Selepas bertahun-tahun diterbitkan dan melihat perubahan salah satu watak manga/anime paling popular di dunia, akhirnya kita dapat pengesahan bahawa manga Captain Tsubasa karya Yoichi Takahashi akan memasuki “final arc” untuk menamatkan siri secara keseluruhan.
Berita ini datang daripada ANN, yang turut memperoleh info ini daripada majalah Captain Tsubasa #15 terbitan Shueisha. Kini, manga itu akan dinamakan semula ke “Captain Tsubasa: Rising Sun The Final untuk mempersiapkan francais ke arah finale.
Bagi saya, ini berita yang agak besar memandangkan siri manga Captain Tsubasa telah berjalan selama lebih 40 tahun (walaupun mempunyai tempoh rehat yang lama di tengah-tengah). Tidak banyak manga yang boleh bertahan selama itu dan apa yang hebat lagi adalah ia masih berjaya memfokuskan pada watak yang sama iaitu Tsubasa.
Buat mereka yang tidak tahu, Captain Tsubasa ialah siri manga bola sepak yang ditulis dan diilustrasikan oleh Yōichi Takahashi. Siri ini asalnya diterbitkan dalam majalah Weekly Shonen Jump antara tahun 1981 dan 1988, dan kemudian diikuti dengan pelbagai sekuel sehingga lah hari ini.

Captain Tsubasa mengisahkan tentang seorang pelajar sekolah rendah yang sangat cintakan bola sepak. Oozora Tsubasa yang berusia 11 tahun mula bermain bola sepak pada usia yang sangat muda, dan walaupun rakan-rakannya hanya menganggap ini sebagai sukan rekreasi, bagi Tsubasa, ia berkembang menjadi sesuatu obsesi.
Untuk mengejar impiannya, Tsubasa berpindah bersama ibunya ke bandar Nankatsu, yang terkenal dengan pasukan bola sepak sekolah rendah yang hebat. Tetapi walaupun dianggap antara yang terbaik di bandar lamanya, Nankatsu mempunyai lebih banyak saingan, dan Tsubasa memerlukan semua kemahiran dan bakatnya untuk menonjol di kumpulan baharu ini.
Mewakili Jepun dalam Piala Dunia FIFA adalah impian Tsubasa, tetapi dia memerlukan lebih daripada bakat untuk mencapainya.

Melalui setiap sekuel , kita dapat melihat perkembangan Tsubasa dan rakan-rakannya secara beransur-ansur ketika mereka berdepan dengan cabaran baharu. Malah, Tsubasa kini sudah berkahwin dan sedang menantikan kelahiran anaknya.

Jadi apakah plotline semasa? Mengikut bab terkini, Tsubasa kini sedang berjuang sebagai wakil negara pasukan bola sepak Jepun untuk memenangi Sukan Olimpik. Adakah kita dapat melihat Tsubasa merealisasikan impian bola sepaknya? Kita lihat nanti di arc finale.
Jadi apa pendapat anda? Jom kongsi pendapat di ruang komen! Untuk membaca segala liputan kami tentang francais Captain Tsubasa termasuk game-nya, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post