Konami telah memuat naik trailer gameplay terbaharu untuk Metal Gear Solid Δ: Snake Eater, iaitu versi remake bagi klasik tahun 2004, Metal Gear Solid 3: Snake Eater, yang sangat dinanti-nantikan.
Trailer ini memberikan gambaran lebih mendalam tentang pengalaman bermain yang diperbaharui, dengan fokus utama kepada Unit Cobra — barisan musuh yang menggerunkan buat Naked Snake — selain memaparkan mekanik gameplay yang telah dikemas kini serta mod tambahan baharu.
Trailer Metal Gear Solid Δ: Snake Eater ini mengetengahkan teras utama gameplay yang digambarkan sebagai “lebih berevolusi dan mendalam berbanding sebelum ini.”
Pemain bakal kembali menyelami naratif yang menarik serta dunia yang mengasyikkan daripada versi asal, kini diberi nafas baharu dengan visual moden dan audio 3D yang menghidupkan suasana.
Walaupun ia sebuah remake, cerita, watak, lakonan suara dan muzik asal tetap dikekalkan, namun semuanya kini dipersembahkan dengan visual dan gaya yang lebih moden, sesuai untuk generasi pemain masa kini.

Beberapa penambahbaikan turut diperkenalkan dalam remake ini bagi meningkatkan pengalaman aksi survival stealth. Sistem battle damage kini diperbaharui secara drastik, menampilkan kesan visual yang lebih realistik — termasuk perubahan pakaian Snake yang lusuh serta luka lebam dan kesan tembakan yang kekal di badannya.
Elemen ini mencipta naratif visual tersendiri untuk setiap pemain, sekaligus menambahkan lagi elemen imersif dalam game.

Dari segi kawalan, pemain boleh memilih antara gaya kawalan baharu yang lebih intuitif dan mesra pengguna atau menggunakan skema kawalan klasik yang mengekalkan nuansa asal.
Dengan bantuan grafik yang lebih canggih dan audio 3D, suasana dunia kini tampil lebih hidup, menjadikan setiap misi sembunyi dan adegan sinematik lebih memukau.

Satu lagi sorotan dalam trailer ini ialah kepulangan mod Snake vs. Monkey, iaitu mod mini game yang cukup digemari peminat. Dalam mod ini, pemain akan mengawal Snake untuk menangkap beruk-beruk yang berkeliaran di pelbagai kawasan.
Mod ini akan tersedia untuk versi PlayStation 5 dan PC, manakala versi Xbox bakal menerima mod khas tersendiri, walaupun maklumat lanjut mengenainya masih belum diumumkan.

Metal Gear Solid Δ: Snake Eater akan dilancarkan pada 28 Ogos untuk PlayStation 5, Xbox Series, dan PC melalui Steam. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
@gamersantaimy
Discussion about this post