Hari ini, studio 11 Bit telah mendedahkan trailer pengumuman untuk Frostpunk 2 yang menunjukkan minyak bakal tiba di dunia apokaliptik Frostpunk! Sekuel ini berlaku 30 tahun selepas cerita dari game Frostpunk asal, dan akan menyaksikan pemain memimpin komuniti di zaman ais baru. Komuniti yang dulunya dibina atas batu arang, akan dibangunkan lagi dari sumber minyak dan pemain perlu mendiamkan pemberontak yang mempersoalkan kerajaan anda.
Berdasarkan trailer pengumuman Frostpunk 2, anda dapat melihat seperti pemimpin sebelum ini telah diikat dan dibiarkan mati dalam cuaca sejuk beku. Di dada watak itu juga tertulis “LIAR” yang bermaksud dia mungkin telah menjadi pemerintah kejam yang gagal menjaga komuniti di Frostpunk, dan itu adalah hukuman untuknya. Pasukan Frostpunk telah berkembang dengan pesat sejak pelancaran game pertama, dan penolong pengarah mereka, iaitu Jakub Stokalski percaya bahawa pengembangan perlu dibuat untuk studio membina sesuatu yang lebih hebat!

Menurut Stokalski, pasukan studio 11 Bit memiliki banyak tenaga kerja yang disediakan untuk fokus pada semua aspek game bermula dari skala, nilai produksi sehingga kualiti UX. Dia juga menyatakan mereka ingin menghasilkan sekuel lebih tegas dan memberikan pemain pengalaman yang jauh lebih hebat dari game Frostpunk pertama.
Game Frostpunk asal dilancarkan pada tahun 2018 untuk platform PC, dan telah dibawa ke konsol serta menerima pelbagai pek pengembangan yang menarik. Di Frostpunk, pemain perlu membina bandar yang berpusat di sekitar mesin kerana dunia telah mengalami zaman ais, dan komuniti anda perlu mengumpulkan batu arang untuk menggerakan mesin atau mereka akan berisiko mati dalam kesejukan. Anda boleh memerintah secara kuku besi atau menjadi pemimpin berhati mulia, tetapi dunia gameplay Frostpunk lebih kepada menghukum pemain jika semakin selesa.

Buat masa ini, studio 11 Bit tidak mengumumkan tarikh rasmi pelancaran dan sebarang maklumat terperinci mengenai gameplay game ini. Jadi kita boleh tunggu untuk berita selanjutnya dari mereka di masa akan datang. Namun, anda kini boleh meletakkan Frostpunk 2 di dalam wishlist Steam, Epic Games dan GOG sekarang!
@gamersantaimy
Discussion about this post