Siapa saja yang tidak kenal Naruto! Sebelum ini disiarkan di TV3 dan Animax di Malaysia, kini anime popular itu telah tiba di platform streaming Netflix. Secara lebih khusus lagi, Naruto Shippuden Musim 1 hingga 4 boleh ditonton sekarang di Netflix!
Anime itu boleh ditonton dalam dua pilihan audio: bahasa Jepun original atau bahasa Cina dengan sarikata bahasa Melayu atau Inggeris. Malangnya, kita tidak dapat versi Naruto yang diterjemahkan seperti zaman TV3 dahulu.

Jadi apa yang berlaku dalam Naruto Shippuden? Selepas menghabiskan masa dua setengah tahun melatihkan diri di bawah Jiraiya, Uzumaki Naruto akhirnya pulang ke kampung Konoha. Namun, organisasi Akatsuki kembali aktif dan mula menculik tuan badan bagi “Raksasa Berekor”. Kini, pasukan 7 dan ninja Konoha lain harus melawan mereka sambil meneruskan usaha untuk mencari Uchiha Sasuke.

Di bawah adalah sinopsis untuk setiap musim:
- Naruto Shippuden: Season 1
- Naruto dan pasukannya harus menentang cabaran baru, iaitu melawan organisasi Akatsuki yang jahat untuk menyelamatkan Gaara, kini Kazekage untuk Sunagakure.
- Naruto Shippuden: Season 2
- Ninja-ninja Konoha telah kembali, tetapi Naruto terpaksa mencari ahli pasukan baru apabila Kakashi dimasukkan ke hospital. Mereka berjalan ke Jambatan Tenchi untuk bertemu ejen rahsia Sasori, salah seorang daripada Akatsuki.
- Naruto Shippuden: Season 3
- Kakashi mempunyai program latihan baru untuk Naruto, yang mengalami mimpi buruk tentang musang syaitan. Pasukan itu kemudian bertemu Sora, seorang sami dengan masa lalu yang membimbangkan.
- Naruto Shippuden: Season 4
- Akatsuki mulakan langkah sekali lagi untuk mencari tuan badan Raksasa Berekor. Naruto meneruskan latihannya untuk menghadapi pertarungan besar seterusnya.
Bagi mereka yang baru berjinak dengan siri ini, saya sarankan anda untuk menonton anime original Naruto (Part 1) dahulu sebelum bermula dengan Shippuden. Ini kerana penonton sekurang-kurangnya dapat membiasakan diri dengan latar belakang watak dan tahu serba sedikit tentang apa yang terjadi dalam jalan cerita. Yang paling best sekali adalah Part 1 pun boleh ditonton di Netflix dan merangkumi semua episod!

Saya hanya mampu beri satu amaran sahaja: Naruto (Part 1) ialah anime yang sangat panjang. Di Netflix sahaja, ia mempunyai 9 musim, jadi agak memakan masa melainkan jika korang ingin buat sesi “marathon”. Selain itu, peminat tegar boleh terusnya melihat Naruto Shippuden di akaun Netflix masing-masing!
Naruto merupakan siri manga/anime oleh Masashi Kishimoto yang mengisahkan tentang Naruto Uzumaki, seorang ninja muda yang mencari pengiktirafan daripada rakan sebayanya dan berimpian menjadi Hokage, ketua kampungnya. Kisah ini diceritakan dalam dua bahagian – set pertama dalam tahun-tahun pra-remaja Naruto, dan yang kedua dalam masa remajanya.
Manga telah diadaptasi ke dalam siri televisyen anime yang dihasilkan oleh Pierrot dan Aniplex, yang menyiarkan 220 episod di Jepun dari 2002 hingga 2007. Naruto: Shippuden, sekuel kepada siri asal, ditayangkan di Jepun pada 2007, dan berakhir pada 2017, selepas 500 episod.

Untuk baca segala liputan kami tentang Naruto termasuk fakta dan trivia menarik, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post