Semakin moden dunia, semakin banyak teknologi yang dikeluarkan. Teknologi inilah yang banyak digunakan dalam industri termasuklah animasi. Kalau anda perasan, sudah banyak siri anime yang menggunakan CGI dalam penghasilan animasi mereka. Sudah tentu CGI memberikan beberapa impak positif kepada produksi animasi tetapi penonton pula yang tidak menggemarinya.

Pernah terfikir tidak, mengapa ramai penonton tidak suka pada penggunaan CGI dalam anime? Kami juga sempat bertanyakan soalan ini kepada pembaca kami. Jadi tanpa membuang masa, jom kita lihat sebab-sebab penggunaan CGI tidak disukai oleh peminat anime!
Animasi CGI nampak kaku
Kalau nak dibandingkan dengan CGI yang digunakan dengan animasi luar negara, memang ada beberapa siri anime yang mempunyai kualiti CGI yang tidak sedap mata memandang. Lebih-lebih lagi pada pergerakan model yang kelihatan kaku. Rasanya ramai antara anda pernah melihat klip CGI daripada anime Berserk. Kalau tidak pernah tengok, boleh lihat dibawah.

FPS animasi yang rendah & kualiti seperti game
Kalau tengok anime 2D anda boleh lihat perbezaan pada FPS-nya jika dibandingkan dengan anime CGI. Disebabkan bilangan bingkai yang agak terhad, kebanyakan pergerakan yang dihasilkan oleh model tidak lancar. Ini sudah tentu membuatkan penonton terganggu.

Baru-baru ini juga keluar trailer teaser terbaru untuk filem The Seven Deadly Sins: Grudge of Edinburgh. Teruk juga kecaman yang diberikan kerana CGI yang digunakan kelihatan sama seperti grafik game PS2.

Satu lagi siri animasi yang menggunakan CGI yang kelihatan seperti game ialah Arifureta. Kalau anda lihat raksasanya, memang terserlah sungguh penggunaan CGI-nya. Disebabkan siri tersebut mempunyai penceritaan yang bagus, kehadiran CGI membuatkan ramai pejam mata terhadapnya. Sampai ada yang sanggup membaca novel daripada menonton anime tersebut.
Watak 3D yang tidak bernyawa
Memang tidak disangkalkan bahawa animasi 2D memberikan lebih kebebasan kepada pelukis untuk memberikan ekspresi kepada watak. Itulah antara sebab ramai peminat anime lebih sukakan animasi 2D.

Ekspresi model daripada anime CGI banyak kelihatan seperti tidak bernyawa bahkan seperti patung yang digerakkan sahaja. Walaupun kita mendengar suara mereka yang penuh emosi, tetapi ekspresi muka pada watak tidak digambarkan dengan baik pada model 3D.
Walaupun banyak CGI yang tidak kena dengan gaya anime 2D, ada sahaja yang menggunakannya dengan sangat baik sampai ramai yang tidak perasan ia menggunakan CGI. Antaranya siri Violet Evergarden, Fate/Stay Night oleh Ufotable dan banyak lagi. Filem seperti BELLE dan Dragon Ball Super: Super Hero juga tampil dengan CGI yang sangat bagus malah ramai penonton yang menyukainya.

Apa pula pendapat anda mengenai perkara ini? Adakah anda suka dengan penggunaan CGI dalam anime? Boleh kongsikan kepada kami melalui ruangan komen! Untuk mendapatkan liputan lain mengenai anime daripada kami, sila klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post