Hujung bulan nanti, Atlus akan lancarkan game baru bertajuk Soul Hackers 2. Ingatkan Atlus sudah lupa dengan game ini. Kalau anda ingin tahu Soul Hackers merupakan entri dalam siri Devil Summoner. Game pertamanya telah dilancarkan pada 1997 dengan tajuk Devil Summoner: Soul Hackers. Bercerita tentang game baru ini, anda boleh sahaja bermainnya tanpa bermain game yang lama. Lagipun memang susah untuk jumpa game lama itu melainkan anda memang mempunyainya pada PS3 atau 3DS.
Apapun, kami telah mendapat jemputan daripada Epicsoft Asia untuk mencuba Soul Hackers 2 ini. Jadi kami pun mahu ceritakan pengalaman kami sepanjang bermainnya dan apa yang menarik tentangnya. Sempat juga kami bermain selama 4 jam untuk buka fungsi fusion dengan watak Ringo mencapai level 9.
Pengenalan Game
Di sebuah bandar dinyalakan dengan lampu neon, kemajuan teknologi membuatkan manusia terbiasa dengan kemudahan komersial. Di sebaliknya, perang antara Yatagarasu dan Phantom Society sedang berlaku, kumpulan Devil Summoner yang mempunyai kuasa “Demon”. Dalam lautan data rahsia, wujudnya minda digital yang boleh memahami perasaan bernama Aion. Dia memerhatikan manusia dari jauh sambil mengira waktu pengakhiran dunia berlaku dan mewujudkan dua ejen untuk memeranginya iaitu Ringo dan Figue.
Kedua-dua ejen ini mempunyai kesedaran serta badan yang seakan-akan manusia. Malah mereka juga boleh menggunakan kuasa Aion melalui pelbagai cara. Kita akan bermain sebagai Ringo manakala Figue pula merupakan watak support dan membantu kita semasa bermain.

Bandar Metropolis dan Realm
Kisah Ringo dan pasukannya berlaku di kota metropolis Jepun yang megah. Dalam masyarakat yang menganggap demon sebagai satu mitos dan cerita dongeng, wujudnya bandar yang hanya boleh diakses oleh Devil Summoner, dipangil sebagai Realm. Berselindung daripada masyarakat, Realm merupakan tempat di mana Demon dan Devil Summoner bergaul dengan fasiliti untuk summoner lakukan fusion, peningkatan COMP dan mendapatkan maklumat.
Gaya cyberpunk dalam game ini boleh tahan juga lebih-lebih lagi dengan keseluruhan bandarnya dipenuhi dengan warna-warni serta bergaya. Kalau anda tidak perasan, watak utama, UI dan juga tajuk game semuanya direka bentuk dalam bentuk segi tiga.

Watak-watak utama serta kebolehan mereka
Anda akan bertemu dengan Arrow, Milady dan Saizo yang berbeza personaliti tetapi bekerjasama dengan baik bersama-sama Ringo untuk menentang kemusnahan yang boleh menamatkan dunia tersebut. Walaupun setting-nya nampak seperti tidak sesuai sangat, tetapi melalui watak dan naratifnya, anda akan ketahui lebih lanjut mengenainya.
Jika dahulu, Ringo tiada suara tetapi dengan trend terbaru game RPG yang kini memberikan suara pada watak-wataknya. Ia juga sesuatu yang baru untuk siri ini. Walaupun begitu, game ini masih memerlukan anda untuk membuat pilihan. Berbanding rasa seperti watak utama, kali ini anda seperti watak ketiga. Ringo akan menceritakan kisah itu kepada anda. Dengan personalitinya yang cool, mungkin dia akan menjadi watak yang diminati oleh ramai pemain.

Disebabkan Ringo boleh hidupkan semula Ally, mereka akan kehilangan kesemua demon yang dimiliki sebelum ini. Jadi, anda perlu set semula demon untuk mereka. Tetapi satu demon sahaja untuk setiap watak. Selain itu, mereka juga memiliki Summoner skill. Kebolehan ini hanya boleh didapatkan melalui Soul Matrix dalam Axis. Ia merupakan ruang yang dihasilkan dalam mental Ringo dan lebih banyak Soul Level antaranya dan watak lain, lebih banyak kawasan yang boleh ditrokainya.
Efek kebolehan ini berbeza-beza, daripada mengukuhkan statistik kepada meningkatkan stack semasa Sabbath. Soul Level boleh ditingkatkan semasa bermain story dan ia juga bergantung pada pilihan yang dibuat. Ia juga boleh dinaikkan dengan bercakap dalam safe house atau mengajak Ally ke bar dan minum bersama.
Lebih jauh anda teroka, Vision Quest akan berlaku. Anda akan diberi gambaran tentang masa lalu Ally. Dengan memahami Ally dengan lebih mendalam, RIngo dan pasukan anda boleh menjadi lebih kuat. Side Mission juga tersedia dalam Axis. Terdapat pelbagai kandungan pada misi dan ada juga yang memerlukan anda untuk kalahkan musuh tertentu atau kumpul dan hantar item.Dengan menyelesaikan misi tersebut, anda akan mendapat gold atau item.

Bercerita tentang safe house pula, anda boleh rehat untuk recover semua Ally atau tukar pakaian mereka. Itupun kalau anda ada beli DLC. Kalau anda makan di safe house, bukan setakat health sahaja penuh, Ally juga akan mendapat buff.
Tambahan pula, Ringo dan Ally boleh upgrade COMP iaitu senjata utama dan peranti untuk summon demon. COMP ini juga mempunyai ciri lain seperti “Mystique Adaptation”, di mana ia merupakan elemen yang berbeza daripada affinity chart termasuklah jenis kebolehan seperti Ailment, Recovery dan Support. Selain itu, anda juga boleh membeli armor untuk naikkan stat Ally tetapi kena grind material di dalam dungeon untuk unlock.

Gameplay
Kalau anda bermain Persona, memang senang untuk anda biasakan diri dengan combat-nya. Anda hanya perlu mencari kelemahan musuh, jadi gunakan segala serangan elemen yang ada untuk mencari kelemahan itu. Selepas itu, anda bolehlah gunakan Assist untuk bantu anda mencari skill untuk menyerang musuh. Seperti biasa element Fire, Ice, Electric dan Force memang kuat. Untuk skill fizikal pula, ia juga booeh digabungkan dengan Gunfire.
Apabila anda menyerang kelemahan musuh, anda akan kumpul Stack. Pada penghujung giliran anda, Sabbath akan dilepaskan atau senang cerita “All-Out Attack”, yang membolehkan semua demon Ringo menyerang semua musuh. Jadi, lagi tinggi Stack yang anda kumpul lagi hebat damage yang akan diberikan. Kalau anda malas nak combat, butang auto attack juga tersedia.

Sepanjang misi atau dungeon, anda akan mengawal Ringo. Anda boleh slash musuh sebelum mereka kejar anda, jadi anda ada peluang tinggi untuk memberikan damage tinggi pada musuh dan dapat kelebihan. Jadi kalau musuh yang dapat kejar anda dahulu, anda akan diserang mereka. Anda boleh escape tapi tidak selalu berjayalah.
Sudut kameranya agak pelik sedikit, dia akan ikut pergerakan watak. Memang masih boleh gunakan analog kanan untuk mengawalnya tetapi agak terhad. Anda tidak mempunyai kebebasan untuk gerakkan kamera pada sudut yang diinginkan. Kadang-kadang tu sampai boleh ter-miss serangan. Kalau pergi tetapan pun, anda tidak boleh ubah sudut kameranya.

Demon
Kita boleh pilih demon yang ingin digunakan dalam party dan Ally boleh gunakan skill untuk berlawan. Apabila masuk dungeon, demon anda yang berkeliaran mencari bekalan, boleh recover anda sepenuhnya dan mencari demon baru untuk direkrut. Untuk rekrut agak mudah, setelah anda memenuhi apa yang mereka inginkan, anda terus boleh rekrut mereka. Tetapi tengok juga pada level anda. Jika level rendah, demon terus taknak ikut serta party.
Demon akan mendapat EXP, sebaik sahaja anda selesai pertarungan. Setelah naik level, mereka akan memperoleh kemahiran baru. Setelah demon mendapat semua kemahiran, mereka akan menghantar hadiah kepada anda. Contohnya kristal ajaib yang boleh meningkatkan keupayaan anda.

Seperti Persona, demon juga boleh digabungkan. Kalau anda gabungkan demon yang mempunyai lebih daripada empat kebolehan, anda perlu pilih empat daripada semua kebolehan tersebut.
Anda boleh melihat secara langsung demon yang anda mahukan, tetapi perlu memenuhi level target yang diperlukan olehnya. Terdapat juga gabungan khas iaitu gabungan lebih daripada dua demon, tetapi buat masa ini saya masih tidak dapat mencubanya.

Kesimpulan
Kalau anda belum pernah bermain siri ini, rasanya ini adalah peluang baik untuk anda mencubanya. Soul Hackers 2 mempunyai banyak ciri yang datang daripada siri Megaten yang lain. Malah ia juga sesuai untuk pemain kasual. Difficulty game juga boleh dipilih sendiri.
Penceritaannya juga agak menarik kerana ia membawa anda melihat setiap watak melalui Ringo. Paling menarik sekali Ringo juga merupakan protagonis wanita pertama dalam siri. Buat masa ini, DLC yang telah diumumkan ialah kostum daripada Persona 5 dan hanya muncul dalam battle sahaja. Selain itu, ada juga cerita tambahan “The Lost Number”, tetapi tidak tersedia semasa acara.

Apapun, kalau anda berminat untuk bermain game ini, bolehlah pra tempah di platform masing-masing. Kalau di PC, anda boleh mendapatkan wallpaper khas game untuk digunakan! Untuk mendapatkan liputan lain mengenai Soul Hackers 2 daripada kami, sila klik pautan ini.

@gamersantaimy
Discussion about this post