Diumumkan pada Jun 2022, Rollerdrome adalah game ‘third-person shooter roller derby’ oleh Roll7 dan Private Division (pencipta sama kepada OlliOlli World) yang bakal dikeluarkan pada 16 Ogos di PlayStation 5, PlayStation 4 dan Windows PC.
Secara amnya, Rollerdrome lebih kurang sama seperti OlliOlli World, cuma berbeza pada tujuan dan visual. Bersama dengan elemen sukan berbahaya dan gameplay lain daripada lain, kami diberi peluang untuk mencuba preview Rollerdrome. Jadi apakah inti keseluruhan game ini? Jom kita lihat sama-sama!
Jalan cerita
Rollerdrome ialah sukan di mana pesaing akan meluncur di arena besar dan melawan musuh yang dipanggil House Players. Pemain terbaik secara keseluruhan akan dilayan seperti superstar.
Game ini berlangsung pada tahun 2030, di mana satu sukan roller derby berbahaya menjadi sukan pilihan untuk penonton pada zaman itu. Disifatkan sebagai “sukan ganas,” peserta harus melakukan trik yang menarik dan menembak pesaing lain untuk memperoleh markah tertinggi
Mengisahkan Kara Hassan, ahli baharu kepada IRF (International Rollerdrome Federation) – dia harus mendaki carta untuk menjadi pemain terhebat dalam sukan itu. Lama kelamaan, Kara mula membongkar misteri tentang syarikat teknologi gergasi yang bekerja di sebalik tabir sukan mengerikan tersebut.
Gameplay umum

Tidak seperti OlliOlli yang mengharuskan kita untuk pergi dari titik A ke B, Rollerdrome tidak mempunyai destinasi khusus. Sebaliknya kita akan bermain di arena yang besar sambil bersaing dengan beberapa House Players aka musuh. Arena ini akan penuh dengan objek interaktif seperti paip, rel dan dinding untuk kita meluncur manakala objektif utama adalah untuk mendapatkan sebanyak mana mata yang mungkin sambil menyelesaikan cabaran.
Bagaimana untuk mendapat mata? Pertama, kita boleh melakukan trik seperti dalam game Tony Hawk. Anda mempunyai butang khusus untuk ‘trik’ di mana setiap arah akan menghasilkan trik yang berbeza. Anda juga boleh melakukan trik di udara, yang menghadiahkan lebih banyak mata jika dilakukan dengan sempurna. Pada masa yang sama, melakukan trik dapat reload semula peluru anda.

Kedua adalah ‘membunuh’ atau ‘kill. Kill memberi mata, serta dapat menggandakan jumlah kombo (combo multiplier). Teruskan dapat kill untuk menggandakan kombo hingga ke maksimum. Daripada pengalaman saya, combo multiplier adalah cara terbaik untuk mendapatkan mata di mana saya kebanyakan kali dapat ‘A’ untuk level selepas membunuh House Players secara agresif daripada melakukan trik.
Bukan sekadar membunuh sahaja, malah jumlah mata juga ditentukan kepada ‘cara’ kita membunuh. Mata tambahan akan diberi jika kita dapat membunuh House Players dalam pelbagai cara, seperti Reflex kills atau menembak peluru berpandu dari udara.
Sistem pertempuran

Semasa mencuba preview game ini, saya mendapat 3 jenis senjata iaitu 1x dual pistol, 1x shotgun dan 1x rocket launcher. Semuanya menggunakan sumber peluru yang sama (seperti MP bar yang kita selalu jumpa dalam game RPG) di mana dual pistol tidak begitu memakan bar berbanding bom, tetapi rocket launcher boleh menghasilkan lebih banyak damage.
Watak kita akan lock-on secara automatik kepada musuh apabila berada dalam jarak, tetapi kita juga boleh masuk mode Focus yang meminta kita untuk sasarkan musuh secara manual, lantas memberikan kawalan yang lebih tepat ke atas senjata. Selain itu, senjata shotgun mempunyai mode tembak Slug Shot yang mengumpulkan semua peluruh dalam satu tembakan lurus.

Memandangkan game ini ada bahagian lawan-lawan, masuk akal lah untuk pihak developer menambah butang ‘dodge’/mengelak. Dodge akan memperlahankan momentum semasa, tetapi membolehkan kita berguling ke mana-mana arah.Pada masa yang sama, game ini mempunyai ciri bernama Reflex Dodge yang bermaksud jika kita mengelak pada masa yang tepat, masa akan diperlahankan sekeliling kita.
Selain itu, gunakan butang Focus selepas melakukan Reflex Dodge secara sukses akan membuatkan kita memasuki mode Super Reflex- di mana sekililing kita akan bergerak dengan lebih perlahan.
Autolock berfungsi dengan baik pada majoriti masa. Disebabkan kita bergerak dengan pantas, korang tidak mahu menyasar secara manual. Caranya adalah untuk autolock apa-apa yang anda tidak fokus untuk bunuh, dan kemudian manfaatkan autolock untuk musuh yang benar-benar perlu dibunuh.
Musuh

Variasi musuh dalam Rollerdrome (daripada apa yang saya lihat) cukup unik. Jenis musuh tidak banyak, tetapi cukup untuk memastikan setiap level rasa menarik.
Terdapat musuh yang cuba menyerang jarak dekat, sniper yang akan cuba menembak kita, musuh memakai peluru berpandu yang akan menghasilkan perisai apabila dicederakan, musuh yang boleh teleport, sebuah robot gergasi dan lain-lain.

Bagi saya, isu utama saya dengan musuh bukan pada reka bentuk mereka, tetapi pada jumlah HP. Saya tiada masalah jika musuh peluru berpandu atau yang berperisai itu banyak HP, tetapi musuh seperti jenis teleport sangat-sangat sukar untuk dibunuh dalam satu kombo. Sehingga kadang-kadang rasa tidak seronok kerana dia selalu melarikan diri dengan baki 1 HP.
Ciri ‘Challenges dan Token‘

Selain itu, sejumlah Trick Token dan Combo Token akan diagihkan di sekitar arena. Trick Token memerlukan kita untuk melakukan trik khusus, yang boleh anda baca dalam Challenge Menu pada permulaan setiap level. Sebaik sahaja melakukannya, cabaran itu selesai dan anda tidak perlu melakukannya lagi.
Combo Token pula akan bertaburan di sekeliling arena, dan akan bantu menggandakan kombo. Ini bagus jika anda tidak membunuh musuh dalam tempoh masa yang lama, kerana membantu kombo kita daripada hilang. Apa yang menjadi masalah adalah tempat letak Combo Token tidak ideal dan boleh menjadi agak menjengkelkan.
Challenges ialah senarai sub objektif yang boleh anda lakukan dalam setiap level. Sebaik sahaja menyelesaikan setiap challenge, anda tidak perlu melakukannya lagi. Challenges selalunya terdiri daripada 1x Trick Token dan 2x Score Challenge. Anda perlu menyelesaikan jumlah Challenges minimum untuk mengakses level seterusnya dalam Rollerdrome.
Itu sahaja untuk preview saya bagi Rollerdrome! Dengan menggabungkan aksi sukan dan gameplay membunuh, ia memberi gambaran yang sangat berbeza daripada OlliOlli World yang penuh dengan elemen kartun.
Walaupun kandungan masih sedikit kerana ini hanya demo, saya cukup kagum dengan apa yang ditawarkan. Ya benar, gameplay dan visualnya tidaklah memukau mata tetapi itu kerana Rollerdrome adalah game yang dibuat khas untuk tujuan replayability di mana pemain boleh menghabiskan berjam-jam bermain tanpa rasa bosan.
Buat sesiapa yang berminat, sasib baiklah kita tidak perlu tunggu terlalu lama kerana Rollerdrome akan keluar pada 16 Ogos di PlayStation 5, PlayStation 4 dan Windows PC! Untuk maklumat lanjut tentang game ini, korang boleh layari laman web rasmi mereka di sini.
@gamersantaimy
Discussion about this post