Borderlands 4 terus mengekalkan momentum dengan memperkenalkan Vault Hunter baharu serta pengembaraan Vault Hunting yang nampak lebih epik berbanding sebelum ini menerusi satu lagi sesi previu.
Dalam previu pertama sebelum ini, kami sempat mencuba watak Vex (boleh baca di sini kalau terlepas). Kali ini, kami kembali ke planet Kairos untuk menguji sendiri kehebatan EXO-Soldier bernama Rafa. Berikut adalah semua perkara menarik yang sempat kami alami.
Mengenali Rafa, Si EXO-Soldier

Tahun ini, Rafa muncul sebagai Vault Hunter baharu yang pasti menarik minat pemain yang gemarkan aksi pantas dengan gaya permainan ala Assassin atau Operative. Rafa hadir bersama skil unik bernama This Year’s Gimmick.
Dengan skil ini, senapang Rafa akan bertukar menjadi sepasang Arc Dagger, membolehkannya melakukan serangan jarak dekat sambil menandakan musuh. Setiap tanda yang dikenakan akan meningkatkan damage yang musuh terima.
Arc Dagger ini pula mempunyai dua gaya serangan: tebasan biasa untuk serangan jarak dekat atau dash pantas ke arah musuh yang menyentuh musuh dengan serangan elektrik. Ia memberikan kelainan yang menarik kerana siri utama Borderlands sebelum ini tidak pernah menawarkan skil melee dengan set gerakan tersendiri.
Apabila skil diaktifkan semula, semua tanda tersebut akan meletup, menghasilkan letupan elektrik yang kuat sekaligus menamatkan efek skil itu.

Selain itu, Rafa turut memiliki skil bernama People Person. Apabila digunakan, Rafa akan mengeluarkan Apophis Lance, sejenis Arm Cannon yang menggantikan fungsi senapang biasa. Dengan senjata ini, Rafa boleh menembak semburan elektrik yang mampu menembusi musuh, di mana setiap tembakan menggunakan Charge.
Kalau trigger ditahan, Rafa boleh mengecas tembakan tersebut untuk menghasilkan damage yang lebih tinggi, peluru yang lebih besar, serta kelajuan tembakan yang lebih laju, tetapi akan menggunakan lebih banyak Charge. Apa-apa Charge yang tidak digunakan akan ditukar kepada pengurangan masa cooldown selepas skil tamat.

Tidak cukup dengan itu, Rafa juga dilengkapi dengan skil Remote Agent. Dengan skil ini, Rafa boleh memanggil sebuah Auto-Tracking Cannon yang akan mengunci dan menembak musuh secara automatik. Meriam ini akan kekal menyerang sehingga musuh tumbang dan akan segera mencari sasaran baru.
Pemain juga boleh menamatkan skil ini lebih awal untuk memulihkan sebahagian daripada masa cooldown.

Gabungan ketiga-tiga skil ini membuatkan Rafa terasa seperti versi baharu Zane dari Borderlands 3 — mungkin lebih menarik dan versatil? Rafa lengkap dengan pelbagai alat canggih: dari Dual Dagger, Arm Cannon, sehinggalah meriam Auto-Tracking.
Gaya permainannya penuh variasi, dan memang seronok digunakan terutamanya jika anda suka karakter yang tampil dengan senjata dan teknologi futuristik.
Vault Mission, Boss Fight & Mekanik Baharu
Dalam previu kali ini, kami diberi peluang untuk mencuba misi terbaru oleh Claptrap, di mana misi utama adalah untuk menyatukan Crimson Resistance yang berselerak di seluruh planet Kairos.
Destinasi pertama ialah The Outbounders — sekumpulan bekas petani dan mekanik yang kini memberontak demi melarikan diri dari cengkaman planet ini.

Malangnya, markas mereka sedang diserang oleh The Order, dan kami tiba tepat pada masanya ketika pertahanan mereka semakin rapuh. Dalam Vault Mission kali ini, tugas kami adalah memastikan The Outbounders selamat sebelum mereka dapat bersatu bersama pasukan utama.

Pertarungan utama dalam misi ini menampilkan bos bernama Primordial Guardian Inceptus. Berbanding boss fight dalam siri sebelum ini, Borderlands 4 jelas memerlukan lebih banyak kemahiran dan perhatian daripada pemain.
Kini, pelbagai alat disediakan untuk membantu pemain mengelak serangan maut daripada bos — termasuk kebolehan double jump, penggunaan grappling hook, serta gliding untuk bertahan lebih lama di udara.

Menariknya, grappling hook bukan sekadar alat untuk bergerak bebas. Dalam pertarungan ini, ada satu fasa di mana anda perlu menggunakan grapple untuk menarik bahagian tertentu pada tubuh bos, mencabutnya agar titik lemahnya terdedah dan boleh diserang.
Pada fasa lain pula, anda perlu menggunakan grapple untuk berpindah dari satu titik ke titik lain di sekitar arena, kemudian meluncur menggunakan glider. Dengan bantuan gliding, anda boleh mengawal jatuhan dengan perlahan sambil mencari sudut terbaik untuk menembak titik-titik lemah bos yang tersembunyi.

Keseluruhan pertarungan terasa jauh lebih pantas, mencabar, dan aktif berbanding boss fight dalam siri Borderlands sebelum ini.
Rekaan Senjata & Sistem Licensed Part

Tak sah Borderlands kalau kita tidak sentuh tentang senjatanya. Dalam Borderlands 4, sistem Licensed Part benar-benar membawa variasi senjata ke tahap yang lebih gila.
Bayangkan satu senjata yang menggabungkan barrel dari Maliwan, drum magazine dari Torgue, dan stock dari Jakobs — hasilnya? Senjata itu beraksi seperti campuran ketiga-tiganya sekali gus. Anda boleh dapatkan gabungan elemental, peluru berasaskan letupan, dan kadar tembakan yang laju dalam satu senjata sahaja.
Secara peribadi, saya memang peminat Jakobs, jadi saya sangat puas hati dapat menembak pantas tanpa kira apa komponen lain yang digunakan.

Setiap bahagian Licensed ini menyumbang identiti tersendiri: dari animasi reload yang licin, efek bunyi yang jelas, hinggalah kepada recoil yang terasa ‘puas’ setiap kali picu ditarik.
Kalau anda sukakan feel menembak dalam Borderlands 3, saya rasa Borderlands 4 pasti akan buat anda lebih teruja dengan pilihan senjata yang lebih pelbagai dan penuh kuasa.
Pendapat
Rafa benar-benar membawa nafas baharu dengan gaya permainan yang berani, menampilkan serangan jarak dekat elektrik dan tembakan charged yang memuaskan. Misi cerita pula berjaya menarik perhatian kami sejak awal, manakala boss fight memaksa kami menggunakan segala skil pergerakan yang ada.
Digabungkan pula dengan Sistem Licensed Part yang membolehkan anda mencipta senjata unik dengan gabungan ciri dari pelbagai Manufacturer, Borderlands 4 sememangnya kelihatan seperti entri paling besar dan berani dalam siri ini.

Itulah pandangan kedua kami mengenai Borderlands 4. Game ini akan dilancarkan pada 12 September 2025 untuk PlayStation 5, Xbox Series X/S, dan PC melalui Steam serta Epic Games Store. Versi untuk Nintendo Switch 2 pula akan menyusul kemudian dalam tahun yang sama.

Borderlands 4 akan dilancarkan pada 12 September 2025 untuk PlayStation 5, Xbox Series X/S, dan PC melalui Steam serta Epic Games Store. Versi untuk Nintendo Switch 2 pula akan hadir kemudian dalam tahun yang sama.
Untuk maklumat lanjut, layari laman rasmi Borderlands.
@gamersantaimy
Discussion about this post