Pada bulan Jun lalu, kami berpeluang untuk mencuba previu bagi entri ke-4 dan terbaru dalam siri Budokai Tenkaichi, DRAGON BALL: Sparking ZERO, di mana kami diberikan kira-kira 30 minit untuk mencuba hanya mod ‘VS Battle’.
Kali ini, kami dapat mendalami previu tersebut dan berjaya mencuba Episode Battle, Custom Battle Mode dan Split-Screen Battle. Terima kasih kepada Bandai Namco Entertainment Asia kerana memberi kami peluang untuk pengalaman ini!
Episode Battle
Ringkasan untuk Episode Battle; ia adalah mode single-player di mana anda bermain sebagai salah satu daripada lapan watak lalu mengalami jaan cerita dan mengulangi pertarungan besar dari perspektif watak pilihan – dari permulaan DRAGON BALL Z dengan Raditz hingga ke Tournament of Power arc dalam Dragon Ball Super.
Anda juga boleh mengubah jalan cerita hingga ke tahap tertentu, bergantung pada pertempuran dan pilihan anda, yang akan mencipta senario alternatif.

Tiga episod yang kami cuba dalam previu adalah Goku, Goku Black, dan Frieza, tetapi akan ada sebanyak lapan watak yang boleh dimainkan semasa pelancaran.
Episod Goku bermula apabila dia berhadapan dengan Raditz, yang cuba menculik Gohan dan memberitahu Goku untuk menghapuskan 100 manusia dalam masa 24 jam, yang merupakan permulaan Raditz Saga atau Saiyan Saga daripada Dragon Ball Z. Piccolo kemudian mendekati Goku untuk bekerjasama kerana mereka kini mempunyai musuh yang sama, iaitu Raditz.

Di sinilah peristiwa pilihan pertama berlaku, di mana anda boleh memutuskan untuk bekerjasama dengan Piccolo atau melakukannya sendirian. Kami memilih untuk bekerjasama dengan Piccolo dan peristiwa berikutnya selepas keputusan itu mengikut jalan cerita original, di mana Goku dan Piccolo melawan Raditz. Tanpa memberikan spoiler lanjut, kami boleh katakan episod Goku juga merangkumi Vegeta Saga kerana kami berjaya sampai ke titik itu dalam previu ini.

Episod Goku Black bermula dengan dia dan Zamasu cuba memusnahkan semua manusia untuk rancangan Zero Mortal Plan, di mana mereka kemudian bertarung dengan Future Trunks, Goku dan Vegeta, yang dibawa dari masa lalu dunia lain. Episodnya mengadaptasi “Future” Trunks Saga.

Akhirnya, episod Frieza bermula dengan Frieza dan askarnya yang tiba di Planet Namek untuk mencari Dragon Ball bagi mendapatkan hajat hidup abadi. Kami kemudian ditunjukkan adegan Vegeta, yang juga sedang mencari Dragon Ball, mengalahkan beberapa askar Frieza. Namun, dengan bantuan pasukan Ginyu, Frieza berjaya mendapatkan tujuh Dragon Ball. Episodnya mengadaptasi Frieza Saga.

Satu ciri menarik adalah fitur kamera first-person yang ditawarkan dalam beberapa cutscene, membolehkan anda menonton dari perspektif watak yang memberikan pengalaman lebih mengasyikkan, terutama dalam adegan di mana pandangan menjadi kabur jika watak anda letih atau cedera.

Walaupun beberapa cutscene terasa sedikit kaku kerana kekurangan animasi selain wajah dan rambut watak yang ditiup angin, lakonan suara keseluruhan episod sangat-sangat baik dan memberikan pengalaman cerita yang mantap. Peminat Dragon Ball pasti akan menyukai mode Episode Battle yang ditawarkan oleh game ini, malah pemain baru juga akan dapat mengalami beberapa jalan cerita ikonik daripada siri original.
Custom Battle Mode
Custom Battle adalah mode dengan banyak potensi untuk kreativiti dan replayability, membolehkan anda mencipta senario tersendiri dan bermainnya. Anda juga boleh bermain melalui senario yang telah dibuat untuk menunjukkan kemampuan mode Custom Battle.

Walaupun tidak dapat menerokai keseluruhan mode ini kerana kekangan masa, kami pasti peminat akan menghabiskan berjam-jam mencipta senario dan jalan cerita impian mereka, seperti mempertemukan SSB Gogeta dengan SS4 Gogeta.

Potensi dalam mode ini tiada had, anda boleh menetapkan pelbagai syarat dan tindakan, seperti memaksa watak anda melakukan Super Attack apabila nyawa berada di bawah 5%, diingatkan oleh Piccolo melalui teks dialog apabila pemasa mencapai satu minit dalam pertempuran, atau bahkan menemui cutscene berbeza bergantung kepada siapa yang menang.

Anda juga boleh menetapkan syarat pertarungan yang lebih ekstrem. Sebagai contoh, pemain perlu sentiasa memberikan damage kepada musuh setiap beberapa saat, dan jika tidak, pertempuran akan berakhir dengan musuh menggunakan serangan kuat. Ini menjadi lebih mencabar jika anda menetapkan musuh pada tahap kesukaran yang lebih tinggi yang menjadikan corak serangannya lebih sukar.

Beberapa elemen yang anda boleh ubah dalam senario termasuk tetapi tidak terhad kepada sudut kamera, pose, ekspresi wajah, efek, teks kapsyen, muzik latar dan skrin judul. Lebih baik lagi, anda boleh berkongsi ciptaan untuk pemain lain supaya mereka pun boleh alami, atau bermain ciptaan pemain lain. Satu langkah yang kami hargai ialah, untuk memuat naik pertarungan ciptaan anda, anda perlu memenanginya sendiri – lantas membendungan isu ciptaan yang mustahil untuk dikalahkan.
Split-Screen Battle
Kami juga mencuba ciri yang paling diingini oleh peminat lama, iaitu mode pertempuran multiplayer split-screen yang tersedia untuk dimainkan secara lokal dalam perlawanan 1v1. Namun, kekurangannya ialah ia hanya tersedia di Hyperbolic Time Chamber.

Menurut pasukan, mereka ingin memberi tumpuan kepada memaparkan kesan Ki, perubahan cuaca, persekitaran yang boleh dimusnahkan dan memanfaatkan konsol generasi terbaru. Tetapi kerana permintaan peminat, mereka terpaksa mengorbankan beberapa elemen teras untuk melaksanakan pertempuran split-screen dan selepas pertimbangan yang teliti, mereka melaksanakannya hanya untuk pentas Hyperbolic Time Chamber, iaitu satu pentas yang tidak mempunyai persekitaran boleh dimusnahkan.
Selain itu, terdapat sedikit kelewatan apabila memilih watak di mana dua pemain tidak dapat memilih watak secara serentak, dan hanya seorang pemain boleh memilih watak pada satu masa. Ini hanya sedikit kekurangan dan tidak menjadi masalah besar selagi pemain dapat bermain dengan keluarga dan rakan-rakan.

Harap-harap mereka dapat menambah lebih banyak pentas pada masa akan datang atau mempunyai lebih banyak pilihan untuk platform yang boleh mengatasi had teknikal ini.
Pendapat

Dengan sesi previu kedua kami untuk DRAGON BALL: Sparking ZERO, game ini semakin kelihatan menjanjikan untuk pemain lama dan juga pemain baru.
Pemain lama dapat mengimbau kembali kisah dan saga kegemaran mereka dari perspektif yang berbeza, manakala pemain baru dapat mengalami bahagian-bahagian popular dalam siri ini. Kami sangat teruja untuk melihat cerita kreatif yang akan dicipta oleh pemain dalam mode Custom Battle.
Bagi mereka yang berminat, DRAGON BALL: Sparking ZERO akan tersedia pada PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC melalui Steam pada 11 Oktober 2024. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post