Buat pemilik kad grafik GeForce RTX, korang pasti tahu tentang fitur Ray tracing dan DLSS kan? Nampaknya, bukan itu sahaja yang boleh dicuba kerana Nvidia telah mengeluarkan fitur baru bernama Deep Learning Dynamic Super Resolution atau nama pendeknya DLDSR. Tersedia sejak 14 Januari lalu, ini merupakan update kepada fitur NVIDIA Dynamic Super Resolution (DSR) bersama AI dan membolehkan pemilik RTX menggunakan kitaran GPU tambahan untuk meningkatkan kualiti imej dalam game.
Seperti DSR, DLDSR adalah ciri berasaskan driver dan tidak perlu diintegrasikan di dalam game. Ciri ini hanya eksklusif untuk GPU NVIDIA GeForce RTX sahaja dan memerlukan Tensor core untuk menjalankan rangkaian DL. Sepatutnya dapat berfungsi di kebanyakan game terkini mahupun lama, DLDSR juga dapat digabungkan dengan tetapan lain.
Pendek kata, ia adalah fitur menarik yang memberi kelebihan kepada kad grafik terkini, dan supaya korang tidak perlu risau, saya telah mengujinya untuk melihat sama ada ia berkesan atau tidak. Jom kita mulakan!
Bagaimana DLDSR berfungsi

Secara ringkas, DLDSR akan render suatu game pada resolusi yang lebih tinggi dan terperinci sebelum menggunakan AI untuk menurunkan hasil imej secara bijak kepada resolusi monitor.
DLDSR tidak menggantikan DLSS atau NVIDIA Image Scaling dan sebenarnya mempunyai fungsi bertentangan di mana ia render resolusi yang lebih tinggi dan menskalakan kepada resolusi yang lebih rendah sambil mengekalkan kualiti imej. DLSS pula memaparkan resolusi yang lebih rendah dan meningkatkan skala serta prestasi sambil mengekalkan kualiti imej.
Selain itu, DLDSR adalah teknik spatial yang berfungsi berdasarkan bingkai demi bingkai manakala DLSS bersifat temporal dan mengambil maklumat daripada sejumlah bingkai untuk membina semula ketepatan imej yang lebih tinggi.
DLDSR menambah baik teknologi DSR dengan menggunakan rangkaian AI yang dilatih untuk membezakan antara “pengaliasan” dan butiran tekstur. Disebabkan AI ini, DLDSR dapat meningkatkan kualiti imej sambil mengurangkan jumlah piksel untuk bukan-DLSS. Sebagai contoh, DLDSR yang ditetapkan kepada faktor 2.25x memberikan kelebihan visual yang serupa dengan DSR yang ditetapkan kepada 4x.
Bagaimana untuk aktifkan DLDSR
Berikut adalah cara-caranya:
- Lancarkan NVIDIA Control Panel
- Navigasi ke “Manage 3D Settings”
- Tatal bawah ke “DSR Factors”
- Pilih salah satu atau kedua-dua faktor DSR berasaskan DL (1.78x, 2.25 x)
- Klik “OK” dan kemudian “apply”
- Resolusi DLDSR baharu kini akan ditambahkan pada sistem dan tersedia untuk dipilih dalam NVIDIA Control Panel, tetapan Windows Display dan tetapan dalam game
Faktor DLDSR dan DSR adalah berdasarkan resolusi maksimum monitor yang dipakai. Oleh itu, resolusi faktor yang berbeza akan tersedia apabila sistem korang bersambung ke monitor 1080p, 1440p atau 4K.

Masa terbaik untuk menggunakan DLDSR
Walaupun boleh diaplikasikan kepada semua game, DLDSR khususnya adalah untuk game yang tidak membebankan GPU seperti judul klasik termasuk Prey, Starcraft 2, Diablo III, dan lain-lain. Game seperti ini boleh menggunakan kitaran GPU tambahan untuk meningkatkan fideliti game kegemaran melalui metod “downsampling” yang meningkatkan butiran, menghaluskan sisi dan mengurangkan kilauan kasar.
DLDSR lebih bermanfaat di monitor 1080p atau 1440p dengan ruang akses GPU berlebihan kerana serta merta dapat meningkatkan visual game tanpa mengurangkan kesan prestasi.
Hasil ujian
Sebagai rujukan, saya menguji DLDSR menggunakan GeForce RTX 3060 Ti, bersama AMD Ryzen 5 3500X dan 16GB RAM. Supaya tiada yang salah faham, anda memerlukan GPU berjenama RTX untuk menggunakan DLDSR. Ini berbeza dengan DSR, yang dapat berfungsi pada majoriti GPU Nvidia termasuk GTX. Memandangkan DLDSR beroperasi seperti driver, ia sepatutnya dapat digunakan di kebanyakan game tanpa perlu install apa-apa software atau hardware tambahan. Jadi, mari kita tengok hasilnya.
Saya menguji tiga game dalam tiga resolusi berbeza – Native 1080p, DLDSR 2.25x (1620p) dan DSR 4x (4K). Semuanya judul AAA klasik (sepatutnya ringan untuk GPU saya) kecuali Rainbow Six Extraction yang baru sahaja keluar beberapa hari lepas.
Batman Arkham Knight
*FPS maksimum dihadkan pada 90*
Kiri: 1080p – purata 90 FPS | Tengah: DLDSR 2.25x – purata 89 | Kanan: FPS DSR 4x – purata – 85 FPS
Rainbow Six Extraction
Kiri: 1080p – purata 155 FPS | Tengah: DLDSR 2.25x – purata 130 | Kanan: FPS DSR 4x – purata – 115 FPS
Hitman 2020
Kiri: 1080p – purata 90 FPS | Tengah: DLDSR 2.25x – purata 89 FPS | Kanan: DSR 4x – purata – 85 FPS
Secara kasar, DLDSR 2.25x kelihatan lebih tajam berbanding 1080p yang sisinya kasar, dan kadangkala nampak seakan sama seperti DSR 4x. Secara lebih terperinci, kita boleh melihat bagaimana DLDSR mencantikkan butiran seperti rambut dan baju wanita di dalam Batman Arkham Knights, bagaimana rupa Agent 47 yang lekak-lekuk menjadi semakin halus, dan bagaimana tekstur persekitaran yang dahulu agak kabur menjadi lebih jelas dalam Rainbow Six Extraction.
Bukan itu sahaja, DLDSR 2.25x juga mengekalkan prestasi FPS yang lancar berbanding DSR 4x walaupun kualiti imej hampir kurang sama. Hanya dengan monitor 1080p, tetapan DLDSR 2.25x akan dipaparkan pada 2880×1620, manakala DSR 4x menggunakan resolusi 4K penuh pada 3840×2160. Perbezaan hanya terletak pada algoritma. Seperti saya jelaskan tadi, DLDSR mempunyai teknologi AI yang cukup bijak lalu tidak memerlukan input piksel banyak untuk menghasilkan imej berkualiti. Disebabkan jumlah piksel yang diproses tidak banyak, prestasi keseluruhan menjadi lebih lancar.
Mungkin ada yang tertanya – “Perbezaannya bukan ketara sangat pun”. Ya, benar tetapi ia bergantung pada game. Untuk R6 Extraction, saya tidak melihat perubahan yang besar dan terpaksa zoom in untuk sedar bahawa persekitaran sebenarnya kabur sebelum ini.
Bagi game lebih lama seperti siri Batman Arkham dan Hitman, perubahannya sangat ketara apabila bermain pada resolusi lebih tinggi. Dahulu kasar dan kabur, sekarang segala butiran seperti muka, rambut dan baju makin terperinci dan cantik. Paling best sekali, kita tidak perlu mengorbankan FPS untuk dapatkan pengalaman gaming yang “grafik tinggi”.
Filter FreeStyle baru
Bagi mereka yang belum cuba, DLDSR kini tersedia melalui update GeForce Game Ready Driver 511.23. Saiznya pun agak besar kerana menambah beberapa ciri ekstra untuk God of War serta tiga filter Freestyle iaitu SSRTGI, SSAO dan Dynamic DOF – yang boleh diakses dengan menekan Alt+F3 apabila aktifkan GeForce Experience in-game overlay dalam tetapan aplikasi.

Berikut adalah info ringkas tentang filter baru:
- SSRTGI (Screen Space Ray Traced Global Illumination) – Biasanya dikenali sebagai “Ray Tracing Reshade Filter”, dan meningkatkan pencahayaan dan bayang-bayang dalam game untuk mewujudkan rasa realisme yang lebih mengasyikkan.
- SSAO (Screen Space Ambient Occlusion) – Menekankan penampilan bayang-bayang berhampiran persimpangan objek 3D, terutamanya dalam persekitaran yang bercahaya malap/di dalam bangunan.
- Dynamic DOF (Depth of Field) – Menggunakan kabur ala-ala bokeh berdasarkan kedekatan objek untuk memberikan rasa saspens yang lebih sinematik.
Klik di sini untuk melihat perbandingan filter di skrin penuh
Jika korang memiliki kad grafik RTX dan sangat mementingkan grafik, saya 100% mengesyorkan anda untuk cuba. Pengalaman gaming korang pasti terasa seperti upgrade, lagi-lagi kalau mencuba pada game yang menyokong NVIDIA DLDSR.
Untuk maklumat lanjut, korang boleh melawat laman web rasmi NVIDIA di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post