Sempena ulang tahun yang ke-25, francais anime/manga popular One Piece telah mengadakan ‘One Piece “The Great Era of Piracy” Exhibition Asia Tour‘ di Resorts World Genting, Malaysia! Dibuka khas untuk orang ramai di Malaysia, ini merupakan pameran hiburan interaktif yang menceritakan pengembaraan Luffy dan rakan-rakannya sejak siri ini dicipta sehingga sekarang.
Baru-baru ini, kami berpeluang untuk melawat One Piece Asia Tour sempena ” Media and Partners Day” yang merangkumi sidang akhbar dan lawatan istimewa. Apakah yang ada di dalam? Adakah ia seronok seperti yang kita sangka? Teruskan baca untuk tahu lebih lanjut!
Gambaran umum

Dengan anggaran pelaburan RM5,000,000, lawatan ini berjanji untuk membawa tetamu dalam perjalanan yang mengasyikkan ke dunia One Piece yang penuh aksi, di mana mereka akan menemani krew Straw Hat dalam pengembaraan mereka.
Tidak kira sama ada korang peminat tegar kepada anime, penonton kasual, atau baru sahaja menonton siri ini, pengalaman sekali seumur hidup dibentuk khusus untuk semua jenis pengunjung.
Untuk melihat watak ikonik One Piece dihidupkan semula dalam keadaan lebih terperinci dan jelas, pelawat dijemput untuk menerokai sejumlah zon bertema dalam pameran, yang menjangkau 25,000 kaki persegi (saiz bersamaan dengan separuh padang bola sepak).

Aaron Soo, Naib Presiden Kanan Resorts World Genting, berkata:
“Resorts World Genting berbesar hati kerana dipilih sebagai rakan acara untuk One Piece Great Era of Piracy Exhibition Tour. Pencapaian yang benar-benar menakjubkan untuk siri manga Jepun yang paling ikonik dan disukai di dunia sepanjang zaman. Lanun Straw Hat telah sampai ke Malaysia dan kami sangat teruja untuk membuka pintu kepada peminat setia mahupun peminat baharu.”
Benedict Wong, Ketua Pegawai Eksekutif Ace Media Network meluahkan keterujaannya terhadap One Piece Asia Tour:
“Pameran ini bukan sekadar mempamerkan FRP, karya seni atau barangan. Ia tentang meraikan semangat One Piece dan nilai yang diwakilinya – persahabatan, ketabahan, dan keberanian untuk mengejar impian anda.”
Habis sahaja sidang akhbar, maka barulah kita boleh mulakan lawatan! Apa yang saya dapat lihat dan mencuba? Inilah content utama!
Alami semula kisah Luffy dengan 21 zon bertema dengan permainan fizikal dan AR kreatif
Ini adalah peluang unik untuk mengambil bahagian dalam lawatan selama 45–90 minit yang merangkumi multimedia menarik, pameran interaktif dan artifak sebenar daripada siri. Zon bertema ini termasuk arca FRP (fiber-reinforced plastic) bersaiz sebenar berdasarkan watak One Piece kegemaran seperti Luffy, Katakuri, Yamato dan banyak lagi.
Kita juga akan dapat mencuba pelbagai permainan realiti (AR) dan fizikal sepanjang One Piece Asia Tour. Permainan ini direka untuk membuatkan pengunjung mengasyikkan diri sepenuhnya dalam pengalaman dan ‘menghidupkan’ lawatan dengan cara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Untuk mengambil bahagian, pengunjung perlu memuat turun aplikasi rasmi dan membuat akaun dalam beberapa langkah mudah dan cepat.
Seperti yang saya kata tadi di atas, terdapat 21 zon unik tetapi tidak semua saya boleh jelaskan. Di sini, saya hanya akan menyenaraikan zon yang benar-benar menarik perhatian saya. Berikut adalah pengalaman saya:
Logue Town

Kami bermula di Logue Town yang menunjukkan arca Gol D. Roger, si Pirate King sebelum dia dihukum mati. Zone ini turut menunjukkan pulau Laugh Tale, di mana Roger dikatakan telah menyembunyikan harta karun legenda bernama “One Piece”.
Sebagai intro, saya suka cara mereka memulakan pameran dengan mengenalkan watak utama termasuk bio mereka. Ini memastikan orang yang tidak menonton One Piece dapat memahami dan menikmati sejarah dan cerita di sebalik siri ini.
Mini-theater

Selepas itu, kami pergi ke zon seterusnya yang mempunyai teater mini interaktif 180 darjah yang mempamerkan pengembaraan Luffy selama 25 tahun. Pihak produksi telah mengambil lebih 1,000 episod daripada anime dan menyuntingnya kepada sebuah filem pendek.
Ini membolehkan kami melihat semula semua pertarungan sengit yang dihadapi oleh Luffy dan berfungsi sebagai sinopsis yang simple tentang pengembaraan Straw Hat untuk semua orang faham tentang zon akan datang.
Alabasta

Di Alabasta, geng Straw Hats membantu Vivi mengalahkan Crocodile, salah seorang daripada ‘Shichibukai’ untuk menyelamatkan kerajaan. Akhirnya, mereka mengucapkan selamat tinggal tetapi sebelum berpisah, Luffy dan rakan-rakan menunjukkan tanda ‘X’ di lengan untuk mempamerkan persahabatan mereka kepada Vivi lalu berlayar ke lokasi seterusnya.
Krew pameran juga menyediakan cop ‘X’ supaya kami boleh buat tanda sendiri di lengan dan posing bersama geng Topi Jerami untuk gambar.
Skypeia

Ini adalah zon tontonan yang mempamerkan antagonis kejam, Enel, lengkap dengan langit hitam dan kilat kerana dia boleh memiliki kuasa Goro Goro no Mi. Zon ini tidak interaktif tetapi efek visualnya sangat bagus.
Going Merry Cabin

Sekarang kami semua berada dalam kabin Going Merry iaitu kapal Luffy. Ini juga zon pertama dengan permainan interaktif; kita perlu meniru pose ikonik geng Straw Hat! Pose watak akan keluar secara rawak, jadi cubalah sebaik mungkin untuk tiru gaya masing-masing walaupun ia susah.
Enies Lobby

Ini adalah story arc di mana kita perlu menyelamatkan Nico Robin daripada CP9. Selain itu, zon ini memiliki permainan fizikal kedua yang memerlukan kita berfungsi sebagai Usopp (yang sebenarnya memainkan peranan besar dalam arc ini) untuk menembak jatuh askar Marine memakai slingshot.
Misi utama adalah untuk menembak 7 Marine dan markah bergantung kepada berapa banyak yang kita dapat tumbangkan.
Burning Going Merry

Sebuah zon yang emosional dan sedih. Kapal Going Merry terpaksa dibakar selepas mengalami banyak kerosakan sepanjang “hidupnya”. Selepas membantu semua orang melarikan diri dari Enies Lobby, ia menerima pengebumian terhormat.
Dalam zon ini, kita dapat melihat kapal Going Merry dimakan oleh api ketika Luffy dan rakan-rakan mengucapkan selamat tinggal. Di sebelah kapal adalah preview pendek untuk adegan sedih itu daripada anime yang pasti bikin korang sebak.
Marineford
“Summit War” adalah salah satu perang paling penting dalam siri, dan zon ini cuba mencipta semula pertempuran antara Marine dan lanun yang cuba menyelamatkan Portgas D. Ace (abang kepada Luffy) dalam cara yang autentik. Di sini, kita dapat menyaksikan pertempuran itu dengan lebih dekat yang mengakibatkan kematian beberapa watak penting.
Pertama sekali, semua watak utama berada di zon inidengan deretan kapal laut di sisi kiri dan kanan. Di bahagian belakang, terdapat patung gergasi Whitebeard yang datang untuk menyelamatkan Ace manakala para Marine Admiral berada di hadapan untuk menghalangnya. Di tengah-tengah adalah patung Ace dan Luffy yang pengunjung boleh bergambar sekali.

Malangnya, Ace dan Whitebeard meninggal dunia semasa arc ini dan kubur/tempat pengebumian mereka berdua dicipta semula dalam pameran. Ini juga adalah satu lagi adegan sedih dalam siri One Piece, dan saya yakin ramai tidak sanggup melihat kubur Ace.
Fishman Island

Patung gergasi Puteri Shirahoshi, terkenal sebagai Mermaid Princess dipamerkan di zon ini – yang mempersembahkan kerajaan bawah air yang dibina oleh warga Fishman dan Mermaid yang cantik.

Di samping itu, lokasi ini mempunyai permainan AR yang mengharuskan kami menyelamatkan pulau itu daripada askar Marine jahat dengan menyerang bot Marine berkali-kali sebagai Luffy.
Dressrosa
Kerajaan ini dikawal oleh Donquixote Doflamingo, salah seorang Shichibukai dan semuanya terserah kepada krew Straw Hat untuk menyelamatkan semua orang. Walaupun patung Sabo cukup menarik tetapi patung Doflamingo yang berada di bahagian atas siling lebih memukaukan mata saya.
Arca ini sebenarnya direka dengan memfokuskan pada kuasa Ito-Ito no mi (string-string fruit). Kita boleh ambil gambar bersama patung ini seolah-olah kita terperangkap di sebalik talinya.

Zon ini mempunyai dua permainan AR: satu permainan ‘platformer’ melompat yang memerlukan kita mengelak halangan untuk capai ke titik hujung dan satu lagi permainan yang memerlukan kita menembak ikan gergasi. Dua permainan ini diberikan secara rawak kepada pemain tetapi ramai kawan-kawan saya kata permainan melompat lebih senang.
Whole Cake Island

Seterusnya, kita pergi ke Whole Cake Island, rumah kepada Big Mom yang merupakan salah seorang Yonko (Four Emperor). Sama seperti Dressrosa, terdapat 2 permainan di sini, tetapi satu permainan tidak memberi markah.

Pertama sekali, kita akan disambut oleh paparan LED kek gergasi. Di sebelah paparan itu adalah tablet dengan kek yang sama, cuma tidak berwarna. Arahan yang diberi adalah untuk mewarna kek itu, dan apa-apa sahaja warna yang kita pilih akan direplikasikan kepada paparan LED tadi.

Kemudian, kita mara ke Mirror World untuk melihat arca besar Luffy dalam bentuk Gear 4 Snakemen dan Katakuri sedang bertarung antara satu sama lain. Itu antara highlight yang tidak boleh terlepas bersama dengan permainan AR. Untuk permainan AR, tugas kami adalah untuk memusnahkan seberapa banyak cermin yang boleh.
Wano

Merupakan story arc terkini dalam anime – ia membawa kita ke negara samurai dan pengunjung akan disambut oleh patung Luffy, Yamato dan Law – semuanya dalam pakaian tradisional Jepun. Kawasan ini turut menampilkan permainan karnival mini di zon Wano Shopping Street yang pasti menggembirakan orang dewasa dan kanak-kanak.

Semuanya adalah permainan klasik tetapi ditukar supaya sepadan dengan tema One Piece. Sebagai contoh, mereka mempunyai aktiviti ” ring toss”, baling damak ke sasaran, menyusun menara kayu tetapi jangan jatuh dan banyak lagi – semuanya dengan tema One Piece. Permainan karnival adalah sepenuhnya optional dan jika anda menang, ia membantu dengan skor keseluruhan.
Di penghujung zon ini menampilkan patung 3D terbaharu dan terbesar dalam One Piece Asia Tour. Mereplikasikan kisah ‘Onigashima Raid’ lengkap dengan pertarungan epik antara Luffy/ Law/ Kid Alliance vs. Kaido, ini adalah patung terbaik dalam pameran dan saya boleh melihat begitu banyak watak utama, setiap satu dihasilkan dengan butiran terperinci. Ini juga merupakan kali pertama mereka mendedahkan arca ini, jadi ia khas untuk pengunjung di Malaysia!
Kedai merchandise

Akhir sekali, One Piece Asia Tour turut menampilkan barangan edisi terhad yang tersedia untuk beli. Jika ada bawa duit lebihan, korang boleh mendapatkan barangan rasmi One Piece, serta cenderahati yang eksklusif untuk pameran itu sahaja.
Barangan ini rasmi dan terdiri daripada macam-macam patung figura, baju dan kemeja-t, mousepad, cawan, folder, poster dan banyak lagi! Ada pelbagai barang untuk semua jenis orang!

Ingat tak berpuluh-puluh permainan yang kita cuba tadi? Rupanya kalau kita markah yang cukup tinggi, kita berpeluang memperoleh hadiah-hadiah/ganjaran misteri One Piece. Jadi cubalah sebaik mungkin dalam permainan dan korang boleh bawa pulang lebih banyak barangan menarik!
Lokasi, masa dan harga
Bagi mereka yang berminat, tiket One Piece ‘The Great Era of Piracy’ Asia Tour Exhibition kini tersedia untuk beli!
- Lokasi: Pavilion, Skytropolis Indoor Theme Park, Resorts World Genting
- Tarikh: 23 Mac – 8 Mei 2023 (Isnin – Ahad, 10 pagi – 10 malam)
- Beli tiket di sini: https://www.ticket2u.com.my/event/30178

Harga tiket:
- Standard
- Tiket dewasa Malaysia (18 tahun ke atas) – 90
- Tiket dewasa bagi warga asing (18 tahun ke atas) – RM110
- Semua warga emas, murid-murid, kanak-kanak (warga emas lebih 60 tahun, murid bawah 18 tahun) – 50
- Bayi (3 tahun ke bawah) – Percuma
Sekali lagi saya ingatkan, ini adalah peluang terbaik untuk peminat manga dan anime untuk menyelam dunia One Piece. Dengan pameran yang interaktif, visual menarik dan barangan eksklusif, ini adalah acara yang patut anda cuba jika ada peluang!
Untuk membaca segala liputan kami tentang francais One Piece, sila tekan SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post