Siri Persona telah debut sebagai spin-off Shin Megami Tensei dan tidak syak lagi bahawa siri ini telah melangkah jauh sebagai salah satu francais terbesar ATLUS yang mampu berdiri sendiri. Walaupun ia telah wujud sejak 1996, ramai peminat yang setuju bahawa francais ini hanya menjadi mainstream sedekad selepas itu dengan hadirnya kehadiran Persona 3. Entri ini telah membawa pelbagai evolusi kepada francais, daripada pendekatan pada tema tertentu, seni yang bergaya yang diwakili oleh satu warna, pilihan muzik berkualiti dengan genre tersendiri malah digabungkan dengan simulasi kehidupan seharian yang menawarkan pengalaman gameplay yang unik berbanding entri sebelum ini. Walaupun game itu sudah berusia, ia nampaknya masih relevan sehinggan mendapat sokongan yang akhirnya membawa kepada pembangunan Persona 3 Reload, remake penuh untuk entri tersebut.
Sebelum kami teruskan dengan review ini, kami telah pun mendapat pelbagai peluang untuk mainkan game ini lebih awal dan tidak sabar untuk berkongsi kepada anda pengalaman kami dalam dunia baharu ini. Sudah tentu kami tidak boleh berikan begitu banyak spoiler, tetapi kami masih boleh menceritakan sedikit sebanyak mengenai aspek penting dalam game ini untuk anda terutamanya buat mereka yang masih ragu-ragu untuk membeli Persona 3 Reload.
Cerita
Kita akan bermain sebagai protagonis, seorang pelajar tahun kedua di Gekkoukan High School yang terletak di Tatsumi Port Island. Kehidupan persekolahan yang dijangka normal telah berubah apabila kita bertemu dengan kegelapan semasa Dark Hour, sebuah fenomena misteri yang berlaku pada setiap tengah malam, di mana raksasa yang dipanggil Shadows berkeliaran. Pada waktu ini juga semua orang bertukar menjadi keranda, manakala mereka yang tidak bertukar akan menjadi mangsa kepada Apathy Syndrome.

Walaupun begitu, protagonis kita sebenarnya sudah lama merasai fenomena Dark Hour, tetapi kehidupan barunya di Tatsumi Port Islang telah mengubah nasibnya sebagai pengguna Persona, satu kuasa yang menjadi kunci dalam melawan Shadows. Sejak itu, anda telah sertai satu kelab khas, “Specialized Extracurricular Execution Squad” ataupun S.E.E.S., di mana matlamat utamanya adalah untuk melawan Shadows dan menghentikan Dark Hour.
Perjuangan mereka bukanlah mudah kerana mereka perlu menyiasat menara misteri yang dipanggil Tartarus. Dikhabarkan bahawa menara tersebut memegang kunci kepada rahsia di sebalik Dark Hour, malah mereka juga berhadapan dengan ancaman hebat daripada Shadow berkuasa yang muncul setiap kali bulan penuh. Ancaman tidak berhenti di situ kerana mereka juga perlu menghadapi Strega, sebuah lagi kumpulan yang boleh menggunakan Persona untuk mencapai matlamat mereka tersendiri. Lebih mengejutkan lagi apabila Strega tidak mahu Dark Hour dihilangkan.
Ini sahaja yang kami boleh rumuskan daripada keseluruhan plot Persona 3 Reload. Sudah tentu akan ada pelbagai kejutan sepanjang cerita. Seperti yang kami nyatakan, ATLUS telah membawa sebuah penceritaan bertema untuk siri bermula pada Persona 3, di mana ia berkisarkan tentang kematian dan mencari makna kehidupan. Anda akan merasai tema ini sepanjang jalan cerita, termasuklah kisah watak-watak sampingan yang membuatkan ramai peminat memanggil game ini sebagai game paling menyedihkan dalam siri Persona. Sudah tentu ada sahaja detik-detik menggembirakan kerana salah satu bahagian dalam menerima kematian itu sendiri adalah menikmati kehidupan sebanyak mungkin tanpa sebarang penyesalan.

Untuk penceritaannya, terutamanya interaksi watak, Persona 3 Reload masih hadir dengan format yang sama dengan tambahan potret watak yang lebih ekspresif. Kami memang hargai usaha ATLUS dalam mengubah skrip game supaya ia lebih dikembangkan di beberapa tempat, termasuklah respons dialog yang lebih sesuai dengan perwatakan protagonis. Walaupun kami telah alami penceritaan ini berkali-kali daripada game mahupun adaptasi filem anime, Persona 3 Reload masih mampu menyampaikan detik yang penuh emosi kepada pemain sekali lagi.
Jadi buat anda yang risau mengenai perubahan pada cerita original, kami hanya mampu berkata bahawa cerita Persona 3 Reload hampir dekat dengan sumber asalnya. Bukan setakat itu sahaja, ia juga menambahbaik penceritaan game itu.
Aktiviti seharian protagonis

Persona 3 Reload mengekalkan ciri uniknya iaitu elemen simulator sosial, di mana pemain akan lalui hari-hari dalam game sebagai seorang pelajar sekolah. Jadi memang tidak pelik jika anda menghabiskan masa lebih daripada 100+ jam untuk menghabiskan game ini. Game ini mempunyai kalendar yang akan merangkumi masa hampir setahun walaupun begitu akan ada beberapa hari yang anda akan langkau kerana ia berkait dengan cerita. Walaupun begitu, game ini masih lagi sangat panjang untuk dihabiskan.
Terdapat pelbagai aktiviti yang anda boleh lakukan setiap hari pada waktu yang berbeza. Tetapi anda hanya bebas sepenuhnya pada Daytime, After School dan Evening. Pada waktu Daytime, anda boleh laluinya pada waktu cuti memandangkan banyak masa daripadanya adalah hari persekolahan. After School pula waktu yang sesuai untuk anda luangkan masa bersama-sama watak lain, manakala Evening pula merupakan waktu malam di mana tempat untuk anda lawati agak terhad dan inilah merupakan masa yang sesuai untuk meningkatkan Social Stat anda.

Social Stat merupakan statistik khas yang menerangkan keupayaan watak anda dalam beberapa aspek seperti Courage, Charm, and Academic. Sangat penting untuk anda menaikkan statistik anda kerana terdapat beberapa perk atau hubungan yang anda boleh akses bergantung pada statistik anda.
Beberapa heroin utama dalam game memerlukan rank maksimum dalam salah satu stat, jadi untuk dapatkan Social Link maksimum sekali main sahaja memang mencabar. Ia membuatkan kami teringat kepada game original yang memaksa kita untuk merujuk panduan lama.
Walaupun begitu, kami perasan bahawa panduan lama game sudah tidak boleh digunakan. Tetapi anda boleh sahaja mencari bantuan dalam talian jika perlukannya. Nasib baik ada ciri dalam talian seperti Vox Populi yang akan memberikan panduan malah jawapan-jawapan untuk kuiz dan ujian di sekolah. Anda juga boleh gunakannya kalau buntu untuk melakukan aktiviti apa pada masa lapang.

Aktiviti seharian dalam game Persona moden agak menarik tetapi untuk Persona 3 secara khususnya, kami terada terdapat batasan yang boleh menyebabkan kami ia terasa monoton dengan cepat. Terutamanya pada waktu Evening, di mana tempat untuk anda lawat agak terhad untuk diterokai. Walaupun begitu kami faham mengapa ia sedemikian, kerana waktu malam sahaja yang boleh digunakan untuk anda meneroka Tartarus atau menewaskan Shadow. Itu pun anda boleh melakukan banyak progress dalam satu malam sahaja sebelum menemui jalan mati dan anda perlu menunggu fasa bulan penuh baharu untuk terus menerokai Tartarus.

Tetapi ada beberapa aktiviti tambahan tersedia untuk anda meluangkan waktu malam anda dalam Persona 3 Reload. Ini kerana Iwatodai Dorm kini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang anda boleh lakukan bersama ahli-ahli parti. Anda boleh luangkan masa dengan memasak, membaca buku, bercucuk tanam atau menonton DVD. Pada akhir daripada setiap interaksi ini, anda boleh meningkatkan “Personality” setiap watak, yang merupakan keupayaan khas mereka semasa combat. Sebagai contoh, Yukari mempunyai peranan yang dominan sebagai Support, boleh mendapatkan potongan 50% SP untuk skill recovery.
Tartarus yang kini berwajah baharu

Tartarus merupakan komponen penting dalam Persona 3 tidak kiralah untuk gameplay mahupun cerita. Kisah menara misteri ini sangat menarik untuk dipelajari tetapi apabila anda mempunya peluang untuk menerokanya, mungkin ia akan menjadi sedikit bosan. Antara sebabnya adalah Tartarus merupakan menara yang mempunyai beratus-ratus tingkat dan mempunyai layout yang rawak, jadi anda tiada pilihan selain daripada melawan Shadow. Daripada segi design, Tartarus juga kurang menarik, jadi untuk berasa teruja semasa menerokanya mungkin sedikit susah, jadi anda mungkin lebih menikmati combat game sahaja.

Kehadiran Persona 3 Reload akhirnya membawa beberapa perubahan kepada Tartarus yang menjadikannya lebih menarik berbanding sebelumnya. Dari awal kami masuk dalam menara itu, design dalamannya kini mempunyai atmosfera yang lebih kuat, kami agak suka pada Arqa Block yang kini kelihatan lebih menyeramkan terutamanya arca muka dengan bebola mata gergasi yang boleh dilihat pada dinding. Ahli parti juga boleh berborak dan memberikan komen tentang pendapat mereka tentang Tartarus ataupun topik lain untuk meredakan ketegangan semasa berada dalam menara tersebut.

Satu lagi perubahan yang kami suka adalah reka bentuk semula untuk Monad Depth. Ia bukan lagi blok tambahan yang boleh diakses semasa hampir dengan end-game. Ia kini menjadi satu kawasan baharu yang pemain boleh masuk melalui Monad Door dan Monad Passage. Kedua-duanya hampir serupa kerana ia akan membawa anda ke versi alternatif untuk setiap blok dengan bos yang lebih kuat untuk dilawan dan ganjaran untuk dituntut.
Bezanya pula, Monad Door lebih mudah untuk ditemui kerana kedudukannya yang rawak dan memberikan satu cabaran boss sahaja dengan ganjaran seperti material rare. Monad Passage hanya boleh diakses pada kawasan tertentu sahaja. Anda selalunya akan menghadapi lebih banyak boss bermakna lebih besar ganjaran yang boleh didapatkan seperti kad Major Arcana dan slot tambahan untuknya.

Kad Major Arcana adalah salah satu daripada upgrade yang diberikan untuk Tartarus, di mana anda boleh memilih kad Major Arcana semasa Shuffle time pada akhir pertarungan untuk bonus khas. Bergantung kepada berapa kad yang anda kumpul, terasa gembira juga kalau boleh dapat Arcana Burst yang boleh upgrade setiap Shuffle Time secara kekal, itu pun anda perlu meneroka Tartarus pada hari yang sama.
Kami perasan juga bahawa untuk grind dalam game ini terasa lebih mudah berbanding game dahulu, tidak kiralah jika anda ingin kembali meneroka tingkat di Tartarus serta merta atau menyelamatkan orang yang tersesat di Tartarus. Ini memberikan motivasi untuk melawat Tartarus walaupun anda sudah mencapai progress yang baik.
Tambahan pula, masih terdapat pelbagai gimik menarik yang ditambah seperti penambahan jenis Shadow baharu, yang memberikan EXP tambahan yang banyak, Fuuka kini boleh memberikan pelbagai skill support yang berguna semasa penerokaan. Kesemua penambahan ini membuatkan kami seronok meneroka tetapi ia tidaklah kompleks seperti Palace dalam Persona 5. Dungeon kali ini dirombak untuk lebih sesuai untuk mereka yang ingin menikmati combat game sebanyak mungkin.
Sistem combat terbaik buat masa ini
Bercerita tentang sistem combat, seperti yang kami ulaskan dalam preview sebelum ini, Persona 3 Reload menawarkan aliran yang begitu lancar, responsif, mempunyai lebih impak dan secara keseluruhan kami boleh mengakui sebagai sistem combat terbaik dalam siri buat masa ini. Peningkatan kepada kualiti animasi watak turut menyumbang kepada pergerakan combat yang lancar, walaupun ketika meneroka Tartarus.
Anda akan tetap bermain dengan combat klasik turn-based dengan mencari kelemahan musuh, di mana setiap watak dilengkapi dengan Persona yang mempunyai role tersendiri dan kelemahan pada pelbagai elemen. Berbeza dengan protagonis, dia mempunyai kebolehan khas yang membolehkannya untuk menggunakan banyak kuasa Persona, jadi dia sememangnya aset penting yang boleh menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi pertempuran.

Mencari kelemahan musuh anda adalah penting kerana ini boleh memberi anda kelebihan besar daripada segi damage yang boleh anda hadapi dan peluang untuk mendapatkan giliran tambahan. Semasa fasa 1 More ini, anda kini diberi akses kepada sistem Shift, yang serupa dengan Baton Pass Persona 5, kerana anda boleh meneruskan giliran itu kepada watak lain yang mungkin boleh memberikan serangan mengikut kelemahan musuh lain yang anda hadapi. Sebaik sahaja anda berjaya menumpaskan semua musuh selepas menyerang kelemahan mereka, anda akan diberi arahan All-Out Attack yang melibatkan semua ahli parti untuk menyerang musuh.
Perlu diingat bahawa 1 More itu juga boleh dilakukan oleh musuh, jadi jika watak anda terkena serangan mengikut kelemahan mereka, maka lawan anda boleh mendapat giliran tambahan yang kadang-kadang boleh membawa maut, terutamanya apabila melawan bos yang kuat yang sengaja menyasarkan watak yang sudah stun untuk damage tambahan. Kesan status dalam game juga boleh menjadi sangat menyusahkan, terutamanya yang menjadikan watak anda tidak boleh dikawal untuk beberapa giliran, jadi dengan membawa watak sokongan dengan keupayaan recovery sememangnya disyorkan.

Selain daripada mendalami pertempuran yang agak sama dengan penambahan sistem Shift, perubahan terbesar yang kami fikir sangat hebat adalah skill Theurgy. Setiap watak kini dilengkapi dengan serangan ultimate mereka sendiri bersama dengan Persona mereka yang boleh ditandakan dengan gauge khas. Anda boleh meningkatkan gauge tersebut dengan lebih pantas mengikut Personality setiap watak yang berkaitan dengan peranan mereka dalam pertempuran.
Ada yang lebih mudah seperti protagonis yang hanya perlu menukar Persona atau menyasarkan kelemahan pihak lawan, tetapi ada ahli parti lain yang terlalu mengikut situasi menyebabkan Theurgy mereka mengambil masa lebih lama untuk digunakan. Khusus untuk protagonis, skill Theurgy telah digantikan dengan Fusion Spell yang terdiri daripada gabungan serangan dan skill support daripada pelbagai Persona, cuma untuk game ini terdapat beberapa imbangan diberikan dengan mengeluarkan beberapa Fusion Spell yang lama.
Velvet Room
Tidak lengkapkan game Persona tanpa kehadiran Igor dan pembantunya dalam Velvet Room yang sedia membantu protagonis. Inilah tempat yang anda boleh akses pada bila-bila masa menggunakan pintu biru di Paulownia Mall dan lobi Tartarus. Igor memainkan peranan besar dalam mengukuhkan watak anda, terutamanya dalam keupayaan anda untuk mengawal Persona.

Melalui Velvet Room, anda boleh mengakses ciri Fusion untuk mencipta Persona baharu yang lebih berkuasa, melakukan Fusion khas yang memerlukan banyak Persona sekaligus dan mendaftarkan Persona anda supaya ia boleh diseru semula tanpa perlu membuang level dan kemahirannya. Sekiranya terdapat satu perubahan besar yang kami jumpa daripada Velvet Room dalam Persona 3 Reload adalah sistem fusion yang dipermudahkan. Selain daripada beberapa Persona istimewa yang hanya boleh dicipta dengan gabungan lebih banyak Persona dalam Special Fusion, biasanya anda hanya perlu menggabungkan dua Persona.

Sejujurnya kami sangat menyukai perubahan ini kerana anda tidak perlu membazir terlalu banyak Persona untuk mendapatkan kombinasi tertentu, memandangkan ia biasanya tidak boleh dicapai dengan hanya gabungan dua Persona sahaja. Terdapat juga faktor tambahan dalam game yang menambah Persona baharu seperti Mithras dan Matador, tetapi pada masa yang sama mengeluarkan beberapa Persona lama.

Anda juga boleh mengambil beberapa siri misi sampingan daripada Elizabeth, pembantu Igor. Kebanyakan misi tersebut hanya meminta anda mendapatkan item khas untuk diberikan kepada Elizabeth untuk menjawab rasa ingin tahunya, manakala yang lain berkaitan dengan progress penerokaan Tartarus dan keupayaan anda untuk mencipta Persona dengan kemahiran istimewa. Walaupun struktur misi tidak selalu menarik, interaksi lucu dengan Elizabeth mungkin bahagian terbaik selain daripada ganjaran besar yang akan diperolehi. Bukan itu sahaja, bergantung kepada berapa banyak misi yang anda selesaikan, Elizabeth kadangkala akan meminta anda membawanya keluar ke pelbagai lokasi yang turut dipenuhi dengan detik-detik menghiburkan.
Social Link
Selain Tartarus, satu lagi bahagian daripada Persona 3 original yang memerlukan penambahbaikan sudah pastinya Social Link. Ini ialah sistem bonding di mana setiap watak sampingan yang mewakili Arcana berbeza, jadi hubungan itu juga boleh dieratkan selagi anda mempunyai Persona yang sepadan dengan Arcana mereka. Setiap Social Link terdiri daripada 10 rank dan bergantung pada respons kepada dialog atau tindakan anda, anda boleh mendapatkan mata tambahan yang diperlukan untuk naik rank, tetapi sebaliknya mereka boleh tidak berpuas hati dengan respons anda atau kecewa sehingga mencetuskan status Reverse yang menjadikan progress Social Link terhalang.

Apa yang membuatkan sistem ini perlukan baik pulih adalah hakikat bahawa setiap Social Link dengan heroin dalam game Persona 3 sentiasa ke arah percintaan. Disebabkan itu, watak kelihatan seperti playboy dengan ramai teman wanita apabila rank Social Link mereka penuh. Nasib baik Persona 3 Reload membetulkan perkara ini dan anda diberi pilihan untuk kekal berkawan, yang mana ia akan memberi amaran kepada anda sebelum masuk ke laluan lain. Ini secara automatik menjadikan beberapa detik Social Link mendapat perubahan besar-besaran.

Atlus telah membawa satu lagi penambahbaikan besar pada setiap Social Link yang kini digabungkan dengan lakonan suara penuh buat kali pertama dalam sejarah siri. Walaupun watak parti lelaki tidak mendapat Social Links, Persona 3 Reload kini telah menyediakan pengganti dalam bentuk Linked Episode yang kami fikir dikendalikan dengan baik daripada segi cerita.
Selain memberikan latar belakang yang belum diketahui peminat tentang watak-watak ini, Linked Episode yang mengikuti perkembangan cerita utama juga membuatkan ia lebih terasa canon terutamanya daripada interaksi antara watak terasa lebih bernyawa hingga melibatkan detik-detik bersama yang watak S.E.E.S. lain. Perhatian yang sama diberikan kepada Strega, terutamanya Takaya sendiri supaya anda boleh lebih memahami motivasi di sebalik salah seorang antagonis utama permainan.

Jika ada bahagian yang kami fikir masih boleh dirombak, ia adalah dalam bonus yang boleh diperolehi apabila meningkatkan rank Social Link, kerana game ini masih hanya memberi anda bonus EXP yang terhad apabila melakukan Persona fusion. Di samping itu, kami sejujurnya agak kecewa apabila mendapati Persona 3 Reload telah mengeluarkan laluan Social Link yang membolehkan anda menyertai lebih banyak kelab di sekolah, jadi untuk Chariot, anda kini hanya terhad kepada Track Team dan untuk Fortune anda terhad ke Art Club. Kami faham bahawa pembangun mungkin ingin mereka bentuknya agar lebih sesuai dengan Social Link, tetapi pada masa yang sama, anda dapat mempunyai pilihan untuk menyertai kelab lain yang pastinya mengukuhkan aspek kebolehmain semula game terutamanya daripada Social Link tersebut.
Lagu dan Gaya Baharu
Satu lagi aspek penting dalam siri Persona moden adalah muzik dan arah seninya. Khusus untuk muzik, Persona 3 Reload telah mempersembahkan koleksi muzik baharu yang membabitkan Azumi Takahashi sebagai vokalis wanita terbaru menggantikan Yumi Kawamura. Kerana kesan nostalgia yang kuat terutamanya bagaimana Yumi telah menjadi vokalis Persona 3 setelah sekian lama, ia boleh sangat difahami tentunya jika ada peminat yang tidak biasa dengan versi terbaru.

Tetapi bagi kami, Persona 3 Reload sudah menawarkan soundtrack yang mantap dan segar, terutamanya dalam beberapa lagu asal seperti Color Your Night dengan rasa santai kepada It’s Going Down Now, yang mungkin telah menjadi tema combat kegemaran kami dalam keseluruhan francais. Beberapa soundtrack lama juga mendapat sentuhan baharu yang amat diperlukan, seperti Iwatodai Dorm yang kini menampilkan rap daripada Lotus Juice hingga Changing Season yang mendapat lirik tambahan daripada Azumi Takahashi, termasuk bahagian pantas yang tidak lagi dipenuhi dengan ayat dalam bahasa Perancis.

Bagi hala tuju seni game, Persona 3 Reload telah menerima gaya baharu yang jelas mengambil inspirasi daripada Persona 5, tetapi pada masa yang sama mereka tidak menjadikannya terlalu berbeza kerana anda masih dapat melihat banyak elemen yang dikekalkan daripada yang game original. Ini adalah benar terutamanya dalam bahagian combat, yang kini membawa gaya UI dengan reka bentuk action satu butang, splash screen All-Out Attack seperti dalam Persona 5, bayangan watak semasa mengakses setiap menu akan dilaraskan kepada kostum yang mereka gunakan. Secara keseluruhan, kita dapat melihat gabungan reka bentuk yang bergaya sambil mengekalkan daya tarikan bahan sumber lama.

Persona 3 Reload membawakan peningkatan grafik besar-besaran di beberapa tempat yang kelihatan lebih mengagumkan daripada Persona 5, terutamanya model watak 3D, kualiti animasi dan pencahayaan. Cuma pencahayaannya tidak konsisten, kerana terdapat beberapa kawasan dalam Persona 3 Reload yang kelihatan lebih rata dan tiada kesan ambient occlusion.
Kesimpulan
Reputasi Persona 3 sebagai salah satu RPG terbaik pada zamannya nampaknya telah dibuktikan semula melalui Persona 3 Reload. Sebagai peminat setia siri ini, kami dapat melihatnya sebagai remake yang dikendalikan dengan berhati-hati sambil mengekalkan semua daya tarikan siri lama. Walaupun mereka boleh menambah lebih banyak kandungan original seperti dalam Persona 4 Golden dan Persona 5 Royal, tumpuan utama kali ini sememangnya untuk mencipta reamke yang boleh memberikan pengalaman paling tulen sambil memperhalusi setiap aspeknya dengan teliti.

Ini bukan sahaja termasuk nilai pengeluaran dan gameplay yang lebih menarik, tetapi juga bahagian terbaik, iaitu interaksi antara watak dan penceritaan yang lebih emosional dengan tema berkisar tentang makna hidup dan mati. Walaupun kami telah alami cerita Persona 3 dalam pelbagai media yang berbeza, apa yang ditawarkan oleh Persona 3 Reload masih sangat istimewa dan kami boleh bayangkan ia akan memberi kesan yang lebih kuat kepada pemain baru.
Sudah tentu game ini tidak begitu sempurna kerana masih terdapat beberapa benda yang kami fikir masih perlu diperhalusi untuk memberikan pengalaman bermain yang optimum, terutamanya bagi mereka yang mungkin mengharapkan skop kandungan yang serupa dengan Persona 5 Royal.
Persona 3 Reload akan dilancarkan pada 2 Februari di PS5, PS4, Xbox Series X|S, Xbox One dan PC melalui Steam. Ia juga tersedia di Xbox Game Pass. Untuk segala liputan mengenai Persona 3 Reload daripada kami, boleh klik pautan ini.
@gamersantaimy
The Review
Persona 3 Reload
PROS
- Banyak penambahbaikan sambil kekal setia dengan sumber original
- Penceritaan yang sama dengan skrip yang lebih baik dan babak baharu
- Sistem combat yang terbaik dalam siri
- Tartarus kini lebih baik berbanding dahulu
- Linked Episode tambahan menarik dalam game
- Soundtrack dan artwork baharu
CONS
- Social Link masih boleh ditambah baik
- Walaupun grafiknya baik tetapi ia tidak konsisten
Discussion about this post