MSI Stealth 16 AI Studio A1V telah pun dilancarkan beberapa bulan yang lalu. Kami telah berpeluang untuk mencuba sendiri laptop baharu MSI yang hadir dengan sistem AI yang sudah banyak diperkenalkan pada barisan laptop baharu tahun ini. Ingin tahu bagaimana prestasi laptop ini? Teruskan baca review kami untuk laptop ini!

Reka Bentuk
Dengan reka bentuk yang nipis dan ringan, MSI Stealth 16 AI Studio A1V dihasilkan dengan casis Mg-Ak Alloy. Yang menariknya casis laptop ini Fingerprint Proof, jadi tidaklah cap jari anda penuh pada badan laptop serta membuatkan laptop kelihatan bersih sahaja. Laptop ini mempunyai berat 1.99kg dan ketebalan 19.9mm dengan kemasan warna Star Blue yang tidaklah menarik perhatian ramai semasa bermain game atau kerja.

Paparan dan Audio
Dengan game sekarang ini memerlukan grafik yang kuat serta artis yang memerlukan ketepatan warna yang baik, MSI Stealth 16 telah membina paparan dengan baik untuk penggunanya. Dengan skrin 16:10 4K Mini LED dengan refresh rate 120Hz yang memberikan visual yang lancar, warna yang tepat serta menyenangkan mata. Anda boleh mainkan game kegemaran anda dengan visual yang sepatutnya anda alami.
Jika anda seseorang yang selalu lupa untuk cas headphone, MSI Stealth 16 hadir dengan 6 speaker serta 4 Woofer daripada Dynaudio. Jadi pengalaman audio anda sudah pastinya hebat.

Keyboard dan Touchpad
Buat anda yang suka customize keybinding, agak menarik juga untuk melihat konfigurasi Illumination tambahan untuk semua lampu belakang kunci melalui Steelseries GG. Keupayaan berikan warna untuk kekunci tertentu, membuatkan laptop ini rasa seperti milik kami sahaja. Paling menarik, lampu RGB tersebut tidak terlalu menarik atau mengganggu.

Bercerita tentang touchpad MSI Stealth 16 ini, ia terada lebih besar. Ini membolehkan penggunanya untuk bebas bergerak sambil melakukan kerja.

Port yang tersedia
Dibina untuk kerja serta gaming, terdapat banyak port tersedia untuk kegunaan seharian. Dengan terdapatnya port Thunderbolt 4, segala data anda boleh dipindah dengan pantas serta boleh menghubungkan pelbagai peranti. Berikut adalah port yang tersedia pada laptop ini.
- DC-In
- USB 3.2 Gen2 Type-A
- Thunderbolt™ 4(w/ PD 3.0 Charging)
- Audio combo jack
- RJ45
- HDMI™ 2.1 (8K@60Hz / 4K@120Hz)
- microSD Card Reader
- USB 3.2 Gen2 Type-C / DP

MSI Center
Salah satu faktor yang membuatkan MSI Stealth 16 ini menonjol adalah sistem AI mereka. MSI AI Engine mempunyai kebolehan untuk merasakan senario penggunanya dan menukar fungsi sistemnya dengan sewajarnya. Daripada MSI Center, anda boleh pilih jika anda ingin hidupkan AI Engin dan sistem mana yang anda ingin AI optimumkan. AI tersebut akan mengkaji tingkah laku penggunaan anda dan memberikan pengoptimuman masa nyata kepada keperluan semasa anda.
AI itu juga boleh melaraskan audio dan prestasi laptop ini. Apabila MSI AI Engine diaktifkan, pop up skrin akan muncul dengan pantas tentang perkara yang dikesan oleh sistem yang anda lakukan dan mengkategorikannya kepada sama ada Intelligent Work, Intelligent Meeting, Intelligent Gaming atau Intelligent Work.

Hardware dan Prestasi
MSI Stealth 16 dilengkapi dengan Intel Core Ultra 7 155H dengan Intel AI Boost (NPU) 16 teras (6 P-cores + 8 E-cores + 2 Low Power E-cores), Max Turbo Frequency 4.8 GHz yang turut hadir dengna NVIDIA GeForce RTX 4060 untuk memberikan prestasi terbaik semasa gaming mahupun bekerja.
Dengan prestasi hebat itu, sudah tentu penggunaan kuasanya juga tinggi. MSI Stealth 16 mempunyai bateri dengan kapasiti terbesar dunia dengan 99.9 WHr. Jadi tiada masalah untuk anda gunakannya pada bila-bila masa sahaja. Berikut adalah hasil benchmark yang telah kami lakukan untuk melihat prestasi laptop ini.
- Cinebench (Multi Core) = 15287 pts
- Cinebench (Single Core) = 1032 pts

Prestasi Gaming
Kami telah mencuba tiga game pada MSI Stealth 16 ini, iaitu Tekken 8, Hogwarts Legacy dan Valorant. Berikut adalah pengalaman kami semasa bermainnya.
- Valorant

Semasa bermain Valorant, kami menetapkan grafik kepada High. Kami telah mendapatkan FPS di antara 160-180 FPS tetapi apabila banyak ability digunakan pada satu masa, kami sedar bahawa ada sedikit penurunan kepada 140-150 FPS. Ia tidaklah begitu ketara dan ia sememangnya tidak akan menjejaskan rentak bermain semasa semasa main Rank.
- Hogwarts Legacy

Memandangkan Hogwarts Legacy mempunyai lebih banyak visual, kami telah mainkannya dengan DLSS Ultra Performance dengan Ultra RayTrace. Kami mendapat purata 60-70 FPS, tetapi kadang-kadang frame rate turun sehingga 25 FPS apabila banyak perkara yang berlaku. Berbeza pula bermain dengan DLSS Performance, frame rate kekal dengan baik antara 60-70 FPS dan tiada penurunan yang mendadak.
- Tekken 8

Untuk game fighting ini, kami telah mainkannya dengan mode DLSS Ultra Performance. Kami mendapatkan 60 FPS yang konsisten sepanjang sesi bermain walaupun semasa Rage Art. MSI Stealth 16 mampu mainkan Tekkan 8 dengan begitu baik, jadi anda tiada alasan untuk mengatakan bahawa anda lag semasa bermain.
Sistem Penyejukan
Masalah haba merupakan masalah biasa pada mana-mana laptop. MSI Stealth 16 telah memperkenalkan reka bentuk paip kongsi yang memasang paip haba pada kedua-dua CPU dan GPU. Ini membantu meningkatkan keupayaan terma. Reka bentuknya juga digabungkan dengan MSI Cooler Boost 5. Jadi anda tidak perlu risau semasa bermain dengan game yang demand mahupun kerja rendering yang berat.

Kesimpulan
Dengan rekaan laptop yang dibina untuk kerja serta gaming dengan lancar, MSI Stealth 16 ini mampu memuaskan hati ramai penggunanya. Dilengkapi dengan lampu RGB yang minimal, hardware yang berkuasa serta sistem AI yang memudahkan penggunaan harian, ia sangat berbaloi untuk didapatkan. Dengan tanda harga RM 9,999, anda boleh dapatkan laptop ini di kedai rasmi MSI!
Untuk membaca segala berita mengenai produk MSI daripada kami, boleh klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post