Semasa Xbox Showcase 2024, NetEase Games mengumumkan FragPunk, game 5v5 hero shooter baharu yang berlangsung dalam alam semesta futuristik. Apa yang membezakan FragPunk dengan game lain dalam genre sama ialah ia memperkenalkan sistem card modifier unik pada gameplay yang meluaskan lagi pilihan pertempuran dan membuka pelbagai kemungkinan.
Baru-baru ini, mereka mengadakan Closed Alpha Test pertama di Steam untuk peserta terpilih, dan kami cukup bertuah kerana dapat menjadi salah satu peserta. Tanpa melengahkan masa lagi, berikut adalah previu awal saya untuk FragPunk!
Gameplay

Seperti yang kami kata di atas, FragPunk menampilkan perlawanan shooter 5v5 di mana setiap pemain memilih daripada 10 hero unik yang dipanggil sebagai Lancers, masing-masing dengan abiliti berbeza, gaya permainan berbeza dan strategi berbeza.
Sesetengah hero lagi handal menyerang, manakala ada yang bagus ketika bertahan, malah ada juga yang pandai dalam kedua-duanya.
Sebagai contoh, salah satu watak bernama Nitro boleh menggunakan dron taktikal di mana anda boleh mengawalnya dari jauh, dan juga mengawal turet. Satu lagi contoh lain ialah watak bernama HollowPoint, yang menggunakan senapang sniper elektromagnet dengan optik yang boleh mendedahkan musuh apabila membidik.
Setiap Lancer mempunyai tiga abiliti unik, dan setiap satu tertakluk kepada sistem cooldown, untuk memastikan ia digunakan secara strategik dan bukannya sekadar spamming tiap kali.

Perbezaan terbesar antara FragPunk dan game shooter lain ialah mekanik unik yang melibatkan kad istimewa, dikenali sebagai Shard Card. Kad ini boleh mengubah peraturan pertempuran dengan drastik, lalu menambahkan lapisan dinamik dan strategik pada setiap perlawanan.
Pemain boleh memilih Shard Card pilihan mereka sebelum setiap pusingan untuk menyusun gameplay dan taktik.
Shard Card dapat memberi buff, debuff, atau abiliti baharu sepenuhnya, yang memaksa pemain menyesuaikan strategi secara berterusan. Sebagai contoh, anda boleh mendapatkan buff seperti HP Regen, Shotgun Extra Damage, atau menukar daripada peranan Attacker kepada Defender.
Bagi saya, mekanik ini memberi rasa keterujaan dan menjadikan gameplay lebih susah untuk diramalkan. Jika anda rasa diri akan kalah, jangan risau – kerana jika bernasib baik pada masa tertentu, anda masih boleh membuat comeback.

Game ini menawarkan 15 senjata berbeza, setiap satu turut memenuhi pelbagai gaya permainan. Daripada submachine gun yang menghujankan peluru tanpa henti hingga ke sniper rifle yang damage tinggi, pemain boleh memilih senjata yang melengkapkan kebolehan hero mereka dan gaya tempur mereka.
Variasi ini memastikan pemain boleh bereksperimen dengan loadout yang berbeza untuk mencari kombinasi yang paling berkesan.
Pergerakan dalam FragPunk terasa lancar dan responsif, dengan fokus pada kelajuan dan agiliti. Pertempuran pun bersifat fast-paced dan brutal, di mana anda kemahiran dan ketepatan amat diperlukan.
Ini kerana setiap saat dalam game ini amat mencabar, dan sentiasa memerlukan pemain untuk berfikir dan menyesuaikan diri dengan situasi yang berubah-ubah. Kalau PC kentang, internet lambat, jangan harap boleh main game ni dengan selesa.

Bagi saya, gabungan abiliti hero, pilihan senjata, dan Shard Card memperkenalkan pelbagai lapisan strategik ke dalam game. Pemain mesti mempertimbangkan kekuatan dan kelemahan hero mereka, memilih senjata yang melengkapkan gaya permainan watak tersebut, dan memilih Shard Card yang memberikan kelebihan paling banyak dalam perlawanan.
Pendekatan ini menggalakkan rancangan taktikal yang menyeluruh dan mengharuskan kerja berpasukan.
Mode Yang Disediakan
Shard Clash

Untuk gameplay kompetitif, pemain boleh mencuba mode Shard Clash. Ia menyerupai mode klasik di mana pasukan penyerang perlu menanam bom di Side A atau Side B. Pemain pertahanan pula ditugaskan untuk bom itu daripada ditanam atau mematikan bom sebelum masa tamat.
Seperti yang dijelaskan tadi, mode ini mempunyai Shard Card yang akan sentiasa muncul pada permulaan setiap pusingan. Jika kalah pada pusingan awal, pusingan seterusnya boleh kembali berpihak kepada anda jika anda bernasib baik mendapatkan Shard Card yang bagus untuk mengalahkan musuh.
Perubahan dinamik ini yang boleh mencipta senario gameplay yang pelbagai dan sukar diramalkan.
Team Deathmatch

Jika ingin berseronok atau mahu belajar cara menggunakan hero, tetapi masih mahu aspek kompetitif ringan, deathmatch adalah mode yang sesuai. Pemain masih akan bertarung 5v5, tetapi akan sentiasa respawn selepas mati. Pasukan yang mendapat 100 kill dahulu akan menang.
Aspek Mikrotransaksi

Seperti mana-mana game live-service tipikal, FragPunk juga mempunyai mikrotransaksi, khususnya sistem dwi-mata wang. Satu mata wang boleh diperoleh semasa bermain, manakala satu lagi, mata wang premium, boleh dibeli dengan wang sebenar.
Barangan kosmetik, Battle Pass dan pek kad berharga berbeza, di mana mata wang premium sering menawarkan pakej dan diskaun untuk item yang lebih berharga.
Setiap skin, tidak kisah untuk hero atau senjata, mempunyai rarity dari Common hingga Epic. Semakin tinggi rarity tersebut, semakin bergayalah reka bentuknya, termasuk harga yang lebih tinggi.

Jika berminat, pemain juga boleh membeli pek Shard Card, yang menawarkan pelbagai power-up dan modifikasi. Walaupun kad ini boleh diperoleh melalui gameplay, membeli pek terus membolehkan pemain mengembangkan koleksi dengan lebih cepat. Ini agak P2W, tetapi nasib baik F2P boleh memperoleh semua kad tanpa membelinya.
Visual dan Prestasi

FragPunk cukup cemerlang dalam persembahan visual, dengan menampilkan dunia dystopia berpasir yang menarik. Reka bentuk seni banyak diinspirasikan daripada budaya punk, dengan grafiti berwarna-warni, papan tanda neon dan bandar urban.
Hero dalam FragPunk pun nampak berbeza dan menarik secara visual, masing-masing dengan estetik unik sendiri yang mencerminkan kebolehan dan peranan mereka. Secara umum, saya suka visual keseluruhan.

Di PC, FragPunk berjalan baik walaupun untuk sistem mid range, dengan pilihan setting mesra untuk memastikan prestasi yang lancar untuk pelbagai konfigurasi. PC saya, yang dilengkapi Ryzen 5 3600, dan Radeon RX 6800, boleh mendapatkan 144 FPS dengan mudah untuk menikmati game ini.
Tetapi, banyak kerja yang perlu dilakukan, terutamanya untuk hal pengoptimuman. Apabila menghadapi banyak musuh sekaligus dan semua melakukan skill serentak, FPS saya sentiasa turun, yang saya rasa tidak sepatutnya berlaku dalam game yang sangat kompetitif seperti ini.
Pendapat

FragPunk bakal menjadi tambahan yang menarik kepada genre hero shooter. Genre ini cukup popular di pasaran zaman sekarang, tetapi game ini mempunyai mekanik tersendiri, tahap strategi yang mendalam dan gameplay dinamik membuatkannya menonjol dan seronok untuk bermain.
Selain gameplay, reka bentuk pun mengagumkan, kerana membawa estetika bertenaga dan edgy, sesuai untuk game kompetitif seperti ini.
Walaupun ada ruang untuk penambahbaikan, seperti dari segi mikrotransaksi – membeli Shard Cards bersifat terlalu P2W bagi saya, terutamanya jika game itu baharu sahaja dikeluarkan. Selain itu, prestasi masih perlu dioptimumkan, kerana lag tanpa sebab walapun sistem cukup kuat untuk menampung.

Walaupun saya sebut semua itu, secara keseluruhan, FragPunk berpotensi untuk menjadi antara gae kegemaran di kalangan pemain FPS.
Jika berminat, anda boleh melayari laman web rasmi di SINI!
@gamersantaimy
Discussion about this post