Baru diumumkan semalam, The Pokemon Company telah mendedahkan seekor Pokemon baharu yang bakal muncul dalam DLC akan datang Pokemon Scarlet & Violet: The Hidden Treasure of Area Zero. Bakal memainkan peranan penting dalam DLC, Pokemon misteri ini turut muncul dalam animasi Pokemon Horizons: The Series walaupun penampilannya hanya sekadar beberapa minit.
Jadi apakah identiti Pokemon itu?

Malangnya, info tentang Pokemon ini masih terhad. Menurut blogspot, segala-gala maklumat tentang makhluk di atas termasuk nama dan sifatnya masih diselubungi misteri tetapi mungkin ramai yang akan mengingatkan tentang Pokemon Legendary Terapagos apabila melihat bentuknya.
Ia bertubuh kecil dan tidak begitu kuat, tetapi apabila keadaan mendesak, Pokemon ini boleh mengkristalkan tenaga dalam badan untuk membentuk perisai pelindung. Apabila merasakan nyawanya dalam bahaya, makhluk ini juga boleh menyorok kepala, anggota badan dan ekornya ke dalam cengkerang lalu menjadikan dirinya kelihatan seperti berlian.

Teaser pendek daripada Pokemon Horizons: The Series
Mula ditayangkan pada tahun ini, Pokemon Horizons: The Series ialah siri animasi baharu dalam francais Pokemon yang mengikuti kisah dua protagonis – Liko dan Roy – ketika mereka membongkar pelbagai misteri dalam perjalanan, termasuk rahsia Pokemon di atas.
Dalam episod terkini Pokemon Horizons, ada sebuah adegan di mana Liko (salah seorang protagonis) membawa loket misteri yang boleh berubah menjadi Pokemon tersebut. Pokemon itu kemudian berubah semula serta-merta selepas melindungi Liko daripada bahaya.
Info umum DLC The Hidden Treasure of Area Zero
Bagi mereka yang tertanya tentang DLC ‘The Hidden Treasure of Area Zero’, pemain akan meninggalkan wilayah Paldea, rantau dan wilayah utama dalam Pokemon Scarlet dan Pokemon Violet untuk meneroka kawasan baru.
Dalam ‘Part 1: The Teal Mask‘, sebuah perjalanan sekolah akan membawa pemain ke wilayah Kitakami, di mana mereka harus menyertai program pengajian luar yang diadakan bersama akademi mereka dan sekolah lain. Dalam ‘Part 2: The Indigo Disk‘, pemain akan pergi ke Blueberry Academy, rakan kepada akademi mereka sendiri, sebagai pelajar pertukaran. Walaupun kisah ini dipecahkan kepada dua bahagian, ia berkaitan antara satu salam lain untuk menceritakan satu kisah yang komprehensif.
Buat sesiapa yang berminat, Pokemon Scarlet dan Pokemon Violet kini tersedia untuk Nintendo Switch. Baca segala liputan kami tentang francais Pokemon di SINI.

@gamersantaimy
Discussion about this post