Sebut sahaja Acer Predator, hampir semua gamer akan kenal dengan jenama ini di mana ia mampu memberikan prestasi padu dan reka bentuk yang unik. Sebelum ini, kami telah review adiknya iaitu Acer Predator X28 yang mampu menghasilkan gambar 4K yang cantik. Kali ini, kami diberi peluang untuk review satu monitor gaming besar dan curved yang bernama Acer Predator X38 S.
Monitor ini mempunyai resolusi 3840 x 1600 Ultra-Wide QHD+ dan refresh rate 144Hz yang boleh di overclocked sehingga 175Hz. Adakah ia mampu mengatasi prestasi adiknya Acer Predator X28? Itulah tugas kami di sini untuk menjawab segala persoalan yang anda ada. Jadi, tanpa membuang masa, mari kami ceritakan pengalaman kami semasa menggunakannya!
Reka bentuk

Perkara pertama yang saya nak katakan tentang monitor Predator X38 S ini adalah ianya sangat besar dan berat. Monitor ini bersaiz 37.5 inci dan mempunyai berat sebanyak 9.48kg. Walaupun nampak macam berat, ianya boleh digunakan pada VESA mount tanpa sebarang isu.
Tetapi apa yang merisaukan saya adalah ruang dan saiz tempat kerja. Semasa menggunakan monitor ini, saya tidak mempunyai ruang yang besar untuk meletakkan keyboard dan mouse. Lagi-lagi nak menggerakkan mouse yang mempunyai Sens yang rendah, ia memerlukan ruang yang agak besar. Kalau ruang pun tak cukup, sudah tibanya untuk membeli meja baru yang besar untuk menggunakan monitor ini.
Predator X38 S adalah monitor lengkung dengan lengkungan 2300R. Jadi ianya tidak terlalu lengkung bagi saya. Semasa bermain game menggunakan monitor ini, saya tidak merasakan yang ianya mempunyai lengkungan. Hal ini kerana saya nampak segalanya yang terpapar di paparan dan tidak banyak menoleh ke kiri ataupun ke kanan.

Saya boleh katakan yang bezel pada monitor ini agak besar jika nak dibandingkan dengan monitor lain. Bezel pada bahagian atas dan tepi adalah 11mm manakala pada bahagian bawah adalah 17mm. Ia sedikit mengecewakan kerana teknologi sekarang telah maju di mana terdapat ciri-ciri bezel-less bukan sahaja pada monitor tetapi peranti lain juga seperti phone, laptop dan TV.
Selain itu, stand pada monitor ini telah dipasang siap oleh mereka untuk anda. Jadi, anda tidak perlu mengambil screwdriver dan memasang stand-nya melainkan anda ingin menggunakan VESA mount. Untuk memasang VESA mount, anda perlu membuka stand-nya terlebih dahulu lalu memasangkan tapaknya terlebih dahulu yang telah disediakan di dalam kotak.

Reka bentuk belakang monitor adalah sangat cantik dan terdapat banyak lubang kecil untuk pengudaraan. Nama pun monitor gaming, sudah pasti reka bentuknya nampak lebih ganas jika dibandingkan dengan monitor biasa yang berada di pasaran sekarang. Bagi saya, reka bentuk stand-nya nampak lebih ganas dan cantik daripada monitor itu sendiri. Di bahagian belakang stand, terdapat logo Predator yang berwarna warna kelabu putih.

Kalau nak tahu, stand yang didatangkan pada monitor ini mempunyai ciri-ciri yang ergonomik untuk membenarkan anda memusingkan dan menggerakkan paparannya. Ia boleh dinaikkan dan diturunkan sehingga 5.12 inci. Ia juga boleh dipusingkan ke hadapan sebanyak 5o , ke belakang 35o , kiri dan kanan pula sebanyak 30o. Dengan adanya ciri-ciri seperti ini, ianya sangat mudah untuk anda memasang atau mencabut wayar di belakang monitor tersebut.
Bergerak kepada port I/O, terdapat pemacu audio, DisplayPort 1.4, 2 x USB 3.0 dan 2x HDMI 2.0. Malangnya ianya tidak didatangkan dengan HDMI 2.1 yang boleh menyokong PS5. Terdapat 2 port USB tambahan di bahagian tepi di mana ianya sangat mudah untuk diakses. Ianya sangat jarang untuk menjumpai USB di bahagian tepi terutamanya monitor yang besar seperti Acer Predator X38 ini.
Prestasi Paparan

Acer Predator X38 didatangkan dengan resolusi 3840 x 1600 Ultra-Wide QHD+ dan refresh rate 144Hz yang boleh di overclocked sehingga 175Hz. Untuk pengetahuan anda, dengan menggunakan HDMI 2.0, anda akan menerima resolusi 3840 x 1600 dan refresh rate 144Hz. Manakala DisplayPort, ia dapat menyokong resolusi 3840 x 1600 dan refresh rate 144Hz sehingga 175Hz jika di overclocked.
Monitor ini dapat menyokong HDR600. Walaupun ianya bukan spesifikasi HDR yang tinggi, monitor ini masih boleh menampilkan pencahayaan 600 nits dalam mode HDR. Predator X38 mampu menghasilkan keseimbangan warna yang hampir sempurna bagi saya tetapi sesetengah orang mungkin lebih suka kontras yang tinggi daripada kualiti HDR yang lebih tinggi.

Selain itu, panel IPS yang mempunyai warna gamut 98% DCI-P3 dan Delta E<2 akan melengkapi monitor ini. Ketepatan warna yang ditampilkan oleh monitor ini sangat tepat sehinggakan saya tidak dapat mencari ketepatan warna. Jadi, ianya sangat sesuai untuk digunakan bukan sahaja gamer, tetapi ia boleh digunakan oleh artis, pereka bentuk dan pencipta kandungan.
Didatangkan dengan kadar kontras 1000: 1, ia bermaksud gambar yang berwarna putih adalah lebih 1000 kali ganda lebih cerah daripada gambar berwarna hitam. Mesti ada yang risau, adakah monitor ini menyokong G-Sync Ultimate ataupun FreeSync? Monitor tersedia dengan kedua-dua ciri tersebut supaya anda dapat menggunakan kad grafik pilihan kegemaran.

Dengan ciri-ciri yang sedia ada pada monitor ini seperti refresh rate dan masa tindak balas yang sesuai untuk gaming, saya sangat sukakan paparan yang ditampilkan. Bukan itu sahaja, kalau nak buat kerja yang banyak menggunakan ketepatan warna pun boleh.
Prestasi Gaming

Semasa saya menggunakan monitor ini, saya dapat bermain beberapa game termasuk Valorant, Apex Legends dan The Witcher 3: Wild Hunt. Saya menggunakan grafik tertinggi yang sedia ada pada setiap game.
Valorant (83 FPS)

Walaupun Valorant merupakan game yang tidak banyak menggunakan grafik, ia merupakan game yang mempunyai standard untuk game esports kompetitif. Monitor ini dapat menghasilkan bukan sahaja agent yang cantik dan jelas tetapi persekitaran peta juga nampak sangat terperinci dan dipertingkatkan.
Daripada segi prestasi pula, saya tidak mengalami sebarang masalah semasa bermain Valorant. Untuk mendapatkan lebih banyak FPS, anda boleh turunkan setting kepada yang paling rendah.
Apex Legends (62 FPS)

Untuk pengetahuan anda, Apex Legends adalah game yang lebih berat berbanding Valorant kerana ianya game battle royale dan menggunakan lebih banyak aset. Paparan yang dihasilkan oleh monitor masih nampak sangat jelas dan terperinci sehingga saya tidak dapat mengawal motion sickness. Itu menunjukkan betapa lancarnya game ini.
Tambah pula dengan gameplay yang tidak lag, stuttering dan jagged. Saya sendiri pun terkejut semasa bermain dengan semuanya nampak sangat terperinci. Walaupun semuanya nampak sangat jelas, terdapat satu masalah di mana saya tidak dapat mencari musuh kerana warna mereka sebati dengan warna persekitaran peta disebabkan tetapan grafik tertinggi.
The Witcher 3: Wild Hunt (51 FPS)

Sudah semestinya panel ini dapat menghasilkan warna dan kontras yang cantik. Untuk meningkatkan lagi pengalaman bermain Witcher 3, gambar yang dipamerkan oleh monitor ini sangat jelas dan terperinci dengan saturation yang cantik. Saya jamin yang anda tidak akan mempunyai sebarang masalah walaupun sekecil-kecil butiran semasa anda mengembara dunia Witcher yang terbentang luas.

Sebagai penambahan, anda boleh gunakan HDR mode untuk mendapatkan persekitaran luaran nampak lebih cantik dan terperinci tetapi sesetengah game akan mempunyai masalah semasa menggunakan HDR mode. Jika menghadapi masalah tersebut, anda boleh mematikan HDR mode di OSD.
Untuk mendapatkan gameplay yang lebih lancar, saya sarankan anda untuk menggunakan DisplayPort untuk mengaktifkan refresh rate yang lebih tinggi iaitu 175Hz. Memandangkan Predator X38 tidak didatangkan dengan HDMI 2.1, frame rate yang anda akan dapat adalah terhad.
Disebabkan masalah tersebut, monitor ini adalah bukan pilihan yang bernas untuk konsol seperti PlayStation 5 dan Xbox Series. Jadi, dengan menggunakan PC, ia dapat bersinar dengan memberikan prestasi yang baik dan padu.
Audio

Acer Predator X38 didatangkan dengan dua 7W speaker yang agak baik. Pada pendapat saya, Acer telah menjalankan kerja yang bagus untuk memberikan speaker yang baik kepada monitor ini. Saya mencuba untuk gunakan pada volume penuh iaitu 100%, ia dapat menghasilkan bunyi yang baik dengan memenuhi setiap ruang bilik saya.
Sudah semestinya saya akan mencuba audio pada setiap volume. Pada volume di bawah 70% terdapat sedikit bunyi pecah yang tidak begitu jelas dan masih boleh mengabaikannya lagi. Bass yang dihasilkan oleh kedua-dua speaker ini juga sangat baik.
Walaupun begitu, saya akan mencadangkan anda untuk menggunakan speaker external ataupun aplikasi audio bagi mendapatkan kualiti bunyi yang lebih bagus.
OSD

Dalam tetapan OSD, anda boleh gunakan pelbagai preset yang telah disediakan seperti Action, Racing, Sport dan banyak lagi. Dengan menggunakan OSD, anda boleh mengubah warna dan pilihan tetapan gambar yang terdiri daripada mengubah kecerahan, profil warna, tone, contrast, blue light dan banyak lagi.
Selain itu, Predator X38 didatangkan dengan game menu yang membenarkan anda mengubahsuai tindak balas panel mengikut keperluan. Bukan setakat itu sahaja, anda dibenarkan untuk overclock refresh rate dengan menggunakan OSD sahaja tanpa membuka setting grafik. Pilihan untuk memaparkan refresh rate dan G-Sync Esports turut disediakan di dalam OSD. Berikut adalah tetapan OSD lain yang terdapat di dalam:
- Acer Vision Care 3.0
- BlueLightShield
- ComfyView
- Dark Boost
- Game modes
- GameView
- Flicker Free Technology
- NVIDIA G-Sync Ultimate
- Refresh rate Overlock
- Response time boost
- SDR/HDR variable backlight
Kesimpulan

Acer Predator X38 S adalah monitor Ultra-Wide yang padu sehinggakan setiap daripada ciri-ciri yang didatangkan pada monitor ini membuatkan saya sendiri tertarik untuk mempunyainya. Tambah pula dengan kualiti gambar dan mode sRGB yang mampu menghasilkan ketepatan warna tinggi serta refresh rate sehingga 175Hz, saya memang akan sarankan kepada anda untuk mempunyainya juga.
Jika nak bercakap tentang pengalaman semasa menggunakannya, monitor ini sudah semestinya bagus dalam setiap bahagian. Dengan ciri-ciri yang ditawarkan oleh monitor ini, anda akan rasa sedikit terasing dengan dunia sebenar semasa bermain game, mengedit atau menonton filem.
Gabungan daripada acer dengan menghasilkan paparan lengkung 37.5 inci dan 2300R adalah sangat baik bersama resolusi tinggi 3840 x 1600 untuk menghasilkan kombinasi visual diantara yang terbaik di pasaran. lagi-lagi dengan refresh rate 175Hz, tindak balas pantas 0.3ms dan delta e < 2, monitor ini dapat memaparkan prestasi yang baik.

Tetapi terdapat satu masalah di mana ia juga bergantung pada GPU yang mempunyai kuasa mencukupi untuk menyokongnya. Dengan menggunakan GPU yang berkuasa tinggi, monitor ini dapat menghasilkan paparan yang cukup luar biasa.
Sebagai pemain game PC dan mempunyai monitor 38 inci bukanlah idea yang bagus. Hal ini kerana saya duduk agak dekat dengan monitor di mana saya dapat melihat segalanya yang dipaparkan olehnya. Namun, dengan menggunakan monitor sebesar Predator X38, saya dapat rasakan yang tengkuk saya mengalami sedikit tidak selesa.
Saya rasa ianya lebih sesuai untuk digunakan kepada pemain konsol di mana anda perlu menghidupkan konsol, ambil controller dan duduk pada jarak yang sedikit jauh berbanding dengan pemain PC. Pada jarak yang jauh juga membolehkan anda menjaga kesihatan mata anda tanpa menggunakan ciri-ciri Blue Light.

Itu sahaja masalah yang saya hadapi semasa menggunakan monitor ini. Acer Predator X38 adalah monitor yang sangat baik untuk digunakan bukan sahaja kepada gamer tetapi setiap kerja yang anda lakukan juga akan dapat hasil yang luar biasa. Jika anda sedang mencari monitor yang besar dan melengkung, saya memang akan mencadangkan monitor ini kepada anda.
Anda boleh dapatkan spesifikasi penuh di sini. Acer Predator X38 S boleh didapatkan pada harga RM 5,999 di Acer eStore, kedai rasmi Acer di Lazada dan Shopee. Sekiranya anda membeli monitor ini sebelum 14 Julai 2022, anda layak mendapat diskaun tunai sebanyak RM 300 dan tebus hadiah sehingga RM 199.
Untuk membaca artikel review lain daripada kami, sila klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post