawasan sempadan dalam siri ini. Mereka bukan sahaja menawarkan permainan baru, tetapi mereka juga mempunyai ideologi berbeza dengan mempersoalkan matlamat para hero.
Kiraan mayat meningkat

Seperti musim sebelum ini, tidak terkejut jika terdapat ramai watak yang mati sepanjang musim baru ini dan ia diceritakan dengan baik. Sesiapa sahaja boleh dimatikan di dalam siri ini, tidak kira watak lama atau baru yang memainkan peranan penting. Ia berlaku dengan sangat spontan dan membuatkan anda sentiasa bersedia.
Setiap kematian dapat dirasai dan jelas mempengaruhi watak yang masih hidup. Siri ini betul-betul membuatkan anda terasa sedih walaupun untuk watak sampingan.
Mereka juga telah menambah aksi berkualiti dengan adegan kejar-mengejar dan tembak-menembak yang lebih ganas. Ia menunjukkan keganasan yang lebih walaupun pada musim sebelum ini juga boleh dikatakan agak kejam. Anda boleh mendengar tulang yang patah dan rasai sendiri bagaimana watak tersebut melayang selepas ditembak. Mereka benar-benar ingin pastikan Alice in Borderland season 2 ini berbeza dengan season 1.
Pendapat

Alice in Borderland season 2 adalah sambungan yang dilakukan dengan baik melalui jalan cerita yang lancar. Jika anda inginkan aksi yang padu, musim ini menyediakan variasi yang banyak pada adegan pembunuhan dan aksi koreografi yang ditampilkan memang sungguh dahsyat.
Walaupun saya mengharapkan agar watak-watak tertentu mendapat screen time yang lebih dan pengakhiran yang agak mengecewakan, saya sangat menikmati segala jalan penceritaan dan aksi yang diberikan untuk musim kali ini. Jika anda suka menonton aksi yang dipaparkan pada musim satu, saya pasti anda juga akan sukakan musim baru ini.
Alice in Borderland Season 2 boleh ditonton di Netflix bermula 22 Disember ini. Untuk membaca segala liputan kami tentang siri ini termasuk interview bersama penciptanya, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
The Review
Alice in Borderlands Season 2
Alice in Borderland season 2 adalah sambungan yang dilakukan dengan baik melalui jalan cerita yang lancar. Jika anda inginkan aksi yang padu, musim ini menyediakan variasi yang banyak pada adegan pembunuhan dan aksi koreografi yang ditampilkan memang sungguh dahsyat.
PROS
- Permainan maut yang baru sangat kreatif dan mendebarkan.
- Keganasan dan kematian agak melampau tetapi ditulis dengan bagus.
- Perkembangan watak yang baik untuk watak utama.
CONS
- Sesetengah watak sampingan tidak mendapat screen time yang banyak.
- Pengakhirannya agak mengecewakan.
Discussion about this post