Bakal dikeluarkan di Xbox Series X | S, Windows, PlayStation 5 dan Steam pada 19 Julai 2024, Kunitsu-Gami: Path of the Goddess adalah game terbaru daripada Capcom, tetapi tidak tergolong dalam genre tipikal. Khususnya, ia adalah game “Kagura Strategy Action” yang agak menarik perhatian kami semua selepas pertama kali diperkenalkan.
Di sini, kami berpeluang mencuba sesi hands-on selama selama 4 jam, jadi tujuan previu ini adalah untuk memperkenalkan anda semua kepada Kunitsu-Gami: Path of the Goddess!
Sinopsis

Kisah bermula apabila Gunung Kafuku dikotori oleh kejahatan dan 12 topeng malah kuasa istimewa mereka juga telah dicuri. Protagonis, Soh mesti bekerjasama dengan Yoshiro, gadis dengan kuasa untuk membersihkan kampung daripada kekotoran ini.
Topeng yang dipakai Soh dan penduduk kampung (villager) mempunyai kuasa berbeza dan inilah menjadi kunci dalam melindungi Yoshiro. Sambil membersihkan kampung, anda akan mengutip lebih banyak topeng dan bekerjasama dengan pelbagai villager dengan topeng masing-masing untuk kembalikan keindahan Gunung Kafuku.
Kunitsu-Gami: Path of the Goddess menggabungkan aksi “Dancing sword” dengan elemen strategi di mana villager akan sertai anda untuk membersihkan setiap kampung. Terdapat dua kitaran iaitu pagi dan malam yang akan menjadi penting dalam memastikan kejayaan Soh.
Bersiap Sedia Apabila Siang

Sebelum malam tiba, pemain akan dibawa ke fasa persiapan, di mana ada BANYAK perkara yang perlu dilakukan. Sebagai contoh, anda boleh meneroka kampung-kampung, membersihkan kekotoran yang berlaku dan menyelamatkan pelbagai penduduk kampung, agar mereka boleh ikuti dalam pertempuran, membantu haiwan liar yang terkena wabak, membaiki peralatan, dan membina fasiliti yang boleh melindungi semua orang daripada ancaman musuh.
Tetapi majoriti masa, kita akan membersihkan kekotoran/wabak di sekitar; dan apabila selesai suatu kawasan, pemain akan menerima Tsuba Guard atau Mazo Talisman. Beberapa kekotoran agal tersembunyi, jadi anda perlu memanfaatkan sudut kamera untuk mencarinya.

Sebagai contoh, apabila sampai ke suatu kampung yang terkena wabak, lokasi itu tidak boleh diakses, dan anda mungkin memerlukan bantuan penduduk kampung lain untuk menyelesaikannya.
Bagi ganjaran, anda Tsuba Guard boleh disamakan dengan abiliti atau skil, yang terdiri daripada buff untuk penduduk kampung, ataupun abiliti defensif dan ofensif. Mazo Talisman pula ialah keupayaan yang ditambahkan pada Soh atau kampung, seperti meningkatkan nyawa atau serangan mereka. Di permulaan, kani hanya boleh melengkapkan satu Tsuba Guard dan dua Mazo Talisman tetapi apabila semakin jauh, pemain boleh memakai sehingga 3 Tsuba Guard dan 5 Talisman Mazo.

Anda juga akan menerima sejumlah penduduk kampung baharu untuk bantu apabila menyelamatkan mereka daripada wabak.
Apabila tiba waktu malam, semua penduduk kampung akan kembali ke posisi pertempuran. Kami akan menjelaskannya dengan lebih mendalam di bawah tetapi secara am, kita perlu menyusun penduduk kampung di beberapa laluan untuk menghalang serangan Seethe (spirit jahat) yang datang daripada pintu gerbang Torii.

Yoshiro akan “berjalan” ke puncak sambil menyucikan wabak, yang selalunya dibahagikan kepada titik-titik tertentu yang ditandakan oleh pintu gerbang Torii. Tugas kita pula ialah untuk membersihkan dan menyediakan laluan untuk Yoshiro – jadi kita perlu memutuskan di mana untuk melindunginya.
Semasa menunggu dia melakukan proses ini, musuh boleh datang dari pelbagai laluan lain, jadi pemain perlu bersiap sedia untuk serangan dari mana-mana arah.

Di sinilah, bantuan penduduk kampung dan Contraption (bangunan atau ciptaan defensif) amat penting. Di laluan berbeza, beberapa Contraption boleh dibaiki, antaranya termasuk pagar untuk menghalang musuh, gendang taiko untuk stun musuh, dan menara yang meningkatkan kuasa serangan dan kelajuan pergerakan.
Bertarung Apabila Malam

Seperti yang kami nyatakan, Kunitsu-Gami: Path of the Goddess mempunyai peredaran masa, jadi anda perlu gunakan masa anda dengan baik. Apabila malam tiba, di sinilah anda akan hadapi pertempuran. Lindungi Yoshiro daripada ancaman The Seethe dengan menggunakan serangan pedang Soh.
Setiap kampung menampilkan pintu gerbang Torii dan kejayaan ditentukan sama ada Yoshiro berjaya melalui pintu tersebut sebelum dia dikalahkan oleh The Seethe. Tetapi berhati-hati! Setiap pintu gerbang Torii bersambung dengan alam semesta yang jahat, menyediakan pintu masuk ke The Seethe. Bimbing Yoshiro ke pintu gerbang Torii untuk membersihkan kekotoran dan menyelamatkan kampung.

Pemain juga boleh melengkapkan Soh dan penduduk kampung dengan salah satu daripada 12 topeng yang juga memberikan kuasa istimewa.
Setiap topeng yang dipakai memberikan kuasa yang berbeza. Antaranya ada yang bagus untuk serangan jarak dekat dan ada yang boleh menyembuh. Anda perlu rancang di mana anda ingin tempatkan villager sebelum bermulanya pertempuran. Sebagai contoh, kalau ada penyerang melee hebat, anda boleh letakkan mereka di barisan hadapan, manakala serangan jarak jauh pada bahagian belakang.

The Seethe mempunyai pelbagai rupa dan bentuk berbeza dengan serangan dan kebolehan tersendiri. Setiap raksasa ini diinspirasikan oleh yokai.
Soh dan Rakan-Rakan Kampung

Sebagai pelindung Yoshiro, tugas Soh adalah untuk menyucikan setiap kampung dan mengembalikan gunung kepada aman. Soh bukan sahaja pakar dalam pertempuran, malah skilnya pun melibatkan tarian kagura dan apabila menekan butang X dan Y, dia akan melakukan beberapa kombo tertentu. Soh juga mempunyai busur yang boleh digunakan sebagai senjata jarak jauh.
Untuk menambah lagi intensiti pertarungan, game ini juga mempunyai mekanik perfect dodge dan perfect parry – yang jika dilakukan dengan tepat, dapat membantu anda menguasai setiap pertarungan.

Kembali ke topik kampung, pemain boleh meletakkan penduduk kampung secara strategik dalam posisi taktikal, dan menugaskan mereka dengan peranan yang berbeza. Dalam previu ini, saya mencuba sebanyak 7 jenis penduduk kampung berbeza seperti Woodcutter yang cemerlang dalam pertempuran jarak dekat; Sumo Wrestler yang boleh dianggap sebagai tank, Spearman yang boleh menyerang dari jauh menggunakan lembing, Archer yang bertarung dari jauh dengan panah dan anak panah mereka, Shaman yang boleh menyembuhkan rakan sekutu; Ascetic yang mampu memperlahankan pergerakan musuh, dan satu peranan khas iaitu Thief.
Satu hal istimewa ialah beberapa peranan diberi mengikut jantina seperti Ascetic hanyalah perempuan manakala Sumo Wrestler perlu lelaki.

Setiap penduduk kampung boleh diberikan peranan berbeza dan ditempatkan di seluruh kampung pada bila-bila masa pada waktu malam.
Di Base

Untuk memulihkan keamanan di Gunung Kafuku yang tercemar, guardian Soh dan Maiden Yoshiro mesti membersihkan roh jahat yang dikenali sebagai Seethe. Sambil menyucikan kampung, kawasan yang telah dibersihkan itu boleh dijadikan “base” untuk aktiviti selanjutnya.
Di base, terdapat pelbagai fasiliti, bermula dengan ‘Tent’, yang turut menawarkan Ema Plaque. Dengan memeriksa Ema Plaque, anda boleh melihat model Seethe bagi butiran lebih terperinci.

Di dalam Tent, anda boleh bersiap sedia untuk misi seterusnya dengan menyesuaikan pelbagai elemen, seperti memasang “Tsuba Guard” pada pedang anda, menukar “Mazo Talisman” yang anda bawa dan menguatkan penduduk kampung.
Pendapat

Capcom cenderung untuk membuat game yang “niche” diilhamkan daripada mitologi Jepun, di mana antara contoh terbesar ialah Ōkami dan Onimusha. Kedua-duanya mempunyai peminat yang sangat berdedikasi tetapi malangnya, tidak menjual banyak unit.
Apabila bercakap tentang kedua-dua game ini, Kunitsu-Gami nampaknya berkongsi banyak persamaan dari segi reka bentuk seni dan bunyi tetapi digantikan dengan pengalaman unik yang menggabungkan aksi, strategi dan tower defense dengan gameplay kitaran siang-malam.
Secara keseluruhan, kami cukup seronok bermain previu ini dan yakin peminat tower defense pun akan suka, memandangkan sangat jarang ada tower defense aksi oleh syarikat AAA seperti Capcom. Capcom pun tidak pernah mengecewakan apabila menghasilkan game aksi yang bagus, dan Kunitsu-Gami tidak terkecuali.

Kunitsu-Gami: Path of the Goddess akan dikeluarkan pada 19 Julai 2024, untuk Xbox Series X|S, Xbox One, Windows, PlayStation 5, PlayStation 4 dan Steam. Mereka yang melanggan Xbox Game Pass boleh memainkannya dari hari pertama keluaran.
Ia menyokong Xbox Play Anywhere, membenarkan crossplay dan save data transfer antara Xbox dan Windows 10/11. Selain itu, mereka yang membeli versi PlayStation 4 boleh menaik taraf kepada versi PlayStation 5 secara percuma.
Untuk pre-order, anda boleh tekan SINI!
@gamersantaimy
Discussion about this post