Hari yang gembira untuk semua peminat anime aksi kerana Netflix telah melancarkan musim terbaru untuk anime Baki Hanma, berdasarkan francais manga popular yang diciptakan oleh Keisuke Itagaki pada tahun 1991. Walaupun manga mempunyai lebih daripada 143 jilid, musim terbaru anime masih meneruskan kisah Baki yang ingin merebut gelaran sebagai “yang terkuat di dunia” daripada ayahnya. Anime Baki Hanma mempunyai sebanyak 12 episod dan akan menampilkan antara pertarungan paling hebat dan “paling pelik” dalam siri ini.
Musim-musim sebelum dalam anime pun tidak pernah kekurangan dari segi aksi di mana Baki dan rakan-rakan terpaksa bertarung dengan sekumpulan banduan yang melarikan diri, wakil pahlawan paling handal dari China, dan watak-watak lain dalam usaha untuk menguji kekuatan mereka. Namun, musim terbaru ini mungkin yang paling gila kerana Baki harus berhadapan dengan serangga mentadak gergasi dan juga bekas petinju Mike Tyson ketika dia bersiap untuk sekali lagi melawan ayahnya dalam pertarungan maut 1v1. Selain daripada Mike Tyson, bekas Presiden Amerika Syarikat George W. Bush dan Che Guevara juga akan membuat penampilan cameo.

Setakat ini, masih ada banyak lagi kandungan dari manga yang masih belum diadaptasikan kepada anime, jadi ini mungkin memberi harapan kepada peminat yang sudah bertahun-tahun kekal setia dengan francais Baki. Berikut adalah rumusan dari Netflix untuk musim terbaru Baki Hanma:
“Untuk mendapatkan kemahiran yang diperlukan bagi mengatasi ayahnya yang kuat, Baki memasuki Penjara Negeri Arizona untuk bertarung dengan seorang banduan terkenal yang dikenali sebagai Mr. Unchained.”
Bagi mereka yang tidak tahu, bakat melukis dan minat terhadap manga terbukti diwariskan dalam keluarga Keisuke Itagaki kerana anak perempuannya, Peru Itagaki, adalah pencipta kepada siri Beastars, yang kini menjadi salah satu manga/anime paling popular di seluruh dunia. Mesti ayah kongsi rahsia kepada anak perempuan kan?
Apa pendapat anda tentang Baki? Korang ikut tak kisahnya? Jom kongsi pendapat dengan saya di ruang komen. Untuk segala liputan kami tentang anime, sila tekan pautan ini.
Sumber – Netflix
@gamersantaimy
Discussion about this post