MSI secara rasmi melancarkan siri laptop Venture di Malaysia, disasarkan khas untuk pelajar dan usahawan yang memerlukan prestasi tinggi dalam bentuk yang mudah alih.
Ditawarkan dalam saiz 14 dan 16 inci, siri ini menggabungkan teknologi terkini dengan reka bentuk moden dan minimalis. Harga bermula serendah RM4,099 dan kini boleh didapati di kedai konsep MSI serta pengedar dalam talian yang terpilih.

Model Venture 14 AI (A1MG-027MY) berharga RM4,099 dan hadir dengan badan padat namun berkuasa. Ia dikuasakan oleh pemproses Intel Core Ultra 5 125H bersama Intel AI Boost (NPU), lengkap dengan 14 core (4 P-core, 8 E-core dan 2 Low Power E-core) dan kelajuan turbo maksimum sehingga 4.5 GHz.
Laptop ini turut dilengkapi memori DDR5-5600 16GB (8GB x2) yang boleh dinaik taraf hingga 96GB, serta storan SSD NVMe 512GB (PCIe Gen4 x4) dengan satu slot M.2 tambahan. Skrin OLED 14 inci 2.8K (2880 x 1800) menyokong kadar segar semula 120Hz dan 100% DCI-P3, menjanjikan paparan yang terang dan jelas — sangat sesuai untuk kerja-kerja kreatif.
Beratnya hanya 1.7kg, dengan rekaan kemasan Solid Gray, dan dilengkapi bateri 4-sel 55.2Whr serta penyesuai kuasa 90W.

Bagi pengguna yang mahukan skrin lebih besar, model Venture 16 AI A1MG-016MY ditawarkan pada harga RM4,499. Ia menggunakan spesifikasi pemproses dan memori yang sama, namun tampil dengan paparan OLED 16 inci 2K (2048 x 1280), nisbah aspek 16:10, kadar penyegaran 120Hz, dan sokongan 100% DCI-P3.
Dengan berat 1.9kg, ia masih mengekalkan ciri mudah alih, sesuai untuk mereka yang kerap bergerak tetapi memerlukan ruang kerja visual yang luas.

Kedua-dua model menyokong sambungan terkini seperti Gigabit Ethernet, Intel Wi-Fi 6E AX211, dan Bluetooth v5.3. Untuk audio, ia dilengkapi pembesar suara stereo 2 x 2W, mikrofon spatial 3 arah, DTS Audio Processing, dan sokongan Hi-Res Audio, bersama bicu kombo audio.
Port I/O juga lengkap, termasuk 1 x USB 3.2 Gen2 Type-C (dengan DisplayPort dan Power Delivery 3.0), 2 x USB 3.2 Gen1 Type-A, 1 x HDMI 2.1 (4K @ 60Hz), 1 x RJ45, dan 1 x Kensington Lock.
Untuk maklumat lanjut tentang barisan laptop Venture, layari laman web rasmi MSI atau Kedai MSI.
@gamersantaimy
Discussion about this post